Abu Sa‘id al-Khudri RA
Beliau ialah sahabat yang mulia, Abu Sa‘id Sa‘d bin Malik bin Sinan bin Tha‘labah al-Khudri al-Khazraji al-Ansari RA أبو سعيد سَعْدُ بْنُ مَالِكِ بْنِ سِنَانِ بْنِ ثَعْلَبَةَ الْخُدْرِيُّ الْخَزْرَجِيُّ الْأَنْصَارِيُّ. Beliau merupakan salah seorang dari kalangan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis Nabi SAW. Ayahnya, Malik bin Sinan, juga merupakan seorang sahabat, gugur syahid dalam Perang Uhud. Saudara seibu Abu Sa‘id pula ialah Qatadah bin al-Nu‘man (قتادة بن النعمان), yang turut menyertai Perang Badar.
Abu Sa‘id al-Khudri RA telah tampil untuk menyertai Perang Uhud pada tahun 3 Hijrah, tetapi Rasulullah SAW tidak membenarkannya menyertai peperangan tersebut kerana usianya masih terlalu muda. Namun, beliau kemudiannya menyertai Perang Khandaq, Perang Bani al-Mustaliq dan sepuluh peperangan lain bersama Rasulullah SAW. Beliau juga merupakan antara sahabat yang menyaksikan dan menyertai Bai‘ah al-Ridwan.
Abu Sa‘id al-Khudri RA dilahirkan pada tahun ketiga selepas perutusan Rasulullah SAW. Beliau, ayahnya dan ibunya memeluk Islam melalui dakwah Mus‘ab bin ‘Umair RA, sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Pada ketika itu, beliau berusia sekitar lapan tahun.
(Jamharah Ansab al-‘Arab -جمهرة أنساب العرب-, Ibn Hazm, hlm. 362)
Bai‘ah Abu Sa‘id al-Khudri RA kepada Rasulullah SAW
Berkenaan bai‘ah beliau kepada Rasulullah SAW, sahabat Ansari Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi RA -سهل بن سعد الساعدي-meriwayatkan:
بايعت النبي ﷺ أنا وأبو ذر، وعبادة بن الصامت، ومحمد بن مسلمة، وأبو سعيد الخدري، على ألا تأخذنا في الله لومة لائم
“Aku berbai‘ah kepada Nabi SAW bersama Abu Dharr, ‘Ubadah bin al-Samit, Muhammad bin Maslamah dan Abu Sa‘id al-Khudri, dengan janji agar kami tidak gentar terhadap celaan sesiapa pun dalam melaksanakan agama Allah.” (al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar, 3/66)
Abu Sa‘id RA dan Perang Uhud
Dalam Perang Uhud, pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah, kaum Quraisy keluar untuk memerangi Rasulullah SAW dan umat Islam di Madinah. Para Muhajirin, Ansar dan anak-anak mereka bersama-sama berada di sekeliling Rasulullah SAW.
Abu Sa‘id al-Khudri RA menceritakan:
عُرِضْتُ يَوْمَ أُحُدٍ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ وَلِي ثَلَاثَ عَشْرَةَ، فَجَعَلَ أَبِي يَأْخُذُ بِيَدِي فَيَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهُ، إِنَّهُ عَبْلُ الْعِظَامِ، وَإِنْ كَانَ مُودَنًا، قَالَ: وَجَعَلَ النَّبِيُّ ﷺ يُصَعِدُ فِي الْبَصَرَ وَيُصَوِّبُهُ، ثم قَالَ: رُدَّهُ، فَرَدَّنِي". فوقف أبو سَعِيدٍ (رضي الله عنه) مع بقية من رَدَّهُم النبيُّ ﷺ وَأَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حزناً على فراقهم لرسول الله ﷺ
“Aku dibawa menghadap Nabi SAW pada hari Uhud, sedangkan ketika itu aku berusia tiga belas tahun. Ayahku memegang tanganku sambil berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak ini kuat tulangnya, walaupun dia rendah orangnya, (dia mempunyai kekuatan untuk membantu kita).’ Nabi SAW memandangku dari atas ke bawah dan kemudian bersabda: ‘Kembalikanlah dia.’ Maka aku pun dikembalikan.” Ketika itu, Abu Sa‘id RA berdiri bersama anak-anak lain yang turut ditolak oleh Rasulullah SAW daripada menyertai peperangan. Mata mereka mengalirkan air mata kerana bersedih terpaksa berpisah daripada Rasulullah SAW.
