Soalan
Anak lelaki saya sering bercakap menggunakan telefon bimbit ketika berada di dalam tandas, sama ada ketika membuang air kecil mahupun air besar. Ada kalanya dia berbual dengan adik-beradiknya yang berada di luar tandas. Anak saya berusia 20 tahun. Apakah hukum perbuatan tersebut menurut syarak?
Jawapan
Tidak boleh bercakap ketika berada di dalam tandas, khususnya jika percakapan tersebut bukan kerana sesuatu keperluan. Orang yang bercakap dalam keadaan sebagaimana yang dinyatakan dalam soalan juga berkemungkinan akan menyebut nama Allah SWT dalam percakapannya, sedangkan tidak dibenarkan berzikir atau menyebut nama Allah SWT di dalam tandas kerana ia merupakan tempat yang kotor.
Hukum ini berkaitan dengan percakapan ketika berada di dalam tandas tetapi bukan dalam keadaan sedang membuang hajat.
Adapun ketika sedang membuang air, para ulama telah menjelaskan bahawa makruh bercakap ketika menunaikan hajat kecuali kerana sesuatu keperluan atau kemaslahatan. Mereka juga menyatakan bahawa disunatkan berdiam diri ketika menunaikan hajat kecuali terdapat perkara penting yang memerlukan seseorang itu bercakap.
Imam al-Nawawi al-Syafi‘i berkata dalam Rawḍah al-Ṭālibīn (1/65, cet. al-Maktab al-Islami), ketika membicarakan tentang adab menunaikan hajat:
ويُكره أن يذكر الله تعالى، أو يتكلَّم بشيءٍ قبل خروجه، إلَّا لضرورة
“Makruh seseorang menyebut nama Allah SWT atau bercakap sesuatu sebelum dia keluar [dari tempat menunaikan hajat], kecuali kerana darurat.”
Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam Tuhfah al-Muhtāj:
وَلَوْ بِغَيْرِ ذِكْرٍ، أَوْ رَدِّ سَلَامٍ لِلنَّهْيِ عَنِ التَّحَدُّثِ عَلَى الْغَائِطِ، وَلَوْ عَطَسَ حَمِدَ بِقَلْبِهِ فَقَطْ كَمُجَامِعٍ، فَإِنْ تَكَلَّمَ وَلَمْ يُسْمِعْ نَفْسَهُ فَلَا كَرَاهَةَ.
Maksudnya: “[Makruh bercakap ketika menunaikan hajat] sekalipun percakapan itu tidak mengandungi zikir kepada Allah, demikian juga menjawab salam, kerana terdapat larangan daripada bercakap ketika membuang air besar. Sekiranya dia bersin, hendaklah dia memuji Allah di dalam hatinya sahaja, sebagaimana orang yang sedang melakukan persetubuhan. Namun, jika dia mengucapkan sesuatu tanpa memperdengarkannya kepada dirinya sendiri, maka tidak makruh.”
Dalam al-Tāj wa al-Iklīl ‘alā Mukhtaṣar Khalīl, sebuah kitab dalam fiqh mazhab Maliki, ketika menghuraikan perkataan pengarang berkenaan adab menunaikan hajat:
وَسُكُوتٌ إِلَّا لِمُهِمٍّ
“Dan [disunatkan] berdiam diri kecuali kerana sesuatu perkara yang penting.”
Dijelaskan:
لَا يَتَكَلَّمُ أَحَدٌ فِي حَالِ جُلُوسِهِ لِلْحَدَثِ، وَقَالَ عِيَاضٌ: وَلَا يُسَلَّمُ عَلَيْهِ وَلَا يَرُدُّ.
Maksudnya: “Seseorang tidak sepatutnya bercakap ketika sedang duduk untuk menunaikan hajat. ‘Iyad berkata: Tidak diberikan salam kepadanya dan dia juga tidak menjawab salam.”
Kesimpulannya, makruh bercakap, termasuk bercakap melalui telefon, ketika sedang membuang air kecil atau air besar jika tiada keperluan. Namun, sekiranya terdapat keperluan atau perkara penting yang menghendaki seseorang bercakap, maka ia tidak termasuk dalam larangan tersebut.
