Hadis Tentang Sakit Tenat Baginda SAW

Daripada Abu Musa al-Asy‘ari RA, katanya:

مَرِضَ النَّبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فاشتَدَّ مَرَضُه، فقال: مُروا أبا بَكرٍ فليُصَلِّ بالنَّاسِ، قالت عائِشةُ: إنَّه رَجُلٌ رَقيقٌ، إذا قامَ مَقامَكَ لَم يَستَطِعْ أن يُصَلِّيَ بالنَّاسِ، قال: مُروا أبا بَكرٍ فليُصَلِّ بالنَّاسِ، فعادَت، فقال: مُري أبا بَكرٍ فليُصَلِّ بالنَّاسِ؛ فإنَّكُنَّ صَواحِبُ يوسُفَ! فأتاه الرَّسولُ، فصَلَّى بالنَّاسِ في حَياةِ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم

Nabi SAW jatuh sakit, lalu sakit Baginda semakin berat. Baginda bersabda: “Suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat orang ramai.” Aisyah berkata: “Sesungguhnya beliau seorang yang berhati lembut (mudah menangis apabila membaca ayat al-Quran). Apabila beliau berdiri di tempatmu, beliau tidak mampu mengimamkan orang ramai.” Baginda bersabda: “Suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat orang ramai.” Aisyah mengulangi lagi kata-katanya. Lalu Baginda bersabda: “Suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat orang ramai. Sesungguhnya kamu semua seperti wanita-wanita yang bersama Yusuf!” Maka utusan datang menemui Abu Bakar, lalu beliau mengimamkan orang ramai ketika Nabi SAW masih hidup.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, no. 678. Turut diriwayatkan oleh Muslim, no. 420, dengan sedikit perbezaan lafaz)

Daripada Aisyah Umm al-Mu’minin RA, kata beliau:

لَمَّا ثَقُلَ رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم جاءَ بلالٌ يوذِنُه بالصَّلاةِ، فقال: مُروا أبا بَكرٍ أن يُصَلِّيَ بالنَّاسِ، فقُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّ أبا بَكرٍ رَجُلٌ أسيفٌ، وإنَّه مَتى ما يَقُمْ مَقامَكَ لا يُسمِعِ النَّاسَ، فلو أمَرتَ عُمَرَ، فقال: مُروا أبا بَكرٍ يُصَلِّي بالنَّاسِ، فقُلتُ لحَفصةَ: قولي له: إنَّ أبا بَكرٍ رَجُلٌ أسيفٌ، وإنَّه مَتى يَقُم مَقامَكَ لا يُسمِعِ النَّاسَ، فلو أمَرتَ عُمَرَ، قال: إنَّكُنَّ لَأنتُنَّ صَواحِبُ يوسُفَ! مُروا أبا بَكرٍ أن يُصَلِّيَ بالنَّاسِ، فلَمَّا دَخَلَ في الصَّلاةِ وجَدَ رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم في نَفسِه خِفَّةً، فقامَ يُهادى بينَ رَجُلَينِ، ورِجلاه يَخُطَّانِ في الأرضِ، حتَّى دَخَلَ المَسجِدَ، فلَمَّا سَمِعَ أبو بَكرٍ حِسَّه، ذَهَبَ أبو بَكرٍ يَتَأخَّرُ، فأومَأ إليه رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فجاءَ رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم حتَّى جَلَسَ عن يَسارِ أبي بَكرٍ، فكان أبو بَكرٍ يُصَلِّي قائِمًا، وكان رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يُصَلِّي قاعِدًا، يَقتَدي أبو بَكرٍ بصَلاةِ رَسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم والنَّاسُ مُقتَدونَ بصَلاةِ أبي بَكرٍ رَضيَ اللهُ عنه.

