- PERBANYAKKAN DOA, RAIH LIMPAHAN KURNIA
Daripada ‘Ubadah bin al-Samit (عُبَادَة بْن الصَّامِتِ) رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا عَلَى الْأَرْضِ مُسْلِمٌ يَدْعُو اللَّهَ بِدَعْوَةٍ إِلَّا آتَاهُ اللَّهُ إِيَّاهَا أَوْ صَرَفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ: إِذًا نُكْثِرُ، قَالَ: اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seseorang Muslim di atas muka bumi ini berdoa kepada Allah dengan sesuatu doa, melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya apa yang dimintanya itu atau menghindarkan daripadanya keburukan yang sebanding dengan doanya, selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan hubungan silaturahim.” Lalu seorang lelaki daripada kalangan mereka berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa.” Baginda ﷺ menjawab: “Pemberian Allah lebih banyak.” (Riwayat al-Tirmizi (jil. 5, hlm. 566, no. 3573). Beliau berkata: “Hadis ini hasan, sahih dan gharib.” Hadis ini turut diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Ahmad dalam tambahan beliau terhadap al-Musnad (jil. 5, hlm. 329, no. 22837) dan al-Diya’ (jil. 8, hlm. 261, no. 316). Al-Diya’ berkata: “Sanadnya hasan.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsaṭ (jil. 1, hlm. 53, no. 147) dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Ṣaḥīḥ al-Jāmi‘ (no. 5636)
Dalam riwayat al-Tirmizi daripada Abu Hurairah رضي الله عنه Nabi ﷺ bersabda:
مَا مِن رَجُلٍ يَدعُو اللَّهَ بِدُعَاءٍ إلَّا اسْتُجِيْبَ لَهُ، فَإمَّا أَنْ يُعَجَّلَ لَهُ فِيْ الدُّنْيَا، وَإمَّا أَنْ يُدَّخَرَ لَهُ في الْآخِرَةِ، وَإمَّا أَنْ يُكَفَّرَ عَنْهُ مِنْ ذُنُوْبِهِ بِقَدْرِ مَا دَعَا، مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ أَوْ يَسْتَعْجِلْ . قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَسْتَعْجِلُ؟ قَالَ: يَقُوْلُ: دَعَوْتُ رَبِّيْ فَمَا اسْتَجَابَ لِيْ
“Tidaklah seseorang berdoa kepada Allah dengan sesuatu doa, melainkan doanya akan diperkenankan. Sama ada doanya itu disegerakan untuknya di dunia, disimpan untuknya di akhirat atau dihapuskan dosa-dosanya sekadar doanya itu, selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa, memutuskan hubungan silaturahim atau bersikap tergesa-gesa.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang itu dikatakan tergesa-gesa?” Baginda ﷺ menjawab: “Dia berkata: ‘Aku telah berdoa kepada Tuhanku, tetapi Dia tidak memperkenankan doaku.’” (Riwayat al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Syeikh al-Albani dalam Ṣaḥīḥ al-Tirmidhī, nombor hadis: 3604
kecuali lafaz: “Atau dihapuskan dosa-dosanya sekadar doanya itu.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim (no. 2735) dengan lafaz yang hampir sama (نحوه); al-Tirmizi (no. 3604) dan lafaz di atas berdasarkan riwayat beliau; serta Ahmad (no. 9148) secara ringkas)
Huraian
Doa ialah ibadah. Allah سبحانه وتعالى menyukai para hamba-Nya berdoa kepada-Nya. Sesiapa yang diberikan taufik untuk berdoa, janganlah dia tergesa-gesa mengharapkan kemakbulan. Sebaliknya, hendaklah dia meyakini Allah سبحانه وتعالى dan mengetahui bahawa Allah menghendaki kebaikan untuknya, sama ada dengan menyegerakan kemakbulan doa tersebut atau melewatkannya. Dalam hadis ini, Abu Hurairah رضي الله عنه berkata:
“Tidaklah seseorang berdoa kepada Allah dengan sesuatu doa,”
iaitu dia memohon dan meminta sesuatu daripada Allah,
“melainkan doanya akan diperkenankan,”
iaitu Allah akan mengurniakan kepadanya apa yang diminta dan dipohonkannya, melalui salah satu dari cara kemakbulan berikut;
“Sama ada Allah menyegerakan permintaannya untuknya,”
iaitu doanya diperkenankan dengan segera di dunia, atau dengan;
“menghindarkan daripadanya bala daripadanya,”
Atau;
“atau Allah menyimpannya untuknya,”
iaitu di akhirat dalam bentuk pahala, kelebihan, ganjaran dan kedudukan yang tinggi di dalam syurga;
“atau Allah menghapuskan dosa-dosanya sekadar doanya itu,”
iaitu Allah mengampunkan dosa dan maksiatnya sesuai dengan kadar doanya. Semua ini diperoleh selama seseorang itu:
“Dia tidak berdoa untuk melakukan dosa,”
iaitu doanya tidak mengandungi perkara maksiat atau kezaliman;
“atau memutuskan hubungan silaturahim,”
iaitu doanya mengandungi permintaan supaya hubungan dengan kaum kerabat terputus atau dia berdoa kepada Allah Taala untuk sesuatu yang menyebabkan terputusnya hubungan dengan ibu bapa dan kaum kerabatnya.
