Huraian Hadis Riyadh al-Salihin (Hadis 704 - 705)

باب الندب إلى إتيان الصلاة والعلم ونحوهما من العبادات بالسكينة والوقار

Bab: Sunat Menghadiri Solat, Menuntut Ilmu dan Ibadah-Ibadah Seumpamanya dengan Tenang dan Penuh Wibawa

Allah تعالى berfirman:

﴿ذَلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ﴾

Maksudnya: “Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya perbuatan itu adalah daripada ketakwaan hati.”
(Surah al-Hajj: 32)

Hadis 704

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا وَأَنْتُمْ تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا وَأَنْتُمْ تَمْشُونَ، وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Maksudnya: “Apabila solat telah didirikan, maka janganlah kamu datang kepadanya dalam keadaan berlari. Datanglah dalam keadaan berjalan dan hendaklah kamu menjaga ketenangan. Apa sahaja rakaat yang sempat kamu dapati, maka solatlah; dan apa yang kamu terlepas, maka sempurnakanlah.” (Hadis ini disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat Muslim terdapat tambahan:

فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا كَانَ يَعْمِدُ إِلَى الصَّلَاةِ فَهُوَ فِي الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seseorang daripada kamu menuju untuk menunaikan solat, maka dia berada dalam keadaan seperti orang yang sedang solat.”

Hadis 705

Daripada Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما,:

أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ ﷺ يَوْمَ عَرَفَةَ، فَسَمِعَ النَّبِيُّ ﷺ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا، وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ، فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ، وَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ، فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

Bahawa beliau bergerak bersama Nabi pada hari Arafah.  Baginda Nabi di belakangnya terdengar suara menengking yang kuat, bunyi pukulan dan suara unta. Lalu Nabi mengisyaratkan kepada mereka dengan cemeti Baginda sambil bersabda: “Wahai manusia, hendaklah kamu menjaga ketenangan. Sesungguhnya kebajikan itu bukanlah dengan berlari atau mempercepatkan perjalanan.” (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, manakala Muslim meriwayatkan sebahagian daripadanya)

Penjelasan istilah

البرّ (al-birr) bermaksud: Ketaatan dan segala bentuk kebajikan.

Manakala الإيضاع (al-īḍā‘) ialah berjalan atau bergerak dengan sangat cepat.

Dalam teks disebut bahawa huruf ض  dalam الإيضاع  ialah ضاد معجمة  (ḍād bertitik), sebelumnya huruf ي dan همزة dibaris kasrah, bermaksud berjalan dengan cepat atau mempercepatkan perjalanan.

Huraian

Al-Imam al-Nawawi رحمه الله تعالى berkata:

“Bab: Sunat menuju kepada solat, menuntut ilmu dan ibadah-ibadah seumpamanya dengan penuh ketenangan dan kewibawaan.”

Solat, sebagaimana yang diketahui, merupakan rukun Islam yang paling utama selepas dua kalimah syahadah. Ia juga termasuk antara syiar-syiar Allah yang paling agung. Apabila seseorang menuju untuk menunaikan solat, sebenarnya dia sedang menuju untuk berdiri menghadap Allah عز وجل. Sudah menjadi perkara yang diketahui bahawa apabila seseorang pergi menemui manusia yang dia hormati dan muliakan, dia akan datang dengan adab, ketenangan dan kewibawaan. Maka, bagaimana pula jika dia datang untuk berdiri di hadapan Allah عز وجل?

Oleh itu, seseorang hendaklah datang menunaikan solat dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa, sebagaimana yang akan disebut dalam hadis Abu Hurairah رضي الله عنه di atas.

Kemudian penulis رحمه الله تعالى mengemukakan firman Allah تعالى sebagai dalil bagi bab ini:

﴿ذَلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ﴾

“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada ketakwaan hati.”

Seseorang yang mengagungkan syiar-syiar Allah, iaitu dia menganggap syiar-syiar tersebut sebagai sesuatu yang agung dalam hatinya, lalu dia melaksanakan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan sebagai tanda pengagungan terhadapnya dengan anggota badannya, maka perbuatan tersebut merupakan sebahagian daripada ketakwaan hati. Ia menjadi tanda bahawa niatnya baik dan hatinya bertakwa.