“Ketika keadaan Rasulullah SAW semakin berat, Bilal datang memberitahu Baginda bahawa telah tiba waktu solat. Baginda bersabda: “Suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat orang ramai.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Bakar seorang yang sangat mudah tersentuh dan bersedih (apabila membaca ayat al-Quran). Apabila beliau berdiri di tempatmu, beliau tidak akan dapat memperdengarkan bacaannya kepada orang ramai. Kalaulah engkau menyuruh Umar.” Baginda bersabda: “Suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat orang ramai.” Lalu aku berkata kepada Hafsah: “Katakanlah kepada Baginda: Sesungguhnya Abu Bakar seorang yang sangat mudah tersentuh. Apabila beliau berdiri di tempatmu, beliau tidak akan dapat memperdengarkan bacaannya kepada orang ramai. Kalaulah engkau menyuruh Umar.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu semua benar-benar seperti wanita-wanita yang bersama Yusuf! Suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat orang ramai.” Apabila Abu Bakar telah memulakan solat, Rasulullah SAW merasakan sedikit ringan pada tubuh Baginda. Lalu Baginda bangun dengan dipapah oleh dua orang lelaki, sedangkan kedua-dua kaki Baginda menyeret dan meninggalkan kesan garisan di atas tanah, sehingga Baginda masuk ke dalam masjid. Apabila Abu Bakar mendengar kehadiran Baginda, Abu Bakar hendak berundur ke belakang. Namun Rasulullah SAW memberi isyarat kepadanya. Kemudian Rasulullah SAW datang lalu duduk di sebelah kiri Abu Bakar. Abu Bakar bersolat dalam keadaan berdiri, manakala Rasulullah SAW bersolat dalam keadaan duduk. Abu Bakar mengikuti solat Rasulullah SAW, sementara orang ramai pula mengikuti solat Abu Bakar RA.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Sahih al-Bukhari, no. hadis: 713. Diriwayatkan juga oleh Muslim, no. 418)

Huraian Hadis

Solat berjemaah mempunyai kedudukan yang sangat besar. Rasulullah SAW memberikan perhatian yang sangat besar terhadapnya. Demikian juga para sahabat RA. Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan solat berjemaah dan tidak meninggalkannya, bahkan ketika penyakit Baginda semakin berat, Baginda melantik seseorang untuk menggantikan Baginda mengimamkan orang ramai.

Aisyah Umm al-Mu’minin RA meriwayatkan bahawa apabila penyakit Nabi SAW semakin berat sehingga Baginda tidak mampu keluar untuk menunaikan solat berjemaah, Bilal RA datang menemui Baginda untuk memberitahu bahawa waktu solat telah masuk.

Nabi SAW lalu memerintahkan mereka supaya menyuruh Abu Bakar mengimamkan orang ramai. Aisyah RA bimbang orang ramai akan menganggap kehadiran Abu Bakar menggantikan tempat Nabi SAW sebagai suatu petanda buruk, beliau bimbang orang ramai akan berkata: “Sejak orang ini mengimamkan kami, kami telah kehilangan Rasulullah SAW”. Oleh itu, beliau mahu menghindarkan perkara tersebut daripada ayahnya.

Aisyah berkata kepada Nabi SAW bahawa Abu Bakar ialah seorang yang sangat mudah menangis dan bersedih ketika solat. Sekiranya beliau menjadi imam, orang ramai tidak akan dapat mendengar bacaannya disebabkan tangisannya yang banyak. Sememangnya keadaan Abu Bakar RA adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Aisyah. Namun Nabi SAW tidak menerima cadangan tersebut, bahkan mengulangi sabda Baginda:

“Suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat orang ramai.”

Kemudian Aisyah berkata kepada Hafsah RA:

“Katakanlah kepada Nabi SAW: Sesungguhnya Abu Bakar seorang yang sangat mudah tersentuh. Apabila beliau berdiri di tempatmu, beliau tidak akan dapat memperdengarkan bacaannya kepada orang ramai. Kalaulah engkau menyuruh Umar.”

