BIODATA RAWI, ABU HURAIRAH RA رضي الله عنه
Beliau ialah Abu Hurairah al-Dawsi al-Azdi al-Yamami (أبو هريرة الدوسي الأزدي اليمامي). Beliau berasal daripada kabilah Daws bin ‘Adnan bin ‘Abdullah bin Zahran.[1] [2]
Para ahli sejarah berbeza pendapat mengenai nama sebenarnya. Ada yang mengatakan namanya ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr (عبد الرحمن بن صخر). Ada pula yang mengatakan ‘Abd Syams (عبد شمس) dan ada yang mengatakan ‘Abd ‘Amr (عبد عمرو). Dikatakan juga bahawa namanya pada zaman jahiliah ialah ‘Abd Syams, manakala selepas memeluk Islam namanya ialah ‘Abdullah. Terdapat juga pendapat-pendapat lain.[3] Namun, pendapat yang paling masyhur mengenai nama beliau dan bapanya ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr al-Dawsi.[4]
Diriwayatkan daripada beliau رضي الله عنه bahawa beliau berkata:
كان اسمي في الجاهلية: عبد شمس، فسمَّاني رسول الله صل الله عليه وسلم: عبد الرحمن
“Namaku pada zaman jahiliah ialah ‘Abd Syams, lalu Rasulullah ﷺ menamakanku ‘Abd al-Rahman.”[5]
Kuniyah beliau ialah Abu Hurairah dan beliau lebih masyhur dengan kuniyah tersebut.[6] Beliau mendapat kuniyah itu kerana seekor anak kucing yang sering dibawa dan dipeliharanya.[7]
Rasulullah ﷺ pula memanggil beliau dengan panggilan Abu Hirr (أبا هِرّ). Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah رضي الله عنه berkata:
دخلت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم فَوَجَدَ لَبَنًا فِي قَدَحٍ فَقَالَ "أَبَا هِرٍّ الْحَقْ أَهْلَ الصُّفَّةِ فَادْعُهُمْ إِلَيَّ"
“Aku masuk bersama Rasulullah ﷺ, lalu Baginda mendapati susu di dalam sebuah bekas. Baginda pun bersabda: ‘Wahai Abu Hirr, pergilah menemui Ahl al-Suffah dan panggillah mereka datang kepadaku.”[8]
Ibu beliau bernama Maimunah binti Subaih (ميمونة بنت صبيح).[9]
Daripada Sulaim bin Hayyan (سليم بن حيَّان), beliau berkata:
سمعت أبي يقول: سمعت أبا هريرة يقول: نشأت يتيمًا وهاجرت مسكينًا وكنت أجيرًا لبسرة بنت غزوان بطعام بطني وعقبة رجلي. فكنت أخدم إذا نزلوا، وَأَحْدُو إذا ركبوا، فزوجنيها الله، فالحمد لله الذي جعل الدين قوامًا وجعل أبا هريرة إمامًا
Aku mendengar bapaku berkata: Aku mendengar Abu Hurairah berkata: “Aku membesar sebagai seorang anak yatim dan berhijrah dalam keadaan miskin. Aku pernah bekerja dengan Busrah binti Ghazwan dengan upah sekadar makanan untuk mengisi perutku dan peluang menunggang secara bergilir[10]. Aku melayani mereka ketika mereka berhenti dan aku melagukan nyanyian penggembala untuk mempercepatkan perjalanan tunggangan mereka apabila mereka menaikinya. Kemudian Allah mengahwinkan aku dengannya[11]. Segala puji bagi Allah yang menjadikan agama sebagai asas tegaknya kehidupan dan menjadikan Abu Hurairah seorang ikutan.”[12]
Keislaman Abu Hurairah
Abu Hurairah رضي الله عنه memeluk Islam antara peristiwa Hudaibiyah dengan peperangan Khaibar. Beliau datang ke Madinah dalam keadaan berhijrah. Beliau memeluk Islam ketika Nabi ﷺ berada di Khaibar.[13]
Beliau memeluk Islam melalui usaha sahabat yang mulia, al-Tufail bin ‘Amr al-Dawsi (الطفيل بن عمرو الدوسي). Setelah al-Tufail bin ‘Amr al-Dawsi memeluk Islam, beliau menyeru kaumnya kepada Islam, lalu mereka turut memeluk Islam. Kemudian seramai tujuh puluh atau lapan puluh buah keluarga daripada kalangan mereka datang bersamanya ke Madinah. Antara mereka ialah Abu Hurairah رضي الله عنه.[14]
Pengaruh Rasulullah ﷺ dalam mendidik Abu Hurairah
Nabi ﷺ memberikan pengaruh yang paling besar dalam pembentukan dan pendidikan Abu Hurairah رضي الله عنه. Sejak beliau datang menemui Nabi ﷺ, beliau tidak pernah berpisah daripada Baginda. Beliau merupakan antara sahabat yang paling kuat hafalannya dan paling banyak mendampingi Baginda ﷺ dengan sekadar memperoleh makanan untuk mengenyangkan perutnya. Tangannya sentiasa bersama tangan Baginda dan beliau mengikuti Baginda ke mana sahaja Baginda pergi.[15]
Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, beliau memperoleh ilmu daripada Rasulullah ﷺ dalam jumlah yang tidak diperoleh oleh sahabat lain. Nabi ﷺ juga banyak memberikan bimbingan kepadanya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi ﷺ bersabda kepadanya:
يَا أَبَا هُرَيْرَةَ كُنْ وَرِعًا، تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ، وَكُنْ قَنِعًا، تَكُنْ أَشْكَرَ النَّاسِ، وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ، تَكُنْ مُؤْمِنًا، وَأَحْسِنْ جِوَارَ مَنْ جَاوَرَكَ، تَكُنْ مُسْلِمًا، وَأَقِلَّ الضَّحِكَ، فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ
