428/550. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا اسْتَكْبَرَ مَنْ أَكَلَ مَعَهُ خَادِمُهُ، وَرَكِبَ الْحِمَارَ بِالْأَسْوَاقِ، وَاعْتَقَلَ الشَّاةَ فَحَلَبَهَا
“Tidak dianggap sombong seseorang yang makan bersama pembantunya, menunggang keldai di pasar-pasar dan mengepit kaki kambing lalu memerah susunya.” (Hadis ini tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadis yang enam. Hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Īmān (no. 8188). Dinilai hasan oleh Syeikh al-Albani dalam Ṣaḥīḥ al-Jāmi‘ (no. 5527))
Klik untuk: BIODATA RAWI, ABU HURAIRAH رضي الله عنه
HURAIAN HADIS
Antara sifat tercela yang dilarang dalam al-Quran dan al-Sunnah ialah sifat sombong dan meninggi diri terhadap manusia. Orang yang sombong akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan seperti semut-semut kecil. Daripada ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda:
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ، قَالَ: يُحْشَرُ المُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ، يَغْشَاهُمُ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ، فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ، يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الخَبَالِ.
“Orang yang sombong akan dihimpunkan pada hari kiamat seperti semut-semut kecil dalam rupa manusia. Mereka diliputi kehinaan dari segenap penjuru. Kemudian mereka digiring menuju sebuah penjara di dalam neraka Jahanam yang dinamakan Būlas. Api yang paling dahsyat menjulang dan membakar mereka. Mereka diberi minum daripada cairan perahan penghuni neraka, iaitu ṭīnah al-khabāl.” (Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan.” Riwayat al-Tirmizi, no. 2492. Syeikh al-Albani menilai hadis ini sebagai hasan)
Oleh itu, seseorang hendaklah menjauhi akhlak tercela ini serta bersungguh-sungguh melakukan amalan-amalan yang dapat menjauhkannya daripada sifat tersebut. Antara amalan itu ialah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis ini.
Sabdaan Nabi ﷺ:
“Tidak dianggap sombong...”
“Tidak dianggap sombong,” iaitu tidak dianggap sebagai seorang yang sombong dan sifat sombong tidak meresap ke dalam dirinya, sesiapa yang memiliki sifat-sifat berikut:
- Dia makan bersama pembantunya. Hal ini menunjukkan sifat rendah dirinya.
- Dia menunggang keldai di pasar-pasar. Dikaitkan dengan kaldai kerana kebiasaannya kenderaan yang dinaiki ke pasar adalah yang sederhana dan murah harganya. Orang yang sombong pula kebiasaanya menghindari perbuatan tersebut.
- Dia mengikat kambing dengan tali pengikatnya, iaitu tali yang digunakan untuk mengikat kambing, kemudian memerah susunya.
Oleh itu, sesiapa yang memiliki semua sifat ini atau salah satu daripadanya, maka dia terlepas daripada sifat sombong.
Sesungguhnya telah dinyatakan bahawa Nabi ﷺ melakukan kesemua perkara tersebut. Baginda ﷺ makan bersama pembantunya, menunggang keldai dan memerah susu kambing untuk ahli keluarganya.
Hadis ini menerangkan amalan-amalan yang dapat menjauhkan seseorang daripada sifat-sifat orang yang sombong. Hadis ini juga menunjukkan bahawa membiasakan diri melakukan perbuatan-perbuatan tertentu, seperti makan bersama pembantu, memerah susu kambing dan perbuatan-perbuatan lain yang seumpamanya, dapat menafikan sifat sombong serta membersihkan hati daripadanya.