Memutuskan hubungan silaturahim sebenarnya termasuk dalam pengertian umum dosa yang disebutkan sebelumnya. Namun, perkara itu disebut secara khusus untuk memberikan perhatian terhadap besarnya dosa memutuskan hubungan silaturahim. Hal ini sebagaimana firman Allah Taala:
فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ، أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ
“Jika kamu berpaling, maka tidakkah mungkin kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dilaknat oleh Allah, lalu Dia memekakkan pendengaran mereka dan membutakan penglihatan mereka.”
(Surah Muhammad: 22–23)
Oleh itu, penyebutan memutuskan hubungan silaturahim merupakan pengkhususan selepas suatu pernyataan yang umum. Seseorang Muslim tidak sepatutnya berdoa dengan doa seperti ini kerana ia mengandungi perbuatan melampaui batas dalam berdoa yang dilarang oleh syarak. Ia juga mengandungi unsur memutuskan hubungan, saling membenci dan saling membelakangi yang turut ditegah dalam agama Islam.
Demikian juga doanya akan dimakbulkan selagi;
“Dan dia tidak bersikap tergesa-gesa.”
Para sahabat bertanya kepada Nabi ﷺ:
“Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang itu dikatakan tergesa-gesa (dalam doanya)?”
Nabi ﷺ menjawab:
“Dia berkata: ‘Aku telah berdoa kepada Tuhanku, tetapi Dia tidak memperkenankan doaku.’”
Maksudnya, dia berkata: “Aku telah memohon kepada Tuhanku sekali dan telah banyak kali berdoa kepada-Nya,” lalu dia merasakan bahawa kemakbulan doanya terlalu lambat. Dikatakan juga bahawa maksudnya ialah dia berasa jemu, lalu berhenti berdoa.
Hadis ini menerangkan kelebihan berdoa. Hadis ini juga menunjukkan bahawa kemakbulan doa tidak semestinya berupa pemberian perkara yang diminta. Ada kemungkinan doa itu menjadi sebab dosa seseorang dihapuskan atau ganjarannya disimpan untuknya di akhirat.
Al-‘Allamah al-Mubarakfuri berkata dalam Tuḥfat al-Aḥwadhī bi Syarḥ Jāmi‘ al-Tirmidhī 7/374:
"مِنْ السُّوءِ" أَيْ الْبَلَاءِ النَّازِلِ أَوْ غَيْرِهِ فِي أَمْرِ دِينِهِ أَوْ دُنْيَاهُ أَوْ بَدَنِهِ "مِثْلَهَا" أَيْ مِثْلَ تِلْكَ الدَّعْوَةِ كَمْيَّةً وَكَيْفِيَّةً إِنْ لَمْ يُقَدَّرْ لَهُ وُقُوعُهُ فِي الدُّنْيَا "اللَّهُ أَكْثَرُ" قَالَ الطِّيبِيُّ أَيْ اللَّهُ أَكْثَرُ إِجَابَةً مِنْ دُعَائِكُمْ وَقِيلَ: اللَّهُ أَكْثَرُ ثَوَابًا وَعَطَاءً مِمَّا فِي نُفُوسِكُمْ فَأَكْثِرُوا مَا شِئْتُمْ فَإِنَّهُ تَعَالَى يُقَابِلُ أَدْعِيَتَكُمْ بِمَا هُوَ أَكْثَرُ مِنْهَا وَأَجَلُّ.
“(sabda Nabi) “Daripada keburukan” bermaksud sesuatu bala yang menimpa atau keburukan lain yang berkaitan dengan urusan agama, dunia atau tubuh badannya. (sabda Nabi) “Yang sebanding dengannya” bermaksud sebanding dengan doa tersebut dari sudut kadar dan keadaannya, sekiranya apa yang dimohonkan itu tidak ditakdirkan berlaku untuknya di dunia. (Sabda Nabi) “Pemberian Allah lebih banyak.” Al-Tibi berkata: Maksudnya, penerimaan Allah terhadap doa-doa kalian lebih banyak daripada doa yang kalian panjatkan. Dikatakan juga bahawa maksudnya ialah pahala dan kurniaan Allah jauh lebih banyak dari apa yang terlintas dalam hati kalian. Oleh itu, perbanyakkanlah doa sebanyak mana yang kalian kehendaki. Sesungguhnya Allah Taala membalas doa-doa kalian dengan sesuatu yang lebih banyak dan lebih agung daripadanya.