“Wahai Abu Hurairah, jadilah seorang yang warak, nescaya engkau menjadi manusia yang paling kuat beribadah. Jadilah seorang yang bersifat qanaah, nescaya engkau menjadi manusia yang paling bersyukur. Kasihilah untuk manusia apa yang engkau kasihi untuk dirimu sendiri, nescaya engkau menjadi seorang Mukmin. Berbuat baiklah kepada jiranmu, nescaya engkau menjadi seorang Muslim. Kurangkanlah ketawa kerana banyak ketawa mematikan hati.”[16]
Abu Hurairah رضي الله عنه juga meriwayatkan:
كُنْتُ أَدْعُو أُمِّي إِلَى الْإِسْلَامِ وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فَدَعَوْتُهَا يَوْمًا فَأَسْمَعَتْنِي فِي رَسُولِ اللَّهِ ﷺ مَا أَكْرَهُ. فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ وَأَنَا أَبْكِي. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ أَدْعُو أُمِّي إِلَى الإِسْلامِ فَتَأْبَى عَلَيَّ فَدَعَوْتُهَا الْيَوْمَ فَأَسْمَعَتْنِي فِيكَ مَا أَكْرَهُ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَهْدِيَ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ اللَّهُمَّ اهْدِ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ فَخَرَجْتُ مُسْتَبْشِرًا بِدَعْوَةِ نَبِيِّ اللَّهِ ﷺ فَلَمَّا جِئْتُ فَصِرْتُ إِلَى الْبَابِ فَإِذَا هُوَ مُجَافٌ فَسَمِعَتْ أُمِّي خَشْفَ قَدَمَيَّ فَقَالَتْ مَكَانَكَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ وَسَمِعْتُ خَضْخَضَةَ الْمَاءِ قَالَ فَاغْتَسَلَتْ وَلَبِسَتْ دِرْعَهَا وَعَجِلَتْ عَنْ خِمَارِهَا فَفَتَحَتْ الْبَابَ ثُمَّ قَالَتْ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ قَالَ فَرَجَعْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَأَتَيْتُهُ وَأَنَا أَبْكِي مِنْ الْفَرَحِ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَبْشِرْ قَدْ اسْتَجَابَ اللَّهُ دَعْوَتَكَ وَهَدَى أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ خَيْرًا قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُحَبِّبَنِي أَنَا وَأُمِّي إِلَى عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ وَيُحَبِّبَهُمْ إِلَيْنَا قَالَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ اللَّهُمَّ حَبِّبْ عُبَيْدَكَ هَذَا يَعْنِي أَبَا هُرَيْرَةَ وَأُمَّهُ إِلَى عِبَادِكَ الْمُؤْمِنِينَ وَحَبِّبْ إِلَيْهِمْ الْمُؤْمِنِينَ فَمَا خُلِقَ مُؤْمِنٌ يَسْمَعُ بِي وَلا يَرَانِي إِلا أَحَبَّنِي.
“Aku sering mengajak ibuku memeluk Islam sedangkan dia masih musyrik. Pada suatu hari, aku mengajaknya kepada Islam, lalu dia memperdengarkan kepadaku kata-kata mengenai Rasulullah ﷺ yang tidak aku sukai. Aku pun datang menemui Rasulullah ﷺ dalam keadaan menangis. Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sering mengajak ibuku kepada Islam, tetapi dia menolak ajakanku. Pada hari ini, aku mengajaknya lagi, lalu dia memperdengarkan kepadaku kata-kata mengenai dirimu yang tidak aku suka. Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar Dia memberikan hidayah kepada ibu Abu Hurairah.’ Rasulullah ﷺ pun berdoa: ‘Ya Allah, berilah hidayah kepada ibu Abu Hurairah.’ Aku pun keluar dalam keadaan gembira dengan doa Nabi Allah ﷺ. Apabila aku tiba dan menghampiri pintu rumah, ternyata pintu itu tertutup. Ibuku mendengar bunyi tapak kakiku, lalu berkata: ‘Tunggu di tempatmu, wahai Abu Hurairah.’ Aku mendengar bunyi air dicurahkan. Ibuku mandi, memakai baju panjangnya dan tergesa-gesa sehingga belum sempat mengenakan tudungnya. Kemudian dia membuka pintu lalu berkata: ‘Wahai Abu Hurairah, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad ialah hamba-Nya dan utusan-Nya.’ Aku kembali menemui Rasulullah ﷺ dalam keadaan menangis kegembiraan. Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, bergembiralah! Sesungguhnya Allah telah memperkenankan doamu dan memberikan hidayah kepada ibu Abu Hurairah.’ Baginda ﷺ pun memuji Allah, menyanjung-Nya dan mengucapkan kata-kata yang baik. Kemudian aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah supaya Dia menjadikan aku dan ibuku dicintai oleh hamba-hamba-Nya yang beriman, dan supaya Dia menjadikan orang-orang beriman dicintai oleh kami.’ Rasulullah ﷺ pun berdoa: ‘Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini—iaitu Abu Hurairah dan ibunya—dicintai oleh hamba-hamba-Mu yang beriman, dan jadikanlah orang-orang beriman dicintai oleh mereka berdua.’ Maka tidaklah seseorang Mukmin diciptakan yang mendengar tentang diriku atau melihatku, melainkan dia mencintaiku.”[17]
Ciri-ciri utama keperibadian Abu Hurairah dan Penguasaan Abu Hurairah terhadap hadis
Abu Hurairah رضي الله عنه merupakan antara sahabat yang paling banyak menghafaz hadis. Beliau berkata:
مَا كَانَ أَحَدٌ أَحْفَظَ لِحَدِيثِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنِّي إلَّا مَا كَانَ مِنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو، فَإِنِّي كُنْتُ أَعِي بِقَلْبِي وَكَانَ يَعِي بِقَلْبِهِ، وَيَكْتُبُ بِيَدِهِ؛ اسْتَأْذَنَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي ذَلِكَ "فَأَذِنَ لَهُ
