SDI 2043: Apakah Rujukan Nabi Isa AS Di Akhir Zaman Nanti? Apakah Pula Mazhab Yang Dibawa Oleh Baginda?

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Kitab dan al-Hikmah dalam firman Allah SWT: “Dan Dia (Allah) akan mengajarnya al-Kitab, al-Hikmah, Taurat dan Injil.” (Ali ‘Imran: 48)

Siapakah yang dimaksudkan akan diajarkan kepadanya al- Kitab, al-Hikmah, Taurat dan Injil?

Jawapan:

Ganti nama yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran yang ditanya adalah merujuk kepada Nabi Isa AS. Pentunjukkan jelas jika dilihat kepada beberapa ayat sebelumnya. Dalam ayat yang ditanya, Allah SWT berfirman tentang Nabi Isa AS:

﴿وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ﴾

“Dan Dia (Allah) akan mengajarnya (isa) al-Kitab, al-Hikmah, Taurat dan Injil.” (Ali ‘Imran: 48)

Allah SWT menjelaskan dalam ayat yang mulia ini bahawa Dia akan mengajarkan kepada Nabi-Nya, iaitu Nabi Isa AS, al-Quran dan al-Sunnah, Taurat dan Injil. Allah SWT menyusun penyebutan nikmat-nikmat tersebut dengan mendahulukan yang paling utama. Maka, yang paling utama dari empat perkara tersebut ialah al-Quran al-Karim, kemudian Sunnah Nabi Muhammad SAW, kerana al-Sunnah berfungsi sebagai penjelas dan penyempurna bagi al-Quran. Kemudian Taurat yang mengandungi banyak hukum, yang digunakan oleh para nabi Bani Israil selepas Nabi Musa AS untuk berhukum dengannya. Selepas itu ialah Injil yang Allah SWT turunkan secara khusus kepada Nabi Isa AS.

Allah SWT telah mengajarkan kepada Nabi Isa AS Taurat dan Injil sebelum Baginda diangkat ke langit, dan Dia akan mengajarkan kepada baginda pula al-Quran dan al-Sunnah selepas Baginda turun pada akhir zaman.

Kebanyakan ahli tafsir menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan “al-Kitab” dalam ayat tersebut ialah kemahiran membaca dan menulis dengan pena. Manakala yang dimaksudkan dengan “al-Hikmah” ialah al-Sunnah yang Allah SWT wahyukan kepada baginda yang bukan berupa sebuah kitab yang diturunkan (السنة التي يوحيها الله إليه في غير كتاب منزلٍ). Ada juga dalam kalangan ulama  tafsir yang mengatakan bahawa al-Hikmah dalam ayat ini bermaksud ketepatan dalam perkataan dan perbuatan (الإصابة في القول والعمل). Lihat Tafsir Ibn Jarir (5/416), Tafsir Ibn ‘Atiyyah (1/438) dan Tafsir Ibn Kathir (2/44).

Semua makna tersebut adalah benar. Namun, membataskan makna ayat kepada salah satu daripadanya sahaja merupakan suatu kekurangan dalam memahami ayat tersebut. Bahkan terdapat riwayat daripada sebahagian ulama salaf dalam menafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan dengan al-Kitab ialah al-Quran, manakala al-Hikmah ialah al-Sunnah.

Ibn Abi Hatim meriwayatkan dalam tafsirnya (2/653–654), melalui jalur Asbat bin Muhammad, daripada al-Hudhaili, daripada al-Hasan al-Basri, ketika beliau menafsirkan firman Allah SWT:

﴿وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ﴾

Dan Dia (Allah) akan mengajarkan kepada baginda (Nabi Isa) al-Kitab dan al-Hikmah)

beliau berkata:

“Al-Kitab ialah al-Quran dan al-Hikmah ialah al-Sunnah.”

Abu Muhammad, iaitu ‘Abd al-Rahman bin Abi Hatim yang meninggal dunia pada tahun 327H, berkata: Diriwayatkan juga (رُوِيَ) daripada Abu Malik, Muqatil bin Hayyan dan Qatadah dengan makna yang hampir sama. Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim.