Apabila hati seseorang bertakwa, maka anggota badannya juga akan bertakwa. Hal ini berdasarkan sabda Nabi :

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

“Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh terdapat seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh tubuh. Apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah, ia adalah hati.”

Maka, mengagungkan syiar-syiar Allah adalah suatu yang dituntut, kerana pengagungan tersebut merupakan tanda ketakwaan yang ada dalam hati.

Selain itu, pengagungan terhadap perkara-perkara yang Allah muliakan juga lebih baik bagi bagi seseorang insan di sisi Allah عز وجل. Allah تعالى berfirman:

﴿ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ اللهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ عِندَ رَبِّهِ﴾

“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan perkara-perkara yang diharamkan Allah, maka yang demikian itu lebih baik baginya di sisi Tuhannya.”

Hadis Abu Hurairah رضي الله عنه

Penulis menyebut hadis Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا وَأَنْتُمْ تَسْعَوْنَ

“Apabila solat telah didirikan, maka janganlah kamu datang kepadanya dalam keadaan berlari.”

Maksudnya, apabila kita mendengar iqamah ketika berada di luar masjid, maka janganlah kita berlari menuju ke masjid kerana takut terlepas solat berjemaah. Ini menunjukkan bahawa iqamah boleh didengari dari luar masjid dan itulah yang zahir daripada hadis ini.

Terdapat juga hadis yang menyebut bahawa Bilal رضي الله عنه berkata kepada Nabi :

لَا تَسْبِقْنِي بِآمِينَ

“Janganlah kamu mendahului aku dalam mengucapkan ‘amin’.”

Hal ini menunjukkan bahawa Bilal رضي الله عنه berada di tempat yang boleh didengari oleh orang ramai ketika beliau mengucapkan iqamah. Lafaz ini memberi faham bahawa Bilal رضي الله عنه mengumandangkan iqamah di suatu tempat yang agak jauh daripada imam. Kemudian beliau datang menyertai solat. Oleh itu, Bilal mahu Nabi tidak mengucapkan “آمين” terlebih dahulu sebelum beliau sampai dan masuk ke dalam solat lalu mengucapkan “آمين” bersama Baginda.

Namun begitu, kesahihan hadis ini dipersoalkan dari sudut sanad. Perawi yang meriwayatkan hadis ini daripada Bilal ialah Abu ‘Uthman al-Nahdi (أبو عثمان النهدي). Dikatakan bahawa beliau tidak sempat bertemu dengan Bilal رضي الله عنه. Dalam sebahagian jalur riwayat, Abu ‘Uthman al-Nahdi berkata:

“Sesungguhnya Bilal berkata begini dan begini...”

Berdasarkan riwayat tersebut, hadis ini menjadi mursal, iaitu seorang tabi‘in meriwayatkan sesuatu yang berlaku pada zaman Nabi sedangkan dia sendiri tidak sempat bertemu atau menyaksikannya. Memang terdapat satu riwayat yang menyebut sanadnya bersambung (mawsul), tetapi terdapat juga riwayat lain yang menjadikannya mursal.

Berdasarkan pertimbangan tersebut, penulis menyimpulkan bahawa hadis ini terputus sanadnya dan tidak sabit daripada Rasulullah . (Lihat Syarḥ Sunan Abī Dāwūd oleh al-Syaikh ʿAbd al-Muḥsin al-ʿAbbād, pada jilid 118, halaman 25, dalam syarah hadis: «يا رسول الله لا تسبقني بآمين»)

Kemudian Nabi bersabda:

وَأْتُوهَا وَأَنْتُمْ تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ

“Datanglah kepadanya dalam keadaan berjalan dan hendaklah kamu menjaga ketenangan.”

Maksudnya, berjalanlah seperti biasa, dengan langkah yang sederhana dan tidak tergesa-gesa, serta hendaklah kamu berada dalam keadaan sakinah (tenang), tidak kelam-kabut dan tidak berlari. Jadi, apabila seseorang mendengar iqamah, dia tidak perlu berlari untuk mengejar rakaat. Sebaliknya, dia datang dengan berjalan secara biasa, tenang dan penuh kewibawaan.

