SDI 2038: Doa Belum Diperkenankan Seperti yang Diharapkan, Perlukah Terus Berusaha?

Soalan:

Saya telah berdoa kepada Allah selama dua belas tahun penuh, namun sehingga kini doa saya masih belum diperkenankan seperti yang saya harapkan.

Sepanjang tempoh itu, saya terus berusaha, mencuba dan mencuba. Saya telah kehilangan banyak wang, perkahwinan saya tertangguh, dan keadaan emosi saya semakin terjejas sehingga saya pernah diberhentikan beberapa pekerjaan akibat usaha-usaha tersebut. Namun saya masih terus mencuba.

Sekarang saya mula berfikir bahawa mungkin ada kebaikan pada perkara yang tidak diberikan kepada saya. Mungkin juga kemustajaban doa itu disimpan untuk akhirat, atau Allah telah menghindarkan daripada saya suatu keburukan yang sebanding dengan doa tersebut.

Jika demikian, apakah perlunya saya terus mencuba?

Saya sudah letih dengan terlalu banyak percubaan. Saya juga letih dengan pelaburan-pelaburan yang gagal sehingga menghabiskan wang saya. Rakan-rakan saya sudah berkahwin, mempunyai anak dan memiliki rumah, sedangkan saya masih berada di tempat yang sama kerana terlalu mengejar usaha dan pelaburan berkaitan perkara yang saya doakan.

Kalaulah dahulu saya menyimpan wang saya dan tidak terus mengejar perkara tersebut, mungkin sekarang saya sudah berkahwin, mempunyai anak dan memiliki rumah sendiri.

Jika saya membuat keputusan untuk berhenti mencuba dan memilih kehidupan yang sederhana dengan bekerja dalam apa-apa pekerjaan yang sekadar mencukupi keperluan saya, lalu berhenti mengejar perkara tersebut, adakah itu bermaksud saya telah meninggalkan doa?

Saya sukar memahami kehendak Allah dan sukar memahami maksud ayat-ayat-Nya. Jika benar terdapat kemungkinan bahawa Allah tidak memperkenankan doa kita dalam bentuk yang kita mahukan, bahkan mungkin menyimpannya untuk akhirat, maka mengapa kita perlu terus mencuba? Mengapa kita perlu menyeksa diri secara emosi? Mengapa kita perlu terus menanggung kesakitan?

Mengapa tidak kita berdoa sahaja, kemudian menunggu ganjarannya di akhirat, dan selesai?

Saya sudah jemu dengan terlalu banyak percubaan yang gagal. Dua belas tahun sudah cukup lama untuk saya berhenti mencuba.

Kadangkala saya menenangkan diri dengan berkata bahawa dunia ini bukan tempat tinggal kita yang sebenar, sebaliknya tempat kita ialah syurga. Namun kemudian timbul pula fikiran: “Siapa yang menjamin bahawa kamu akan masuk syurga?” Lalu fikiran seperti ini menyebabkan saya berasa sangat tertekan dan murung.

Apakah faedahnya untuk saya terus mencuba?

Jawapan:

Pertama sekali, saya nasihatkan anda agar kasihan terhadap diri sendiri dan menjauhkan bisikan-bisikan syaitan yang bertujuan mengeruhkan kehidupan anda, merosakkan agama anda dan menggoncangkan kepercayaan anda kepada Tuhan.

