Huraian Fiqh Sunnah: Gabung Hasil Tanaman & Buah-buahan Sehingga Zakat Madu

Menggabungkan Hasil Tanaman dan Buah-buahan (ضم الزروع والثمار)

Para ulama bersepakat bahawa pelbagai jenis buah-buahan daripada kategori yang sama hendaklah digabungkan antara satu sama lain dalam pengiraan nisab, walaupun berbeza dari segi mutu (الجودة), kualiti (الرداءة) atau warna (اللون). Demikian juga, pelbagai jenis kismis (الزبيب) digabungkan antara satu sama lain, pelbagai jenis gandum (الحنطة) digabungkan sesama sendiri, begitu juga pelbagai jenis bijirin (الحبوب) lain.[1]

Mereka juga bersepakat bahawa barang dagangan (عروض التجارة) digabungkan dengan emas dan perak (الأثمان) dalam pengiraan nisab, dan emas serta perak (الأثمان) juga digabungkan dengan barang dagangan. Melainkan al-Imam al-Syafi‘i yang berpendapat tidak digabungkan barang dagangan, melainkan hanya dengan jenis apa yang digunakan untuk membelinya, kerana nisab barang dagangan dinilai berdasarkan mata wang tersebut.

Mereka juga bersepakat bahawa sesuatu jenis harta tidak digabungkan dengan jenis harta yang lain untuk melengkapkan nisab, selain dalam kategori bijirin dan buah-buahan (الحبوب والثمار).

Manakala bagi ternakan, sesuatu jenis ternakan tidak digabungkan dengan jenis ternakan yang lain untuk melengkapkan nisab. Maka unta tidak digabungkan dengan lembu bagi melengkapkan nisab. Begitu juga buah-buahan, sesuatu jenis tidak digabungkan dengan jenis yang lain. Oleh itu, kurma (التمر) tidak digabungkan dengan kismis (الزبيب) bagi mencukupkan nisab.

Para ulama berbeza pendapat, sama ada pelbagai jenis bijirin (الحبوب المختلفة) boleh digabungkan antara satu sama lain bagi melengkapkan nisab.

Pendapat yang lebih kuat dan lebih tepat (وأولى الأراء وأحقها) ialah tidak ada satu pun dari jenis-jenis tersebut yang digabungkan dalam pengiraan nisab. Sebaliknya, nisab hendaklah dinilai secara berasingan bagi setiap jenis, kerana semuanya merupakan jenis yang berlainan dan mempunyai nama yang berbeza. Oleh itu:

  • barli (الشعير) tidak digabungkan dengan gandum (الحنطة), dan gandum juga tidak digabungkan dengan barli;
  • kurma tidak digabungkan dengan kismis, dan kismis juga tidak digabungkan dengan kurma;
  • kacang kuda (الْحِمَّصِ) tidak digabungkan dengan kacang dal (الْعَدَسِ).

Inilah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi‘i, salah satu riwayat daripada Imam Ahmad, dan juga menjadi pegangan ramai ulama salaf.

Ibn al-Mundhir berkata:

وأجمعوا على أنه لا تضم الابل إلى البقر، ولا إلى الغنم، ولا البقر إلى الغنم، ولا التمر إلى الزبيب، فكذا لا ضم في غيرها، وليس للقائلين بضم الاجناس دليل صحيح صريح فيما قالوه

"Para ulama telah berijmak bahawa unta tidak digabungkan dengan lembu, tidak juga dengan kambing. Lembu pula tidak digabungkan dengan kambing, dan kurma tidak digabungkan dengan kismis. Maka demikian juga hukum bagi selainnya; tidak boleh digabungkan antara jenis-jenis yang berlainan. Mereka yang berpendapat bahawa jenis yang berbeza boleh digabungkan tidak mempunyai dalil yang sahih dan jelas bagi menyokong pendapat mereka."

Bilakah Zakat Hasil Tanaman dan Buah-buahan (الزروع والثمار) Menjadi Wajib?

Zakat hasil tanaman menjadi wajib apabila bijirinnya telah keras (اشتداد الحب) dan telah menjadi farik (الفريك). Manakala zakat buah-buahan menjadi wajib apabila buah tersebut telah mula menampakkan tanda-tanda masak (بدو الصلاح). Hal ini dapat dikenali melalui:

  • buah kurma mula bertukar menjadi kemerah-merahan (احمرار البلح), dan
  • buah anggur mula menjadi manis (وجريان الحلاوة في العنب).[2]

Namun, zakat hanya dikeluarkan selepas bijirin dibersihkan (تصفية الحب) dan dipisahkan daripada jeraminya, serta selepas buah-buahan menjadi kering (جفاف الثمر). Sekiranya seorang petani menjual tanamannya selepas bijirin menjadi keras (اشتداد الحب), atau menjual buah-buahannya selepas jelas tanda-tanda kematangannya (بدو صلاح الثمر), maka zakat tetap menjadi tanggungjawab penjual, bukan pembeli. Ini kerana sebab yang mewajibkan zakat telah pun berlaku ketika tanaman dan buah-buahan tersebut masih berada dalam miliknya.