“Tidak ada seorang pun yang lebih kuat menghafaz hadis Rasulullah ﷺ berbanding aku, kecuali ‘Abdullah bin ‘Amr. Sesungguhnya aku mengingatinya dengan hatiku, dan dia juga mengingatinya dengan hatinya, namun dia turut menulisnya dengan tangannya. Dia telah meminta izin daripada Nabi ﷺ untuk berbuat demikian, lalu Baginda mengizinkannya.”[18]
Al-Imam Al-Syafi‘i رحمه الله menyatakan:
أنَّ أبا هريرة أحفظ من روى عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم؛ حيث روى عنه نحو ثمانمائة رجلٍ أو أكثر من أصحاب النبيِّ صلى الله عليه وسلم
bahawa Abu Hurairah ialah orang yang paling kuat hafalannya dalam kalangan mereka yang meriwayatkan hadis daripada Nabi ﷺ. Kira-kira lapan ratus orang atau lebih daripada kalangan para sahabat Nabi ﷺ telah meriwayatkan hadis daripadanya.[19]
Beliau juga merupakan antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 5,374 hadis. Ada juga yang mengatakan bahawa jumlah asalnya ialah 5,364 hadis.[20]
Ibadah Abu Hurairah
Abu Hurairah رضي الله عنه merupakan salah seorang ahli ibadah dalam kalangan para sahabat. Beliau banyak mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan menghidupkan malam dengan ibadah. Beliau berkata mengenai dirinya:
إِنِّي لَأُجَزِّئُ اللَّيْلَ ثَلَاثَةَ أَجْزَاءٍ: فَثُلُثٌ أَنَامُ، وَثُلُثٌ أَقُومُ، وَثُلُثٌ أَتَذَكَّرُ أَحَادِيثَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمَ
“Sesungguhnya aku membahagikan malam kepada tiga bahagian: sepertiga untuk aku tidur, sepertiga untuk aku mendirikan solat malam dan sepertiga lagi untuk aku mengingati serta mengulang kaji hadis-hadis Rasulullah ﷺ.”[21]
Diriwayatkan juga:
وكان أبو هريرة يُصلِّي ثلث الليل وامرأته ثلثًا وابنته ثلثًا
Abu Hurairah mengerjakan solat pada satu pertiga malam, isterinya mengerjakan solat pada satu pertiga dan anak perempuannya pula pada satu pertiga yang lain.[22]
Abu ‘Uthman berkata:
تضيَّفْتُ أبا هريرة سبعًا فكان هو وامرأته وخادمه يَعْتَقِبُون الليل أثلاثًا؛ يُصلِّي هذا ثم يُوقِظ هذا
“Aku pernah menjadi tetamu Abu Hurairah selama tujuh hari. Beliau, isterinya dan pembantunya bergilir-gilir menghidupkan malam dalam tiga bahagian. Seorang daripada mereka mengerjakan solat, kemudian membangunkan yang lain.”[23]
Abu Hurairah juga berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Beliau berkata:
إنَّهما يومان تُرْفَع فيهما الأعمال
“Kedua-duanya ialah hari amalan-amalan diangkat.”[24]
Beliau bertasbih sebanyak dua belas ribu kali pada setiap hari dan berkata:
أُسَبِّحُ بقدر ذنبي
“Aku bertasbih sebanyak kadar dosaku.”[25]
Sifat rendah diri Abu Hurairah
Abu Hurairah رضي الله عنه merupakan seorang yang sangat merendah diri. Tha‘labah bin Abi Malik al-Qurazi (ثعلبة بن أبي مالك القرظي) meriwayatkan bahawa Abu Hurairah datang ke pasar sambil memikul seberkas kayu api. Pada ketika itu, beliau menjadi pemangku Marwan. Beliau berkata:
أَوْسِع الطريق للأمير يا ابن أبي مالك، فقلت: أصلحك الله، يكفي هذا. قال: وسع الطريق للأمير يا ابن أبي مالك، والحزمة عليه
“Berikan laluan kepada pemimpin, wahai Ibn Abi Malik.” Aku berkata: “Semoga Allah memperbaikimu. Laluan yang ada ini sudah mencukupi.” Namun beliau berkata lagi: “Berikan laluan kepada pemimpin, wahai Ibn Abi Malik.” Sedangkan berkas kayu api masih berada di atas bahunya.”
Sifat warak dan takut Abu Hurairah
Abu Hurairah رضي الله عنه merupakan antara manusia yang paling kuat sifat waraknya. Abu al-Mutawakkil (أبي المتوكل) meriwayatkan:
أنَّ أبا هريرة كانت له زنجيَّةٌ فرفع عليها السوط يومًا، فقال: "لولا القصاص لأغشيتك به، ولكنِّي سأبيعك ممَّن يوفيني ثمنك، اذهبي فأنتِ لله
Bahawa Abu Hurairah mempunyai seorang hamba wanita berkulit hitam. Pada suatu hari, beliau mengangkat cemeti terhadap hamba tersebut, lalu berkata: “Kalaulah bukan kerana adanya hukum kisas, nescaya aku akan memukulmu dengan cemeti ini. Namun, aku akan menjualmu kepada orang yang membayar hargamu dengan sempurna kepadaku. Pergilah, sesungguhnya engkau sekarang dibebaskan kerana Allah.”[26]
Beberapa peristiwa Abu Hurairah bersama Rasulullah ﷺ
Antara peristiwa tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan ulama lain daripada Abu Hurairah رضي الله عنه:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقِيَهُ فِي بَعْضِ طَرِيقِ الْمَدِينَةِ وَهُوَ جُنُبٌ، فقال أبو هريرة رضي الله عنه: فَانْخَنَسْتُ مِنْهُ فَذَهَبَ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ: أَيْنَ كُنْتَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ: كُنْتُ جُنُبًا فَكَرِهْتُ أَنْ أُجَالِسَكَ وَأَنَا عَلَى غَيْرِ طَهَارَةٍ، فَقَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ إِنَّ الْمُسْلِمَ لَا يَنْجُسُ
