باب إكرام الضيف
Bab Memuliakan Tetamu
Allah Taala berfirman:
﴿هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا قَالَ سَلَامٌ قَوْمٌ مُنْكَرُونَ فَرَاغَ إِلَى أَهْلِهِ فَجَاءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ﴾
“Sudahkah sampai kepadamu kisah tentang tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk menemuinya lalu mereka mengucapkan: ‘Salam.’ Dia menjawab: ‘Salam.’ (Dalam hatinya berkata:) ‘Mereka adalah orang yang tidak aku kenali.’ Lalu dia pergi dengan segera secara senyap kepada keluarganya, kemudian dia membawa seekor anak lembu yang gemuk. Lalu dia menghidangkannya dekat kepada mereka dan berkata: ‘Tidakkah kamu mahu makan?’” (al-Dzhariaat: 24-27)
Allah Taala juga berfirman:
﴿وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِنْ قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ قَالَ يَا قَوْمِ هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ﴾
“Dan kaumnya datang kepadanya dengan segera. Sebelum itu mereka memang telah biasa melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Dia berkata: ‘Wahai kaumku! Inilah anak-anak perempuanku, mereka lebih suci bagi kamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menghinakanku dengan menyakiti tetamu-tetamuku. Bukankah dalam kalangan kamu ada seorang lelaki yang bijaksana?’” (Hud: 78)
Huraian
Al-Imam al-Nawawi رحمه الله berkata:
Bab Memuliakan Tetamu.
Tetamu (الضيف) ialah seseorang yang datang kepada kita sebagai musafir, lalu kita menyambutnya dengan menyediakan tempat tinggal, makanan, minuman dan apa sahaja yang diperlukannya.
Memuliakan tetamu merupakan akhlak yang mulia dan telah lama dikenal, sejak zaman Nabi Ibrahim al-Khalil عليه السلام. Pengarang رحمه الله akan membawakan beberapa hadis berkaitan memuliakan tetamu dan menjelaskan bahawa memuliakan tetamu merupakan sebahagian daripada iman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Sebagaimana kebiasaan, al-Imam al-Nawawi memulakan bab ini dengan ayat-ayat al-Quran kerana al-Quran didahulukan daripada al-Sunnah. Al-Quran ialah kalam Allah, manakala hadis ialah perkataan Rasulullah ﷺ. Kedua-duanya merupakan kebenaran yang wajib dipercayai apabila berbentuk perkhabaran dan wajib dilaksanakan apabila berbentuk perintah atau tuntutan. Allah Taala berfirman:
﴿هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ﴾
“Sudahkah sampai kepadamu kisah tentang tetamu Ibrahim yang dimuliakan?”
Ungkapan ﴿هَلْ أَتَاكَ﴾ — “Sudahkah sampai kepadamu?” — berbentuk pertanyaan yang bertujuan menarik perhatian dan membangkitkan minat pendengar supaya bersedia mendengar kisah yang akan disampaikan.
Ungkapan: ﴿هَلْ أَتَاكَ﴾ “Sudahkah sampai kepadamu?” boleh ditujukan kepada Rasulullah ﷺ secara khusus, atau kepada Baginda dan seluruh umat baginda, iaitu kepada setiap orang yang layak menerima seruan tersebut.
Tetamu Nabi Ibrahim عليه السلام
Allah berfirman:
﴿إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا قَالَ سَلَامٌ﴾
“Ketika mereka masuk menemuinya lalu mereka mengucapkan: ‘Salaman.’ Dia menjawab: ‘Salamun.’”
Tetamu Nabi Ibrahim عليه السلام itu ialah para malaikat yang diutuskan oleh Allah عز وجل kepada Ibrahim dan kemudian kepada Lut عليهما السلام. Allah menyifatkan mereka sebagai: ﴿الْمُكْرَمِينَ﴾ iaitu “mereka yang dimuliakan.” Mereka dimuliakan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dengan layanan dan jamuan yang baik.