Sabda Nabi :

وَأَنْتُمْ تَمْشُونَ

“Sedangkan kamu berjalan,”

Terdapat dalil bahawa seseorang hendaklah berjalan dengan cara yang biasa, dan dia tidak perlu memendekkan langkahnya dengan menghampir-hampirkan kedua-dua langkah, sebagaimana yang disunatkan oleh sebahagian ulama. Adapun sabda Nabi :

لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إِلَّا رَفَعَ اللهُ بِهَا دَرَجَةً

“Tidaklah dia melangkah satu langkah melainkan Allah mengangkat dengannya satu darjat,”

Maka hadis ini menunjukkan bahawa seseorang mengambil langkah yang lebih pendek dan menghampirkan langkahnya. Namun, cara berjalan yang sebenarnya hendaklah tetap cara berjalan yang biasa, tanpa tergesa-gesa.

Apabila seseorang datang ke masjid dengan cara seperti ini, Nabi bersabda:

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

“Apa yang sempat kamu dapati, maka solatlah; dan apa yang kamu terlepas, maka sempurnakanlah.”

Walau bagaimanapun, para ulama mengatakan bahawa jika seseorang bimbang akan terlepas satu rakaat — iaitu terlepas rukuk bersama imam — maka tidak mengapa dia mempercepatkan langkahnya sedikit. Tetapi hendaklah kelajuan tersebut tidak sampai kepada tahap yang buruk atau keterlaluan. Janganlah dia berlari dengan cara yang menyebabkan pergerakannya menjadi kasar, menimbulkan bunyi bising dan mengganggu ketenangan.

Antara faedah yang dapat diambil daripada hadis ini ialah:

  1. Menunjukkan betapa agungnya kedudukan solat. Seseorang hendaklah datang menunaikannya dengan penuh adab, khusyuk, ketenangan dan kewibawaan.
  2. Tidak mengapa iqamah didengari dari luar masjid. Berdasarkan hal ini, sekiranya bilal atau muazin mengumandangkan iqamah menggunakan pembesar suara supaya orang yang berada di luar masjid dapat mendengarnya, maka perkara tersebut tidak mengapa.

Namun, sebahagian orang membantah perkara ini. Mereka mengatakan bahawa apabila iqamah dilaungkan sehingga dapat didengari dari luar masjid, sesetengah orang akan menjadi malas untuk hadir lebih awal. Mereka hanya datang apabila mendengar iqamah. Akibatnya, mereka mungkin terlepas rakaat pertama atau lebih banyak rakaat, bergantung kepada sejauh mana kedudukan mereka dari masjid.

Namun, selagi perkara seperti ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah , iaitu iqamah dapat didengari oleh orang yang berada di luar, maka kami berpandangan bahawa tidak mengapa menggunakan pembesar suara untuk iqamah.

Tidak wajar menyiarkan keseluruhan solat melalui pembesar suara

Adapun perkara yang dibimbangi boleh membawa kepada dosa ialah perbuatan sesetengah orang yang menyiarkan solat itu sendiri melalui pembesar suara dari menara masjid. Hal ini boleh menyebabkan gangguan kepada orang di sekeliling, khususnya ketika solat malam yang bacaannya dibaca secara jahr. Ia boleh mengganggu rumah-rumah yang berada berhampiran dan juga masjid-masjid yang berdekatan. Perbuatan ini boleh mengganggu orang lain yang sedang beribadat di rumah seperti wanita, orang uzur dan seumpamanya.

Gangguan seperti ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini kerana apabila hati seseorang sibuk dengan sesuatu, ia akan berpaling daripada perkara yang lain. Jika seseorang mendengar bacaan imam dari masjid berhampiran, dan bacaan imam tersebut pula baik dari segi suara dan cara pembacaannya, maka hati seseorang mungkin terganggu dan perkara itu boleh mengganggu bacaannya.

Telah sabit dalam al-Muwaṭṭaʾ karya Imam Malik رحمه الله bahawa pada suatu malam, Nabi keluar dan mendapati para sahabat sedang menunaikan solat di dalam masjid. Suara mereka ketika membaca al-Quran kedengaran agak tinggi. Lalu Nabi bersabda:

إِنَّ الْمُصَلِّيَ يُنَاجِي رَبَّهُ، فَلْيَنْظُرْ بِمَا يُنَاجِيهِ بِهِ، وَلَا يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ بِالْقُرْآنِ

“Sesungguhnya orang yang sedang solat sedang bermunajat kepada Tuhannya. Maka hendaklah dia memperhatikan dengan apa dia bermunajat kepada-Nya. Janganlah sebahagian kamu meninggikan suara membaca al-Quran sehingga mengganggu sebahagian yang lain.”

