Huraian Fath al-Qarib: Sunat-sunat Wudhu (1)

Kata Pengarang RH:

سُنَنُ الْوُضُوءِ

(وَسُنَنُهُ) أَيْ: الْوُضُوء، (عَشَرَةُ أَشْيَاءَ)، وَفِي بَعْضِ نُسَخِ الْمَتْنِ: عَشْرُ خِصَالٍ: ١- التَّسْمِيَةُ أَوَّلَهُ. وَأَقَلُّهَا: بِسْمِ اللَّهِ، وَأَكْمَلُهَا: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. فَإِنْ تَرَكَ التَّسْمِيَةَ أَوَّلَهُ أَتَى بِهَا فِي أَثْنَائِهِ، فَإِنْ فَرَغَ مِنَ الْوُضُوءِ لَمْ يَأْتِ بِهَا.

Sunat-sunat Wuduk

Sunat-sunat wuduk ialah sepuluh perkara. Dalam sebahagian naskhah matan disebut: "sepuluh amalan." Pertama: Membaca basmalah pada permulaan wuduk. Lafaz yang paling minimum ialah: بِسْمِ اللَّهِ "Dengan nama Allah." Manakala lafaz yang paling sempurna ialah: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." Sekiranya seseorang meninggalkan bacaan basmalah pada permulaan wuduk, maka dia disunatkan membacanya ketika sedang berwuduk. Namun, jika dia telah selesai daripada wuduk, maka dia tidak lagi disunatkan membacanya sebagai zikir khusus bagi wuduk.

HURAIAN

Pengarang رحمه الله تعالى berkata:

(وسننه) أي الوضوء

“Dan sunat-sunatnya”, yakni sunat-sunat wudhu.

Sama ada bagi wudhu yang wajib mahupun yang sunat. Huruf أَيْ dalam ungkapan di atas berfungsi sebagai kata penjelas (التفسيرية), maka perkataan yang datang selepasnya menjadi ‘ataf bayan atau badal. Ini merupakan satu kaedah dalam kalangan ahli bahasa Arab, sehingga dikatakan:

ما بعد «أي» عطفُ بيانٍ أو بدلٌ

Apa yang datang selepas perkataan أي ialah ‘ataf bayan atau badal.

Perkataan pensyarah:

وسننه عشرة أشياء

“Dan sunat-sunatnya ialah sepuluh perkara.”

Kata pensyarah:

وفي بعض نسخ المتن: عشر خصال

Dalam sebahagian naskhah matan pula disebut: “Sepuluh khisal.”

Kita akan melihat bahawa pensyarah رحمه الله تعالى juga memberikan perhatian kepada perbezaan naskhah matan. Hal ini merupakan sesuatu yang biasa berlaku. Ini kerana sesebuah matan, apabila semakin lama usianya dan semakin panjang jarak masa antara pensyarah dengan pengarang matan, maka semakin banyak naskhahnya disebabkan ramai orang menyalinnya. Lalu berlakulah perbezaan dan ketidaksamaan antara naskhah-naskhah tersebut. Adapun jika sesebuah matan itu sezaman dengan pensyarah, atau dekat dengan zamannya, maka perbezaan antara naskhahnya biasanya sedikit kerana bilangan penyalinnya lebih sedikit dan tempohnya masih dekat dengan zaman pengarang. Oleh itu, apabila tempoh antara pensyarah dengan pengarang matan menjadi panjang, naskhah-naskhah akan bertambah banyak, jumlah penyalin juga meningkat, lalu berlakulah perbezaan antara satu naskhah dengan naskhah yang lain. Sebab itulah perbezaan naskhah banyak berlaku dalam matan-matan yang lama.

Ungkapan “Sepuluh perkara”, atau “sepuluh khisal”, membawa maksudnya, sepuluh perkara menurut apa yang akan disebut oleh pengarang رحمه الله تعالى bagi menerangkan sunat-sunat wudhu. Sedangkan sunat-sunat wuduk sebenarnya sangat banyak, bahkan mencapai lima puluh sunat atau lebih di sisi sebahagian ulama. Pengarang sendiri menyatakan hal ini di bahagian akhir dengan katanya:

وبقي للوضوء سنن أخرى مذكورة في المطولات.