Apabila mereka masuk, mereka berkata: ﴿سَلَامًا﴾ Maksudnya: “Kami mengucapkan salam.” Ibrahim عليه السلام menjawab: ﴿سَلَامٌ﴾ maksudnya: سلام مني عليكم “Ke atas kamu salam.”
Para ulama menjelaskan bahawa ucapan سَلَامًا bermaksud: نسلّم سلاما “kami mengucapkan salam”, berupa jumlah fi’liyyah yang berkait dengan waktu: Maka maksudnya ialah: “Kami ucapkan keselamatan untuk kamu sekarang ini.” Manakala سَلَامٌ adalah jumlah ismiyyah yang menunjukkan thubuth dan istimrar (الثبوت والاستمرار) bermaksud “ke atas kamu salam sejahtera.” Atau dengan penjelasan lain, ucapan malaikan bermaksud: أنت آمن منا الآن “kamu aman atau selamat dari kami sekarang ini.” Manakala ucapan Nabi Ibrahim bermaksud: أنتم آمنون مني قبل أن تأتوا والآن وبعد أن تذهبوا
Jawapan Nabi Ibrahim عليه السلام lebih baik daripada ucapan mereka kerana ia memenuhi tuntutan firman Allah:
﴿وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا﴾
“Apabila kamu diberi suatu penghormatan, maka balaslah dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dengan yang seumpamanya.”
Nabi Ibrahim Tidak Mengenali Tetamu Yang Datang
Allah berfirman:
﴿قَوْمٌ مُنْكَرُونَ﴾
“Mereka ialah kaum yang tidak aku kenali.”
Nabi Ibrahim عليه السلام tidak berkata secara terus:
“Kamu ialah kaum yang tidak aku kenali.”
Sebaliknya Baginda menggunakan ungkapan ﴿قَوْمٌ مُنْكَرُونَ﴾, yang lebih halus dan sopan. Hal ini termasuk dalam keindahan adab dan layanan terhadap tetamu. Ungkapan secara terus seperti “kamu adalah orang yang aku tidak kenali” mungkin terasa kurang menyenangkan kepada tetamu. Adapun ungkapan “mereka adalah kaum yang tidak aku kenali” lebih lembut.
Perkataan مُنْكَرُونَ bermaksud Baginda tidak mengenali mereka kerana itu merupakan kali pertama Baginda bertemu dengan mereka.
Nabi Ibrahim Segera Menyediakan Jamuan
Allah berfirman:
﴿فَرَاغَ إِلَى أَهْلِهِ﴾
Maksud رَاغَ ialah pergi dengan segera dan secara senyap, tanpa membuat tetamu berasa bahawa Baginda sedang bersusah payah menyediakan makanan untuk mereka. Baginda pergi kepada keluarganya, iaitu ke rumahnya, lalu:
﴿فَجَاءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ﴾
“Kemudian dia membawa seekor anak lembu yang gemuk.”
العِجل bermaksud anak lembu. Daging anak lembu lebih lembut dan lazat, manakala keadaan yang gemuk menjadikan dagingnya lebih baik dan enak. Dalam ayat lain disebut bahawa anak lembu itu مَحْنُوذٌ, iaitu telah dipanggang. Ini merupakan antara bentuk hidangan daging yang paling lazat. Allah berfirman:
﴿وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَىٰ قَالُوا سَلَامًا ۖ قَالَ سَلَامٌ ۖ فَمَا لَبِثَ أَن جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ﴾
“Dan sesungguhnya telah datang para utusan Kami kepada Ibrahim dengan membawa berita gembira. Mereka mengucapkan, ‘Salam.’ Dia menjawab, ‘Salam.’ Maka tidak lama kemudian dia datang membawa seekor anak lembu yang dipanggang.”