Dalam riwayat Abu Dawud pula:

أَلَا كُلُّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

“Ketahuilah, setiap daripada kamu sedang bermunajat kepada Tuhannya. Oleh itu, janganlah sebahagian kamu menyakiti atau mengganggu sebahagian yang lain, dan janganlah sebahagian kamu meninggikan suara bacaan mengatasi sebahagian yang lain.”

Maka Nabi menganggap perbuatan tersebut sebagai gangguan terhadap orang lain dan melarangnya. Oleh sebab itu, orang yang menyiarkan bacaan solat melalui pembesar suara hendaklah diberi perhatian. Jika perbuatan tersebut menyebabkan gangguan kepada orang di sekeliling, maka mereka berdosa.

Apabila sesuatu perbuatan itu berada dalam keadaan sama ada seseorang mendapat dosa atau selamat daripada dosa dengan meninggalkannya, maka tidak diragukan bahawa meninggalkannya adalah lebih utama.

Sebenarnya, perbuatan tersebut tidak mempunyai keperluan yang jelas. Seseorang itu tidak menunaikan solat untuk orang yang berada di luar masjid. Dia menunaikan solat untuk jemaah yang berada di dalam masjid. Adapun orang yang berada di luar masjid, kita tidak perlu memikirkan mereka dari sudut mendengar bacaan imam.

Selain itu, mungkin ada orang yang telah menunaikan solat dan perlu tidur serta berehat. Mungkin juga dia seorang yang sakit, lalu suara tersebut mengganggunya. Ada juga kemungkinan masjid itu berada sangat berhampiran dengan rumah, khususnya apabila terdapat kanak-kanak. Suara pembesar suara yang kuat mungkin menyebabkan mereka terkejut atau ketakutan. Akhirnya sebahagian orang yang berada di sekitar masjid atau rumah-rumah berdekatan akan terganggu dengan suatu perkara yang tidak memiliki tujuan yang jelas.

Cara Masuk Solat Apabila Menjadi Makmum Masbuq

Maksud sabda Nabi :

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

“Apa yang kamu sempat dapati, maka solatlah; dan apa yang kamu terlepas, maka sempurnakanlah.”

Seseorang hendaklah bertakbiratul ihram terlebih dahulu untuk masuk ke dalam solat. Kemudian menyertai imam dalam keadaan yang sedang dilakukan oleh imam ketika itu.

1. Jika datang ketika imam sedang rukuk;

  • Bertakbir takbiratul ihram dalam keadaan berdiri tegak.
  • Kemudian rukuk bersama imam.

Dengan cara tersebut, kita mendapat rakaat tersebut, dengan syarat sempat mendapat rukuk dan tomakninah bersama imam.

2. Jika datang ketika imam telah bangun daripada rukuk;

  • Bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri.
  • Kemudian terus masuk bersama imam.
  • Jika imam sedang sujud, maka ikut sujud bersamanya.

Rakaat tersebut tidak dikira sebagai satu rakaat yang diperoleh, kerana tidak sempat mendapatkan rukuk bersama imam.

3. Jika datang ketika imam sedang sujud;

  • Bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri.
  • Kemudian terus turun dan sujud bersama imam.
  • Jangan menunggu sehingga imam bangun daripada sujud.

4. Jika datang ketika imam sedang duduk;

  • Bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri.
  • Kemudian duduk bersama imam.

Dalam apa sahaja keadaan kita mendapati imam, maka lakukanlah seperti yang sedang dilakukan oleh imam.

5. Jika datang ketika imam sedang tahiyat akhir;

Lihat keadaannya:

Jika terdapat jemaah lain yang juga belum solat, jangan terus masuk bersama imam tersebut, kerana kita tidak memperoleh kelebihan solat berjemaah hanya dengan mendapatkan tasyahhud akhir. (al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Syarh Riyadh al-Salihin)

Hal ini sedemikian kerana kelebihan mendapatkan solat berjemaah diperoleh dengan mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat, berdasarkan sabda Nabi :

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلَاةِ فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ

“Sesiapa yang sempat mendapatkan satu rakaat daripada solat, maka dia telah mendapatkan solat tersebut.”

Jika tidak mempunyai jemaah lain, maka masuklah bersama imam walaupun imam sedang dalam tasyahhud akhir. Namun, tasyahhud akhir yang diikuti itu tidak dikira sebagai satu rakaat, kerana kita tidak sempat mendapatkan rukuk.