“Dan baki sunat-sunat wudhu yang lain disebut dalam kitab-kitab yang panjang-panjang.”

Tambahan pula, perkara yang disebut oleh pengarang matan di sini bukan hanya sepuluh amalan, bahkan lebih dari itu, iaitu dihitung ia sebanyak sebelas perkara. Hal ini kerana dalam sebahagian naskhah beliau turut menyebut muwalah pada penghujung perbahasan sunat-sunat wudhu.

Bagaimana perkara ini terjadi? Ia dijawab dengan mengatakan bahawa pengarang mengira menyelati jari-jari tangan dan menyelati jari-jari kaki sebagai satu perkara sunat sahaja. Dengan itu, kedua-duanya digabungkan dalam satu amalan dan jumlah keseluruhannya kekal sepuluh.

Kemudian pengarang رحمه الله تعالى berkata:

التسمية أوَّلَه

“Membaca basmalah pada awalnya.”

Ini ialah sunat pertama daripada sunat-sunat wuduk, iaitu dengan mengucapkan:

بسم الله الرحمن الرحيم

Inilah lafaz yang paling sempurna. Seseorang juga boleh berpada dengan lafaz: بسم الله, kerana dengan lafaz ini, terhasillah asal sunat basmalah. Jika seseorang mahu memperoleh kesempurnaan sunat, maka hendaklah dia mengucapkan:

بسم الله الرحمن الرحيم

Perkataan pengarang:

أوَّلَه

“Pada awalnya”

bermaksud pada awal wuduk, iaitu ketika membasuh kedua-dua tapak tangan. Ini kerana membasuh kedua-dua tapak tangan merupakan amalan pertama dalam wuduk bagi orang yang mahu melakukan sunat-sunatnya. Maka dia membasuh kedua-dua tapak tangannya dalam keadaan memiliki niat untuk melaksanakan sunat-sunat wudhu sambil mengucapkan:

بسم الله

atau:

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan melakukan perkara ini, seseorang itu telah menghimpunkan antara amalan hati iaitu berniat, amalan lisan iaitu memulakan dengan basmalah dan amalan jawarih iaitu membasuh tangan kerana berwudhu.  

Maksud ungkapan basmalah ialah:

بسم الله أتوضأ

Dengan nama Allah, aku berwuduk,

atau:

بسم الله الرحمن الرحيم أتوضأ

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, aku berwuduk.

Walaupun seseorang wanita itu sedang haid atau nifas, atau seorang lelaki dalam keadaan junub, lalu salah seorang daripada mereka hendak makan, minum atau tidur, atau seorang yang junub hendak melakukan persetubuhan sekali lagi, maka disunatkan baginya berwuduk. Pada ketika itu, disunatkan juga baginya mengucapkan: بسم الله

atau:

بسم الله الرحمن الرحيم

Namun dia hendaklah bermaksud zikir, bukan bacaan al-Quran. Hal ini kerana haram bagi orang junub, wanita haid dan wanita nifas membaca sesuatu daripada al-Quran. Oleh itu, apabila mereka mengucapkan:

بسم الله

atau:

بسم الله الرحمن الرحيم

maka mereka boleh tidak menentukan sesuatu niat secara khusus, atau berniat sebagai zikir. Adapun jika mereka berniat bahawa lafaz tersebut ialah satu ayat atau sebahagian darip ayat al-Quran, maka hukumnya haram. Ini kerana haram bagi orang junub, wanita haid dan wanita nifas membaca sesuatu daripada al-Quran sebelum mandi.

Lafaz basmalah yang paling ringkas ialah:

بسم الله

Lafaz yang paling sempurna pula ialah:

بسم الله الرحمن الرحيم

Dinyatakan dalam hadis daripada Anas bin Malik RA:

طَلَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ ﷺ وَضُوءًا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: «هَلْ مَعَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مَاءٌ؟» فَوَضَعَ يَدَهُ فِي الْمَاءِ، ثُمَّ قَالَ: «تَوَضَّؤُوا بِاسْمِ اللهِ»، فَرَأَيْتُ الْمَاءَ يَجْرِي مِنْ بَيْنِ أَصَابِعِهِ ﷺ، فَتَوَضَّؤُوا حَتَّى تَوَضَّؤُوا مِنْ عِنْدِ آخِرِهِمْ، قَالَ ثَابِتٌ لأَنَسٍ: كَمْ تُرَاهُمْ؟ قَالَ: نَحْوًا مِنْ سَبْعِينَ.