Mengeluarkan Harta yang Baik Ketika Menunaikan Zakat

Allah SWT memerintahkan orang yang mengeluarkan zakat supaya mengeluarkan harta yang baik daripada hartanya, dan melarangnya daripada bersedekah atau mengeluarkan zakat dengan harta yang buruk atau rendah mutunya. Allah SWT berfirman:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ﴾

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan untuk kamu dari bumi. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya untuk kamu nafkahkan, sedangkan kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya..." (Surah al-Baqarah: 267)

Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasa'i dan selain kedua-duanya, daripada Sahl bin Hunaif (سهل بن حنيف), daripada bapanya, beliau berkata:

وَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنْ لَوْنَيْنِ مِنَ التَّمْرِ، أَنْ يُؤْخَذَا فِي الصَّدَقَةِ: الْجُعْرُورِ، وَلَوْنِ الْحُبَيْقِ

"Rasulullah SAW melarang dua jenis kurma dari dijadikan zakat, iaitu al-Ju‘rur dan sejenis kurma yang dipanggil al-Hubaiq[3].

Pada ketika itu, orang ramai sengaja memilih buah-buahan mereka yang paling buruk untuk dikeluarkan sebagai sedekah. Lalu mereka dilarang daripada berbuat demikian. Maka turunlah firman Allah SWT:

وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ

'Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya untuk kamu nafkahkan.' (Surah al-Baqarah: 267)

Daripada al-Bara' bin 'Azib RA, beliau berkata berhubung firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya untuk kamu nafkahkan." (Surah al-Baqarah: 267), Beliau berkata:

نزلت فينا معشر الانصار، كنا أصحاب نخل، فكان الرجل يأتي من نخله على قدر كثرته وقلته، وكان الرجل يأتي بالقِنْو، والقِنْوَين فيعلقه في المسجد، وكان أهل الصفة ليس لهم طعام، فكان أحدهم إذا جاع، أتى القنو فضربه بعصاه فسقط البُسْرَ والتَّمْرَ، فيأكل، وكان ناس ممن لا يرغب في الخير، يأتي الرجل بِالْقِنْوِ فِيهِ الشِّيصُ، وَالْحَشَفُ والقنو قد انكسر، فيعلقه، فأنزل الله تعالى(ولا تيمموا الخبيث منه تنفقون ولستم بآخذيه إلا أن تغمضوا فيه) .قاللو أن أحدكم أهدى إليه مثل ما أعطى لم يأخذه إلا على إغماض وحياء. قالفكنا بعد ذلك يأتي أحدنا بصالح ما عنده.

"Ayat ini diturunkan mengenai kami, kaum Ansar. Kami mempunyai kebun-kebun kurma. Seseorang daripada kami akan membawa setandan atau dua tandan kurma mengikut banyak atau sedikit hasil kebunnya, lalu menggantungkannya di masjid. Ahli-ahli al-Suffah[4] tidak mempunyai makanan. Apabila salah seorang daripada mereka lapar, dia akan datang ke tandan kurma itu lalu memukulnya dengan tongkat sehingga gugurlah buah kurma muda (busr) dan buah kurma yang telah masak, lalu dia memakannya. Namun, terdapat sebahagian orang yang tidak mengharapkan ganjaran kebaikan. Mereka membawa tandan kurma yang mengandungi kurma syiṣ[5], kurma hasyaf[6], atau tandan yang telah patah, lalu menggantungkannya di masjid. Lalu Allah SWT menurunkan firman-Nya: “Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya untuk kamu nafkahkan, sedangkan kamu sendiri tidak akan mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya.” Al-Bara' berkata: “Kalaulah salah seorang daripada kamu dihadiahkan sesuatu seperti apa yang dia sendiri berikan itu, nescaya dia tidak akan menerimanya melainkan dengan rasa segan atau terpaksa bertolak ansur terhadap kekurangannya.” Beliau berkata lagi: “Selepas itu, setiap seorang daripada kami akan membawa hasil yang paling baik yang dimilikinya." (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi, dan beliau berkata: "Hadis ini hasan, sahih lagi gharib.")

Al-Syaukani berkata:

فيه دليل على أنه لا يجوز للمالك أن يخرج الردئ عن الجيد الذي وجبت فيه الزكاة، نصا في التمر، وقياسا في سائر الاجناس التي تجب فيها الزكاة وكذلك لا يجوز للمصدق أن يأخذ ذلك

"Hadis ini menjadi dalil bahawa pemilik harta tidak boleh mengeluarkan hasil yang buruk sebagai ganti kepada hasil yang baik yang telah diwajibkan zakat ke atasnya. Hal ini dinyatakan secara jelas berkaitan kurma, dan melalui qiyas hukumnya turut meliputi semua jenis harta lain yang diwajibkan zakat. Begitu juga, amil zakat tidak harus menerima hasil yang buruk tersebut."