“Sesungguhnya Nabi ﷺ pernah bertemu dengan beliau di salah satu jalan di Madinah ketika beliau dalam keadaan berjunub.” Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: “Aku pun menyelinap pergi daripada Baginda, lalu aku pergi mandi. Kemudian aku datang kembali. Baginda bertanya: ‘Di manakah engkau tadi, wahai Abu Hurairah?’ Aku menjawab: ‘Aku berada dalam keadaan berjunub. Oleh itu, aku tidak suka duduk bersamamu dalam keadaan tidak suci.’ Baginda bersabda: ‘Maha Suci Allah! Sesungguhnya seorang Muslim itu tidak najis.”[27]
Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa beliau berkata:
قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَقَدْ ظَنَنْتُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ أَنْ لَا يَسْأَلُنِي عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ أَحَدٌ أَوَّلُ مِنْكَ لِمَا رَأَيْتُ مِنْ حِرْصِكَ عَلَى الْحَدِيثِ، أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ
Rasulullah ﷺ ditanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berbahagia mendapat syafaatmu pada hari kiamat?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Sesungguhnya aku telah menjangka, wahai Abu Hurairah, bahawa tiada seorang pun yang akan bertanyakan hadis ini kepadaku lebih dahulu daripada engkau, kerana aku melihat kesungguhanmu terhadap hadis. Manusia yang paling berbahagia mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang mengucapkan: ‘Tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah,’ dengan penuh keikhlasan daripada hati atau jiwanya.”[28]
Abu Hurairah رضي الله عنه juga pernah berkata:
أَاللَّهِ الَّذِى لا إِلَهَ إِلا هُوَ، إِنْ كُنْتُ لأعْتَمِدُ بِكَبِدِى عَلَى الأرْضِ مِنَ الْجُوعِ، وَإِنْ كُنْتُ لأشُدُّ الْحَجَرَ عَلَى بَطْنِى مِنَ الْجُوعِ، وَلَقَدْ قَعَدْتُ يَوْمًا عَلَى طَرِيقِهِمِ الَّذِى يَخْرُجُونَ مِنْهُ، فَمَرَّ أَبُو بَكْرٍ فَسَأَلْتُهُ عَنْ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَا سَأَلْتُهُ إِلا لِيُشْبِعَنِى، فَمَرَّ وَلَمْ يَفْعَلْ، ثُمَّ مَرَّ بِى عُمَرُ فَسَأَلْتُهُ عَنْ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَا سَأَلْتُهُ إِلا لِيُشْبِعَنِى، فَمَرَّ فَلَمْ يَفْعَلْ، ثُمَّ مَرَّ بِى أَبُو الْقَاسِمِ (ﷺ) فَتَبَسَّمَ حِينَ رَآنِى، وَعَرَفَ مَا فِى نَفْسِى، وَمَا فِي وَجْهِي، ثُمَّ قَالَ: يَا أَبَا هِرٍّ، قُلْتُ: لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: الْحَقْ وَمَضَى، فَتَبِعْتُهُ فَدَخَلَ، فَاسْتَأْذَنَ فَأَذِنَ لِى، فَدَخَلَ، فَوَجَدَ لَبَنًا فِى قَدَحٍ، فَقَالَ: مِنْ أَيْنَ هَذَا اللَّبَنُ؟ قَالُوا: أَهْدَاهُ لَكَ فُلانٌ أَوْ فُلانَةُ، قَالَ: أَبَا هِرٍّ، قُلْتُ: لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ الْحَقْ إِلَى أَهْلِ الصُّفَّةِ، فَادْعُهُمْ لِى، قَالَ: وَأَهْلُ الصُّفَّةِ أَضْيَافُ الإسْلامِ، لا يَأْوُونَ إِلَى أَهْلٍ وَلا مَالٍ وَلا عَلَى أَحَدٍ، إِذَا أَتَتْهُ صَدَقَةٌ بَعَثَ بِهَا إِلَيْهِمْ، وَلَمْ يَتَنَاوَلْ مِنْهَا شَيْئًا، وَإِذَا أَتَتْهُ هَدِيَّةٌ أَرْسَلَ إِلَيْهِمْ، وَأَصَابَ مِنْهَا، وَأَشْرَكَهُمْ فِيهَا فَسَاءَنِى ذَلِكَ، فَقُلْتُ: وَمَا هَذَا اللَّبَنُ فِى أَهْلِ الصُّفَّةِ، كُنْتُ أَحَقُّ أَنَا أَنْ أُصِيبَ مِنْ هَذَا اللَّبَنِ شَرْبَةً أَتَقَوَّى بِهَا، فَإِذَا جَاءَ، أَمَرَنِى فَكُنْتُ أَنَا أُعْطِيهِمْ، وَمَا عَسَى أَنْ يَبْلُغَنِى مِنْ هَذَا اللَّبَنِ، وَلَمْ يَكُنْ مِنْ طَاعَةِ اللَّهِ وَطَاعَةِ رَسُولِهِ (ﷺ) بُدٌّ، فَأَتَيْتُهُمْ، فَدَعَوْتُهُمْ، فَأَقْبَلُوا، فَاسْتَأْذَنُوا، فَأَذِنَ لَهُمْ، وَأَخَذُوا مَجَالِسَهُمْ مِنَ الْبَيْتِ، قَالَ: يَا أَبَا هِرٍّ، قُلْتُ: لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: خُذْ فَأَعْطِهِمْ، قَالَ: فَأَخَذْتُ الْقَدَحَ، فَجَعَلْتُ أُعْطِيهِ الرَّجُلَ، فَيَشْرَبُ حَتَّى يَرْوَى، ثُمَّ يَرُدُّ عَلَىَّ الْقَدَحَ، فَأُعْطِيهِ الرَّجُلَ، فَيَشْرَبُ حَتَّى يَرْوَى ثُمَّ، يَرُدُّ عَلَىَّ الْقَدَحَ، فَيَشْرَبُ حَتَّى يَرْوَى، ثُمَّ يَرُدُّ عَلَىَّ الْقَدَحَ، حَتَّى انْتَهَيْتُ إِلَى النَّبِىِّ (ﷺ)، وَقَدْ رَوِىَ الْقَوْمُ كُلُّهُمْ، فَأَخَذَ الْقَدَحَ، فَوَضَعَهُ عَلَى يَدِهِ، فَنَظَرَ إِلَىَّ فَتَبَسَّمَ، فَقَالَ: أَبَا هِرٍّ، قُلْتُ: لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: بَقِيتُ أَنَا وَأَنْتَ، قُلْتُ: صَدَقْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ، اقْعُدْ فَاشْرَبْ، فَقَعَدْتُ فَشَرِبْتُ، فَقَالَ: اشْرَبْ فَشَرِبْتُ، فَمَا زَالَ يَقُولُ: اشْرَبْ حَتَّى قُلْتُ: لا، وَالَّذِى بَعَثَكَ بِالْحَقِّ، مَا أَجِدُ لَهُ مَسْلَكًا، قَالَ: فَأَرِنِى، فَأَعْطَيْتُهُ الْقَدَحَ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَسَمَّى، وَشَرِبَ الْفَضْلَةَ