Sebahagian sahabat Nabi mencari air untuk berwuduk. Lalu Rasulullah bersabda: “Adakah sesiapa antara kamu mempunyai air?” Kemudian Baginda meletakkan tangan Baginda ke dalam air itu, lalu bersabda: “Berwuduklah kamu dengan nama Allah.” Maka aku melihat air mengalir keluar dari celah-celah jari-jari Baginda . Lalu mereka semua berwuduk sehingga orang yang terakhir dalam kalangan mereka selesai berwuduk. Thabit al-Bunani bertanya kepada Anas: “berapakah bilangan mereka?” Anas menjawab: “Kira-kira tujuh puluh orang.”

Sabdaan Baginda bersabda:

تَوَضَّؤُوا بِاسْمِ اللهِ

“Berwuduklah kamu dengan nama Allah.”

Maksudnya, berwuduklah sambil mengucapkan: بسم الله.

Dan terdapat dalam sebuah hadis, walaupun hadis tersebut tidak sahih:

لَا وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يُسَمِّ اللهَ عَلَيهِ

“Tidak sempurna wuduk orang yang tidak menyebut nama Allah padanya.”[1]

Maksud hadis ini ialah, wuduknya tidak mencapai kesempurnaan. Maka yang sunat ialah mengucapkan:

بسم الله

dan yang lebih sempurna ialah:

﴿بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ﴾

Begitu juga pada setiap tempat yang disunatkan membaca basmalah, seseorang dianjurkan membaca lafaz yang paling sempurna. Namun dia juga boleh mencukupkan dengan lafaz yang lebih ringkas, kecuali pada dua tempat:

Pertama: Ketika masuk ke tandas. Ketika itu dia berpada dengan ucapan:

﴿بِسْمِ اللَّهِ﴾

dan tidak menambah:

﴿بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ﴾

Kedua: Ketika hendak melakukan persetubuhan. Ketika itu dia juga berpada dengan ucapan:

﴿بِسْمِ اللَّهِ﴾

dan tidak menambah:

﴿بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ﴾

Hal ini kerana kedua-dua tempat tersebut tidak sesuai untuk disebut lafaz zikir secara sempurna. Dua tempat inilah yang disebut oleh Ibn Hajar رحمه الله تعالى.

Sebahagian ulama menambah tempat yang ketiga, iaitu ketika menyembelih haiwan hadyu, korban atau haiwan sembelihan yang lain. Mereka berpendapat bahawa ketika itu hendaklah dicukupkan dengan ucapan: بسم الله, kerana keadaan tersebut merupakan keadaan menumpahkan darah, maka tidak sesuai membaca lafaz basmalah yang lengkap.

Pengarang رحمه الله تعالى berkata:

فإن ترك التسمية أوَّلَه أتى بها في أثنائه؛ فإن فرغ من الوضوء لم يأت بها

"Jika seseorang meninggalkan bacaan basmalah pada permulaan wuduk, maka hendaklah dia membacanya ketika di pertengahan wuduk. Namun, jika dia telah selesai daripada wuduk, maka dia tidak lagi membacanya."

Maksudnya, jika seseorang tidak menyebut nama Allah سبحانه وتعالى pada permulaan wuduk, maka dia disunatkan membacanya ketika sedang berwuduk, sama ada ketika membasuh wajah, membasuh kedua-dua tangan, menyapu kepala ataupun membasuh kedua-dua kaki, selagi dia belum selesai daripada wuduk.

