SDI 2032: Jawapan Bagi Athar Ibn al-Zubair Dalam Permasalahan Gugur Kewajipan Jumaat Bagi Mereka Yang Hadir Solat Hari Raya Pada Hari Jumaat

Soalan:

Merujuk tarjihan yang ustaz tulis di sini: SDI 1945: Pandangan Rajih Dalam Masalah Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Jatuh Hari Jumaat, apa pula jawapan terhadap riwayat Ibn Zubair yang tidak lagi menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan solat hari raya yang jatuh pada hari yang sama? Kemudian apabila disebut kepada Ibn ‘Abbas tentang perbuatan Ibn al-Zubair itu, Ibn ‘Abbas berkata: أصاب السنة yang bermaksud: “Ibn Zubair telah menepati sunnah.”

Jawapan:

Pertama sekali saya tegaskan bahawa isu ini termasuk dalam isu khilafiyyah. Justeru, setiap pihak berhak untuk mempertahankan pandangan yang dinilainya lebih kuat dan lebih hampir kepada kebenaran dalam suasana persaudaraan Islam.

Tentang soalan yang diajukan di bawah ini sedikit huraian jawapan yang dirasakan wajar dari saya.

Terdapat beberapa riwayat dengan berbagai lafaz daripada Ibn al-Zubair yang berpada dengan menunaikan solat hari raya tanpa solat Jumaat ketika Hari Raya jatuh pada hari yang sama. Antara riwayat tersebut ialah:

Daripada Ibn Juraij:

عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ، قَالَ: قَالَ عَطَاءٌ: اجْتَمَعَ يَوْمُ جُمُعَةٍ، وَيَوْمُ فِطْرٍ عَلَى عَهْدِ ابْنِ الزُّبَيْرِ، فَقَالَ: «عِيدَانِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ»، فَجَمَعَهُمَا جَمِيعًا فَصَلَّاهُمَا رَكْعَتَيْنِ بُكْرَةً، لَمْ يَزِدْ عَلَيْهِمَا حَتَّى صَلَّى الْعَصْرَ

Daripada Ibn Juraij, beliau berkata: ‘Aṭā’ berkata: “Pada zaman pemerintahan Ibn al-Zubair, hari Jumaat dan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari yang sama. Lalu Ibn al-Zubair berkata: ‘Dua hari raya telah berhimpun pada satu hari.’ Kemudian beliau menggabungkan kedua-duanya sekali, lalu menunaikan solat dua rakaat pada awal pagi. Beliau tidak menambah sebarang solat selepas dua rakaat tersebut sehinggalah beliau menunaikan solat Asar.”[1]

Dalam riwayat daripada al-A’mash:

عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ، قَالَ: صَلَّى بِنَا ابْنُ الزُّبَيْرِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ أَوَّلَ النَّهَارِ، ثُمَّ رُحْنَا إِلَى الْجُمُعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْنَا فَصَلَّيْنَا وُحْدَانًا، وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالطَّائِفِ، فَلَمَّا قَدِمَ ذَكَرْنَا ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: «أَصَابَ السُّنَّةَ«

Daripada al-A‘mash, daripada ‘Aṭā’ bin Abi Rabah, beliau berkata: “Ibn al-Zubair mengimami kami menunaikan solat Hari Raya pada suatu hari Jumaat, pada awal pagi. Kemudian kami pergi untuk menunaikan solat Jumaat, tetapi beliau tidak keluar menemui kami. Oleh itu, kami pun menunaikan solat secara bersendirian. Ketika itu, Ibn ‘Abbas berada di Taif. Setelah beliau kembali, kami menceritakan perkara tersebut kepadanya. Lalu beliau berkata: ‘Dia telah menepati sunnah.’”