“Demi Allah yang tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Dia! Sesungguhnya aku pernah menekan perutku ke tanah kerana kelaparan. Aku juga pernah mengikat batu pada perutku kerana kelaparan. Pada suatu hari, aku duduk di jalan yang biasa dilalui oleh mereka ketika keluar. Abu Bakar lalu di hadapanku, lalu aku bertanya kepadanya tentang satu ayat daripada Kitab Allah. Aku tidak bertanya kepadanya melainkan supaya dia mengenyangkan aku. Namun, dia terus berlalu dan tidak berbuat demikian. Kemudian ‘Umar pula lalu di hadapanku. Aku bertanya kepadanya tentang satu ayat daripada Kitab Allah. Aku tidak bertanya kepadanya melainkan supaya dia mengenyangkan aku. Namun, dia terus berlalu dan tidak berbuat demikian. Kemudian Abu al-Qasim ﷺ lalu di hadapanku. Baginda tersenyum ketika melihatku dan mengetahui apa yang terkandung dalam jiwaku serta apa yang tergambar pada wajahku. Baginda bersabda: ‘Wahai Abu Hirr!’ Aku menjawab: ‘Aku menyahut seruanmu, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Ikutlah aku.’ Baginda pun meneruskan perjalanan, lalu aku mengikutinya. Baginda masuk ke rumah dan meminta izin untuk aku masuk, lalu aku pun diizinkan masuk. Baginda mendapati susu di dalam sebuah bekas, lalu bertanya: ‘Dari manakah datangnya susu ini?’ Mereka menjawab: ‘Susu ini dihadiahkan kepadamu oleh si polan lelaki atau si polan perempuan.’ Baginda berkata: ‘Wahai Abu Hirr!’ Aku menjawab: ‘Aku menyahut seruanmu, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Pergilah kepada Ahl al-Suffah dan panggillah mereka datang menemuiku.’ Abu Hurairah berkata: Ahl al-Suffah ialah tetamu-tetamu Islam. Mereka tidak memiliki keluarga, harta dan tidak pula bergantung kepada sesiapa. Apabila sedekah diberikan kepada Baginda, Baginda akan mengirimkannya kepada mereka dan tidak mengambil sedikit pun daripadanya. Apabila hadiah diberikan kepada Baginda, Baginda akan menghantarkannya kepada mereka, mengambil sebahagian daripadanya dan berkongsi hadiah tersebut bersama mereka. Perintah Baginda itu mendukacitakanku. Aku berkata dalam hati: ‘Apalah ertinya susu yang sedikit ini untuk seluruh Ahl al-Suffah? Sepatutnya akulah yang lebih berhak meminum susu ini untuk menguatkan tubuhku. Apabila mereka datang, Baginda pasti akan memerintahkanku menghidangkannya kepada mereka. Lalu, apakah mungkin masih ada bahagian susu ini yang akan sampai kepadaku?’ Namun, tidak ada pilihan selain mentaati Allah dan mentaati Rasul-Nya ﷺ. Aku pun pergi menemui mereka dan memanggil mereka. Mereka datang, meminta izin, lalu diizinkan masuk. Mereka mengambil tempat masing-masing di dalam rumah. Baginda bersabda: ‘Wahai Abu Hirr!’ Aku menjawab: ‘Aku menyahut seruanmu, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Ambillah bekas ini dan berikanlah susu itu kepada mereka.’ Aku pun mengambil bekas tersebut dan memberikannya kepada seorang demi seorang. Setiap orang meminumnya sehingga kenyang, kemudian mengembalikan bekas itu kepadaku. Aku memberikannya pula kepada orang lain, lalu dia meminumnya sehingga kenyang dan mengembalikannya kepadaku. Demikianlah seterusnya sehingga aku sampai kepada Nabi ﷺ, setelah semua orang kenyang. Baginda mengambil bekas itu dan meletakkannya di atas tangannya. Kemudian Baginda memandangku sambil tersenyum lalu bersabda: ‘Wahai Abu Hirr!’ Aku menjawab: ‘Aku menyahut seruanmu, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Tinggal aku dan engkau sahaja.’ Aku menjawab: ‘Benar, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Duduklah dan minumlah.’ Aku pun duduk lalu minum. Baginda bersabda lagi: ‘Minumlah.’ Aku pun minum. Baginda terus menyuruhku minum sehingga aku berkata: ‘Demi Tuhan yang mengutusmu dengan membawa kebenaran, aku tidak menemukan lagi ruang untuk susu ini.’ Baginda bersabda: ‘Tunjukkanlah bekas itu kepadaku.’ Aku pun menyerahkan bekas tersebut kepada Baginda. Baginda memuji Allah, membaca nama Allah, kemudian meminum susu yang berbaki.”[29]
Beberapa peristiwa Abu Hurairah bersama para sahabat: Bersama ‘Umar bin al-Khattab
Abu Hurairah رضي الله عنه berkata:
قال لي عمر رضي الله عنه: يا عدوَّ الله وعدوَّ الإسلام خنت مال الله، قال: قلت: لستُ عدوَّ الله ولا عدوَّ الإسلام، ولكنِّي عدوُّ من عاداهما، ولم أخنْ مال الله ولكنَّها أثمان إبلي وسهامٌ اجتمعت، قال: فأعادها عليَّ، وأعدتُ عليه هذا الكلام. قال: فغرمني اثني عشر ألفا، قال: فقمت في صلاة الغداة فقلت: اللهمَّ اغفرْ لأمير المؤمنين. فلمَّا كان بعد ذلك أرادني على العمل فأبيت عليه، فقال: وَلِمَ وقد سأل يوسف العمل وكان خيرًا منك؟ فقلت: إنَّ يوسف نبيٌّ ابن نبي ابن نبي ابن نبي، وأنا ابن أميمة، وأنا أخاف ثلاثًا واثنتين، قال: أو لا تقول خمسًا؟ قلت: لا. قال: فما هنَّ؟ قلت: أخاف أن أقول بغير علم، وأن أفتي بغير علم، وأن يُضْرب ظهري، وأن يُشتم عِرْضي، وأن يُؤخذ مالي بالضرب