          Pandangan yang lebih kurang sama di sisi mazhab Syafie, di mana perkara yang lebih afdal bagi makmum masbuq, apabila dia masuk ke masjid lalu mendapati satu jemaah sedang berada dalam tasyahhud akhir, dan dia mempunyai harapan bahawa akan didirikan jemaah yang kedua, maka sunat baginya menunggu jemaah kedua tersebut dan tidak menyertai jemaah pertama. Namun, disunatkan baginya menyertai jemaah pertama sekiranya selepas itu dia masih mampu menyempurnakan rakaat solat yang tertinggal, dan sempat mendapatkan keseluruhan jemaah kedua. (Lihat Mughnī al-Muḥtāj, 1/469)

Kata al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 4/219:

قَدْ قَدَّمْنَا قَرِيبًا أَنَّهُ إذَا أَدْرَكَهُ فِي التَّشَهُّدِ الْأَخِيرِ كَبَّرَ لِلْإِحْرَامِ قَائِمًا وَقَعَدَ وَتَشَهَّدَ مَعَهُ وَلَا يُكَبِّرُ لِلْقُعُودِ عَلَى الصَّحِيحِ وَالتَّشَهُّدُ سُنَّةٌ وَلَيْسَ بِوَاجِبٍ عَلَى هَذَا الْمَسْبُوقِ بِلَا خِلَافٍ كَمَا سَبَقَ بَيَانُهُ قَرِيبًا وَقَدْ قَدَّمْنَا هُنَاكَ وَجْهًا أَنَّهُ لَا يُسَنُّ وَلَيْسَ بشئ وَلَا يَقْرَأُ دُعَاءَ الِافْتِتَاحِ فِي الْحَالِ وَلَا بَعْدَ الْقِيَامِ وَسَبَقَ دَلِيلُ الْجَمِيعِ وَتَحْصُلُ لَهُ فَضِيلَةُ الْجَمَاعَةِ لَكِنْ دُونَ فَضِيلَةِ مَنْ أَدْرَكَهَا مِنْ أَوَّلِهَا هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ الصَّحِيحُ وَبِهِ قَطَعَ الْمُصَنِّفُ وَالْجُمْهُورُ مِنْ أَصْحَابِنَا الْعِرَاقِيِّينَ وَالْخُرَاسَانِيِّينَ وَجَزَمَ الْغَزَالِيُّ بِأَنَّهُ لَا يَكُونُ مُدْرِكًا لِلْجَمَاعَةِ إلَّا إذَا أَدْرَكَ رُكُوعَ الرَّكْعَةِ الْأَخِيرَةِ وَالْمَشْهُورُ الْأَوَّلُ لِأَنَّهُ لَا خِلَافَ بِأَنَّ صَلَاتَهُ تَنْعَقِدُ وَلَوْ لَمْ تَحْصُلْ لَهُ الْجَمَاعَةُ لَكَانَ يَنْبَغِي أَنْ لَا تَنْعَقِدَ

Telah kami jelaskan sebelum ini bahawa apabila seseorang makmum masbuq sempat mendapati imam dalam tasyahhud akhir, maka dia hendaklah bertakbir takbiratul ihram dalam keadaan berdiri, kemudian duduk dan membaca tasyahhud bersama imam. Menurut pendapat yang sahih, dia tidak perlu bertakbir sekali lagi ketika hendak duduk. Tasyahhud tersebut adalah sunat dan bukan wajib bagi makmum masbuq ini, tanpa ada khilaf dalam kalangan ulama mazhab, sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini. Kami juga telah menyebut satu pandangan (wajah) bahawa tasyahhud tersebut tidak disunatkan dan tidak dikira sebagai sesuatu yang dituntut. Makmum masbuq tersebut juga tidak perlu membaca doa iftitah pada ketika itu, dan tidak pula membacanya selepas dia bangun untuk menyempurnakan solat. Dalil bagi semua perkara ini telah disebut sebelum ini. Makmum yang sempat mengikuti imam dalam tasyahhud akhir ini tetap memperoleh fadilat berjemaah, tetapi tidak mendapat fadilat seperti orang yang mengikuti jemaah sejak awal. Inilah mazhab yang sahih. Pendapat ini diputuskan oleh al-Muṣannif dan majoriti ulama dari kalangan fuqaha Syafi‘iyyah, sama ada ulama Iraqiyyin mahupun Khurasaniyyin. al-Ghazali pula berpendapat bahawa seseorang tidak dianggap mendapat jemaah kecuali apabila dia sempat mendapatkan rukuk pada rakaat terakhir. Namun, pendapat yang masyhur ialah pendapat pertama, iaitu orang yang sempat bersama imam walaupun dalam tasyahhud akhir tetap mendapat fadilat berjemaah, walaupun tidak memperoleh fadilat orang yang mengikuti jemaah sejak awal. Alasannya ialah tiada khilaf bahawa solatnya tetap sah apabila dia menyertai imam dalam keadaan tersebut. Sekiranya dia tidak mendapat berjemaah langsung, maka sepatutnya solatnya tidak dianggap sebagai solat yang sah sejak awal lagi.