Saya juga menegaskan bahawa apabila sesuatu doa memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dan tiada perkara yang menghalang dari diperkenankan, maka doa tersebut pasti diperkenankan kerana Allah SWT telah menjanjikannya, dan Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Allah SWT berfirman:

﴿لَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ﴾

Maksudnya: “Allah tidak memungkiri janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (al-Rum: 6)

Anda hendaklah mengetahui syarat-syarat dan penghalang kepada penerimaan doa, begitu juga adab-adab berdoa termasuk waktu-waktu yang diharapkan mustajab. Saya juga ingin menegaskan bahawa sesiapa yang berdoa kepada Tuhannya dengan penuh keikhlasan dan kejujuran serta memenuhi garis panduan yang telah dijelaskan, maka usahanya pasti tidak akan sia-sia sama sekali. Dia akan memperoleh salah satu dari tiga perkara sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis-hadis sahih. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:

ما من مسلم يدعو بدعوة ليس فيها إثم ولا قطيعة رحم إلا أعطاه الله بها إحدى ثلاث: إما أن يعجل له دعوته، وإما أن يدخرها له في الآخرة، وإما أن يصرف عنه من السوء مثلها، قالوا: إذا نكثر، قال الله أكثر

“Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan suatu doa yang tidak mengandungi dosa dan tidak pula memutuskan hubungan silaturahim, melainkan Allah akan memberinya salah satu daripada tiga perkara: sama ada Allah menyegerakan untuknya apa yang diminta dalam doanya, atau menyimpannya untuknya di akhirat, atau menjauhkan daripadanya suatu keburukan yang sebanding dengannya.” Para sahabat berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa.” Baginda bersabda: “Allah lebih banyak lagi [kurniaan-Nya].” (Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad-sanad yang baik. Al-Hakim juga meriwayatkannya dan menilainya sahih sanadnya)

Daripada Abu Hurairah RA pula bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما من رجل يدعو الله بدعاء إلا استجيب له، فإما أن يعجل له في الدنيا، وإما أن يدخر له في الآخرة، وإما أن يكفر عنه من ذنوبه بقدر ما دعا ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم أو يستعجل. قالوا: يا رسول الله؛ وكيف يستعجل؟ قال: يقول: دعوت ربي فما استجاب لي

“Tidaklah seseorang berdoa kepada Allah dengan suatu doa melainkan doanya diperkenankan. Sama ada ia disegerakan untuknya di dunia, atau disimpan untuknya di akhirat, atau dihapuskan daripada dosa-dosanya sebanyak kadar doanya, selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa, memutuskan hubungan silaturahim atau tergesa-gesa.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang itu dianggap tergesa-gesa?” Baginda menjawab: “Dia berkata: Aku telah berdoa kepada Tuhanku, tetapi Dia tidak memperkenankan doaku.” (Syeikh al-Albani menilai hadis ini sahih, kecuali tambahan lafaz bahawa dosa-dosanya dihapuskan sebanyak kadar doanya)

Daripada penjelasan ini, anda dapat memahami bahawa seseorang diperintahkan supaya berdoa dan dijanjikan bahawa doanya akan diperkenankan. Namun, bukan manusia yang menentukan bentuk bagaimana doa itu akan diperkenankan. Zat yang menentukan bentuk perkenan doa tersebut ialah Allah SWT kerana Dia lebih mengetahui apa yang membawa maslahat kepada hamba-Nya serta apa yang lebih sesuai dan baik baginya.

Sering kali jiwa manusia terlalu bergantung kepada sesuatu yang sebenarnya tidak membawa kebaikan kepadanya. Lalu Allah dengan rahmat dan kebijaksanaan-Nya menjauhkan perkara tersebut daripada hamba-Nya. Sebahagian manusia, disebabkan keterbatasan pandangan mereka, tidak menyedari bahawa kadangkala nikmat yang terdapat pada tidak diberikan sesuatu, jauh lebih besar daripada nikmat mendapatkannya. Bahkan boleh jadi kebinasaan seseorang terletak pada perkara yang diberikan kepadanya, sedangkan kebaikannya terletak pada perkara yang tidak diberikan. Allah SWT berfirman:

﴿وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ﴾

Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)

Allah SWT juga berfirman:

﴿وَيَدْعُ الْإِنْسَانُ بِالشَّرِّ دُعَاءَهُ بِالْخَيْرِ وَكَانَ الْإِنْسَانُ عَجُولًا﴾

