SDI 2036: Hukum Melayan Warga Emas Yang Sakit Dengan Kasar

Soalan:

Apakah hukum melayan warga emas yang sakit dengan kasar ketika mengurus dan merawat mereka?

Ibu saudara saya telah lanjut usia dan menghidap demensia. Anak-anaknya kadangkala melayan beliau dengan agak kasar kerana beliau sesekali melakukan perkara yang boleh membahayakan dirinya sendiri. Mereka bimbang tindakan tersebut menyebabkan mereka berdosa, namun pada masa yang sama mereka tidak menemui cara lain untuk mengawal dan melindunginya.

Adakah mereka berdosa kerana berbuat demikian?

Jawapan:

Syariat yang penuh hikmah telah menjadikan berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa sebagai antara amalan mendekatkan diri kepada Allah yang paling tinggi nilainya dan ketaatan yang paling dituntut. Ia juga termasuk antara kewajipan syarak yang paling utama serta tujuan syariat yang sangat diberikan perhatian.

Nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah saling memperkukuh dalam menetapkan hak kedua-dua ibu bapa serta mengangkat kedudukan mereka dalam pelbagai keadaan. Hal ini menjadikan berbakti kepada ibu bapa sebagai salah satu prinsip yang kukuh dalam perkara-perkara kebajikan dan amalan mendekatkan diri kepada Allah.

Allah SWT berfirman:

﴿وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا﴾

Maksudnya: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa.” (al-Nisa’: 36)

Antara bentuk berbuat baik kepada kedua-duanya ialah sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Razi dalam Tafsirnya (10/76, cet. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi):

أن يقوم بخدمتهما، وألا يرفع صوته عليهما، ولا يخشن في الكلام معهما، ويسعى في تحصيل مطالبهما والإنفاق عليهما بقدر القدرة من البر

“Hendaklah seseorang berkhidmat kepada kedua-duanya, tidak meninggikan suara terhadap mereka, tidak bercakap dengan kasar kepada mereka, berusaha memenuhi keperluan mereka serta memberikan nafkah kepada mereka sekadar kemampuan sebagai sebahagian daripada berbakti.”

Berbakti kepada Ibu Bapa Merupakan Fardu Ain

Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa merupakan fardu ain ke atas setiap anak, sebagai pengiktirafan terhadap tingginya kedudukan ibu bapa dan besarnya hak mereka. Kewajipan ini tidak boleh diwakilkan dalam erti kata kewajipan seseorang anak tidak gugur hanya kerana telah dilaksanakan oleh anak yang lain. Perkara ini telah ditegaskan oleh para fuqaha daripada keempat-empat mazhab.

Ulama Hanafi, al-‘Allamah Ibn Mazah al-Bukhari (ابنُ مازه البخاري الحنفي) berkata dalam al-Muhit al-Burhani fi al-Fiqh al-Nu‘mani (5/386):

وطاعةُ الوالدين وبِرهُما فرضٌ خاصٌّ لا يَنُوبُ البعضُ فيه عن البعض

“Mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa merupakan kewajipan khusus bagi setiap individu; pelaksanaan oleh sebahagian tidak menggugurkan kewajipan sebahagian yang lain.”

Ulama Maliki, al-‘Allamah Ibn Abi Zayd al-Qayrawani (ابن أبي زيد القيرواني المالكي) berkata dalam Matn al-Risalah (hlm. 153):

ومن الفرائضبر الوالدين وإن كانا فاسقين وإن كانا مشركين، فليقل لهما قولًا ليِّنًا وليعاشرهما بالمعروف ولا يطعهما في معصية، كما قال الله سبحانه وتعالى

“Antara perkara yang diwajibkan ialah berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, sekalipun mereka fasik dan sekalipun mereka musyrik. Hendaklah seseorang berkata-kata kepada mereka dengan lemah lembut, bergaul dengan mereka secara baik dan tidak mentaati mereka dalam perkara maksiat, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT.”

Imam al-Syirazi daripada mazhab Syafi‘i berkata dalam al-Muhadhdhab (3/269):

وبر الوالدين فرض يتعين عليه

“Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa merupakan kewajipan yang dituntut secara individu ke atas seseorang.”

Al-‘Allamah Ibn Qudamah daripada mazhab Hanbali pula berkata dalam al-Mughni (9/208):

بر الوالدين فرض عين

“Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah fardu ain.”