Rakaat yang perlu dilakukan oleh makmum masbuq

Sabda Nabi :

«فَأَتِمُّوا» “Maka sempurnakanlah.”

Sebahagian ulama berpandangan, lafaz ini menjadi dalil bagi pandangan yang mengatakan bahawa apabila makmum masbuq bangun untuk menyempurnakan solatnya, rakaat yang dilakukannya selepas imam salam dianggap sebagai rakaat-rakaat terakhir solatnya (مذهب الإتمام). Sebagai contoh, jika seseorang sempat mendapatkan dua rakaat terakhir solat Zuhur bersama imam, kemudian imam memberi salam, dia bangun untuk melakukan dua rakaat yang tertinggal. Maka dua rakaat yang dia lakukan itu ialah dua rakaat terakhir solatnya. Oleh itu, dia hanya membaca al-Fatihah, kerana sunnah pada dua rakaat terakhir ialah tidak menambah bacaan selepas al-Fatihah.

Hadis Ibn عباس رضي الله عنهما

Hadis Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما yang telah disebut oleh pengarang, menceritakan Nabi bergerak meninggalkan Arafah dan Baginda mendengar dari belakangnya bunyi bising, pukulan terhadap unta, suara orang menengking serta suara unta.

Hal ini kerana masyarakat Arab pada zaman jahiliah, apabila bergerak meninggalkan Arafah, mereka mempercepatkan perjalanan dengan sangat keterlaluan. Mereka mahu segera bergerak sebelum hari menjadi gelap. Mereka memukul unta dengan kuat supaya unta bergerak dengan cepat.

Lalu Nabi mengisyaratkan kepada mereka dengan tongkat Baginda dan bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ

“Wahai manusia, hendaklah kamu menjaga ketenangan.”

Maksud السكينة ialah ketenteraman, ketenangan dan tidak tergesa-gesa.

Baginda bersabda:

فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالإِيضَاعِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kebajikan bukanlah dengan mempercepatkan perjalanan.”

الإيضاع  ialah sejenis perjalanan yang dilakukan dengan cepat. Hadis ini menjadi dalil bahawa seseorang tidak sepatutnya tergesa-gesa ketika menuju ke tempat-tempat ibadah. Orang yang bergerak meninggalkan Arafah sedang menuju ke Muzdalifah untuk melakukan ibadah, namun Nabi tetap memerintahkan mereka supaya menjaga ketenangan.

Kesimpulan

Dengan hadis ini, penulis رحمه الله تعالى menyempurnakan tujuan bab yang beliau letakkan:

“Sunat menuju kepada solat, majlis ilmu dan ibadah-ibadah seumpamanya dengan ketenangan dan kewibawaan.”

Maka, apabila kamu datang ke majlis ilmu, majlis kebaikan dan tempat-tempat ibadah, hendaklah kamu datang dalam keadaan tenang, berwibawa dan penuh adab. Janganlah bersikap tergesa-gesa, bising atau tidak terkawal sehingga menyebabkan orang lain memandang rendah terhadap kamu. Sebaliknya, hendaklah kamu menjaga kewibawaan diri supaya kamu tidak dipandang ringan oleh manusia.

Suatu yang lebih penting, pengagungan kamu terhadap majlis-majlis ilmu dan kebaikan merupakan sebahagian daripada pengagungan terhadap syiar dan perkara yang dimuliakan oleh Allah عز وجل.


Cetak  
Wallahu a'lam