Hal ini diqiyaskan dengan hukum makan. Rasulullah memerintahkan orang yang terlupa membaca basmalah pada permulaan makan supaya membacanya apabila teringat dengan mengucapkan: بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَه. "Dengan nama Allah pada permulaannya dan pada akhirnya." ‘Aisyah RA berkata, Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُم فَليَذكُرِ اسمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ، فَإِن نَسِيَ أَن يَذكُرَ اسمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَليَقُل: بِسمِ اللَّهِ فِي أَوَّلَهُ وَآخِرَه

"Apabila salah seorang daripada kamu hendak makan, hendaklah dia menyebut nama Allah Taala pada permulaan makannya. Jika dia terlupa menyebut nama Allah Taala pada permulaannya, maka hendaklah dia mengucapkan: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ 'Dengan nama Allah pada permulaannya dan pada akhirnya." (Riwayat al-Tirmizi (1857). Beliau berkata: "Hadis ini hasan sahih)

Ini kerana syaitan akan memuntahkan semula makanan yang dimakannya bersama orang yang tidak membaca basmalah. Daripada Umayyah bin Makhsyiyy (أُمَيَّة بْن مَخْشِيٍّ) رضي الله عنه, yang pernah duduk bersama Nabi , katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ رَأَى رَجُلًا يَأْكُلُ وَلَمْ يُسَمِّ حَتَّى إِذَا لَمْ يَبْقَ مِنْ طَعَامِهِ إِلَّا لُقْمَةٌ رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ وَقَالَ: بِسْمِ اللهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، فَضَحِكَ النَّبِيُّ ﷺ وَقَالَ: «مَا زَالَ الشَّيْطَانُ يَأْكُلُ مَعَكَ حَتَّى إِذَا ذَكَرْتَ اسْمَ اللهِ اسْتَقَاءَ مَا فِي بَطْنِهِ

Bahawa Nabi melihat seorang lelaki sedang makan tanpa menyebut nama Allah. Sehinggalah apabila tidak berbaki dari makanannya melainkan hanya satu suapan, dia mengangkat suapan itu ke mulutnya lalu berkata: «بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ» "Dengan nama Allah pada permulaan dan pada akhirnya." Lalu Nabi tersenyum sambil bersabda: "Syaitan terus makan bersamamu. Namun apabila engkau menyebut nama Allah, syaitan memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya." (Hadis Sunan Abi Dawud (no. 3768), Musnad Ahmad (no. 15417), dan selainnya. Hadis ini dinilai hasan oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Sahih Abi Dawud)

Oleh sebab itu, seseorang yang terlupa membaca basmalah pada awal wuduk disunatkan membacanya apabila dia teringat semasa masih berada dalam wuduk.

Kemudian pengarang berkata:

فإن فرغ من الوضوء لم يأت بها

"Jika dia telah selesai daripada wuduk, maka dia tidak lagi membacanya."

Ini kerana tujuan bacaan tersebut sudah tidak dapat dicapai, dan wuduk itu sendiri telah selesai. Berbeza dengan makan. Jika seseorang terlupa membaca basmalah pada permulaan makan, bahkan juga tidak membacanya ketika sedang makan, demikian juga ketika minum, maka apabila selesai dia hendaklah mengucapkan:

"بسم الله" atau "بسم الله الرحمن الرحيم".

Ini kerana sebab yang disebut dalam hadis masih wujud, iaitu menyakiti (الإيذاء) syaitan, berdasarkan sabda Nabi :

اسْتَقَاءَ مَا فِي بَطْنِهِ

"Sesungguhnya syaitan akan memuntahkan apa yang telah dimasukkan ke dalam perutnya."

Makna ini tidak terdapat dalam ibadah wuduk. Oleh itu, tidak disyariatkan membaca basmalah selepas selesai berwuduk kerana tujuan bacaan tersebut sudah luput, dan wuduk telah pun sempurna.

Adapun dalam masalah makan, seseorang membaca basmalah pada permulaannya. Jika dia terlupa lalu teringat ketika sedang makan, maka dia membacanya pada ketika itu. Jika dia tidak teringat melainkan setelah selesai makan, maka dia tetap disunatkan membacanya. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli dan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari رحمهما الله, berbeza dengan pendapat Ibn Hajar.