(al-Sirah al-Nabawiyyah, ‘Ali Muhammad al-Sallabi, hlm. 590, dengan sedikit olahan)
Penglibatan Abu Sa‘id RA dalam peperangan
Peperangan pertama yang disertai oleh Abu Sa‘id al-Khudri RA bersama Rasulullah SAW ialah Perang Bani al-Mustaliq. Pada ketika itu beliau berusia lima belas tahun. Selepas itu, beliau menyertai semua peperangan yang lain bersama Rasulullah SAW. (al-Mustadrak, al-Hakim, no. 6388)
Abu Sa‘id RA juga bersama Rasulullah SAW dalam Peristiwa Hudaibiyah dan merupakan antara sahabat yang melakukan Bai‘ah al-Ridwan di bawah pokok. Maka berbahagialah beliau dengan berita gembira yang Allah SWT nyatakan:
﴿لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا﴾
“Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang yang beriman ketika mereka berbai‘ah kepadamu di bawah pokok. Dia mengetahui apa yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan ketenangan kepada mereka dan memberikan kepada mereka kemenangan yang dekat.” (Surah al-Fath: 18)
Kisah kelaparan Abu Sa‘id RA
Daripada Abu Sa‘id RA, beliau berkata:
أَصَابَنِي جُوعٌ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ حَتَّى شَدَدْتُ عَلَى بَطْنِي حَجَرًا، فَقَالَتْ لِي امْرَأَتِي : لَوْ أَتَيْتَ رَسُولَ اللهِ ﷺ فَسَأَلْتَهُ، فَقَدْ أَتَاهُ فُلَانٌ فَسَأَلَهُ فَأَعْطَاهُ، وَأَتَاهُ فُلَانٌ فَسَأَلَهُ فَأَعْطَاهُ، فَقُلْتُ : لَا أَسْأَلُهُ حَتَّى لَا أَجِدُ شَيْئًا، فَالْتَمَسْتُ فَلَمْ أَجِدْ شَيْئًا، فَانْطَلَقْتُ إِلَيْهِ فَوَافَقْتُهُ يَخْطُبُ، فَأَدْرَكْتُ مِنْ قَوْلِهِ: "مَنْ يَسْتَعِفَّ يُعِفَّهُ اللَّهُ، وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللهُ، وَمَنْ سَأَلْنَا فَإِمَّا أَنَّ نَبْذُلَ لَهُ، وَإِمَّا أَنْ نُوَاسِيَهُ، وَمَنِ اسْتَغْنَى عَنَّا أَحَبُّ إِلَيْنَا مِمَّنْ سَأَلْنَا. قال: فَرَجَعْتُ فَمَا سَأَلْتُ أَحَدًا بَعْدَهُ شَيْئًا، فَجَاءَتِ الدُّنْيَا، فَمَا أَهْلُ بَيْتٍ مِنَ الْأَنْصَارِ أَكْثَرَ أَمْوَالًا مِنَّا
“Aku pernah mengalami kelaparan pada zaman Rasulullah SAW sehingga aku mengikat seketul batu pada perutku kerana terlalu lapar. Isteriku berkata kepadaku: ‘Kalaulah kamu pergi menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu daripada Baginda. Si fulan telah datang kepada Baginda lalu meminta, dan Baginda memberikannya. Si fulan juga datang kepada Baginda lalu meminta, dan Baginda memberikannya.’ Aku menjawab: ‘Aku tidak akan meminta daripada Baginda sehingga aku tidak mempunyai apa-apa lagi.’ Lalu aku mencari sesuatu, tetapi aku tidak menjumpai apa-apa. Maka aku pergi menemui Rasulullah SAW. Ketika aku sampai, Baginda sedang menyampaikan khutbah. Aku sempat mendengar antara ucapan Baginda: ‘Sesiapa yang menjaga kehormatan dirinya, Allah akan menjaga kehormatannya. Sesiapa yang merasa cukup, Allah akan mencukupkannya. Sesiapa yang meminta daripada kami, maka kami akan memberinya jika kami mempunyai sesuatu untuk diberikan, atau kami akan membantunya (memberi makan atau berdoa untuknya). Namun, orang yang merasa cukup dan tidak meminta kepada kami lebih kami sukai daripada orang yang meminta kepada kami.’ Abu Sa‘id berkata: ‘Maka aku pun pulang dan selepas itu aku tidak pernah meminta sesuatu daripada sesiapa lagi. Kemudian dunia datang kepada kami, sehingga tidak ada sebuah keluarga daripada kalangan Ansar yang lebih banyak hartanya daripada kami.” (Sifat al-Safwah, Ibn al-Jawzi, 1/279)
Kedudukan Abu Sa‘id RA dalam bidang ilmu
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Abu Sa‘id al-Khudri RA mencapai kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu dalam kalangan para sahabat, walaupun beliau masih muda.