‘Umar رضي الله عنه pernah berkata kepadaku: “Wahai musuh Allah dan musuh Islam! Engkau telah mengkhianati harta Allah.” Aku menjawab: “Aku bukan musuh Allah dan bukan juga musuh Islam. Sebaliknya, aku ialah musuh kepada sesiapa yang memusuhi kedua-duanya. Aku tidak mengkhianati harta Allah. Harta itu ialah hasil jualan unta-untaku dan bahagian-bahagian yang terkumpul untukku.” Beliau mengulangi tuduhannya, lalu aku kembali memberikan jawapan yang sama. Kemudian beliau mengenakan kepadaku bayaran sebanyak dua belas ribu. Aku pun berdiri dalam solat Subuh lalu berdoa: “Ya Allah, ampunilah Amirul Mukminin.” Selepas peristiwa itu, ‘Umar mahu melantikku untuk menjalankan suatu tugas, tetapi aku menolaknya. Beliau bertanya: “Mengapakah engkau menolak, sedangkan Yusuf pernah meminta jawatan, padahal dia lebih baik daripada engkau?” Aku menjawab: “Sesungguhnya Yusuf ialah seorang nabi, anak kepada seorang nabi, cucu kepada seorang nabi dan cicit kepada seorang nabi. Sedangkan aku hanyalah anak Umaimah. Sesungguhnya aku takut terhadap tiga perkara dan dua perkara.” Beliau bertanya: “Mengapa tidak engkau katakan sahaja lima perkara?” Aku menjawab: “Tidak.” Beliau bertanya: “Apakah perkara-perkara tersebut?” Aku menjawab: “Aku takut berkata tanpa ilmu, memberikan fatwa tanpa ilmu, belakangku dipukul, maruahku dicela dan hartaku dirampas melalui kekerasan.”[30]
Bersama ‘Uthman bin ‘Affan
Sa‘id al-Maqburi (سعيد المقبري) meriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa beliau berkata:
كنتُ محصورًا في الدار مع عثمان فرموا رجلًا منَّا فقتلوه، فقلت: يا أمير المؤمنين طاب الضراب، قتلوا منَّا رجلًا، فقال: عزمت عليك يا أبا هريرة لما رميت سيفك؛ فإنَّما يُراد نفسي وسأقي المؤمنين بنفسي، قال أبو هريرة: فرميت سيفي فما أدري أين هو حتى الساعة
“Aku berada di dalam rumah bersama ‘Uthman ketika beliau dikepung. Mereka melempar (memanah) salah seorang daripada kami lalu membunuhnya. Aku berkata: ‘Wahai Amirul Mukminin, kini peperangan telah menjadi wajar. Mereka telah membunuh salah seorang daripada kita.’ ‘Uthman berkata: ‘Aku bersungguh-sungguh meminta kepadamu, wahai Abu Hurairah, agar engkau melemparkan pedangmu. Sesungguhnya hanya diriku yang mereka kehendaki. Aku akan melindungi orang-orang beriman dengan mengorbankan diriku sendiri.’ Abu Hurairah berkata: ‘Aku pun melemparkan pedangku. Sehingga saat ini, aku tidak mengetahui di mana pedang itu berada.”[31]
Beberapa peristiwa Abu Hurairah bersama golongan tabiin
Sa‘id bin Marjanah (سعيد بن مرجانة) berkata:
سمعتُ أبا هريرة يقول: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً مُؤْمِنَةً أَعْتَقَ اللهُ بِكُلِّ إِرْبٍ مِنْهَا إِرْبًا مِنْهُ مِنَ النَّارِ، حَتَّى إِنَّهُ لَيَعْتِقُ بِالْيَدِ الْيَدَ، وَبِالرِّجْلِ الرِّجْلَ، وَبِالْفَرْجِ الْفَرْجَ
Aku mendengar Abu Hurairah رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba yang beriman, Allah akan membebaskan setiap anggota tubuhnya daripada api neraka sebagai balasan bagi setiap anggota tubuh hamba tersebut, sehingga tangan dibebaskan sebagai balasan bagi tangan, kaki sebagai balasan bagi kaki dan kemaluan sebagai balasan bagi kemaluan.”[32]
Dakwah dan pengajaran Abu Hurairah
Abu Hurairah رضي الله عنه memberikan pengaruh yang besar terhadap semua orang di sekelilingnya melalui khazanah agung yang dibawanya, iaitu hadis-hadis Nabi ﷺ. Beliau telah memberikan jasa yang amat besar kepada umat ini dengan meriwayatkan sejumlah besar hadis Nabi ﷺ. Antaranya, beliau pernah melalui pasar Madinah, lalu berhenti dan berkata:
يا أهل السوق، ما أعجزكم! قالوا: وما ذاك يا أبا هريرة؟ قال: ذاك ميراث رسول الله يقسَّم، وأنتم ها هنا لا تذهبون فتأخذون نصيبكم منه. قالوا: وأين هو؟ قال: في المسجد. فخرجوا سراعًا إلى المسجد، ووقف أبو هريرة لهم حتى رجعوا، فقال لهم: ما لكم؟ قالوا: يا أبا هريرة، فقد أتينا المسجد فدخلنا فلم نرَ فيه شيئًا يُقسَّم. فقال لهم أبو هريرة: أَمَا رأيتم في المسجد أحدًا؟ قالوا: بلى، رأينا قومًا يُصلُّون، وقومًا يقرءون القرآن، وقومًا يتذاكرون الحلال والحرام. فقال لهم أبو هريرة: ويحكم! فذاك ميراث محمد