Dengan demikian, berbakti kepada ibu bapa bukan sekadar suatu kemuliaan akhlak, bahkan merupakan suatu bentuk ibadah dan hak syarak yang tetap bagi kedua-dua ibu bapa. Mereka merupakan sebab kewujudan seseorang anak dan menjadi asas utama dalam mendidiknya dengan nilai agama serta akhlak yang mulia.

Jika demikian kedudukan berbakti kepada ibu bapa dalam keadaan biasa, maka kewajipan tersebut menjadi lebih kuat dan lebih dituntut ketika mereka telah lanjut usia, lemah atau ditimpa penyakit. Keadaan ini diberikan perhatian dan penegasan khusus oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ۝ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا﴾

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya mencapai usia tua dalam jagaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka walaupun perkataan ‘ah’, dan janganlah kamu menengking mereka, sebaliknya ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang serta berdoalah: ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku ketika kecil.’”
(al-Isra’: 23-24)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT:

﴿إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ﴾

berkata dalam Tafsirnya (10/214):

خص حالة الكبر لأنها الحالة التي يحتاجان فيها إلى بره لتغير الحال عليهما بالضعف والكبر، فألزم في هذه الحالة من مراعاة أحوالهما أكثر مما ألزمه من قبل؛ لأنهما في هذه الحالة قد صارَا كلًّا عليه، فيحتاجان أن يلي منهما في الكبر ما كان يحتاج في صغره أن يليَا منه، فلذلك خص هذه الحالة بالذكر

“Allah mengkhususkan keadaan lanjut usia kerana pada ketika itulah kedua-duanya sangat memerlukan kebaktian anak disebabkan keadaan mereka telah berubah akibat kelemahan dan usia tua. Oleh itu, dalam keadaan tersebut, Allah mewajibkan penjagaan terhadap keadaan mereka dengan lebih besar berbanding sebelumnya. Hal ini kerana ketika itu mereka telah menjadi beban yang memerlukan penjagaan anak. Anak perlu menguruskan mereka ketika tua sebagaimana dahulu mereka menguruskan anak ketika kecil. Oleh sebab itulah keadaan ini disebut secara khusus.”

Larangan Melayan Pesakit Warga Emas dengan Kasar Ketika Menjaga dan Merawat Mereka

Dalam permasalahan yang dibincangkan ini, kewajipan berbakti dan menjaga ibu yang menghidap demensia (الخرف) menjadi semakin kuat. Hal ini kerana keadaannya telah berubah daripada sihat kepada menghidap penyakit yang sukar dan berpanjangan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, demensia ialah penyakit yang berpunca daripada pelbagai penyakit atau kecederaan yang menjejaskan otak, seperti penyakit Alzheimer. Ia menyebabkan kerosakan sel-sel saraf yang lazimnya mengakibatkan kemerosotan fungsi kognitif, iaitu keupayaan berfikir, ingatan serta kemampuan melakukan aktiviti harian. Penyakit ini semakin buruk dari semasa ke semasa dalam kadar yang melampaui kesan biasa proses penuaan biologi.

Menguruskan seseorang yang menghidap demensia memerlukan kefahaman yang mendalam dan kesedaran yang tinggi tentang sifat penyakit tersebut serta keadaan kesihatan fizikal dan psikologi pesakit. Penjaga juga perlu memiliki tahap belas kasihan dan kesabaran yang tinggi.

Kesukaran dan cabaran besar yang dihadapi oleh anak-anak dalam melaksanakan tanggungjawab berbakti tidak mengharuskan mereka melayani ibu dengan kasar. Sesiapa yang berbuat demikian berdosa.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ

“Celakalah dia! Kemudian celakalah dia! Kemudian celakalah dia!” Baginda ditanya: “Siapakah, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:

مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ، أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ

“Seseorang yang sempat menemui kedua-dua ibu bapanya ketika mereka lanjut usia, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, namun dia tidak masuk syurga.” (Riwayat Muslim)

Melayan ibu dalam keadaan tersebut dengan buruk dianggap sebagai penderhakaan (‘uquq) yang diharamkan. Penderhakaan merangkumi segala bentuk perbuatan menyakiti dan layanan buruk terhadap salah seorang ibu bapa yang berpunca daripada sifat bakhil, rasa jemu dan tidak senang, hilang kesabaran, keinginan membalas dendam ataupun penghinaan, selagi ibu atau bapa tidak bertindak melampaui batas.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam Fath al-Bari (10/406):

