Hadis Penduduk Kawasan 'Awali Datang Menunaikan Solat Jumaat

Daripada Aisyah Umm al-Mu’minin RA, katanya:

كان الناسُ يأتونَ الجمعةَ من منازلِهم ومنَ العَوالي فيأتونَ في العَباءِ ويصيبُهمُ الغبارُ فيخرجُ منهم الريحُ فأتى رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ إنسانٌ منهم وهو عندي فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ : لو أنَّكم تَطهرْتُم ليومِكم هذا

Dahulunya ramai datang menunaikan solat Jumaat dari rumah-rumah mereka dan dari kawasan-kawasan pinggir Madinah. Mereka datang dengan memakai pakaian luar (‘abā’), lalu terkena debu sehingga timbul bau dari tubuh mereka. Kemudian salah seorang daripada mereka datang menemui Rasulullah SAW ketika Baginda berada bersamaku. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Alangkah baiknya sekiranya kamu membersihkan diri pada hari kamu ini.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Ibn Hazm dalam al-Muhallā, 2/10. Diriwayatkan juga oleh al-Bukhari (902) dan Muslim (847) dengan sedikit perbezaan lafaz)

Daripada Aisyah Umm al-Mu’minin RA, katanya:

كان النَّاسُ يَنتابونَ يَومَ الجُمُعةِ مِن مَنازِلِهم والعَواليِّ، فيَأتونَ في الغُبارِ، يُصيبُهمُ الغُبارُ والعَرَقُ، فيَخرُجُ منهمُ العَرَقُ، فأتى رَسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إنسانٌ منهم وهو عِندي، فقال النَّبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: لو أنَّكُم تَطَهَّرتُم ليَومِكُم هذا.

Orang ramai datang silih berganti pada hari Jumaat dari rumah-rumah mereka dan dari kawasan-kawasan pinggir Madinah. Mereka datang dalam keadaan berdebu; terkena debu dan berpeluh sehingga peluh keluar daripada tubuh mereka. Kemudian salah seorang daripada mereka datang menemui Rasulullah SAW ketika Baginda berada bersamaku. Lalu Nabi SAW bersabda: “Alangkah baiknya sekiranya kamu membersihkan diri pada hari kamu ini.” (Hadis Sahih al-Bukhari, no. 902 dan Muslim (847)

Huraian Hadis

Hari Jumaat merupakan hari yang agung dan sebaik-baik hari dalam seminggu. Pada hari tersebut, umat Islam berhimpun untuk menunaikan solat. Oleh sebab itu, Nabi SAW sangat menggalakkan umat Islam agar membersihkan diri, memakai wangian dan menjaga penampilan pada hari tersebut, khususnya bagi mereka yang hendak menghadiri solat Jumaat.

Dalam hadis ini, Aisyah RA menceritakan bahawa orang ramai datang menghadiri solat Jumaat dari rumah-rumah mereka dan juga dari al-‘Awālī (العوالي), iaitu kawasan-kawasan yang terletak di sekitar Madinah. Mereka datang untuk menunaikan solat bersama Rasulullah SAW di masjid Baginda.

Al-‘Azhim Abadi dalam ‘Aun al-Ma’bud menyatakan sabit bahawa solat Jumaat adalah wajib ke atas orang yang berada di luar kota atau kawasan penempatan utama, sebagaimana ia diwajibkan ke atas setiap penduduk dalam kota yang mendengar seruan azan. Ia menolak pandangan ulama Kufah yang tidak mewajibkan solat Jumaat ke atas mereka yang berada di luar kota.

Lafaz يَنْتَابُونَ الْجُمُعَةَ berasal dari perkataan النَّوْبَة (al-naubah), yang bermaksud mereka menghadiri solat Jumaat secara bergilir-gilir. Perkataan الانتياب pula terbentuk daripada النوبة. Dalam riwayat lain disebut dengan lafaz يَتَنَاوَبُونَ, iaitu “mereka bergilir-gilir”.

Lafaz مِنْ مَنَازِلِهِمْ bermaksud dari tempat-tempat kediaman mereka yang berhampiran dengan Madinah. Manakala وَمِنَ الْعَوَالِي bermaksud dari al-‘Awālī. Perkataan العوالي ialah kata jamak bagi عالية, iaitu beberapa kawasan dan perkampungan yang terletak di sebelah timur Madinah. Kawasan yang paling hampir dengannya terletak sekitar tiga atau empat batu dari Madinah, manakala yang paling jauh sekitar lapan batu. Demikian menurut al-Qastallani. Dalam Lisān al-‘Arab pula disebutkan:

والعوالي هي أماكن بأعلى أراضي المدينة وأدناها من المدينة على أربعة أميال وأبعدها من جهة نجد ثمانية

Al-‘Awālī ialah kawasan-kawasan yang terletak di bahagian tanah tinggi Madinah. Kawasan yang paling hampir dengannya terletak sekitar empat batu dari Madinah, manakala yang paling jauh, dari arah Najd, sekitar lapan batu.” Selesai nukilan.