Ibn al-Mundhir pula berkata dalam tafsirnya (1/206):

حدثنا محمد بن علي الصائغ، قال: حدثنا أحمد بن شبيب، قال: حدثنا يزيد بن زريع، عن سعيد، عن قتادة، قوله﴿وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ﴾، والحكمة: السنة

Muhammad bin ‘Ali al-Sa’igh meriwayatkan kepada kami, katanya: Ahmad bin Shabib meriwayatkan kepada kami, katanya: Yazid bin Zurai’ meriwayatkan kepada kami, daripada Sa‘id, daripada Qatadah berkenaan firman Allah SWT: ﴿وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ﴾ Qatadah berkata: “Al-Hikmah ialah al-Sunnah.”

Beliau juga meriwayatkan daripada Ibn Jurayj bahawa beliau berkata:

“Al-Hikmah ialah al-Sunnah.”

Ibn al-Mundhir رحمه الله juga berkata berkenaan firman Allah SWT:

قوله جل وعز﴿فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ﴾ [النساء: 54] حدثنا زكريا، قال: حدثنا أبو جعفر الترمذي محمد بن أحمد بن نصر، قال: حدثنا بكر بن عبدالوهاب، عن فليح، عن أبي بكر الهذلي، عن سعيد بن جبير والحسن في قوله عز وجل﴿الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ﴾، قال: "الكتاب: القرآن، والحكمة: السنة"، حدثنا محمد، قال: حدثنا نصر، قال: حدثنا عبد الوهاب، عن سعيد، عن قتادة﴿فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ﴾ [النساء: 54]؛ "أي: السنة، ومحمد من آل إبراهيم

Firman Allah Ta’ala: “Dan telah Kami berikan kepada keluarga Ibrahim al-Kitab dan al-Hikmah.” (al-Nisa: 54) Beliau meriwayatkan daripada Sa‘id bin Jubayr dan al-Hasan bahawa kedua-duanya berkata: “Al-Kitab ialah al-Quran dan al-Hikmah ialah al-Sunnah.” Beliau juga meriwayatkan daripada Qatadah bahawa beliau berkata: “al-Hikmah yakni al-Sunnah. Dan Muhammad adalah daripada keturunan Ibrahim.” (Lihat Tafsir Ibn al-Mundhir (2/755).

Nabi Isa AS Diangkat ke Langit dan Akan Turun pada Akhir Zaman

Telah diketahui bahawa Allah SWT mengangkat Nabi Isa AS ke langit dan menyelamatkan baginda daripada orang-orang Yahudi yang ingin membunuhnya. Allah SWT berfirman:

﴿وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَكِنْ شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا ۝ بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ﴾

“Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya, tetapi perkara itu disamarkan kepada mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar berada dalam keraguan tentangnya. Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya selain mengikuti sangkaan. Mereka sama sekali tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkatnya kepada-Nya.” (al-Nisa’: 157–158)

Allah SWT juga berfirman:

﴿إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا﴾

Maksudnya: “(Ingatlah) ketika Allah berfirman: ‘Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dan mengangkatmu kepada-Ku serta menyucikanmu daripada orang-orang yang kafir.’” (Ali ‘Imran: 55)

Imam Ahli Tafsir, Ibn Jarir al-Tabari (5/451), berkata:

معنى ذلك: إني قابضك من الأرض ورافعك إليَّ؛ لتواتر الأخبار عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال: ينزل عيسى ابن مريم فيقتل الدجال

“Maksudnya ialah: Sesungguhnya Aku mengambilmu dari bumi dan mengangkatmu kepada-Ku.” Hal ini berdasarkan hadis-hadis yang banyak dan mutawatir daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda: “Isa bin Maryam akan turun lalu membunuh al-Masih al-Dajjal.”