Dalam riwayat Wahb bin Kaisan pula yang berkata:

عَنْ وَهْبِ بْنِ كَيْسَانَ، قَالَ: «اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي عَهْدِ ابْنِ الزُّبَيْرِ فَأَخَّرَ الْخُرُوجَ، ثُمَّ خَرَجَ فَخَطَبَ، فَأَطَالَ الْخُطْبَةَ، ثُمَّ صَلَّى وَلَمْ يَخْرُجْ إِلَى الْجُمُعَةِ»، فَعَابَ ذَلِكَ أُنَاسٌ عَلَيْهِ، فَبَلَغَ ذَلِكَ عِنْدَ ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ: «أَصَابَ السُّنَّةَ» فَبَلَغَ ابْنَ الزُّبَيْرِ، فَقَالَ: «شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُمَرَ، فَصَنَعَ كَمَا صَنَعْتُ

“Dua hari raya, iaitu Hari Raya dan hari Jumaat, jatuh pada hari yang sama pada zaman Ibn al-Zubair. Beliau melewatkan waktu keluar untuk menunaikan solat Hari Raya. Kemudian beliau keluar lalu menyampaikan khutbah dan memanjangkan khutbah tersebut. Setelah itu, beliau menunaikan solat dan tidak keluar untuk menunaikan solat Jumaat.” Sebahagian orang mengkritik tindakannya itu. Perkara tersebut kemudiannya sampai kepada Ibn ‘Abbas, lalu beliau berkata: “Dia telah menepati sunnah.” Kenyataan Ibn ‘Abbas itu kemudiannya sampai kepada Ibn al-Zubair, lalu beliau berkata: “Aku pernah menghadiri solat Hari Raya bersama ‘Umar, lalu beliau melakukan sebagaimana yang telah aku lakukan.”[2]

Riwayat daripada Abu ‘Asim oleh ‘Amr bin ‘Ali, seorang perawi thiqah lagi hafiz عمرو بن علي (ثقة حافظ)). Beliau berkata: Abu ‘Asim telah meriwayatkan kepada kami, daripada Ibn Juraij, daripada ‘Ata’, beliau berkata:

اجْتَمَعَ يَوْمُ فِطْرٍ وَيَوْمُ جُمُعَةٍ زَمَنَ ابْنِ الزُّبَيْرِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنٍ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ: أَصَابَ

“Pada zaman Ibn al-Zubair, Hari Raya Fitri dan hari Jumaat jatuh pada hari yang sama. Lalu beliau menunaikan solat dua rakaat. Kemudian perkara tersebut diceritakan kepada Ibn ‘Abbas, lalu Ibn ‘Abbas berkata: ‘Tindakannya itu tepat.’”[3]

Dalam riwayat ini hanya memuatkan ucapan Ibn ‘Abbas: أَصَابَ “Tindakan beliau itu tepat,” tanpa tambahan perkataan: “sunnah”.

Ulasan Ibn ‘Abbas terhadap tindakan Ibn al-Zubair ini boleh difahami kepada beberapa maksud. Hal ini dinyatakan oleh Ibn Khuzaimah dengan katanya:

قول ابن عباس: أصاب ابن الزبير السنة، يحتمل أن يكون أراد سنة النبي -ﷺ-، وجائز أن يكون أراد سنة أبي بكر، أو عمر، أو عثمان، أو علي، ولا أخال أنه أراد به أصاب السنة في تقديمه الخطبة قبل صلاة العيد؛ لأن هذا الفعل خلاف سنة النبي -ﷺ-، وأبي بكر، وعمر

Kata-kata Ibn ‘Abbas: “Ibn al-Zubair telah menepati sunnah,” berkemungkinan bermaksud bahawa beliau telah menepati sunnah Nabi SAW. Mungkin juga yang dimaksudkannya ialah sunnah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman atau ‘Ali. Aku tidak menyangka bahawa maksudnya ialah Ibn al-Zubair telah menepati sunnah dengan mendahulukan khutbah sebelum solat Hari Raya. Hal ini kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan sunnah Nabi SAW, Abu Bakar dan ‘Umar.” (Sahih Ibn Khuzaimah (2/359))

Melihat kepada banyaknya ragam riwayat perbuatan Ibn al-Zubair dalam permasalahan ini, saya sertakan di sini perkataan al-Khattabi yang berkata:

أما صنيع ابن الزبير فإنه لا يجوز عندي أن يحمل إلاّ على مذهب من يرى تقديم صلاة الجمعة قبل الزوال

Adapun tindakan Ibn al-Zubair, menurut pandanganku, ia hanya boleh difahami berdasarkan pendapat ulama yang mengharuskan solat Jumaat ditunaikan sebelum tergelincir matahari.[4]

Ibn ‘Abd al-Barr pula berkata:

وقد روى فيه قوم، أن صلاته التي صلاها لجماعة ضحى يوم العيد، نوى بها صلاة الجمعة، على مذهب من رأى أن وقت صلاة العيد ووقت الجمعة واحد

Sebahagian ulama meriwayatkan berhubung perkara ini bahawa solat yang ditunaikan oleh Ibn al-Zubair secara berjemaah pada waktu Duha pada hari raya itu diniatkan sebagai solat Jumaat. Hal ini berdasarkan pandangan mereka yang berpendapat bahawa waktu solat Hari Raya dan waktu solat Jumaat adalah sama.[5]

Pandangan ini bertepatan dengan mazhab Hambali yang mengatakan waktu solat Jumaat bermula dengan masuk waktu Dhuha. Ibn ‘Abd al-Hadi berkata:

هذا الَّذي فعله ابن الزُّبير يدلُّ على جواز فعل الجمعة في وقت العيد، وأنَّها تجزئ عن العيد والظُّهر

Perbuatan Ibn al-Zubair ini menunjukkan bahawa solat Jumaat boleh ditunaikan dalam waktu solat Hari Raya (waktu Dhuha), dan solat tersebut memadai bagi menggantikan solat Hari Raya dan solat Zuhur.[6]

Boleh menunaikan solat Jumaat sebelum matahari tergelincir merupakan antara Mufradat mazhab Hanbali.[7] Justeru menurut mereka, solat Jumaat boleh memadai sebagai ganti solat Hari Raya dan solat Zuhur, namun solat Hari Raya tidak pula memadai sebagai ganti kedua-duanya. Ibn Qudamah berkata:

وإن قدم الجمعة فصلاها في وقت العيد، فقد روي عن أحمد، قال: تجزئ الأولى منهما، فعلى هذا تجزئه عن العيد والظهر، ولا يلزمه شيء إلى العصر … فعلى هذا يكون ابن الزبير قد صلى الجمعة فسقط العيد، والظهر، ولأن الجمعة إذا سقطت مع تأكدها، فالعيد أولى أن يسقط بها، أما إذا قدم العيد فإنه يحتاج إلى أن يصلي الظهر في وقتها إذا لم يصل الجمعة

“Jika seseorang mendahulukan solat Jumaat lalu menunaikannya pada waktu solat Hari Raya, terdapat riwayat daripada Ahmad bahawa beliau berkata: ‘Solat yang pertama daripada kedua-duanya adalah memadai.’ Berdasarkan pandangan ini, solat Jumaat tersebut memadai baginya sebagai ganti solat Hari Raya dan solat Zuhur. Dia tidak diwajibkan menunaikan sebarang solat lagi sehingga masuk waktu Asar… Berdasarkan pandangan ini, Ibn al-Zubair sebenarnya telah menunaikan solat Jumaat, lalu gugurlah kewajipan solat Hari Raya dan solat Zuhur. Hal ini kerana jika solat Jumaat—sedangkan tuntutannya lebih kuat—boleh gugur dengan sebab solat Hari Raya, maka solat Hari Raya lebih utama untuk digugurkan dengan sebab solat Jumaat. Namun, sekiranya seseorang mendahulukan solat Hari Raya, dia masih perlu menunaikan solat Zuhur pada waktunya apabila dia tidak menunaikan solat Jumaat.”[8]

Demikian juga gugurnya tuntutan solat Jumaat disebabkan telah menunaikan solat Hari Raya juga merupakan Mufradat mazhab Hanbali. Namun begitu, mereka tidak menggugurkan kewajipan solat Zuhur dengan sebab tersebut, sebagaimana peringatan yang terdapat pada penghujung kenyataan Ibn Qudamah terdahulu dan dalam kitab-kitab mazhab Hanbali yang lain, antaranya;

Dalam Kashshāf al-Qinā‘ (2/41):

(ويسقط العيد بالجمعة إن فعلت) الجمعة (قبل الزوال أو بعده) لفعل ابن الزبير

“Solat Hari Raya gugur dengan menunaikan solat Jumaat, sama ada solat Jumaat itu dilaksanakan sebelum ataupun selepas matahari tergelincir, berdasarkan perbuatan Ibn al-Zubair.