“Wahai para penghuni pasar, alangkah lemahnya kalian!” Mereka bertanya: “Apakah yang engkau maksudkan, wahai Abu Hurairah?” Beliau menjawab: “Pusaka Rasulullah ﷺ sedang dibahagikan, sedangkan kalian masih berada di sini. Mengapakah kalian tidak pergi untuk mengambil bahagian kalian daripadanya?” Mereka bertanya: “Di manakah pusaka itu?” Beliau menjawab: “Di masjid.” Mereka pun segera keluar menuju masjid. Abu Hurairah menunggu mereka sehingga mereka kembali. Beliau bertanya: “Apakah yang berlaku kepada kalian?” Mereka menjawab: “Wahai Abu Hurairah, kami telah pergi ke masjid dan masuk ke dalamnya, tetapi kami tidak melihat sesuatu pun sedang dibahagikan.” Abu Hurairah bertanya: “Tidakkah kalian melihat sesiapa pun di dalam masjid?” Mereka menjawab: “Ya, kami melihat sebahagian orang sedang menunaikan solat, sebahagian lagi membaca al-Quran dan sebahagian yang lain saling mempelajari hukum halal dan haram.” Abu Hurairah berkata: “Celakalah kalian! Itulah pusaka Nabi Muhammad ﷺ.”[33]
Kewafatan Abu Hurairah
Abu Salamah berkata:
عُدْتُ أبا هريرة فسندته إلى صدري، ثم قلت: اللهمَّ اشفِ أبا هريرة، فقال: «اللَّهُمَّ لَا تُرْجِعْهَا» ، ثُمَّ قال: «إِنِ اسْتَطَعْتَ يَا أَبَا سَلَمَةَ أَنْ تَمُوتَ فَمُتْ»، فقلت: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ إِنَّا لَنُحِبُّ الْحَيَاةَ، فَقَالَ: «وَالَّذِي نَفْسُ أَبِي هُرَيْرَةَ بِيَدِهِ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى الْعُلَمَاءِ زَمَانٌ الْمَوْتُ أَحَبُّ إِلَى أَحَدِهِمْ مِنَ الذَّهَبِ الْأَحْمَرِ، لَيَأْتِيَنَّ أَحَدُكُمْ قَبْرَ أَخِيهِ فَيَقُولُ: لَيْتَنِي مَكَانَهُ
“Aku menziarahi Abu Hurairah ketika beliau sakit, lalu aku menyandarkannya ke dadaku. Kemudian aku berdoa: ‘Ya Allah, sembuhkanlah Abu Hurairah.’ Beliau berkata: ‘Ya Allah, janganlah Engkau mengembalikannya.’ Kemudian beliau berkata: ‘Jika engkau mampu untuk mati, wahai Abu Salamah, maka matilah.’ Aku berkata: ‘Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya kami mencintai kehidupan.’ Beliau berkata: ‘Demi Tuhan yang jiwa Abu Hurairah berada dalam kekuasaan-Nya! Benar-benar akan datang kepada para ulama suatu zaman ketika kematian lebih disukai oleh seseorang daripada mereka berbanding emas merah. Seseorang daripada kalian akan mendatangi kubur saudaranya lalu berkata: Alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempatnya.”[34]
‘Umair bin Hani’ (عمير بن هانئ) meriwayatkan bahawa Abu Hurairah pernah berkata:
تشبَّثوا بصدغي معاوية، اللهمَّ لا تُدركني سنة ستِّين،
“Berpeganglah erat pada kedua-dua sisi kepala Mu‘awiyah. Ya Allah, janganlah Engkau menemukan aku dengan tahun keenam puluh.”[35]
Perawi berkata:
فتُوفِّي فيها أبو هريرة أو قبلها بسنة
“Abu Hurairah meninggal dunia pada tahun tersebut atau setahun sebelumnya.”[36]
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa ketika kematian menghampirinya, beliau berkata:
لَا تَضْرِبُوا عَلَيَّ فُسْطَاطًا، وَلَا تَتْبَعُونِي بِمِجْمَرٍ، وَأَسْرِعُوا بِي
“Janganlah kalian dirikan khemah di atasku, janganlah kalian mengiringi jenazahku dengan bekas bara api dan segerakanlah membawa jenazahku.”[37]
Abu Hurairah رضي الله عنه meninggal dunia pada tahun 57H menurut pendapat yang lebih kuat. Dikatakan juga bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 58H, 59H dan terdapat pendapat-pendapat lain.[38]
Ketika meninggal dunia, beliau berusia 78 tahun.[39]
[1] Ibn Manjuyah (ابن مَنْجُوَيْه), Rijāl Ṣaḥīḥ Muslim, tahkik: ‘Abdullah al-Laithi, Dār al-Ma‘rifah, Beirut, cetakan pertama, 1407H, jil. 2, hlm. 403; dan Ibn al-Athir, Usud al-Ghābah, tahkik: ‘Ali Muhammad Mu‘awwad dan ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M, jil. 6, hlm. 313.
[2] Dikatakan juga bahawa nama dan salasilah beliau ialah Ibn ‘Amir bin ‘Abd Dhi al-Syara bin Zarif bin ‘Attab bin Abi Sa‘b bin Munabbih bin Sa‘d bin Tha‘labah bin Sulaim bin Fahm bin Ghanm bin Daws bin ‘Adnan bin ‘Abdullah bin Zahran bin Ka‘b al-Dawsi (ابن عامر بن عبد ذي الشرى بن ظريف بن عتاب بن أبي صعب بن منبه بن سعد بن ثعلبة بن سليم بن فهم بن غنم بن دوس بن عدنان بن عبد اللَّه بن زهران بن كعب الدوسيِّ). Demikianlah nama dan salasilah yang dinyatakan oleh Ibn al-Kalbi. Lihat Ibn Hajar, Al-Iṣābah fī Tamyīz al-Ṣaḥābah, tahkik: ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud dan ‘Ali Muhammad Mu‘awwad, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cetakan pertama, 1415H, jil. 7, hlm. 348–349.
[3] Ibn Manjuyah, Rijāl Ṣaḥīḥ Muslim, jil. 2, hlm. 403.
[4] Ibn Hajar, Al-Iṣābah fī Tamyīz al-Ṣaḥābah, jil. 4, hlm. 267.
[5] Ibn al-Athir, Usud al-Ghābah, jil. 6, hlm. 313.
[6] Ibn Hajar, Al-Iṣābah fī Tamyīz al-Ṣaḥābah, jil. 4, hlm. 267.
[7] Ibn Ishaq, Sīrah Ibn Isḥāq (al-Siyar wa al-Maghāzī), tahkik: Suhail Zakkar, Dār al-Fikr, Beirut, cetakan pertama, 1398H/1978M, hlm. 286.
[8] Al-Bukhari, Kitāb al-Isti’dhān, bab “Apabila seseorang dipanggil lalu dia datang, adakah dia perlu meminta izin?”, no. 5892.
[9] Al-Tabarani, Al-Mu‘jam al-Kabīr, tahkik: Hamdi bin ‘Abd al-Majid al-Salafi, Maktabah Ibn Taimiyyah, Kaherah, cetakan kedua, jil. 25, hlm. 40.
