SDI 2037: Apakah Maksud Allah Menangguhkan Kemustajaban Doa Hingga Ke Hari Akhirat

Soalan:

Adakah keyakinan terhadap terkabulnya doa bercanggah dengan sabda Nabi SAW bahawa kemustajaban doa seseorang mungkin ditangguhkan sehingga hari Kiamat?

Hal ini kerana, jika kemustajaban doa ditangguhkan sehingga hari pembalasan, bukankah itu sebenarnya bukan lagi kemustajaban terhadap doa yang dipohon, sebaliknya merupakan pahala atas kesabaran dan ganjaran yang akan diperoleh oleh seorang mukmin pada hari Kiamat sehingga memberatkan timbangan amal kebaikannya?

Oleh itu, apabila seseorang yang berdoa membayangkan bahawa kemustajaban terhadap doanya mungkin ditangguhkan sehingga hari Kiamat, perkara tersebut boleh menyebabkan keyakinannya berkurangan dan semangatnya menjadi lemah. Ini kerana mungkin dia benar-benar berada dalam keadaan terdesak dan sangat memerlukan doanya diperkenankan ketika masih hidup di dunia. Sedangkan tiada sesiapa yang dapat melepaskan kesusahan orang yang berada dalam keadaan terdesak selain Allah SWT.

Saya pernah mendengar seorang ustaz mengatakan terdapat kefahaman yang kurang tepat terhadap hadis:

“Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan suatu doa... melainkan Allah memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara...”

Beliau mengatakan bahawa doa pasti diperkenankan, selagi seseorang berdoa memohon perkara yang baik dan memenuhi sebab-sebab yang diperlukan untuk diperkenankan doa. Adapun jawapan doa yang ditangguhkan sehingga hari Kiamat atau digantikan dengan dijauhkan suatu keburukan yang setimpal dengan doanya, menurut beliau, hanya berlaku apabila seseorang hamba tidak memenuhi sebab-sebab yang diperlukan untuk doanya diperkenankan.

Ini kerana Allah SWT berfirman:

﴿ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ﴾

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan untuk kamu.”

Allah tidak menyebut pilihan yang lain. Demikian juga firman Allah SWT:

﴿وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ﴾

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka mendapat petunjuk.”

Allah SWT juga berfirman:

﴿أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ﴾

“Bukankah Dia yang memperkenankan doa orang yang berada dalam kesusahan apabila dia berdoa kepada-Nya?”

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjanjikan untuk memperkenankan doa selagi kita taat kepada-Nya, berdoa dan memohon kepada-Nya dengan penuh keyakinan. Allah mungkin menangguhkan pemberian apa yang diminta sehingga suatu waktu yang sesuai dalam kehidupan dunia kerana sebab-sebab yang hanya diketahui oleh-Nya. Namun, Allah tidak akan membiarkan hamba yang telah menadah kedua-dua tangannya ke langit kembali dengan tangan kosong. Sekiranya perkara yang diminta itu tidak baik baginya, Allah akan memberikan sesuatu yang seumpamanya atau yang lebih baik. Allah SWT juga berfirman:

﴿فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ۝ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا﴾

“Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.”

Ayat tersebut diulang sebanyak dua kali dan Allah menggandingkan kesukaran dengan kemudahan. Ini menunjukkan bahawa Allah menjanjikan jalan keluar bagi mereka yang berada dalam kesusahan dan kesempitan. Maka bagaimana pula sekiranya mereka berdoa kepada-Nya dan bersungguh-sungguh mengulangi doa tersebut?

Apakah pandangan ustaz mengenai tafsiran hadis dengan cara ini? Sejujurnya, apabila saya memikirkan bahawa doa saya mungkin tidak diperkenankan dalam kehidupan dunia ini, sedangkan saya benar-benar berada dalam keadaan terdesak dan memerlukannya, dan bahawa kemustajabannya mungkin ditangguhkan sehingga selepas kematian saya, saya berasa sedikit berputus asa dan keyakinan saya menjadi berkurangan.

Jawapan:

Sesungguhnya janji Allah untuk memperkenankan doa tidak bercanggah dengan keadaan Allah menyimpan ganjaran doa tersebut untuk orang yang berdoa di akhirat. Hal ini kerana boleh jadi pemberian secara langsung di dunia terhadap perkara yang diminta oleh seseorang hamba sebenarnya membawa keburukan dan fitnah kepadanya.

Adapun pendapat yang mengatakan bahawa kemustajaban doa hanya ditangguhkan sehingga hari Kiamat atau digantikan dengan dijauhkan keburukan apabila seseorang hamba tidak memenuhi sebab-sebab yang diperlukan untuk doanya diperkenankan, maka pendapat tersebut tidak benar.