Nabi Ibrahim Mendekatkan Hidangan kepada Tetamu
Allah berfirman:
﴿فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ﴾
“Lalu dia menghidangkannya dekat kepada mereka.”
Baginda tidak meletakkan makanan jauh daripada mereka lalu berkata:
“Silakan datang mengambil makanan.”
Sebaliknya, Baginda sendiri mendekatkan makanan kepada tetamu supaya mereka tidak perlu bersusah payah dan berasa terbeban. Kemudian Baginda tidak menggunakan bentuk arahan secara langsung seperti “Makanlah!”, tetapi berkata:
﴿أَلَا تَأْكُلُونَ﴾
“Tidakkah kamu mahu makan?”
Ini merupakan tawaran dan dorongan, bukan perintah. Cara tersebut juga menunjukkan kelembutan dan keindahan adab Nabi Ibrahim عليه السلام dalam melayani tetamu.
Tetamu Nabi Lut عليه السلام
Para tetamu tersebut kemudiannya pergi kepada Nabi Lut عليه السلام dalam bentuk pemuda-pemuda yang tampan. Kaum Nabi Lut telah ditimpa penyakit moral yang sangat buruk, iaitu perbuatan homoseksual, dengan melakukan hubungan seksual sesama lelaki.
Apabila berita kedatangan para pemuda yang tampan itu tersebar, mereka datang kepada Lut عليه السلام. Allah berfirman:
﴿وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ﴾
“Dan kaumnya datang kepadanya dengan segera.”
Perkataan يُهْرَعُونَ bermaksud datang dengan tergesa-gesa dan bergegas menuju kepadanya. Allah menyebut:
﴿وَمِنْ قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ﴾
“Dan sebelum itu mereka memang telah biasa melakukan perbuatan-perbuatan yang keji.”
Dimaksudkan di sini ialah mereka telah biasa melakukan perbuatan keji tersebut, iaitu homoseksual.
Nabi Lut Mempertahankan Tetamunya
Lut عليه السلام berkata:
﴿يَا قَوْمِ هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي﴾
“Wahai kaumku! Inilah anak-anak perempuanku, mereka lebih suci bagi kamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menghinakanku dengan menyakiti tetamu-tetamuku.”
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa maksud “anak-anak perempuanku” ialah wanita daripada kalangan kaum Nabi Lut, bukan semestinya anak perempuan kandung Baginda. Seorang nabi mempunyai kedudukan seperti seorang bapa terhadap kaumnya, sebagaimana disebut dalam ayat lain:
﴿أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ﴾
“Patutkah kamu mendatangi lelaki daripada kalangan manusia, sedangkan kamu meninggalkan apa yang telah diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu daripada pasangan-pasangan kamu? Bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas.”
Maksudnya, terdapat wanita yang halal untuk mereka nikahi, tetapi mereka meninggalkan perkara yang halal lalu memilih perbuatan yang haram. Oleh itu, Lut عليه السلام berkata:
﴿فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي﴾
“Maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menghinakanku dengan menyakiti tetamu-tetamuku.”
Ungkapan: ﴿هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ﴾ "Inilah anak-anak perempuanku, mereka lebih suci bagi kamu”
merupakan bentuk perbandingan yang tidak bermaksud bahawa perkara yang dibandingkan dengannya mempunyai unsur kesucian. Perbuatan seksual terhadap lelaki itu sendiri merupakan perbuatan yang keji dan kotor. Allah Taala berfirman:
﴿وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ تَعْمَلُ الْخَبَائِثَ﴾
“Dan Kami menyelamatkannya daripada negeri yang penduduknya melakukan perbuatan-perbuatan yang keji.”
Hubungan dengan wanita melalui jalan yang halal, iaitu melalui akad pernikahan yang sah, adalah lebih suci dan halal bagi mereka. Oleh itu, Nabi Lut عليه السلام menyeru kaumnya supaya meninggalkan perbuatan yang haram dan memilih jalan yang halal. Allah Taala berfirman:
﴿فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ﴾
“Maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menghinakan aku dengan menyakiti tetamu-tetamuku. Tidakkah dalam kalangan kamu terdapat seorang lelaki yang bijaksana?”