Ibn Jarir berkata:

حدثني يونس، قال: أخبرنا ابن وهب، قال: قال ابن زيد في قوله﴿إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ﴾ [آل عمران: 55] قال: متوفيك: قابضك، ولم يمُت بعد حتى يقتل الدجال، وسيموت، وقرأ قول الله عز وجل﴿وَيُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا﴾ [آل عمران: 46] قال: رفعه الله إليه قبل أن يكون كهلًا، قال: وينزل كهلًا

Yunus meriwayatkan kepadaku, katanya: Ibn Wahb mengkhabarkan kepada kami, katanya: Ibn Zayd berkata berkenaan firman Allah SWT: ﴿إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ﴾ “Maksud mutawaffika ialah ‘Aku mengambilmu’. Baginda belum meninggal dunia sehingga Baginda membunuh Dajjal. Kemudian Baginda akan meninggal dunia.” Ibn Zayd kemudian membaca firman Allah SWT: ﴿وَيُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا﴾ (Ali ‘Imran: 46) Maksudnya: “Dan baginda akan berbicara dengan manusia ketika masih dalam buaian dan ketika telah dewasa.” Ibn Zayd berkata: “Allah mengangkat baginda kepada-Nya sebelum baginda mencapai usia dewasa.” Beliau berkata lagi: “Dan baginda akan turun dalam keadaan telah dewasa.” (Lihat Tafsir Ibn Jarir (5/449).

Nabi Isa AS Akan Berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah

Antara akidah umat Islam ialah bahawa Nabi Isa AS akan turun pada akhir zaman dan membunuh al-Masih al-Dajjal. Perkara ini telah sabit berdasarkan hadis-hadis sahih.

Allah SWT juga mengisyaratkan bahawa turunnya Nabi Isa AS merupakan salah satu tanda berlakunya kiamat. Allah SWT berfirman:

﴿وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِلسَّاعَةِ﴾


Maksudnya: “Dan sesungguhnya baginda benar-benar menjadi suatu tanda bagi berlakunya Hari Kiamat.”

Tidak diragukan lagi bahawa apabila Nabi Isa AS turun pada akhir zaman, Baginda akan beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah serta berhukum dengannya dalam kalangan umat manusia. Seseorang tidak mungkin dapat beramal dan berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah mempelajari kedua-duanya. Oleh itu, sudah pasti Allah SWT akan mengajarkan kepada Nabi Isa AS al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ﴾

Dan Dia (Allah) akan mengajarkan kepada baginda al-Kitab, al-Hikmah, Taurat dan Injil.”

Perkara ini juga disokong oleh ayat-ayat al-Quran yang menyebut al-Kitab dan al-Hikmah, dan yang dimaksudkan dengannya ialah al-Quran dan al-Sunnah Nabi SAW. Allah SWT berfirman:

﴿كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِنْكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ﴾

Maksudnya: “Sebagaimana Kami telah mengutus kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Kami, menyucikan kamu, mengajarkan kepada kamu al-Kitab dan al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (al-Baqarah: 151)

Allah SWT juga berfirman:

﴿هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ﴾

Maksudnya: “Dialah yang mengutus kepada kaum yang ummi seorang Rasul daripada kalangan mereka, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah, sedangkan sebelum itu mereka benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (al-Jumu‘ah: 2)

Ibn al-Qayyim رحمه الله berkata:

وأما الحكمة المقرونة بالكتاب: فهي السنة، وكذلك قال الشافعي وغيره من الأئمة، وقيل: هي القضاء بالوحي، وتفسيرها بالسنة أعم وأشهر

“Adapun al-Hikmah yang disebut bersama al-Kitab, maka ia ialah al-Sunnah. Demikianlah yang dikatakan oleh al-Syafi‘i dan imam-imam yang lain. Ada yang mengatakan bahawa ia ialah berhukum berdasarkan wahyu. Namun menafsirkannya dengan al-Sunnah adalah lebih umum dan lebih masyhur.” (Lihat Madarij al-Salikin (2/448).

Hadis Nabi Isa AS Memimpin dengan al-Quran dan al-Sunnah

Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahih Muslim (no. 155) daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا نَزَلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ فَأَمَّكُمْ مِنْكُمْ؟

Maksudnya: “Bagaimanakah keadaan kamu apabila Ibn Maryam turun dalam kalangan kamu dan menjadi imam solat dari kalangan kamu?”

