SDI 2031: Kewajipan Nafkah Ibu Bapa ke atas Anak Lelaki dan Perempuan

Soalan:

Ibu kepada isteri saya ialah seorang balu yang menerima pencen. Isteri saya membantu ibunya dengan membayar ansuran pinjaman sebanyak RM575 setiap bulan. Sebelum berkahwin, ibu mertua saya bergantung kepada gaji anak perempuannya (isteri saya) untuk menampung perbelanjaan hidup. Namun, selepas berkahwin, isteri saya tidak lagi dapat memberikan bantuan kewangan bulanan seperti dahulu kerana mempunyai komitmen keluarga sendiri, dan hanya mampu meneruskan pembayaran ansuran bulanan pinjaman ibunya (RM575).

Disebabkan itu, ibu mertua saya melarang semua anak-anaknya dari menziarahi atau berhubung dengan kakak mereka (isteri saya), malah enggan berdamai melainkan isteri saya kembali memberikan bantuan kewangan seperti sebelumnya. Sedangkan isteri saya sendiri masih mempunyai pinjaman yang perlu dibayar. Adakah isteri saya dianggap derhaka kepada ibunya? Adakah dia berdosa kerana mengurangkan bantuan kewangan kepada ibunya?

 

Jawapan:

Fatwa asal: (https://aliftaa.jo/research-fatwas/3835/ نفقة-الوالدين-تقسم-بين-الأولاد-ذكوراً-وإناثاً) – Terjemahan binSahak.

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Islam amat menitikberatkan kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa, berbuat baik kepada mereka, membantu mereka sedaya mampu sama ada dengan tenaga mahupun harta, berbicara dengan penuh adab dan penghormatan, serta tidak menunjukkan rasa jemu atau marah terhadap mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka telah lanjut usia. Kedua-dua ibu bapa mempunyai hak yang lebih besar dari orang lain kerana jasa mereka membesarkan dan mendidik anak-anak sejak kecil.

Allah SWT berfirman:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka walaupun perkataan 'ah', dan janganlah engkau mengherdik mereka, sebaliknya ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang mulia." (Surah al-Isra': 23-24)

Adapun nafkah kepada ibu yang fakir dan memerlukan, maka kewajipan tersebut hendaklah dipikul bersama oleh semua anak, sama ada lelaki atau perempuan, mengikut kemampuan masing-masing. Dalam Undang-Undang Ahwal Syakhsiah Jordan, Perkara 197 berkaitan nafkah ibu bapa dinyatakan:

أ. يجب على الولد الموسر ذكراً كان أو أنثى كبيراً كان أو صغيراً نفقـة والديـه الفقيرين ولو كانا قادرين على الكسب"،

"Wajib ke atas anak yang berkemampuan, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dewasa atau masih kecil (melalui hartanya), menanggung nafkah kedua ibu bapanya yang fakir, sekalipun mereka berdua masih mampu bekerja."

Oleh itu, tidak boleh dibebankan kewajipan nafkah kepada hanya sebahagian anak sedangkan anak-anak yang lain juga mampu membantu. Sekiranya keperluan ibu telah pun mencukupi melalui nafkah yang diterimanya, maka dia tidak boleh memaksa anak perempuannya menanggung perbelanjaan yang melebihi keperluan tersebut.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, ibu tidak boleh memutuskan hubungan dengan anak perempuannya atau mengarahkan anak-anak yang lain berbuat demikian, kerana perbuatan itu termasuk dalam memutuskan silaturahim, sedangkan ia diharamkan.

Allah SWT berfirman:

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ

"Maka tidakkah patut, jika kamu berkuasa, kamu akan melakukan kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan silaturahim?" (Surah Muhammad: 22)

Ibn Hajar al-Haytami رحمه الله menjelaskan ukuran memutuskan silaturahim yang diharamkan:

قَطْعُ مَا أَلِفَ الْقَرِيبُ مِنْهُ مِنْ سَابِقِ الْوُصْلَةِ وَالْإِحْسَانِ لِغَيْرِ عُذْرٍ شَرْعِيٍّ؛ لِأَنَّ قَطْعَ ذَلِكَ يُؤَدِّي إلَى إيحَاشِ الْقُلُوبِ وَنُفْرَتِهَا وَتَأَذِّيهَا

"Memutuskan hubungan yang sebelum ini menjadi kebiasaan antara kaum kerabat dalam bentuk hubungan baik dan ihsan tanpa alasan syarie, kerana perbuatan itu menyebabkan hati menjadi renggang, timbul rasa benci dan saling menyakiti."
(al-Zawajir, 2/127)

Dalam masa yang sama, anak perempuan tetap hendaklah terus berbuat baik kepada ibunya serta berusaha mentaatinya dalam perkara yang dibenarkan syarak. Namun, keadaan yang dinyatakan dalam soalan, iaitu mengurangkan bantuan kewangan kepada ibu kerana pendapatannya sendiri tidak lagi mencukupi, tidak dianggap sebagai derhaka kepada ibu bapa, selagi dia benar-benar mempunyai keuzuran dan tidak lagi berkemampuan.


Cetak  
Wallahu a'lam