Soalan:
Saya telah memberi pinjaman wang kepada seseorang. Walaupun dia mampu membayar, dia sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang tersebut. Oleh itu, saya telah memfailkan tuntutan di mahkamah untuk mendapatkan semula hutang saya. Dalam tuntutan itu, peguam turut memohon agar mahkamah memerintahkan penghutang membayar faedah ke atas jumlah penghakiman (judgment interest) atau faedah undang-undang, sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang di Malaysia. Apakah hukum saya menerima faedah tersebut sekiranya mahkamah memerintahkannya? Adakah saya hanya boleh mengambil jumlah hutang asal, atau boleh juga mengambil sebahagian daripada faedah tersebut bagi menampung kos sebenar yang telah saya keluarkan, seperti yuran guaman, fi mahkamah dan perbelanjaan lain untuk mendapatkan semula hutang saya?
Jawapan:
Haram ke atas seseorang penghutang yang mampu melunaskan hutangnya untuk sengaja melengah-lengahkan pembayaran. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ
"Penangguhan pembayaran oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman." (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga sabda Baginda SAW:
لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ، وَعُقُوبَتَهُ
"Penangguhan pembayaran oleh orang yang mampu membolehkan maruahnya diperkatakan dan dia dikenakan hukuman."[1] (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud (3/45, cetakan Izzat Ubaid al-Da'as) dan al-Hakim (4/102, cetakan Dā'irah al-Ma‘ārif al-'Uthmāniyyah). Al-Hakim menilai hadis ini sebagai sahih, dan penilaian tersebut dipersetujui oleh al-Dhahabi)
Imam Ibn al-Mubarak menjelaskan maksud hadis ini dengan katanya:
يُحِلُّ عِرْضَهُ: يُغَلَّظُ لَهُ. وَعُقُوبَتَهُ: يُحْبَسُ لَهُ
Sabda Nabi SAW: "Membolehkan maruahnya diperkatakan" bermaksud boleh ditegur atau dicela dengan kata-kata yang keras kerana perbuatannya. Manakala sabda Baginda: "Dikenakan hukuman" bermaksud dia boleh dipenjarakan sehingga melunaskan hutangnya.
Al-Imam al-Nawawi RH pula menjelaskan maksud sabda Nabi SAW ini dengan katanya:
قَالَ الْعُلَمَاءُ يُحِلُّ عِرْضَهُ بِأَنْ يَقُولَ ظَلَمَنِي وَمَطَلَنِي، وَعُقُوبَتُهُ الْحَبْسُ وَالتَّعْزِيرُ
"Kata ulama: “Menghalalkan maruahnya" ialah pemiutang dibenarkan berkata: "Dia telah menzalimi aku dan dia sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutangku." Adapun maksud "hukumannya" ialah dipenjarakan dan dikenakan hukuman takzir. (Lihat: al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 5/413)
Syariat Islam memberikan hak kepada pemiutang untuk menuntut hutangnya apabila telah sampai tempoh pembayarannya melalui cara-cara yang dibenarkan. Namun, dia tidak boleh mengambil apa-apa tambahan melebihi haknya yang sebenar. Oleh itu, walaupun perbuatan melengah-lengahkan pembayaran adalah haram, syariat tidak menghukumnya dengan mengenakan riba ke atas hutang tersebut.
Adapun faedah undang-undang yang diperoleh oleh seseorang akibat kelewatan pihak lain menjelaskan hutangnya, maka ia dibimbangi termasuk dalam faedah riba yang diharamkan bagi seorang Muslim menuntut atau mengambil manfaat daripadanya.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Jabir RA bahawa beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيهِ، وَقَالَ: هُمْ سَوَاءٌ
"Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi riba, penulisnya dan kedua-dua saksinya. Baginda bersabda: Mereka semuanya sama." (Riwayat Muslim)
Dinyatakan dalam Keputusan Majlis Fatwa Jordan Bil. 267 berhubung hukum menuntut faedah undang-undang:
الفائدة القانونية التي تفرضها بعض القوانين بسبب تأخر المدين في دفع مستحقاته تُعدُّ فائدة ربوية لا يحلُّ للمسلم المطالبة بها أو الانتفاع بها، وتسميتها بالتعويض لا يغير حقيقتها الربوية، كما أكد ذلك قرار مجمع الفقه الإسلامي الدولي رقم (2/ 6) حيث جاء فيه: "يحرم على المدين المليء أن يماطل في أداء ما حلّ من الأقساط، ومع ذلك لا يجوز شرعاً اشتراط التعويض في حالة التأخر عن الأداء".
"Faedah undang-undang yang dikenakan oleh sebahagian undang-undang disebabkan kelewatan penghutang menjelaskan tanggungannya adalah faedah riba. Tidak halal bagi seorang Muslim menuntut atau mengambil manfaat daripadanya. Penamaan faedah tersebut sebagai 'ganti rugi' tidak mengubah hakikatnya sebagai riba. Perkara ini turut ditegaskan dalam Keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami Antarabangsa Bil. (2/6) yang menyatakan: “Haram ke atas penghutang yang mampu untuk melengah-lengahkan pembayaran ansuran yang telah sampai tempohnya. Namun demikian, tidak boleh dari sudut syarak mensyaratkan pampasan kerana kelewatan pembayaran.”
Walau bagaimanapun, jika mahkamah telah pun memutuskan supaya faedah undang-undang itu dibayar, maka tidak menjadi kesalahan bagi pemiutang mengambil daripada jumlah tersebut sekadar menampung kos sebenar yang ditanggung, seperti:
- yuran guaman,
- kos mahkamah,
- dan perbelanjaan lain yang benar-benar diperlukan untuk menuntut semula hutangnya.
Hal ini diqiyaskan kepada kewajipan peminjam menanggung kos berkaitan pinjaman. Imam al-Dardir al-Maliki رحمه الله berkata:
مَن اقترض إردباً مثلاً؛ فأجرةُ كيله على المقترض، وإذا ردَّه؛ فأجرةُ كيله عليه بلا نزاع
"Sesiapa yang meminjam satu irdabb (sukatan bijirin) sebagai contoh, maka upah menyukatnya ketika menerima pinjaman ditanggung oleh peminjam. Apabila dia memulangkannya, upah menyukat ketika pemulangan juga ditanggung olehnya tanpa khilaf." (al-Syarh al-Kabir, 3/145)
Namun, kos-kos tersebut hendaklah benar-benar kos sebenar yang ditentukan berdasarkan penilaian pihak yang berkelayakan dan pakar, supaya tidak berlaku keterlaluan atau pembesaran jumlah kos.
Adapun baki faedah undang-undang yang melebihi kos sebenar tersebut, hendaklah dipulangkan kepada pemiliknya (iaitu penghutang), berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
"Dan jika kamu bertaubat, maka bagi kamu hanya modal asal harta kamu; kamu tidak menzalimi dan tidak pula dizalimi."
(Surah al-Baqarah: 279)
Kesimpulannya, tidak mengapa bagi seseorang yang telah diputuskan oleh mahkamah berhak menerima faedah undang-undang untuk mengambil daripada jumlah tersebut sekadar kos sebenar yang ditanggung bagi menuntut dan mendapatkan semula hutangnya. Adapun lebihan daripada kos sebenar itu hendaklah dipulangkan kepada penghutang.
[1] Al-Layy (اللَّيّ) bermaksud melengah-lengahkan pembayaran hutang (الْمَطْل), manakala al-wājid (الواجد) ialah orang yang berada atau mampu membayar hutangnya (الْمُوسِر). Rujukan: al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 5/413.
