Tiga Golongan yang Doanya Tidak Ditolak

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

ثلاثةٌ لا تُردُّ دعوتُهم الصَّائمُ حتَّى يُفطرَ والإمامُ العادلُ ودعوةُ المظلومِ يرفعُها اللهُ فوق الغمامِ وتُفتَّحُ لها أبوابُ السَّماءِ ويقولُ الرَّبُّ وعزَّتي لأنصُرنَّك ولو بعد حينٍ

“Tiga golongan yang doanya tidak ditolak: orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi. Allah mengangkat doa orang yang dizalimi itu ke atas awan, dibukakan baginya pintu-pintu langit, lalu Tuhan berfirman: ‘Demi kemuliaan-Ku, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah suatu tempoh.’” (Status hadis: Sanadnya sahih atau hasan, atau menghampiri kedua-duanya. al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib, 2/121. Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (3598) dengan lafaz ini, Ibn Majah (1752) dan Ahmad (8030)

Dalam riwayat lain, juga daripada Abu Hurairah RA, disebut:

ثلاثة لا تردُّ دعوتُهم . . . والصَّائمُ حتَّى يفطرَ ودعوةُ المظلومِ . . .

“Tiga golongan yang doanya tidak ditolak... orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi...” (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah, no. 1432. Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (3598), Ibn Majah (1752) dan Ahmad (8030) secara panjang)

Huraian Hadis

Nabi SAW telah menjelaskan kepada kita beberapa sebab yang membawa kepada diperkenankan doa. Baginda juga menerangkan sifat-sifat golongan yang doa mereka diterima oleh Allah SWT.

Dalam hadis ini, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiga golongan yang doanya tidak ditolak.”

Maksudnya, doa mereka diperkenankan, sama ada mereka berdoa untuk diri sendiri ataupun untuk orang lain. Ada yang menjelaskan bahawa cepatnya sesuatu doa diperkenankan adalah disebabkan kesolehan orang yang berdoa atau kerana kesungguhan dan kerendahan dirinya ketika bermunajat kepada Allah SWT.

Penyebutan bilangan “tiga” dalam hadis ini pula bukanlah bermaksud hanya tiga golongan ini sahaja yang doanya diperkenankan, tetapi ia disebut sebagai suatu bentuk penjelasan.

Golongan pertama ialah: “Pemimpin yang adil.”

Dimaksudkan dengan pemimpin dalam lafaz ini ialah orang yang memegang kekuasaan tertinggi. Turut termasuk dalam pengertian ini sesiapa sahaja yang diberikan tanggungjawab mengurus sebahagian urusan umat Islam lalu dia berlaku adil dalam urusan tersebut. Dia menunaikan perintah Allah dengan meletakkan setiap sesuatu pada tempat yang sewajarnya, tanpa melampaui batas dan tanpa pula cuai. Allah SWT berfirman:

﴿الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ﴾

Maksudnya: “Iaitu mereka yang apabila Kami berikan kekuasaan kepada mereka di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (al-Hajj: 41)

Pemimpin yang adil disebut terlebih dahulu kerana manfaat keadilannya merangkumi orang ramai. Doanya diperkenankan kerana dia mampu menundukkan hawa nafsunya dan bersabar daripada melaksanakan apa yang didorong oleh syahwat, ketamakan dan kemarahannya, sedangkan dia sebenarnya mempunyai kuasa untuk mencapai kehendaknya.

Seolah-olah seluruh dunia menggodanya supaya tunduk kepadanya, namun dia berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam.”

Pemimpin yang sedemikian merupakan antara manusia yang paling banyak memberikan manfaat kepada hamba-hamba Allah. Apabila dia baik, maka keadaan rakyat di bawah pemerintahannya turut menjadi baik.

Golongan kedua ialah: “Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.”

Lafaz ini merangkumi semua orang yang berpuasa, khususnya mereka yang berpuasa pada bulan Ramadan. Oleh itu, orang yang berpuasa hendaklah mengambil peluang daripada waktu tersebut dengan memperbanyakkan doa, menghadirkan hati dan meyakini bahawa doanya akan diperkenankan. Hal ini kerana ia merupakan waktu yang sangat diharapkan berlakunya penerimaan doa. Pada ketika itu, seseorang berada dalam keadaan merendah diri dan tunduk di hadapan Allah SWT, di samping sedang berpuasa dan berulang kali berdoa kepada-Nya. Dalam riwayat Ibn Majah daripada Jabir bin ‘Abdillah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ للهِ عندَ كلِّ فِطْرٍ عُتَقاءَ، وذلك في كلِّ ليلةٍ

“Sesungguhnya bagi Allah pada setiap waktu berbuka terdapat hamba-hamba yang dibebaskan daripada neraka, dan perkara itu berlaku pada setiap malam.”

Oleh itu, sesiapa yang berdoa kepada Tuhannya dengan hati yang hadir, menggunakan doa yang disyariatkan dan dalam keadaan berpuasa, serta tidak terdapat penghalang kepada penerimaan doa seperti memakan makanan yang haram dan seumpamanya, maka Allah SWT telah menjanjikan perkenan terhadap doanya.

Golongan ketiga ialah: “Doa orang yang dizalimi.”

Allah mengangkat doa tersebut ke atas awan, iaitu ke atas langit, dan pintu-pintu langit dibukakan untuknya. Kemudian Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Agung berfirman:

“Demi kemuliaan-Ku, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah suatu tempoh.”

Maksudnya, pertolongan tersebut pasti datang sekalipun selepas berlalu suatu tempoh masa. Ungkapan ini mengandungi peringatan, ancaman dan amaran yang sangat keras terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman.

Disebabkan besarnya kedudukan doa orang yang dizalimi, pintu-pintu langit dibukakan sama ada untuk doa tersebut sendiri ataupun untuk malaikat yang membawanya naik.

Allah SWT mungkin menangguhkan hukuman terhadap orang yang zalim kerana sifat-Nya Yang Maha Penyantun. Boleh jadi Allah memberikan tempoh agar orang yang zalim kembali daripada kezalimannya dan dosa-dosanya, menunaikan hak orang yang dizaliminya serta bertaubat kepada Allah.


Cetak  
Wallahu a'lam