SDI 2046: Kejahatan Dibalas Dengan Hukuman Yang Setimpal Di Dunia Lagi

Soalan:

Ustaz, adakah apa-apa bukti yang menunjukkan Allah juga akan membalas kejahatan manusia ketika di dunia lagi?

Jawapan:

Ya, terdapat beberapa kisah yang menunjukkan bahawa Allah SWT kadangkala memperlihatkan balasan terhadap kejahatan seseorang ketika di dunia lagi. Namun, perkara ini bukanlah bermaksud setiap orang yang melakukan kejahatan pasti akan menerima balasannya di dunia. Ada kezaliman yang Allah tangguhkan balasannya hingga hari akhirat.

Antara kisah yang boleh dijadikan sebagai contoh ialah apa yang berlaku kepada ‘Ubaidullah bin Ziyad selepas pembunuhan al-Husain bin ‘Ali RA.

Daripada ‘Imārah bin ‘Umair (عمارة بن عمير), beliau berkata:

لمَّا جيءَ برأسِ عُبَيْدِ اللَّهِ بنِ زيادٍ وأصحابِهِ نُضِّدَت في المسجِدِ في الرَّحبةِ فانتَهَيتُ إليهِم وَهُم يقولونَ: قد جاءت قد جاءَت، فإذا حيَّةٌ قد جاءت تخلَّلُ الرُّؤوسَ حتَّى دخلَت في مَنخَرَي عُبَيْدِ اللَّهِ بنِ زيادٍ فمَكَثت هُنَيْهةً، ثمَّ خرَجت فذَهَبت حتَّى تغيَّبت. ثمَّ قالوا: قد جاءَت، قد جاءَت، ففَعلت ذلِكَ مرَّتينِ أو ثلاثًا

“Ketika kepala ‘Ubaidullah bin Ziyad dan kepala para pengikutnya dibawa, lalu kepala-kepala mereka disusun di masjid, di kawasan al-Rahbah, aku datang kepada mereka. Pada ketika itu orang ramai berkata: ‘Ia telah datang! Ia telah datang!’ Tiba-tiba seekor ular datang menyelinap di celah-celah kepala tersebut sehingga masuk ke dalam dua lubang hidung ‘Ubaidullah bin Ziyad. Ular itu berada di situ seketika, kemudian keluar dan pergi sehingga menghilang. Kemudian mereka berkata lagi: ‘Ia telah datang! Ia telah datang!’ Lalu ular itu melakukan perkara yang sama sebanyak dua atau tiga kali.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 3780, kata beliau: “Hadis hasan sahih.” Al-Albani menilainya sahih dalam Sahih al-Tirmizi.

Al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam 2/677 menyebut:

وقد ذكرنا مقتل عبيد الله في سنة سبع وستين يوم عاشوراء، كذا ورخه أبو اليقظان. وروى يزيد بن أبي زياد، عن أبي الطفيل قال:

“Kami telah menyebut tentang pembunuhan ‘Ubaidullah bin Ziyad pada tahun 67 Hijrah, pada hari ‘Asyura. Demikianlah tarikh yang dicatatkan oleh Abu al-Yaqzān. Yazid bin Abi Ziyad meriwayatkan daripada Abu al-Tufail yang berkata:

عَزَلْنَا سَبْعَةَ رُؤُوسٍ وَغَطَّيْنَاهَا، مِنْهَا رَأْسُ حُصَيْنِ بْنِ نُمَيْرٍ، وَعُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ زِيَادٍ، فَجِئْتُ فَكَشَفْتُهَا، فَإِذَا حَيَّةٌ فِي رَأْسِ عُبَيْدِ اللَّهِ تَأْكُلُهُ.

“Kami mengasingkan tujuh kepala lalu kami menutupinya. Antaranya ialah kepala Husain bin Numair dan kepala ‘Ubaidullah bin Ziyad. Kemudian aku datang lalu membuka penutup kepala-kepala tersebut. Tiba-tiba aku melihat seekor ular berada di dalam kepala ‘Ubaidullah bin Ziyad dan sedang memakannya.”

Setelah itu al-Zahabi menyebut hadis yang telah dinilai sebagai sahih di atas.

HURAIAN

Al-Husain bin ‘Ali bin Abi Talib RA mempunyai keutamaan dan kemuliaan yang besar. Beliau termasuk dalam kalangan Ahl al-Bayt Rasulullah , dan Baginda sangat menyayangi beliau. Nabi juga memberitahu bahawa al-Hasan dan al-Husain merupakan dua penghulu pemuda ahli syurga.

Al-Husain RA telah dibunuh secara zalim dan syahid. Setelah beliau dibunuh, ‘Ubaidullah bin Ziyad telah membawa kepala al-Husain dan meletakkan kepala tersebut di dalam sebuah bekas lalu mencucuk-cucuknya dengan sebatang tongkat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Ibn Sirin meriwayatkan:

أَتَى عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الْحُسَيْنِ فَجَعَلَهُ فِي طَسْتٍ، وَجَعَلَ يَنْكُتُهُ بِقَضِيبٍ

“‘Ubaidullah bin Ziyad membawa kepala al-Husain, lalu meletakkannya di dalam sebuah bekas dan mula mencucuk-cucuknya dengan sebatang tongkat.”

