- PAHALA MEMBACA AL-QURAN
Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الۤمۤ حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
“Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Setiap satu kebaikan pula digandakan dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan bahawa Alif Lām Mīm itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lām satu huruf dan mīm satu huruf.” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tārīkh al-Kabīr (jil. 1, hlm. 216), al-Tirmizi (jil. 5, hlm. 175, no. 2910). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan, sahih dan gharib.” Ia turut diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Īmān (jil. 2, hlm. 342, no. 1983). Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Takhrīj al-Ṭaḥāwiyyah (no. 139) dan Misykāh al-Maṣābīḥ (no. 2137)
Huraian
Membaca al-Quran mempunyai pahala yang amat besar, kurniaan serta pelbagai keistimewaan daripada Allah dan manfaat yang agung. Antara kelebihannya ialah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi ﷺ dalam hadis ini tentang kurniaan Allah kepada orang yang membaca al-Quran.
Baginda ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya dengan bacaan itu...”
Maksudnya, Allah عز وجل memberikan pahala kepadanya atas bacaan al-Quran yang dilakukannya, iaitu bagi setiap huruf yang dibacanya:
“...satu kebaikan, dan setiap kebaikan digandakan sepuluh kali ganda.”
Maksudnya, pahala tersebut dilipatgandakan sehingga sepuluh kali ganda. Hal ini bertepatan dengan firman Allah Taala:
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
“Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya balasan sepuluh kali ganda daripadanya.” (Surah al-An‘am: 160)
Nabi ﷺ bersabda:
“Aku tidak mengatakan bahawa Alif Lām Mīm itu satu huruf.”
Perkataan “huruf” dalam hadis ini tidak dimaksudkan sebagai setiap perkataan dalam al-Quran. Hal ini kerana dalam penggunaan bahasa Arab, perkataan huruf kadangkala digunakan dengan maksud satu perkataan atau suatu rangkaian kata yang memberikan makna yang sempurna.
Baginda ﷺ seterusnya bersabda:
“Akan tetapi, alif satu huruf, lām satu huruf dan mīm satu huruf.”
Maksudnya, yang dikehendaki ialah huruf-huruf yang membentuk perkataan itu sendiri. Bagi bacaan setiap huruf dari sesuatu perkataan diberikan satu kebaikan yang akan dilipatgandakan. Bahkan ia akan dilipat gandakan lebih dari sepuluh, seperti yang dinyatakan oleh Al-‘Allamah al-Mubarakfuri dalam Tuḥfah al-Aḥwadhī bi Syarḥ Jāmi’ al-Tirmidhī 8/182:
وَهُوَ أَقَلُّ التَّضَاعُفِ الْمَوْعُودِ بِقَوْلِهِ تَعَالَى: {مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا} {وَاَللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ}
“(Sepuluh kali ganda itu) merupakan kadar gandaan paling minimum yang dijanjikan berdasarkan firman Allah Taala: ‘Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya balasan sepuluh kali ganda daripadanya.’ Dan firman-Nya: ‘Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang Dia kehendaki.”