Al-Imam Muslim berkata dalam Sahihnya (155):

وحدثنا زهير بن حرب، حدثني الوليد بن مسلم، حدثنا ابن أبي ذئب، عن ابن شهاب، عن نافع، مولى أبي قتادة، عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: ((كيف أنتم إذا نزل فيكم ابن مريم فأمَّكم منكم؟))، فقلت لابن أبي ذئب: إن الأوزاعي، حدثنا عن الزهري، عن نافع، عن أبي هريرة: ((وإمامكم منكم))، قال ابن أبي ذئب: تدري ما أمَّكم منكم؟ قلت: تخبرني، قال: فأمَّكم بكتاب ربكم تبارك وتعالى، وسنة نبيكم صلى الله عليه وسلم

Menceritakan kepada kami Zuhair bin Harb, katanya: menceritakan kepadaku al-Walid bin Muslim, katanya: menceritakan kepada kami Ibn Abi Dzi’b, daripada Ibn Syihab, daripada Nafi’ Maula Qatadah, daripada Abu Hurairah: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bagaimanakah keadaan kamu apabila Ibn Maryam turun dalam kalangan kamu, lalu salah seorang daripada kamu  menjadi imam (solat)?” al-Walid bin  Muslim RH berkata: “Aku bertanya kepada Ibn Abi Dzi’b: Sesungguhnya al-Awza‘i telah meriwayatkan kepada kami daripada al-Zuhri, daripada Nafi‘, daripada Abu Hurairah dengan lafaz:  «وَإِمَامُكُمْ مِنْكُمْ» (‘dan imam kamu adalah daripada kalangan kamu’).” Ibn Abi Dhi’b berkata: “Tahukah kamu apakah maksudnya ‘imam kamu daripada kalangan kamu?” Aku menjawab: “Beritahulah kepadaku.” Beliau berkata: “Dia memimpin kamu dengan Kitab Tuhan kamu Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dan Sunnah Nabi kamu SAW.”

Nabi Isa AS Tidak Membawa Syariat Baharu

Al-Qadi ‘Iyad al-Yahsubi (القاضي عياض اليحصبي) berkata:

عيسى ليس يأتي لأهل الأرض رسولًا ولا نبيًّا مبعوثًا، ولا بشريعة جديدة؛ لأن محمدًا صلى الله عليه وسلم خاتم النبيين، وشريعته ناسخة لجميع الشرائع راسخة إلى يوم القيامة، وإنما يحكم عيسى بها

“Isa tidak datang kepada penduduk bumi sebagai seorang Rasul atau nabi yang diutuskan, dan tidak membawa syariat yang baharu. Hal ini kerana Muhammad SAW ialah penutup para nabi, dan syariat Baginda telah memansuhkan seluruh syariat sebelumnya serta kekal sehingga Hari Kiamat. Nabi Isa hanyalah akan berhukum berdasarkan syariat tersebut.” (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim (1/473).

Al-Suyuti berkata:

يأتي عيسى في آخر الزمان يحكم بشريعة نبينا صلى الله عليه وسلم بالقرآن والسنة

“Isa akan datang pada akhir zaman dan berhukum dengan syariat Nabi kita SAW berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.” (Lihat al-Hawi li al-Fatawa (2/201).

Al-Zurqani berkata:

يحكم بشريعة نبينا محمد صلى الله عليه وسلم بالقرآن والسنة

“Baginda (Isa) akan berhukum dengan syariat Nabi kita Muhammad SAW berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.” (Lihat Syarh al-Zurqani ‘ala al-Mawahib al-Ladunniyyah (8/348); lihat juga al-Fatawa al-Hadithiyyah karya Ibn Hajar al-Haytami, hlm. 129)

Syeikh Ibn Baz berkata:

يحكم بشريعة محمد عليه الصلاة والسلام، يحكم بالقرآن، هذا هو الذي أجمع عليه أهل الإسلام، ودلت عليه الأحاديث الصحيحة المتواترة، وأشار إليه القرآن الكريم

“Baginda akan berhukum dengan syariat Muhammad AS. Baginda akan berhukum dengan al-Quran. Inilah perkara yang telah disepakati oleh umat Islam dan telah ditunjukkan oleh hadis-hadis sahih yang mutawatir serta diisyaratkan oleh al-Quran al-Karim.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb Ibn Baz (4/278).