[10] العُقْبَةُ adalah النَّوْبَةُ bermaksud giliran, iaitu giliran menaiki tunggangan yang memberikan kerehatan kepada kaki daripada berjalan. Oleh itu, ungkapan: بِطَعَامِ بَطْنِي وَعُقْبَةِ رِجْلِي bermaksud: “Dengan upah berupa makanan yang mengenyangkan perutku dan giliran menaiki tunggangan untuk merehatkan kakiku.”
[11] isyarat kepada perkahwinannya dengan Busrah, wanita yang pernah menjadi majikannya dan yang pernah beliau berkhidmat kepadanya.
[12] Ibn Sa‘d, Al-Ṭabaqāt al-Kubrā, jil. 4, hlm. 243.
[13] Ibn ‘Asakir, Tārīkh Dimasyq, tahkik: ‘Amr bin Gharamah al-‘Amrawi, Dār al-Fikr li al-Ṭibā‘ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi‘, 1415H/1995M, jil. 67, hlm. 312.
[14] Ibn Sa‘d, Al-Ṭabaqāt al-Kubrā, jil. 1, hlm. 265.
[15] Ibn Manjuyah, Rijāl Ṣaḥīḥ Muslim, jil. 2, hlm. 403.
[16] Ibn Majah, Kitāb al-Zuhd, bab “Sifat warak dan takwa”, no. 4217. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat Ṣaḥīḥ al-Jāmi‘ al-Ṣaghīr wa Ziyādatuh, no. 7833.
[17] Muslim, Kitāb Faḍā’il al-Ṣaḥābah رضي الله تعالى عنهم, bab “Sebahagian daripada kelebihan Abu Hurairah al-Dawsi رضي الله عنه”, no. 2491; dan Ahmad, no. 8242.
[18] Al-Tahawi, Syarḥ Musykil al-Āthār, tahkik: Syu‘aib al-Arna’ut, Mu’assasah al-Risalah, cetakan pertama, 1415H/1994M, jil. 4, hlm. 355
[19] ‘Abd al-Qadir bin Muhammad bin Nasrullah al-Qurasyi, Al-Jawāhir al-Muḍiyyah fī Ṭabaqāt al-Ḥanafiyyah, Mir Muhammad Kutub Khanah, Karachi, jil. 2, hlm. 412.
[20] Ibn Hazm, Jawāmi‘ al-Sīrah, tahkik: Ihsan ‘Abbas, Dār al-Ma‘ārif, Mesir, cetakan pertama, 1900M, hlm. 275
[21] Al-Darimi, bab “Beramal dengan ilmu dan memperelok niat dalam mengamalkannya”, no. 272
[22] Ibn ‘Asakir, Tārīkh Dimasyq, jil. 67, hlm. 362.
[23] Al-Bukhari, Kitāb al-Aṭ‘imah, bab “Kurma segar dimakan bersama mentimun”, no. 5125; dan Ahmad, no. 8618
[24] Ibn ‘Asakir, Tārīkh Dimasyq, jil. 67, hlm. 363.
[25] Ibn al-Jauzi, Al-Muntaẓam fī Tārīkh al-Umam wa al-Mulūk, tahkik: Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata dan Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cetakan pertama, 1412H/1992M, jil. 5, hlm. 315; dan Syams al-Din al-Dhahabi, Tārīkh al-Islām wa Wafayāt al-Masyāhīr wa al-A‘lām, tahkik: Basysyar ‘Awwad Ma‘ruf, Dār al-Gharb al-Islami, cetakan pertama, 2003M, jil. 2, hlm. 560
[26] Ahmad bin Hanbal, Al-Zuhd, catatan kaki oleh Muhammad ‘Abd al-Salam Syahin, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, cetakan pertama, 1420H/1999M, hlm. 146.
[27] Al-Bukhari, Kitāb al-Ghusl, bab “Peluh orang yang berjunub dan bahawa seorang Muslim tidak menjadi najis”, no. 279; dan Muslim, Kitāb al-Ḥaiḍ, bab “Dalil bahawa seorang Muslim tidak menjadi najis”, no. 371
[28] Al-Bukhari, Kitāb al-Riqāq, bab “Gambaran syurga dan neraka”, no. 6201; al-Nasa’i, no. 5842; dan Ahmad, no. 8845.
[29] Al-Bukhari, Kitāb al-Riqāq, bab “Bagaimanakah kehidupan Nabi ﷺ dan para sahabat Baginda serta sikap mereka yang tidak bergantung kepada dunia”, no. 6087; dan Ahmad, no. 10690
[30] Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, no. 3327. Beliau berkata: “Hadis ini sahih dengan sanad yang memenuhi syarat al-Bukhari dan Muslim, tetapi mereka berdua tidak meriwayatkannya.” Al-Dhahabi mengulas dalam Al-Talkhīṣ: “Hadis ini memenuhi syarat al-Bukhari dan Muslim.”
[31] Musnad al-Harith, no. 977.
[32] Muslim, Kitāb al-‘Itq, bab “Kelebihan memerdekakan hamba”, no. 1509; al-Tirmizi, no. 1541; al-Nasa’i, no. 4874; dan Ahmad, no. 9431. Lafaz hadis ini berdasarkan riwayat Ahmad.
[33] Al-Tabarani dalam Al-Mu‘jam al-Awsaṭ, no. 1429.
[34] Al-Hakim, no. 8581. Beliau berkata: “Hadis ini sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim, tetapi mereka berdua tidak meriwayatkannya.” Al-Dhahabi mengulas dalam Al-Talkhīṣ: “Hadis ini memenuhi syarat al-Bukhari dan Muslim.”
[35] Ibn ‘Asakir, Tārīkh Dimasyq, jil. 67, hlm. 380
[36] Ibn ‘Asakir, Tārīkh Dimasyq, jil. 67, hlm. 385–386.
[37] Ahmad, no. 7901. Syu‘aib al-Arna’ut berkata: “Hadis ini sahih disebabkan sokongan riwayat lain, dan sanad ini hasan”; dan Abu Dawud al-Tayalisi, no. 2457.
[38] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Al-Iṣābah fī Tamyīz al-Ṣaḥābah, tahkik: ‘Adilābah*, tahkik: ‘Ad Ahmad ‘Abd al-Maujud dan ‘Ali Muhammad Mu‘awwad, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cetakan pertama, 1415H, jil. 7, hlm. 362.
[39] Ibn Sa‘d, Al-Ṭabaqāt al-Kubrā, jil. 4, hlm. 254.