Disebutkan dalam al-Inṣāf (2/403):

(وإذا وقع العيد يوم الجمعة فاجتزأ بالعيد وصلى ظهرا جاز) هذا المذهب بلا ريب، وعليه الأصحاب، وهو من المفردات)

“Apabila Hari Raya jatuh pada hari Jumaat, lalu seseorang mencukupkan dirinya dengan solat Hari Raya dan kemudian menunaikan solat Zuhur, maka hal itu diharuskan. Inilah pendapat mazhab tanpa sebarang keraguan, menjadi pegangan para ulama mazhab Hanbali dan merupakan antara pandangan khusus mazhab ini.”

Disebutkan pula dalam al-Kāfī (1/338):

فإذا اتفق عيد في يوم جمعة فصلوا العيد لم تلزمهم الجمعة، ويصلون ظهرًا

“Apabila Hari Raya jatuh pada hari Jumaat, lalu mereka menunaikan solat Hari Raya, maka solat Jumaat tidak lagi diwajibkan atas mereka, tetapi mereka hendaklah menunaikan solat Zuhur.”

Apabila Majd al-Din Ibn Taimiyyah al-Hanbali dalam Al-Muntaqā, hlm. 307 berkata:

إنما وجه هذا أنه رأى تقدمة الجمعة قبل الزوال، فقدمها واجتزأ بها عن العيد

“Penjelasan bagi peristiwa ini ialah Ibn al-Zubair berpandangan bahawa solat Jumaat boleh didahulukan sebelum matahari tergelincir. Oleh itu, beliau menunaikannya lebih awal dan menganggapnya memadai sebagai ganti solat Hari Raya.”

Sekalipun terdapat bantahan terhadap pandangan ini dari al-Syaukani, namun bantahan tersebut tertolak dengan adanya riwayat yang menyebut Ibn al-Zubair mendahulukan Khutbah sebelum Solat.



[1] Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 1072). Beliau berkata:

حدثنا يحيى بن خلف، حدثنا أبو عاصم، عن ابن جريج، قال: قال عطاء به

Yahya bin Khalaf telah meriwayatkan kepada kami; Abu ‘Asim telah meriwayatkan kepada kami, daripada Ibn Juraij, beliau berkata: ‘Ata’ berkata—lalu beliau menyebutkan riwayat tersebut.

Sanad ini berstatus hasan. Ia menunjukkan bahawa Ibn al-Zubair tidak menambah sebarang solat selepas dua rakaat solat Hari Raya, sehinggalah beliau menunaikan solat Asar. Namun makna ini hanya diperoleh melalui jalur Ibn Juraij. Beliau merupakan perawi yang paling kukuh dalam meriwayatkan daripada ‘Ata’. Walaupun beliau tidak menyatakan secara jelas bahawa beliau mendengar riwayat itu daripada ‘Ata’, riwayat Ibn Juraij yang tidak disertai penegasan bahawa beliau mendengarnya secara langsung sememangnya termasuk riwayat yang perlu diwaspadai. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Yahya bin Ma‘in:

وإذا قال: قال... فهو شبه الريح

“Apabila beliau berkata: ‘Dia berkata’ (قال), maka riwayat itu seperti angin.” Demikian yang disebutkan dalam Tahdhib al-Kamal (18/351).

Namun, hal tersebut tidak termasuk riwayat Ibn Juraij daripada gurunya, ‘Ata’, yang didampinginya selama dua puluh tahun. Oleh itu, hadis yang diriwayatkannya daripada ‘Ata’ dianggap sebagai riwayat yang didengarnya secara langsung, sekalipun beliau tidak menyatakannya dengan jelas. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Khaythamah (ابن أبي خيثمة) dalam Tarikh-nya (1/261). Beliau berkata:

حدثنا إبراهيم بن عرعرة، قال: حدثني يحيى بن سعيد، عن ابن جريج، قال: (إذا قلت: قال عطاء، فأنا سمعته، وإن لم أقل سمعته)

Ibrahim bin ‘Ar‘arah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Yahya bin Sa‘id telah meriwayatkan kepadaku, daripada Ibn Juraij, beliau berkata: “Apabila aku berkata: ‘Ata’ berkata’, maka sesungguhnya aku telah mendengarnya sendiri, sekalipun aku tidak menyebut: ‘Aku telah mendengarnya.’”