Apabila Nabi SAW mendengarnya, Baginda bersabda:

“Sesungguhnya kamu semua benar-benar seperti wanita-wanita yang bersama Yusuf.”

Dimaksudkan dengan sabdaan baginda ini ialah mereka menyerupai wanita-wanita dalam kisah Nabi Yusuf AS dari sudut menzahirkan sesuatu yang berlainan daripada apa yang tersembunyi di dalam hati, serta banyak mendesak untuk mendapatkan perkara yang mereka kehendaki dan inginkan. Kemudian Nabi SAW sekali lagi mengulangi perintah Baginda supaya Abu Bakar RA mengimamkan orang ramai.

Apabila Abu Bakar RA datang lalu memulakan solat, Nabi SAW merasakan tubuh Baginda sedikit ringan. Lalu Baginda bangun dan berjalan dengan dipapah oleh dua orang lelaki, iaitu al-Abbas bin Abd al-Muttalib dan Ali bin Abi Talib RA.

Kedua-dua kaki Baginda menyeret di atas tanah, yakni meninggalkan kesan seperti garisan di atas tanah kerana beratnya keadaan dan sakit yang dialami oleh Baginda SAW.

Apabila Abu Bakar RA menyedari kehadiran Nabi SAW, beliau hendak berundur ke belakang. Namun Nabi SAW memberi isyarat kepadanya supaya kekal di tempatnya.

Baginda SAW kemudian duduk di sebelah kiri Abu Bakar RA. Abu Bakar RA bersolat dalam keadaan berdiri dengan mengikuti solat Nabi SAW yang bersolat dalam keadaan duduk. Orang ramai pula mengikuti solat Abu Bakar RA yang berdiri di hadapan mereka.

Menurut penjelasan ini, Rasulullah SAW merupakan imam sebenar, manakala Abu Bakar RA menjadi makmum kepada Baginda. Abu Bakar pula memperdengarkan takbir kepada orang ramai kerana suara Nabi SAW ketika itu amat lemah.

Dengan demikian, orang ramai mengikuti takbir yang disampaikan oleh Abu Bakar. Beliau bertindak sebagai penyampai takbir (المبلغ) daripada Nabi SAW dan bukan sebagai imam sebenar bagi mereka. Maka Abu Bakar dan seluruh jemaah sebenarnya mengikuti Nabi SAW. Abu Bakar hanya menyampaikan takbir Nabi SAW kepada mereka agar mereka dapat mengikuti pergerakan solat Baginda.

Namun terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa Nabi SAW menjadi imam kepada Abu Bakar, manakala Abu Bakar pula menjadi imam kepada orang ramai yang berada di belakangnya. Berdasarkan pendapat ini, solat tersebut berlangsung dengan dua imam dalam bentuk tersebut.

Beberapa Pengajaran Daripada Hadis

Hadis ini menunjukkan disyariatkan mengambil hukum yang lebih berat atau lebih sempurna bagi seseorang yang sebenarnya dibenarkan mengambil rukhsah atau keringanan.

Hadis ini juga menunjukkan pensyariatan menunaikan solat secara duduk bagi orang yang tidak mampu berdiri.

Ia turut menunjukkan betapa besarnya kedudukan solat berjemaah.

Hadis ini juga mengandungi petunjuk bahawa Abu Bakar RA merupakan manusia yang paling utama selepas Nabi SAW dan orang yang paling layak menggantikan Baginda sebagai khalifah. Ia turut menunjukkan kelebihan Umar bin al-Khattab RA selepas Abu Bakar.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa seseorang yang lebih rendah kedudukannya dibenarkan mengemukakan pandangan atau cadangan kepada seseorang yang lebih utama daripadanya.

Selain itu, hadis ini menunjukkan adab terhadap seseorang yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi. Hal ini dapat dilihat apabila Abu Bakar RA hendak berundur dari saf kerana menghormati kedudukan dan hak Rasulullah SAW untuk menjadi imam solat.


Cetak  
Wallahu a'lam