Merenung Sabdaan Nabi Junjungan SAW (6): Empat Zikir Pilihan, Ganjaran Berlipat Ganda

  1. EMPAT ZIKIR PILIHAN, GANJARAN BERLIPAT GANDA

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri (أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ) dan Abu Hurairah رضي الله عنهما bahawa Rasulullah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى مِنَ الْكَلَامِ أَرْبَعًا، سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، فَمَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ كُتِبَ لَهُ عِشْرُونَ حَسَنَةً وَحُطَّتْ عَنْهُ عِشْرُونَ سَيِّئَةً، وَمَنْ قَالَ اللَّهُ أَكْبَرُ مِثْلُ ذَلِكَ، وَمَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، مِثْلُ ذَلِكَ، وَمَنْ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ مِنْ قِبَلِ نَفْسِهِ، كُتِبَتْ لَهُ ثَلَاثُونَ حَسَنَةً وَحُطَّتْ عَنْهُ بِهَا ثَلَاثُونَ سَيِّئَةً

“Sesungguhnya Allah telah memilih empat ucapan daripada segala ucapan, iaitu: سُبْحَانَ اللَّهِ “Maha Suci Allah,” وَالْحَمْدُ لِلَّهِ “Segala puji bagi Allah,” وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ “Tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah,” وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Allah Maha Besar.” Sesiapa yang mengucapkan: “Maha Suci Allah,’ akan dituliskan untuknya dua puluh kebaikan dan dihapuskan daripadanya dua puluh keburukan. Sesiapa yang mengucapkan: “Allah Maha Besar,” akan memperoleh ganjaran yang sama. Sesiapa yang mengucapkan: “Tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah,” juga akan memperoleh ganjaran yang sama. Sesiapa yang mengucapkan dengan kehendak dirinya sendiri: “Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam,” akan dituliskan untuknya tiga puluh kebaikan dan dihapuskan daripadanya tiga puluh keburukan.” (Riwayat Ahmad (jil. 2, hlm. 310, no. 8079), Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawā’id (jil. 10, hlm. 87): “Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazzar, dan para perawi kedua-duanya ialah para perawi hadis sahih.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Hakim (jil. 1, hlm. 693, no. 1886). Beliau berkata: “Hadis ini sahih menurut syarat Muslim.” Ia turut diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah (jil. 6, hlm. 104, no. 29827) dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Ṣaḥīḥ al-Targhīb wa al-Tarhīb (jil. 2, hlm. 246)

Huraian

Allah تعالى menggalakkan para hamba-Nya supaya memperbanyakkan zikir kepada-Nya. Allah سبحانه وتعالى juga menerangkan kepada mereka ganjaran yang agung dan pahala yang besar bagi orang yang berzikir. Kelebihan zikir banyak disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Antara jenis zikir yang paling utama ialah zikir yang dipilih oleh Allah Taala, iaitu yang dipilih dan disukai-Nya untuk diri-Nya سبحانه وتعالى. Dalam hadis ini disebutkan sebahagian zikir yang dipilih oleh Allah Taala.

Nabi bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah memilih empat ucapan daripada segala ucapan.”

Empat ucapan tersebut ialah:

سُبْحَانَ اللَّهِ — Maha Suci Allah

Ucapan ini bermaksud menyucikan Allah Taala dari segala kekurangan dan kecacatan.

الْحَمْدُ لِلَّهِ — Segala puji bagi Allah

Segala pujian yang sempurna seluruhnya hanyalah milik Allah Taala. Ucapan ini mengandungi penetapan segala bentuk kesempurnaan bagi Allah. Dialah سبحانه وتعالى yang dipuji dalam setiap keadaan.

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ — Tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah

Inilah kalimah tauhid. Ia mengandungi penafian terhadap semua sembahan batil yang disembah selain Allah dan menetapkan bahawa pengabdian hanyalah kepada Allah Taala semata-mata.

اَللَّهُ أَكْبَرُ — Allah Maha Besar

Allah lebih besar daripada segala sesuatu yang dianggap besar. Tiada sesuatu pun yang terlalu besar bagi-Nya سبحانه وتعالى. Oleh sebab segala kelebihan dan kurniaan adalah milik Allah, berasal daripada-Nya dan bukan dari selain-Nya, maka tiada sesiapa pun yang lebih besar daripada-Nya.

Oleh sebab keempat-empat kalimah ini mengandungi makna-makna yang agung, maka ia layak dipilih oleh Allah Taala untuk diri-Nya dan menjadi ucapan yang paling dicintai-Nya. Bahkan terdapat riwayat yang menyatakan bahawa empat kalimah ini adalah al-bāqiyāt al-ṣāliḥāt (الباقياتُ الصَّالحاتُ), iaitu amal-amal soleh yang kekal ganjarannya. Oleh itu, pahalanya sangat besar. Sabda Nabi :

“Sesiapa yang mengucapkan: ‘Maha Suci Allah,’ akan dituliskan untuknya dua puluh kebaikan dan dihapuskan daripadanya dua puluh keburukan.”

Perkataan “dihapuskan” bermaksud keburukan tersebut disingkirkan dan dipadamkan daripadanya.

“Sesiapa yang mengucapkan: ‘Allah Maha Besar,’ maka dia mendapat ganjaran yang sama.”

Maksudnya, dituliskan untuknya dua puluh kebaikan dan dihapuskan daripadanya dua puluh keburukan.

“Sesiapa yang mengucapkan: ‘Tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah,’ maka dia juga mendapat ganjaran yang sama.” Sesiapa yang mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam,’ atas kehendak dirinya sendiri...”

Maksudnya, dia mengucapkannya atas dorongan dirinya sendiri, bukan kerana mendapat sesuatu nikmat yang baharu atau terselamat daripada sesuatu musibah. Ungkapan ini juga berkemungkinan bermaksud dia mengucapkannya tanpa didorong oleh sesiapa atau dibimbing oleh seseorang untuk mengucapkannya.

“...akan dituliskan untuknya tiga puluh kebaikan dan dihapuskan daripadanya tiga puluh keburukan.”

Tambahan sepuluh kebaikan itu adalah disebabkan penambahan sifat Allah sebagai Tuhan sekalian alam (رب العالمين), تبارك وتعالى.

Hadis ini menunjukkan bahawa Allah memilih untuk diri-Nya ucapan-ucapan yang dicintai-Nya. Hadis ini juga menunjukkan:

  • Pensyariatan berzikir kepada Allah dengan empat zikir tersebut.
  • Kelebihan zikir-zikir tersebut berbanding zikir yang lain.
  • Zikir menjadi sebab peningkatan darjat dan penghapusan keburukan.
  • Ucapan alhamdulillah lebih utama berbanding zikir-zikir yang lain.

 


Cetak  
Wallahu a'lam