SDI 2042: Siapakah Salaf dan Berapa Lama Zaman Mereka?

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan Salaf, siapakah yang termasuk dalam golongan Salaf, dan apakah perkara yang menjadi ikutan daripada mereka dalam agama?

Jawapan:

Perkataan السَّلَف (al-Salaf) berasal dari akar kata سلف yang menunjukkan makna terdahulu (تقدّم), mendahului dan telah berlalu (سَبْق). Antaranya ialah perkataan al-salaf yang bermaksud orang-orang yang telah berlalu atau terdahulu (الذين مضوا).[1] Perkataan ini mempunyai tiga bentuk sebutan dalam bahasa Arab[2], iaitu:

  1. السَّلَف
  2. السُّلُف
  3. السُّلَف

Bentuk yang pertama, iaitu السَّلَف, merupakan bentuk yang paling masyhur (الأشهر), paling baik (الأجود) dan paling fasih (الأفصح) dalam penggunaan bahasa Arab, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Jarir.[3]

Oleh itu, dari sudut bahasa, al-salaf bermaksud setiap orang yang telah mendahului atau berada sebelum seseorang. Makna “mendahului (السبق) ini boleh berlaku dalam perkara kebaikan ataupun keburukan.

1. Kalimah salaf bagi maksud orang yang mendahului dalam perkara kebaikan, antaranya dalam hadis Nabi SAW:

إِنَّ اللهَ إِذَا أَرَادَ رَحْمَةَ أُمَّةٍ مِنْ عِبَادِهِ قَبَضَ نَبِيَّهَا قَبْلَهَا؛ فَجَعَلَهُ لَهَا فَرَطًا وَسَلَفًا

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Allah menghendaki rahmat bagi suatu umat daripada kalangan hamba-Nya, Dia mewafatkan nabi mereka sebelum umat tersebut, lalu menjadikan nabi itu sebagai orang yang mendahului mereka dan menjadi salaf bagi mereka.”[4]

Demikian juga doa yang diriwayatkan ketika solat jenazah untuk kanak-kanak:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ لَنَا فَرَطًا وَسَلَفًا وَأَجْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah dia sebagai pendahulu bagi kami, salaf (yang mendahului) bagi kami dan sebagai pahala.”[5]

Maksud سَلَفًا  dalam doa ini ialah orang yang mendahului kita menuju ke syurga.

2. Kalimah salaf bagi maksud orang yang mendahului dalam perkara keburukan. Allah SWT berfirman:

﴿فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلًا لِلْآخِرِينَ﴾

“Lalu Kami menjadikan mereka sebagai orang-orang yang terdahulu dan sebagai contoh bagi orang-orang yang datang kemudian.” (al-Zukhruf: 56)

Maksud سَلَفًا dalam ayat ini ialah kaum Fir‘aun yang telah mendahului orang-orang kafir Quraisy dan orang-orang kafir daripada umat Nabi Muhammad SAW menuju ke neraka.[6]

Dengan demikian, makna perkataan al-Salaf tidak semestinya merujuk kepada sesuatu yang baik. Ia secara asasnya bermaksud orang atau sesuatu yang telah terdahulu, sama ada dalam kebaikan ataupun keburukan.

Dari Sudut Istilah (اصطلاحًا), al-Salaf merujuk kepada:

هم الصحابة والتابعون وأتباعهم إلى نهاية القرن الثالث ممن سار على نهج النبي والصحابة في الدين

Para sahabat, tabi‘in dan tabi’ al-tabi‘in sehingga berakhirnya tiga kurun pertama Islam, dari kalangan mereka yang mengikuti manhaj Nabi SAW dan para sahabat dalam beragama.[7]

Para ulama berbeza pendapat tentang maksud قرن dan berapakah tempoh masanya. Pendapat yang lebih hampir kepada kebenaran ialah bahawa qarn (القرن) bermaksud:

هم أهل زمان واحد متقارب اشتركوا في أمر من الأمور المقصودة

Golongan manusia yang hidup pada suatu zaman yang sama atau hampir sama, serta berkongsi suatu perkara tertentu yang menjadi tujuan atau ciri bersama.[8]

Ibn Hajar menyebut bahawa para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tempoh satu qarn, iaitu antara 10 tahun hingga 120 tahun. Kemudian beliau berpandangan bahawa tempoh satu qarn berbeza mengikut perbezaan usia manusia pada setiap zaman. Berdasarkan penelitian beliau, qarn (kurun) para sahabat berlangsung selama 100 tahun, qarn (kurun) para tabi‘in selama 70 tahun, manakala qarn (kurun) tabi’ tabi‘in selama 50 tahun. Dengan itu, berakhirlah qarn (kurun) yang ketiga pada tahun 220 Hijrah.[9]

Penentuan ini adalah tepat dan sahih[10] kerana ia berdasarkan penelitian (istiqra’) Ibn Hajar terhadap tabaqaat para perawi hadis. Beliau merupakan seorang yang sangat menguasai bidang tersebut, dan karya beliau Taqrib al-Taqrib menjadi bukti kepada penguasaan beliau tersebut.