Dalam kitab al-Marāsīl karya Abu Dawud, Imam Malik berkata:

العوالي على ثلاثة أميال من المدينة .

Al-‘Awālī terletak sekitar tiga batu dari Madinah.”

Abu Dawud turut meriwayatkan dalam al-Marāsīl melalui jalur Ahmad bin ‘Amr bin al-Sarh (أحمد بن عمرو بن السرح), daripada Ibn Wahb (ابن وهب), daripada Yunus bin Yazid al-Ayli (يونس بن يزيد الأيلي), daripada Ibn Syihab (ابن شهاب), beliau berkata:

بلغنا أن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - جمع أهل العوالي في مسجده يوم الجمعة .

“Telah sampai kepada kami bahawa Rasulullah SAW menghimpunkan penduduk al-‘Awālī di masjid Baginda pada hari Jumaat.”

Al-Qurtubi dan pengarang al-Tawḍīḥ berkata bahawa hadis Aisyah ini mengandungi penolakan terhadap pandangan ulama Kufah yang berpendapat bahawa solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas orang yang berada di luar kota. Hal ini kerana Aisyah RA menceritakan bahawa penduduk al-‘Awālī secara berterusan datang secara bergilir-gilir untuk menunaikan solat Jumaat. Amalan yang dilakukan secara berterusan ini menunjukkan bahawa solat Jumaat merupakan suatu kewajipan ke atas mereka.

Sekiranya ditanya:

“Jika kehadiran penduduk al-‘Awālī ke Madinah memang diwajibkan, mengapakah mereka datang secara bergilir-gilir? Sepatutnya mereka semua hadir bersama-sama.”

Jawapannya:

Maksud ucapan Aisyah يَنْتَابُونَ bukanlah sebahagian penduduk al-‘Awālī datang ke Masjid Nabi SAW, sementara sebahagian yang lain menunaikan solat Jumaat di kawasan kediaman mereka sendiri.

Sebaliknya, maksudnya ialah sesiapa antara mereka yang berada di kediaman masing-masing akan datang ke Madinah pada hari Jumaat. Hal ini kerana terdapat dalam kalangan mereka orang yang keluar untuk memenuhi pelbagai keperluan, sama ada kerana bermusafir ataupun bekerja, sehingga belum sempat kembali ke kediamannya pada hari Jumaat.

Ada juga antara mereka yang mempunyai keuzuran sehingga tidak mampu datang ke Madinah. Oleh itu, bagaimana mungkin mereka semua dapat hadir secara serentak?

Namun, apabila mereka yang berkenaan telah kembali ke kediaman masing-masing dan keuzuran mereka telah hilang, mereka akan hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Demikian juga, seseorang yang hadir ke Madinah pada Jumaat sebelumnya mungkin tidak dapat hadir pada Jumaat berikutnya disebabkan faktor yang disebutkan tadi, sehingga dia tidak sampai ke Madinah pada hari tersebut.

Dalam hadis ini Aisyah RA menyebut:

“Mereka datang dalam keadaan berdebu.”

Dalam riwayat Muslim pula disebut:

“Mereka datang dengan memakai al-‘abā’ (العباء),”

iaitu kata jamak bagi ‘abā’ah (عباءة), sejenis pakaian luar atau jubah. Dalam perjalanan, mereka terkena debu dan berpeluh. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan pakaian menjadi kotor dan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Keadaan tersebut tidak sewajarnya dibiarkan oleh seorang Muslim, lebih-lebih lagi ketika berada dalam perhimpunan orang ramai dan menghadiri solat Jumaat di masjid.

Aisyah RA kemudian menceritakan bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi SAW. Berdasarkan zahir hadis, Nabi SAW terhidu bau yang kurang menyenangkan daripada lelaki tersebut ketika dia menghampiri Baginda. Apabila Nabi SAW melihat keadaannya, Baginda bersabda:

“Alangkah baiknya sekiranya kamu membersihkan diri pada hari kamu ini.”

Dalam satu riwayat lain yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, Baginda bersabda:

“Alangkah baiknya sekiranya kamu mandi.”

Maksudnya, hendaklah mereka mandi ketika hendak datang menunaikan solat Jumaat supaya orang lain tidak terganggu dengan bau peluh mereka. Dimaksudkan dengan التطهُّر (membersihkan diri) dalam hadis ini ialah mandi dengan meratakan air ke seluruh tubuh dan kepala, dengan tujuan mencapai kebersihan dan kesucian.

Hadis ini mengandungi galakan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan menghindarkan tubuh daripada bau yang tidak menyenangkan, khususnya pada hari Jumaat.


Cetak  
Wallahu a'lam