Adapun dalam masalah wuduk, seseorang membaca basmalah pada permulaannya. Jika terlupa, dia membacanya ketika sedang berwuduk. Namun jika dia hanya teringat setelah selesai berwuduk, maka tidak lagi disunatkan membacanya dengan niat sebagai zikir khusus bagi wuduk kerana waktunya telah luput. Akan tetapi, jika dia membacanya sekadar sebagai zikir umum, maka tidak mengapa. Manakala membaca basmalah berkaitan dengan hubungan jima’, ia hanya sunat dibaca sebelum melakukan hubungan, jika terlupa membacanya, dan teringat ketika sedang melakukan hunungan, seseorang tidak dituntut lagi membaca basmalah, kerana keadaannya itu tidak layak untuk dia menyebut nama Allah.

Disebut dalam Mughni al-Muhtaj (4/411):

فإن تركها (أي التسمية) في أوله أتى بها في أثنائه، فإن تركها في أثنائه أتى بها في آخره

"Sekiranya seseorang meninggalkan bacaan basmalah pada permulaan (wuduk), maka hendaklah dia membacanya ketika sedang berwuduk. Jika dia tidak membacanya ketika sedang berwuduk juga, maka hendaklah dia membacanya pada penghujungnya."

Manakala dalam Nihayah al-Muhtaj (1/184) disebut:

لا يأتي بها (أي التسمية) بعد فراغ وضوئه، بخلاف الأكل فإنه يأتي بها بعده

"Dia tidak lagi membaca basmalah setelah selesai daripada wuduknya, berbeza dengan makan; kerana dalam masalah makan, dia disunatkan membacanya selepas selesai makan."

Kemudian pengarang berkata:

فإن فرغ من الوضوء لم يأت بها

"Jika dia telah selesai daripada wuduk."

Dimaksudkan dengan "selesai daripada wuduk" adakah selesai membasuh kedua-dua kaki bagi orang yang tidak memakai khuf, atau selesai menyapu kedua-dua khuf bagi orang yang memakainya? Atau adakah yang dimaksudkan ialah selesai seluruh amalan yang berkaitan dengan wuduk termasuk zikir dan doa selepasnya?

Dalam masalah ini terdapat dua pendapat dalam kalangan fuqaha'.

Pendapat pertama menyatakan bahawa yang dimaksudkan ialah selesai dari rukun-rukun wuduk. Maksudnya, apabila seseorang telah selesai membasuh kedua-dua kakinya atau selesai menyapu dua khufnya, walaupun dia belum membaca zikir dan doa selepas wuduk, dia tidak lagi disunatkan membaca basmalah kerana dia telah selesai melaksanakan rukun-rukun wuduk.

Pendapat kedua pula menyatakan bahawa yang dimaksudkan ialah selesai daripada seluruh amalan wuduk, termasuk segala perkara yang mengiringinya seperti zikir dan doa selepas wuduk.

Berdasarkan pendapat ini, jika seseorang hanya teringat selepas selesai membaca zikir dan doa, maka dia tidak lagi membaca basmalah.

Sebaliknya, jika dia telah selesai membasuh kedua-dua kakinya tetapi belum membaca zikir dan doa selepas wuduk, kemudian dia teringat, maka disunatkan baginya membaca basmalah.

Pendapat pertama ialah pendapat al-Imam al-Ramli رحمه الله, iaitu yang dimaksudkan dengan selesai dari wuduk ialah selesai dari rukun-rukun wuduk.

Manakala pendapat kedua ialah pendapat al-Ziyadi (الزيادي) al-Syabramallisi (الشبرامليسي) رحمهما الله, iaitu yang dimaksudkan ialah selesai daripada seluruh amalan wuduk, sama ada rukun mahupun sunat-sunatnya seperti doa atau zikir selepasnya. Al-Bajuri menyatakan pandangan yang kedua ini lebih hampir atau lebih dekat dengan kebenaran.



[1] Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibnu Majah melalui riwayat Abu Hurairah. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim, namun penilaian tersebut dianggap sebagai suatu kekeliruan oleh beberapa orang ulama. Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi melalui riwayat Sa'id bin Zaid. Beliau turut menukilkan daripada Imam al-Bukhari bahawa beliau berkata: "Hadis ini adalah hadis yang paling baik dalam bab ini." Manakala Imam Ahmad berkata: "Aku tidak mengetahui ada satu pun hadis dalam bab ini yang mempunyai sanad yang benar-benar baik."

Lihat: Khulāṣah al-Badr, 1/31.


Cetak  
Wallahu a'lam