Allah membalas perbuatan jahatnya ini dengan pembalasan yang setimpal. Ubaidullah bin Ziyad dibunuh oleh tentera Al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaidah al-Thaqafi (المختارُ بنُ أبي عُبيدةَ الثَّقفيُّ) yang diketuai oleh Ibrahim bin al-Ashtar (إبراهيمَ بنِ الأشتَرِ). ‘Ubaidullah bin Ziyad berjaya dibunuh oleh Ibrahim bin al-Ashtar pada hari Sabtu, lapan hari yang masih berbaki daripada bulan Zulhijjah tahun 66 Hijrah, di suatu kawasan yang dikenali sebagai al-Jazir (الجازرُ). Setelah Ibn Ziyad berjaya dibunuh, kepalanya dan kepala para pengikutnya dibawa lalu diletakkan di hadapan al-Mukhtar. Kepala-kepala tersebut نُضِّدَت, iaitu dibentangkan dan sebahagiannya diletakkan di atas sebahagian yang lain, di dalam masjid di kawasan yang dikenali sebagai al-Rahbah, iaitu suatu tempat di Kufah.

‘Imarah bin ‘Umair berkata: فَانْتَهَيْتُ إِلَيْهِمْ “Lalu aku sampai kepada mereka,” iaitu kepada orang-orang yang berada di tempat tersebut, tempat kepala-kepala itu diletakkan. Sedangkan mereka, iaitu orang ramai, berkata mengenai sesuatu: قَدْ جَاءَتْ، قَدْ جَاءَتْ “Telah datang! Telah datang!” Tiba-tiba, فَإِذَا, iaitu secara mengejut, seekor حَيَّة, iaitu seekor ular datang تَخَلَّلُ, iaitu menyelinap dan masuk di celah-celah kepala-kepala, iaitu kepala ‘Ubaidullah bin Ziyad dan kepala para pengikutnya.

Sehinggalah ular tersebut masuk ke dalam مَنخَرَي ‘Ubaidullah bin Ziyad. Al-Minhar (المِنخَرُ) ialah lubang atau liang hidung, maka مَنخَرَي adalah dua lubang hidungnya. Asal perkataan tersebut merujuk kepada tempat keluarnya suara dengusan, iaitu suara yang keluar dari hidung.

Maka ular tersebut masuk ke dalam hidung ‘Ubaidullah bin Ziyad, seolah-olah ia merupakan balasan terhadap apa yang dilakukan oleh ‘Ubaidullah bin Ziyad terhadap kepala al-Husain RA.

Kemudian: فَمَكَثَتْ “Ular itu tinggal,” iaitu ular tersebut berada di situ هُنَيْهَةً “Untuk seketika,” iaitu dalam suatu tempoh yang singkat. Kemudian: خَرَجَتْ “Ular itu keluar.” Selepas itu: فَذَهَبَتْ “Ular itu pergi,” sehingga: حَتَّى تَغَيَّبَتْ “Sehingga ia menghilang,” iaitu tidak lagi kelihatan dari pandangan kami. Kemudian mereka berkata, iaitu orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut: قَدْ جَاءَتْ، قَدْ جَاءَتْ “Telah datang! Telah datang!” iaitu ular tersebut datang semula. Lalu ular itu melakukan perkara yang sama. Maksudnya, ia masuk ke dalam kedua-dua lubang hidung Ibn Ziyad, berada di situ seketika, kemudian keluar. Selepas itu ia pergi dan menghilang. Kemudian ia datang semula lalu masuk sekali lagi ke dalam kedua-dua lubang hidung Ibn Ziyad. Ular tersebut melakukan perkara itu sebanyak dua atau tiga kali.

Ada yang mengatakan bahawa ular itu masuk melalui salah satu lubang hidung Ibn Ziyad dan keluar melalui mulutnya. Ada juga yang mengatakan bahawa ular tersebut masuk dan keluar melalui kepalanya, di celah-celah kepala-kepala yang lain.

Kemudian al-Mukhtar mengutus kepala Ibn Ziyad dan kepala orang-orang yang terbunuh bersamanya ke Mekah kepada Muhammad bin al-Hanafiyyah. Ada pula yang mengatakan bahawa kepala-kepala tersebut dihantar kepada ‘Abdullah bin al-Zubair. Lalu kepala-kepala tersebut didirikan atau dipamerkan di Mekah.

Ibrahim bin al-Ashtar pula membakar jasad Ibn Ziyad dan jasad orang-orang yang lain.

Dalam hadis ini terdapat keterangan tentang pembalasan Allah Taala terhadap kejahatan yang dilakukan kepada para wali-Nya, serta penjelasan tentang kemuliaan al-Husain bin ‘Ali bin Abi Talib RA.


Cetak  
Wallahu a'lam