Inilah hukum asal, iaitu riwayat Ibn Juraij daripada ‘Ata’ mempunyai keistimewaan tersendiri, sekalipun beliau tidak menegaskan bahawa beliau mendengarnya secara langsung. Namun perkara yang paling menimbulkan kemusykilan terhadap kaedah ini ialah kenyataan Imam Ahmad sebagaimana disebutkan dalam Bahr al-Dam (hlm. 102):

كل شئ يقول ابن جريج: قال عطاء أو عن عطاء، فإنه لم يسمعه من عطاء

“Setiap riwayat yang disebut oleh Ibn Juraij dengan lafaz: ‘Ata’ berkata’ atau ‘daripada ‘Ata’, maka sesungguhnya beliau tidak mendengarnya daripada ‘Ata’.”

Walau bagaimanapun, kenyataan ‘Ata’ tentang dirinya sendiri lebih wajar didahulukan. Adapun kenyataan Imam Ahmad itu berkemungkinan berlaku kesilapan dalam nukilan daripada beliau, atau beliau tidak mengetahui kenyataan ‘Ata’ tentang dirinya sendiri, ataupun yang dimaksudkan oleh beliau ialah ‘Ata’ al-Khurasani (عطاء الخراساني).

[2] Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah (no. 5836) — dan lafaz di atas ialah lafaz beliau — al-Nasa’i (no. 1592), Ibn Khuzaimah (no. 1465), al-Hakim dalam al-Mustadrak (no. 1097), Ibn al-Mundhir dalam al-Awsat (4/288), Ibn Hazm dalam al-Ihkam (2/73) dan al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (3/70), melalui jalur Abu Khalid al-Ahmar, Yahya bin Sa‘id al-Qattan dan Sulaim bin Akhdar. Ketiga-tiganya meriwayatkan daripada ‘Abd al-Hamid bin Ja‘far al-Ansari, daripada Wahb bin Kaisan, dengan riwayat tersebut. Al-Hakim berkata tentang riwayatnya melalui jalur Yahya al-Qattan: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Syaikhain, iaitu al-Bukhari dan Muslim, namun kedua-duanya tidak meriwayatkannya.” Al-Dhahabi pula tidak memberikan sebarang ulasan atau kritikan terhadap penilaian al-Hakim ini.

[3] Riwayat ini dikeluarkan oleh al-Firyabi dalam Ahkam al-‘Idain (hlm. 219), dan sanadnya sahih.

[4] Ma‘ālim al-Sunan (1/246). Ibn ‘Abd al-Barr berkata dalam al-Tamhīd (10/270):

وذهب الجمهور إلى أن وقت الجمعة وقت الظهر وعلى هذا فقهاء الأمصار

“Majoriti ulama berpendapat bahawa waktu solat Jumaat ialah waktu solat Zuhur. Inilah pandangan para fuqaha di seluruh wilayah Islam.”

[5] Al-Istidhkār (2/385).

[6] Tanqīḥ al-Taḥqīq (2/562).

[7] Disebutkan dalam al-Inṣāf (2/375–376):

ويشترط لصحة الجمعة أربعة شروط. أحدها: الوقت، وأوله: أول وقت صلاة العيد) هذا المذهب، وعليه أكثر الأصحاب. ونص عليه … وهو من المفردات … كل قول قبل الزوال فهو من المفردات. وعنه أول وقتها: بعد الزوال. اختاره الآجري. وهو الأفضل

“Disyaratkan empat perkara bagi kesahan solat Jumaat. Syarat pertama ialah waktu. Permulaan waktunya ialah seawal waktu solat Hari Raya. Inilah pendapat muktamad dalam mazhab Hanbali dan menjadi pegangan kebanyakan ulama mazhab. Imam Ahmad sendiri telah menaskan perkara tersebut… Pendapat ini merupakan antara pandangan khusus mazhab Hanbali… Setiap pendapat yang mengharuskan solat Jumaat sebelum matahari tergelincir merupakan pandangan khusus mazhab ini. Terdapat juga riwayat lain daripada Imam Ahmad bahawa permulaan waktu solat Jumaat adalah selepas matahari tergelincir. Pendapat ini dipilih oleh al-Ajurri dan itulah waktu yang lebih afdal.”

[8] Al-Mughnī (2/266).


Cetak  
Wallahu a'lam