Rasulullah SAW wafat ketika Abu Sa‘id RA berusia kira-kira dua puluh tahun. Namun begitu, para sahabat senior mempercayai ilmu dan keluasan kefahaman beliau.
Ibn ‘Abbas RA, apabila ditanya tentang fatwa lama yang pernah beliau berikan, berkata:
إِنَّ ذَلِكَ كَانَ عَنْ رَأْيِي، وَهَذَا أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولُ اللهِ ﷺ أَنَّهُ نَهَى عَنْ الصِرْفِ، فَتَرَكْتُ رَأَبِي إِلَى حَدِيثِ رَسُولِ اللهِ ﷺ
“Sesungguhnya perkara itu dahulu berdasarkan pandanganku. Adapun sekarang, Abu Sa‘id al-Khudri meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda melarang al-sirf (Menjual atau menukar mata wang -نقود- sesama jenis dengan adanya lebihan pada salah satu daripada kedua-dua pertukaran tersebut.). Maka aku meninggalkan pandanganku dan berpegang kepada hadis Rasulullah SAW.” (Riwayat Ibn Majah, no. 2258)
Peristiwa ini menunjukkan kedudukan hadis Nabi SAW sebagai hujah yang mengatasi pandangan peribadi, walaupun pandangan tersebut datang daripada seorang sahabat yang besar seperti Ibn ‘Abbas RA.
Wafat Abu Sa‘id al-Khudri RA
Abu Sa‘id al-Khudri RA menjalani kehidupan yang panjang sebagai seorang ahli ibadah, ilmuwan dan pejuang. Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat. Para ulama berbeza pendapat tentang tahun kewafatannya. Ada yang mengatakan beliau meninggal pada tahun 64 Hijrah, manakala sebahagian yang lain mengatakan 74 Hijrah. Beliau meninggal dunia ketika berusia kira-kira 80 tahun dan dikebumikan di Perkuburan al-Baqi’. (Tahdhib al-Tahdhib, Ibn Hajar, 3/417)
Pengajaran daripada kehidupan Abu Sa‘id al-Khudri RA
Kehidupan Abu Sa‘id al-Khudri RA memperlihatkan beberapa keistimewaan yang besar:
- Semangat generasi muda untuk berkhidmat kepada Islam, walaupun beliau masih terlalu muda untuk menyertai Perang Uhud.
- Kesabaran menghadapi kesusahan dan kemiskinan tanpa merendahkan maruah diri dengan meminta-minta.
- Tawakal dan menjaga kehormatan diri, sebagaimana yang beliau pelajari daripada Rasulullah SAW.
- Kecintaan kepada ilmu dan hadis Rasulullah SAW.
- Kedudukan ilmu tidak semestinya bergantung kepada usia, kerana Abu Sa‘id RA masih muda ketika Rasulullah SAW wafat, namun beliau kemudiannya menjadi antara sahabat yang dipercayai dalam bidang ilmu.
- Mendahulukan hadis Rasulullah SAW daripada pandangan peribadi apabila terdapat nas yang sahih.
- Kesungguhan dalam berjihad dan menyertai perjuangan Islam, setelah mencapai usia yang membolehkannya.
- Keistimewaan menjadi ahli Bai‘ah al-Ridwan, yang Allah SWT sendiri nyatakan keredaan-Nya terhadap mereka.