Zakat Madu

Jumhur ulama berpendapat bahawa madu tidak diwajibkan zakat. Imam al-Bukhari berkata:

ليس في زكاة العسل شئ يصح

"Tidak ada satu pun hadis yang sahih mengenai kewajipan zakat ke atas madu."[7]

Imam al-Syafi‘i berkata:

واختياري ألا يؤخذ منه، لان السنن والاثار ثابتة فيما يؤخذ منه، وليست ثابتة فيه، فكان عفوا

"Pendapat yang aku pilih ialah zakat tidak diambil daripada madu, kerana hadis-hadis dan athar yang sahih hanya menetapkan zakat pada harta-harta yang memang telah sabit nas mengenainya, sedangkan tidak terdapat nas yang sahih berhubung madu. Oleh itu, madu termasuk dalam perkara yang dimaafkan (tidak diwajibkan zakat)."

Ibn al-Mundhir berkata:

ليس في وجوب الصدقة في العسل خبر يثبت، ولا إجماع، فلا زكاة فيه، وهو قول الجمهور

"Tidak terdapat hadis yang sahih yang menetapkan kewajipan zakat ke atas madu, dan tidak juga terdapat ijmak mengenainya. Oleh itu, tidak diwajibkan zakat pada madu. Inilah pendapat jumhur ulama."

Sebaliknya, ulama mazhab Hanafi dan Imam Ahmad berpendapat bahawa madu diwajibkan zakat. Mereka berhujah bahawa walaupun tidak terdapat hadis sahih yang secara jelas mewajibkannya, namun terdapat beberapa athar yang saling menguatkan antara satu sama lain. Selain itu, madu terhasil daripada nektar (madu) pokok dan bunga (نور الشجر، والزهر), boleh disukat dan disimpan, maka ia diqiyaskan dengan bijirin dan kurma yang diwajibkan zakat. Mereka juga berpendapat bahawa usaha menghasilkan madu lebih ringan berbanding usaha menanam tanaman dan buah-buahan, maka lebih utama ia dikenakan zakat.

Imam Abu Hanifah mensyaratkan, zakat madu hanya diwajibkan jika madu itu diperoleh daripada tanah ‘usyriyyah (أرض عشرية). Beliau tidak mensyaratkan nisab pada madu, bahkan zakat sebanyak sepersepuluh (10%) diambil daripada sedikit atau banyak hasil madu tersebut.

Berbeza dengan Imam Ahmad yang mensyaratkan madu itu mencapai nisab, iaitu sebanyak sepuluh afrāq (عشرة أفراق). Setiap satu faraq (الفرق) bersamaan enam belas ratal Iraq.[8] Beliau tidak membezakan sama ada madu itu diperoleh daripada tanah kharajiyyah atau tanah ‘usyriyyah (الارض الخراجية، أو العشرية).

Abu Yusuf pula berpendapat bahawa nisab madu ialah sepuluh ratal. Manakala Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani berpendapat nisabnya ialah lima afrāq, dengan setiap satu faraq bersamaan tiga puluh enam ratal. Inilah yang zahir daripada pendapat Imam Ahmad.



[1] Maksudnya, jenis-jenis yang berlainan dalam kategori yang sama—seperti beberapa jenis gandum, beberapa jenis kurma atau beberapa jenis anggur—dikira sebagai satu kategori ketika menentukan sama ada hasil tersebut telah mencapai nisab zakat. Namun, kategori yang berlainan, seperti gandum dengan barli atau kurma dengan gandum, tidak digabungkan antara satu sama lain.

[2] Inilah pendapat jumhur ulama, iaitu sebab yang mewajibkan zakat hasil tanaman berlaku apabila bijirin telah menjadi keras (اشتداد الحب) dan buah-buahan telah mula menampakkan tanda-tanda masak (بدو الصلاح). Manakala menurut Imam Abu Hanifah, sebab yang mewajibkan zakat telah berlaku sebaik sahaja tanaman mula keluar dari bumi dan buah-buahan mula muncul pada pokok (خروج الزروع وظهور الثمر), tanpa perlu menunggu sehingga bijirin menjadi keras atau buah-buahan mula masak.

[3] Al-Ju‘rūr (الجُعْرُور) dan al-Ḥubaīq (الحُبيق) ialah dua jenis kurma yang rendah mutunya.

[4] Ahl al-Suffah (أهل الصُّفَّة) ialah golongan fakir dari kalangan Muhajirin (mereka yang berhijrah ke Madinah.

[5] Al-Syīṣ (الشِّيص) — dengan huruf syin berbaris kasrah (الشِّـيص) — ialah buah kurma yang bijinya tidak mengeras atau tidak terbentuk dengan sempurna.

[6] Al-Ḥasyaf (الحَشَف) ialah kurma yang paling rendah mutunya, atau kurma yang lemah dan tidak mempunyai biji, atau kurma yang telah kering serta rosak.

[7] Iaitu tiada satupun hadis yang sahih dari Nabi SAW.

[8] Satu ratal Iraq (الرطل العراقي) bersamaan 130 dirham.


Cetak  
Wallahu a'lam