Maksudnya: “Manusia berdoa meminta keburukan sebagaimana dia berdoa meminta kebaikan, dan manusia sememangnya bersifat tergesa-gesa.” (al-Isra’: 11)

Al-Razi berkata dalam tafsirnya:

أقول: يحتمل أن يكون المراد: أن الإنسان قد يبالغ في الدعاء طلباً لشيء يعتقد أن خيره فيه، مع أن ذلك الشيء يكون منبع شره وضرره، وهو يبالغ في طلبه لجهله بحال ذلك الشيء، وإنما يقدم على مثل هذا العمل لكونه عجولاً مغتراً بظواهر الأمور غير متفحص عن حقائقها وأسرارها

“Boleh jadi maksud ayat ini ialah bahawa seseorang manusia bersungguh-sungguh berdoa untuk mendapatkan sesuatu yang dia sangka mengandungi kebaikan baginya, sedangkan perkara itu sebenarnya menjadi punca keburukan dan kemudaratannya. Namun dia terus bersungguh-sungguh memintanya kerana tidak mengetahui hakikat perkara tersebut. Dia melakukan demikian kerana sifatnya yang tergesa-gesa, tertipu dengan zahir sesuatu perkara dan tidak meneliti hakikat serta kesudahan sebenarnya.”

Al-Sa‘di pula berkata dalam tafsirnya:

الغالب على العبد المؤمن أنه إذا أحب أمرا من الأمور، فقيض الله له من الأسباب ما يصرفه عنه أنه خير له، فالأوفق له في ذلك، أن يشكر الله، ويجعل الخير في الواقع، لأنه يعلم أن الله تعالى أرحم بالعبد من نفسه، وأقدر على مصلحة عبده منه، وأعلم بمصلحته منه؛ كما قال تعالى: وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ. فاللائق بكم أن تتمشوا مع أقداره، سواء سرتكم أو ساءتكم

“Kebiasaannya, apabila seorang hamba yang beriman mencintai sesuatu perkara, kemudian Allah menyediakan sebab-sebab yang menghalangnya daripada perkara tersebut, maka itu sebenarnya lebih baik baginya. Sikap yang paling tepat dalam keadaan tersebut ialah dia bersyukur kepada Allah dan meyakini bahawa kebaikan terletak pada apa yang benar-benar berlaku. Hal ini kerana dia mengetahui bahawa Allah lebih mengasihi seorang hamba daripada dirinya sendiri, lebih berkuasa menentukan kemaslahatan untuknya dan lebih mengetahui apa yang terbaik baginya. Sebagaimana firman Allah: ‘Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.’ Oleh itu, yang sewajarnya bagi kamu ialah berjalan seiring dengan ketentuan Allah, sama ada perkara itu menggembirakan kamu ataupun menyedihkan kamu.”

Apabila anda memahami semua perkara ini, ketahuilah bahawa terdapat beberapa sikap yang sewajarnya anda lakukan:

  1. Serahkan urusan anda kepada Allah SWT, reda dengan apa yang telah Dia tentukan untuk anda, serta yakin sepenuhnya bahawa apa yang Allah pilih merupakan kebaikan dan maslahat bagi anda di dunia dan di akhirat.
  2. Teruskan berdoa, kerana doa merupakan ibadah yang sangat besar dan setiap Muslim disunatkan memperbanyakkannya. Pada masa yang sama, hendaklah reda dengan apa sahaja ketentuan Allah, sama ada anda memperoleh apa yang anda inginkan atau tidak.
  3. Carilah waktu-waktu yang diharapkan mustajab untuk berdoa.
  4. Renungkan nikmat-nikmat Allah yang sedang anda miliki. Kemudian lihatlah keadaan orang lain yang diuji dengan pelbagai musibah dan kecacatan, seperti mereka yang kehilangan penglihatan, pendengaran atau kemampuan bercakap, atau mereka yang diuji dengan penyakit yang tidak mempunyai rawatan.