Dua Faedah Penting Berkaitan Nabi Isa AS Mempelajari al-Quran dan al-Sunnah

Faedah pertama: al-Sunnah akan terus terpelihara

Hakikat bahawa Nabi Isa AS akan mempelajari al-Sunnah Nabi SAW pada akhir zaman menunjukkan bahawa al-Sunnah akan tetap terpelihara sehingga waktu Baginda turun. Allah SWT telah menjamin pemeliharaan al-Quran. Allah SWT berfirman:

﴿إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Zikr dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya.” (al-Hijr: 9)

Sebagaimana al-Quran al-Karim terpelihara dalam mushaf-mushaf yang mulia, demikian juga al-Sunnah Nabi SAW terpelihara melalui pembukuan dan pemeliharaannya dalam kitab-kitab ahli hadis.

Semoga Allah membalas para ulama hadis dengan sebaik-baik ganjaran kerana usaha mereka memelihara Sunnah Nabi SAW.

هُمُ بَذَلُوا فِي حِفْظِ سُنَّةِ أَحْمَدَ - وَتَنْقِيحِهَا مِنْ جُهْدِهِمْ غَايَةَ الْجُهْدِ
أُولَئِكَ أَمْثَالُ الْبُخَارِيِّ وَمُسْلِمٍ - وَأَحْمَدَ أَهْلُ الْجِدِّ فِي الْعِلْمِ وَالْجِدِّ

“Mereka telah mencurahkan segala usaha dalam memelihara Sunnah Ahmad (Nabi Muhammad SAW) - dan menapisnya dengan kesungguhan yang maksimum  - Mereka itu seperti al-Bukhari, Muslim  - dan Ahmad, tokoh-tokoh yang bersungguh-sungguh dalam ilmu dan usaha.”

Faedah kedua: Nabi Isa AS tidak akan terikat dengan mazhab tertentu

Nabi Isa AS akan berhukum berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, bukan berdasarkan mazhab fiqh tertentu.

Al-Albani, ketika memberikan ulasan terhadap hadis Abu Hurairah RA:

كيف أنتم إذا نزل فيكم ابن مريم فأمَّكم منكم؟ وقول ابن أبي ذئب: فأمَّكم بكتاب ربكم تبارك وتعالى، وسنة نبيكم صلى الله عليه وسلم؛

“Bagaimana kamu semua, ketika Ibn Maryam turun dan menjadi imam kepada kamu semua dari kalangan kamu sendiri” dan perkataan Ibn Abi Dhi’b: “Baginda akan mengimamkan kamu semua dengan kitab Tuhan kamu semua tabaraka wa taala dan sunnah Nabi kamu semua SAW.”

Al-Albani berkata:

هذا صريح في أن عيسى عليه السلام يحكم بشرعنا، ويقضي بالكتاب والسنة، لا بغيرهما من الإنجيل أو الفقه الحنفي ونحوه

“Ini merupakan nas yang jelas bahawa Nabi Isa AS akan berhukum dengan syariat kita dan memutuskan hukum berdasarkan al-Kitab dan al-Sunnah, bukan dengan selain kedua-duanya seperti Injil, fiqh Hanafi dan seumpamanya.” (Lihat Mukhtasar Sahih Muslim karya al-Mundhiri dengan tahqiq al-Albani (2/548).

Kesimpulan

Daripada keseluruhan dalil tersebut, dapat difahami bahawa Nabi Isa AS akan turun pada akhir zaman sebagai pengikut syariat Nabi Muhammad SAW, bukan membawa syariat baharu. Baginda akan berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah, dan bukan berdasarkan Injil atau terikat dengan mana-mana mazhab fiqh tertentu.

Pada masa yang sama, hadis-hadis tersebut menunjukkan kedudukan al-Sunnah sebagai penjelas dan pendamping al-Quran, serta menunjukkan bahawa al-Sunnah akan terus terpelihara sehingga akhir zaman.

 


Cetak  
Wallahu a'lam