والعقوق -بضم العين المهملة- مشتقٌّ من العق، وهو القطع، والمراد به صدور ما يتأذَّى به الوالد من ولده من قولٍ أو فعلٍ إلا في شرك أو معصية ما لم يتعنت الوالد، وضبطه ابن عطية بوجوب طاعتهما في المباحات فعلًا وتركًا، واستحبابها في المندوبات وفروض الكفاية كذلك

“Perkataan al-‘uquq (العقوق) berasal daripada al-‘aqq (العق) yang bermaksud memutuskan. Yang dimaksudkan dengannya ialah terbit daripada seorang anak sesuatu perkataan atau perbuatan yang menyakiti ibu bapanya, kecuali dalam perkara syirik atau maksiat, selagi ibu atau bapa tidak bertindak melampaui batas. Ibn ‘Atiyyah memberikan batasannya dengan menyatakan bahawa wajib mentaati kedua-duanya dalam perkara harus, sama ada untuk melakukan atau meninggalkannya, dan sunat mentaati kedua-duanya dalam perkara sunat serta fardu kifayah.”

Ketegasan untuk Melindungi Ibu daripada Bahaya

Namun, sekiranya layanan yang terlalu lembut dan tenang boleh mengakibatkan bahaya yang serius kepada ibu, seperti menyebabkan dia mencederakan dirinya sendiri atau terdedah kepada bahaya, maka tindakan tegas yang diperlukan untuk mencegah kemudaratan tersebut dibenarkan sebagai langkah perlindungan.

Walaupun syariat mengharuskan tindakan yang diperlukan untuk menghindarkan bahaya, cara, bentuk dan kadar tindakan tersebut hendaklah dirujuk kepada nasihat doktor yang merawat serta pakar berkaitan. Hal ini kerana keadaan setiap pesakit adalah berbeza.

Dalam kes demensia yang telah mencapai tahap lanjut, tindakan keras walaupun bertujuan melindungi pesakit boleh menyebabkan keadaan psikologinya semakin merosot atau mencetuskan episod kemurungan yang teruk.

Keperluan menjaga nyawa dan keselamatan ibu mungkin membolehkan anak menghalangnya daripada melakukan sesetengah perkara berdasarkan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

“Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

Dan kaedah:

الضَّرَرُ يُزَالُ

“Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”

Namun, perkara tersebut tetap terikat dengan satu kaedah penting:

لَا يُزَالُ الضَّرَرُ بِالضَّرَرِ

“Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan mendatangkan kemudaratan yang lain.”

Imam al-Subki berkata dalam al-Asybah wa al-Naza’ir (1/41):

الضرر لا يُزال بالضرر

“Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan.”

Oleh itu, tidak dibenarkan menghindarkan kemungkinan bahaya yang mungkin dilakukan oleh ibu terhadap dirinya dengan mendatangkan kemudaratan lain yang nyata dan diharamkan terhadapnya.

Sebaliknya, tuntutan berbakti dalam keadaan seperti ini menghendaki anak mematuhi arahan doktor yang merawat dengan teliti. Sekiranya ibu perlu dihalang secara fizikal daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan dirinya, maka ketegasan tersebut hendaklah semata-mata bertujuan melindunginya daripada mencederakan diri atau membantu proses rawatannya.

Tindakan itu juga hendaklah dilakukan sekadar yang diperlukan dan dengan cara yang paling ringan sebagaimana ditentukan oleh pakar, sehingga matlamat perlindungan tercapai tanpa menggunakan kekasaran yang boleh menjatuhkan maruahnya atau menyakiti tubuh dan jiwanya.

Sekiranya sifat penyakit menyebabkan berlakunya keadaan tertentu yang menjadikan penjaga tidak mampu menggunakan pendekatan lemah lembut melalui kata-kata, seperti ketika pesakit mengalami episod kegelisahan atau kemarahan yang menyebabkan dia tidak mampu memahami percakapan dan tidak dapat ditenangkan dengan kata-kata, keadaan tersebut sama sekali tidak menggugurkan kewajipan untuk tetap berlemah lembut melalui tindakan setakat yang masih mampu dilakukan.

Ini bagi menghimpunkan antara kewajipan melindungi pesakit dengan kewajipan berbakti kepada ibu bapa, selaras dengan kaedah:

الْمَيْسُورُ لَا يَسْقُطُ بِالْمَعْسُورِ

“Perkara yang mampu dilakukan tidak gugur disebabkan adanya perkara yang tidak mampu dilakukan.”