Dengan itu anda akan mengetahui betapa besar nikmat Allah terhadap anda dan dapat mensyukurinya. Anda juga akan menyedari bahawa kesusahan yang sedang anda keluhkan mungkin sebenarnya jauh lebih ringan berbanding pelbagai musibah yang Allah telah lindungi anda daripadanya. Oleh itu, hendaklah anda memuji Allah kerana sesungguhnya anda masih berada dalam nikmat yang besar. Nabi SAW bersabda:

من أصبح منكم آمنا في سربه، معافى في جسده، عنده قوت يومه، فكأنما حيزت له الدنيا

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang memasuki waktu pagi dalam keadaan aman di tempat tinggalnya, sihat tubuh badannya dan mempunyai makanan untuk harinya, maka seolah-olah seluruh dunia telah dihimpunkan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad. Hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani)

  1. Ketahuilah bahawa dunia tidak berbaloi untuk seseorang membebankan dirinya dengan segala kepayahan yang ada. Anda akhirnya pasti akan meninggalkan segala kepayahan di dunia ini, cepat atau lambat, menuju ke negeri yang kekal. Tiada sesuatu daripada dunia yang akan dibawa bersama kecuali amal soleh yang telah dilakukan.

Oleh itu, ambillah daripada dunia sekadar yang dimudahkan untuk anda. Redalah dengan rezeki, harta dan pekerjaan yang Allah tentukan untuk anda. Berkahwinlah dan bina keluarga anda. Jangan gantungkan seluruh kehidupan anda kepada projek-projek dan perkara yang bukan sepenuhnya berada dalam kawalan anda.

Sebaliknya, bergeraklah berdasarkan realiti kehidupan yang sedang anda hadapi. Carilah rezeki yang halal melalui jalan-jalan yang tersedia. Sekiranya selepas itu Allah memudahkan anda melakukan pelaburan yang tidak bercanggah dengan syarak dan tidak menghalang anda dari melaksanakan kewajipan-kewajipan yang Allah perintahkan kepada anda, maka lakukanlah.

Namun jika tidak, tinggalkanlah perkara tersebut dan hiduplah dengan apa yang Allah mudahkan untuk anda sambil bertawakal kepada-Nya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pemberi Rezeki lagi Maha Pemurah. Dia memberikan rezeki kepada orang yang bertawakal dan bertakwa kepada-Nya dari arah yang tidak disangka-sangka. Allah SWT berfirman:

﴿وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا ۝ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ﴾

Maksudnya: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan Dia akan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah mencukupkannya.” (al-Talaq: 2-3)

Nabi SAW bersabda:

لو توكلتم على الله حق توكله لزرقكم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا

“Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung; burung keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.” Riwayat al-Tirmizi.

  1. Jauhkan daripada diri anda pemikiran-pemikiran yang salah, seperti:

“Siapa yang menjamin bahawa kamu akan masuk syurga?”

“Mengapa kita perlu terus mencuba?”

“Mengapa kita perlu menyeksa diri secara emosi?”

“Mengapa kita perlu menanggung kesakitan?”

“Mengapa tidak kita berdoa sahaja dan menunggu jawapannya di akhirat?”

Semua pemikiran seperti ini merupakan bisikan syaitan yang tidak membawa sebarang manfaat. Jika anda menyerah kepadanya, ia akan merosakkan agama anda.

Bahkan dengan logik yang sama, syaitan mungkin berkata kepada seseorang: “Mengapa kamu perlu bersolat dan menyusahkan diri sedangkan kamu sendiri tidak dijamin akan masuk syurga?”

Oleh itu, cara mengatasi semua perkara tersebut ialah berpaling sepenuhnya dari bisikan dan pemikiran seperti itu serta terus melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah.

Nabi SAW bersabda:

اعملوا فكل ميسر لما خلق له

“Beramallah, kerana setiap orang akan dimudahkan menuju kepada apa yang dia diciptakan untuknya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Cetak  
Wallahu a'lam