SDI 2034: Isteri Berkata: "Ceraikan saya". Suami Jawab: "Kamu seperti yang kamu kata."

Soalan:

Berlaku sedikit perselisihan antara saya dengan isteri. Melalui telefon, dia berkata kepada saya: “Ceraikanlah saya.” Lalu saya menjawab secara lisan: “Kamu sebagaimana yang kamu kata.”

Saya tidak bermaksud untuk menjatuhkan talak dan tidak meniatkannya. Adakah talak tersebut jatuh?

Jawapan:

Pertama sekali, perlu dijelaskan bahawa seorang isteri tidak dibenarkan meminta cerai tanpa alasan yang diiktiraf oleh syarak. Hal ini kerana terdapat ancaman keras terhadap perbuatan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا الطَّلَاقَ فِي غَيْرِ مَا بَأسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

“Mana-mana wanita yang meminta perceraian daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah, maka haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan selain beliau. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Berhubung persoalan yang ditanyakan, ucapan anda: “kamu sebagaimana yang kamu katakan,” sebagai jawapan kepada permintaan isteri, “Ceraikanlah saya,” dianggap sebagai kinayah talak.

Kinayah talak ialah setiap ungkapan yang boleh menunjukkan maksud perpisahan, tetapi bukan lafaz cerai yang jelas dan terang. Talak melalui lafaz kinayah tidak jatuh kecuali jika disertai niat untuk menceraikan.

Ibn Qudamah berkata dalam kitab al-Mughni:

والكناية لا يقع بها الطلاق حتى ينويه أو يأتي بما يقوم مقام نيته

“Talak tidak jatuh melalui lafaz kinayah sehinggalah suami meniatkannya, atau terdapat sesuatu yang mengambil kedudukan niatnya.”

Berdasarkan hal tersebut, anda tidak dikenakan apa-apa dan talak tidak jatuh, sekiranya ketika mengucapkan kata-kata itu anda benar-benar tidak berniat untuk menceraikan isteri, sebagaimana yang dinyatakan.


Cetak  
Wallahu a'lam