Tambahan pula, selepas tabaqah yang ketiga, perselisihan semakin banyak dan ujian terhadap Ahl al-Sunnah semakin berat. Hal ini berlaku setelah golongan Mu‘tazilah berjaya mendapat kedudukan dan pengaruh sehingga dapat memasuki lingkungan istana pemerintahan. Mereka kemudiannya mendatangkan fitnah kepada manusia dalam perkara agama mereka. Pelbagai hawa nafsu dan aliran pemikiran juga mula bercampur akibat pengaruh mereka. Al-Hasan bin ‘Ali al-Barbahari (w. 329H) berkata:

كان الأمر مستقيما حتى كانت الطبقة الرابعة في خلافة بني فلان انقلب الزمان وتغير الناس جدا، وفشت البدع، وكثرت الدعاة إلى غير سبيل الحق والجماعة، ووقعت المحن في شيء لم يتكلم به رسول الله ، ولا أصحابه، ودعوا إلى الفرقة

“Dahulunya keadaan terus berada di atas jalan yang lurus sehingga datang tabaqah (lapisan) yang keempat pada zaman pemerintahan Bani Fulan. Ketika itu zaman berubah dan manusia berubah dengan begitu ketara. Bid‘ah semakin tersebar, semakin ramai penyeru kepada jalan selain jalan kebenaran dan al-Jama‘ah, serta berlaku pelbagai ujian dalam perkara yang tidak pernah dibicarakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Mereka menyeru manusia kepada perpecahan.”[11]

Oleh itu, hujah yang kuat adalah berdasarkan zaman ketika umat bersatu di atas agama yang benar. Kesepakatan tersebut menjadi hujah yang tetap dan dapat menolak perselisihan yang berlaku selepasnya. Allah SWT berfirman:

﴿وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُوا﴾

“Manusia dahulunya hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih.” (Yunus: 19)

Allah SWT juga berfirman:

﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ﴾

“Manusia dahulunya merupakan satu umat, lalu Allah mengutuskan para nabi sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.” (al-Baqarah: 213)

Abu al-‘Aliyah (أبو العالية) berkata tentang ayat ini:

في هذه الآية المخرج من الشبهات والضلالات والفتن

“Dalam ayat ini terdapat jalan keluar daripada segala syubhah, kesesatan dan fitnah.”[12]

Maksudnya, Allah SWT menjadikan keadaan umat yang terdahulu ketika mereka berada di atas kesatuan dan kebenaran sebagai hujah terhadap manusia.

Dengan kata lain, yang menjadi ukuran dan hujah ialah zaman ketika umat bersatu di atas kebenaran, iaitu dengan memiliki akidah yang sahih serta bersatu dalam menggunakan kaedah yang benar untuk memahami dan berdalil dengan nas-nas syarak. Kesatuan di atas kebenaran adalah perkara yang terdahulu, manakala perselisihan merupakan perkara yang muncul kemudian. Hal ini membawa satu prinsip penting:

الاتفاق قديم والاختلاف محدث

“Kesepakatan itu telah wujud sejak dahulu, sedangkan perselisihan muncul kemudian.”

Maksudnya, dalam melihat persoalan agama, khususnya persoalan akidah dan manhaj, zaman generasi awal yang bersatu di atas kebenaran dijadikan ukuran, manakala pelbagai perselisihan dan aliran yang muncul kemudian tidak boleh mengatasi kefahaman generasi terdahulu.



[1] Maqāyīs al-Lughah karya Ibn Fāris, jil. 3, hlm. 95. Lihat juga: Lisān al-‘Arab karya Ibn Manzur, jil. 9, hlm. 158.

[2] Lisān al-‘Arab, jil. 9, hlm. 158.

[3] Tafsīr al-Ṭabarī, jil. 20, hlm. 618–619.

[4] Ṣaḥīḥ Muslim, jil. 2, hlm. 89, hadis no. 2288.

[5] Riwayat ini mawqūf daripada Abu Hurairah RA. Lihat: al-Da‘awāt al-Kabīr karya al-Bayhaqi, jil. 2, hlm. 290, hadis no. 633. Ia juga diriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri; lihat: Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 2, hlm. 89, dan al-Du‘ā’ karya al-Ṭabarani, hlm. 362, hadis no. 1203.

[6] Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 6, hlm. 130; dan Tafsīr al-Ṭabarī, jil. 20, hlm. 619.

[7] Batasan “dalam perkara agama” (في الدين) ini merupakan ungkapan ringkas yang merangkumi penjelasan panjang daripada ramai ulama yang memberikan definisi tentang al-Salaf, seperti al-Safarini dan selainnya. Lihat: Lawāmi‘ al-Anwār al-Bahiyyah, hlm. 201; Mujmal Uṣūl Ahl al-Sunnah, hlm. 22. Batasan ini juga mengecualikan urusan dunia yang berlaku perselisihan dalam kalangan sebahagian salaf, seperti peperangan sesama mereka dan perselisihan lain yang tidak berkaitan dengan perkara agama. Dalam perkara seperti ini, seseorang tidak mengikuti pihak yang tersilap dalam kalangan mereka, sebaliknya memohon keampunan dan rahmat Allah untuk mereka. Selain itu, perkataan “dalam perkara agama” turut merangkumi manhaj mereka dalam hukum-hakam fiqh. Manhaj mereka adalah satu dari sudut kaedah berdalil dan asas-asas istidlal, yang menjadi asas penting dalam ilmu fiqh, sekalipun mereka berbeza pendapat dalam masalah-masalah cabang fiqh.

[8] Fatḥ al-Bārī karya Ibn Hajar, jil. 5, hlm. 7.

[9] Fatḥ al-Bārī karya Ibn Hajar, jil. 7, hlm. 5.

[10] Untuk penjelasan lebih lanjut tentang kesahihan dan kekuatan penentuan tempoh masa ini, lihat buku Wasatiyyah Ahl al-Sunnah bayna al-Firaq, hlm. 96–105, oleh Fahd Abdullah al-Sa‘idi.

[11] Sharḥ al-Sunnah karya al-Barbahari, hlm. 91.

[12] Tafsīr al-Ṭabarī, jil. 3, hlm. 633.


Cetak  
Wallahu a'lam