Hal ini kerana perkenan terhadap doa boleh berlaku dalam beberapa bentuk: Allah memberikan secara langsung apa yang diminta oleh orang yang berdoa; Allah menjauhkan daripadanya sesuatu keburukan; atau Allah menyimpan ganjaran doa tersebut sehingga suatu waktu ketika hamba itu lebih memerlukannya.

Dalil bahawa kesemua bentuk tersebut termasuk dalam pengertian diperkenankan doa ialah janji Allah SWT dalam firman-Nya:

﴿وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ﴾

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan untuk kamu.” (Ghafir: 60)

Demikian juga sabda Nabi SAW:

يستجاب لأحدكم ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم

“Doa seseorang daripada kamu akan diperkenankan selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan hubungan silaturahim...” Riwayat Muslim.

Baginda SAW juga bersabda:

ما على الأرض مسلم يدعو الله بدعوة إلا آتاه الله إياها, أو صرف عنه من السوء مثلها, ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم

“Tidak ada seorang Muslim pun di muka bumi yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa melainkan Allah akan memberikan kepadanya apa yang dimintanya atau menjauhkan daripadanya keburukan yang sebanding dengannya, selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan hubungan silaturahim.” Riwayat al-Tirmizi.

Dalam riwayat Ahmad pula disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:

ما من مسلم يدعو بدعوة ليس فيها إثم ولا قطيعة رحم إلا أعطاه الله بها إحدى ثلاث: إما أن يعجل له دعوته، وإما أن يدخرها له في الآخرة، وإما أن يصرف عنه من السوء مثلها. قالوا: إذًا نكثر، قال: الله أكثر

“Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan suatu doa yang tidak mengandungi dosa dan tidak pula bertujuan memutuskan hubungan silaturahim, melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara: sama ada Allah menyegerakan untuknya apa yang dipohon dalam doanya, atau Allah menyimpannya untuknya di akhirat, atau Allah menjauhkan daripadanya keburukan yang sebanding dengannya.” Para sahabat berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa.” Baginda bersabda: “Allah lebih banyak lagi [kurniaan-Nya].”

Ketiga-tiga perkara tersebut berlaku sebagai hasil daripada diperkenankannya doa. Sebagaimana yang telah dijelaskan, seseorang hamba tidak mengetahui perkara ghaib dan tidak mengetahui dengan pasti apa yang benar-benar baik atau buruk untuk dirinya. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ﴾

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)

Apabila seseorang hamba berdoa dengan menghadirkan kefahaman terhadap hakikat-hakikat ini dalam dirinya, imannya akan semakin bertambah, tekadnya semakin kuat dan dia akan semakin bersemangat untuk terus berdoa serta memohon perlindungan dan pertolongan Allah SWT pada setiap waktu.

Perkenan doa dengan pengertian seperti ini pasti berlaku apabila syarat-syaratnya dipenuhi dan perkara-perkara yang menghalangnya tidak wujud.

Syarat dan penghalang kepada perkenan doa dapat dirumuskan daripada firman Allah SWT:

﴿فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي﴾

“Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku.” (al-Baqarah: 186)

Demikian juga sabda Nabi SAW:

ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم

“Selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan hubungan silaturahim.”

Oleh itu, sesiapa yang menyahut perintah Allah SWT dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, membenarkan janji-Nya dan beriman kepada-Nya, serta tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan hubungan silaturahim, maka dia telah memenuhi syarat-syarat diperkenankan doa dan terhindar daripada perkara-perkara yang menghalangnya. Allah SWT sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya.

Yakinlah bahawa Allah SWT tidak menentukan sesuatu bagi hamba-Nya yang beriman melainkan terdapat kebaikan untuknya, sama ada dia mengetahuinya ataupun tidak. Seorang mukmin meyakini bahawa apa sahaja yang Allah SWT takdirkan untuknya mengandungi kebaikan bagi urusannya di dunia dan di akhirat.

Dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim serta kitab-kitab hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

ما يصيب المسلم من نصب ولا وصب ولا هم ولا حزن ولا أذى حتى الشوكة يشاكها إلا كان له بها أجر

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kegelisahan, kesedihan atau gangguan, bahkan duri yang mencucuknya sekalipun, melainkan dengan sebab itu Allah memberikan pahala kepadanya.”

Nabi SAW juga bersabda:

عجبًا لأمر المؤمن، إن أمره كله له خير، وليس ذلك لأحد إلا المؤمن، إن أصابته سراء شكر فكان خيرًا له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرًا له

“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik baginya, dan perkara tersebut tidak berlaku kepada sesiapa pun melainkan kepada orang mukmin. Jika dia memperoleh kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” Riwayat Muslim.


Cetak  
Wallahu a'lam