Imam al-Subki berkata dalam al-Asybah wa al-Naza’ir (1/155):

قاعدة: الميسور لا يسقط بالمعسور، من أشهر القواعد المستنبطة من قوله صلى الله عليه وسلم: "إذا أمرتكم بأمر فأتوا منه ما استطعتم

“Kaedah ‘perkara yang mampu dilakukan tidak gugur disebabkan perkara yang tidak mampu dilakukan’ merupakan antara kaedah paling masyhur yang diistinbatkan daripada sabda Nabi SAW: ‘Apabila aku memerintahkan kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah daripadanya sekadar yang kamu mampu.’”

Ibu Hendaklah Dilayan Sebagai Amanah, Bukan Sebagai Lawan

Keadaan ini menuntut agar ibu dilayan sebagai amanah yang Allah serahkan ke dalam jagaan anak-anak, bukannya sebagai lawan yang menimbulkan rasa jemu atau seseorang yang perlu dipersoalkan dan dihukum atas setiap tindakannya.

Orang yang telah terjejas kemampuan akalnya hendaklah dilindungi dan dijaga, bukannya dihukum atau dikasari. Segala tingkah laku agresif atau luar kebiasaan yang mungkin dilakukan olehnya bukanlah semata-mata suatu kebiadaban yang perlu dibalas dengan kekasaran, tetapi merupakan kesan penyakit yang sepatutnya dihadapi dengan belas kasihan.

Dalam keadaan seperti ini, seakan-akan putaran kehidupan kembali semula: ibu bapa yang dahulunya menjaga anak kini menjadi orang yang memerlukan penjagaan anak, sebagaimana anak dahulu memerlukan penjagaan ibu bapanya.

Sebagai penyempurnaan terhadap kewajipan berbakti dan bagi mencapai tahap belas kasihan yang sebaik-baiknya, anak-anak hendaklah mempersiapkan diri dan mempelajari cara yang betul untuk mengendalikan pesakit demensia. Hal ini selaras dengan kaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

“Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengannya, maka perkara tersebut turut menjadi wajib.”

Persediaan tersebut boleh dilakukan dengan mengikuti latihan khusus, membuat pembacaan yang mendalam mengenai penyakit ini atau mendapatkan konsultasi secara berterusan daripada pakar seperti doktor, pakar kesihatan mental dan ahli terapi.

Ilmu dan latihan tersebut bukanlah suatu perkara sampingan, bahkan merupakan keperluan praktikal yang membolehkan seseorang anak memberikan penjagaan yang betul dan selamat, memelihara maruah ibunya, mengurangkan penderitaan ibu dan dirinya sendiri, serta mengelakkannya daripada melakukan kesilapan yang mungkin dipertanggungjawabkan oleh syarak walaupun dilakukan dengan niat yang baik.

Sekiranya anak yang menjaga merasakan dirinya tidak mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik-baiknya, hendaklah dia mendapatkan bantuan daripada individu yang berkemampuan, terlatih dan berkelayakan dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan. Ini bagi menghilangkan kesukaran daripada dirinya dan pada masa yang sama melindungi pesakit daripada kemudaratan.

Kesimpulan

Berdasarkan perkara di atas dan merujuk kepada kes yang ditanyakan, menguruskan seseorang yang menghidap demensia memerlukan kefahaman yang mendalam dan kesedaran yang tinggi terhadap sifat penyakit tersebut serta keadaan fizikal dan psikologi pesakit.

Penjaga hendaklah memiliki tahap belas kasihan dan kesabaran yang tinggi serta berusaha sedaya upaya untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada pesakit.

Sekiranya penjaga terpaksa bertindak tegas bagi melindungi pesakit daripada mencederakan dirinya sendiri atau bagi membantu proses rawatannya, tindakan tersebut hendaklah sekadar yang diperlukan, tidak boleh menyebabkan sebarang kecederaan atau penderaan sama ada secara lisan mahupun fizikal, dan hendaklah menggunakan kaedah yang disarankan oleh doktor serta pakar yang berkaitan.

Semua perkara tersebut merupakan kewajipan terhadap setiap pesakit. Namun, bagi seorang anak dalam hubungannya dengan ibu bapanya, kewajipan tersebut adalah lebih besar dan lebih dituntut.


Cetak  
Wallahu a'lam