Namun, malangnya tidak ada seorang pun lelaki yang bijaksana dalam kalangan mereka. Mereka menjawab:
﴿قَالُوا لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ﴾
“Mereka berkata: Sesungguhnya engkau telah mengetahui bahawa kami tidak mempunyai sebarang keperluan terhadap anak-anak perempuanmu, dan sesungguhnya engkau benar-benar mengetahui apa yang kami kehendaki.”
Maksud mereka ialah: “Engkau mengetahui bahawa kami tidak berminat kepada wanita, sebaliknya engkau mengetahui bahawa kami menghendaki para pemuda yang datang kepadamu itu.” Lalu Lut عليه السلام berkata:
﴿لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ﴾
“Kalaulah aku mempunyai kekuatan untuk menghadapi kamu, atau aku dapat berlindung kepada suatu sokongan yang kuat.”
Kemudian para rasul itu berkata:
﴿يَا لُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَنْ يَصِلُوا إِلَيْكَ﴾
“Wahai Lut! Sesungguhnya kami ialah utusan Tuhanmu. Mereka tidak akan dapat menyentuh atau mengapa-apakanmu.”
Kemudian para malaikat tersebut mengarahkan Lut عليه السلام supaya keluar pada waktu malam bersama keluarganya dan meninggalkan negeri tersebut.
Allah Taala berfirman dalam Surah al-Qamar:
﴿كَذَّبَتْ قَوْمُ لُوطٍ بِالنُّذُرِ إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ حَاصِبًا إِلَّا آلَ لُوطٍ نَجَّيْنَاهُمْ بِسَحَرٍ نِعْمَةً مِنْ عِنْدِنَا كَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ شَكَرَ وَلَقَدْ أَنْذَرَهُمْ بَطْشَتَنَا فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ وَلَقَدْ رَاوَدُوهُ عَنْ ضَيْفِهِ فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ﴾
“Kaum Lut telah mendustakan peringatan-peringatan. Sesungguhnya Kami telah menghantar kepada mereka ribut yang membawa batu-batu, kecuali keluarga Lut; Kami menyelamatkan mereka pada waktu sahur sebagai suatu nikmat daripada Kami. Demikianlah Kami membalas orang yang bersyukur. Dan sesungguhnya dia telah memperingatkan mereka tentang azab Kami, tetapi mereka tetap mendustakan peringatan-peringatan itu. Dan sesungguhnya mereka telah cuba menggoda Lut mengenai tetamu-tetamunya, lalu Kami butakan mata mereka. Maka rasakanlah azab-Ku dan peringatan-peringatan-Ku.”
Sebahagian ulama mengatakan bahawa para malaikat menampar muka mereka, lalu mata mereka menjadi buta. Ada juga yang mengatakan bahawa Allah Taala membutakan penglihatan mereka secara langsung pada ketika itu.
Apa pun perincian yang benar tentang cara mereka menjadi buta, firman Allah:
﴿وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي﴾
“Janganlah kamu menghinakan aku dengan menyakiti tetamu-tetamuku.”
menunjukkan bahawa tetamu mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Lut عليه السلام, sebagaimana tetamu Ibrahim عليه السلام juga dimuliakan oleh Baginda.
Para Wanita Kaum Lut Juga Melakukan Hubungan Sejenis
Sebahagian ahli tafsir menukilkan bahawa antara sebab wanita daripada kaum Nabi Lut عليه السلام turut menerima kebinasaan ialah kerana mereka juga melakukan perbuatan keji tersebut. Hal ini berlaku kerana apabila kaum lelaki mereka tidak lagi memerlukan wanita, sebaliknya memenuhi keinginan seksual mereka dengan sesama lelaki, maka sebahagian wanita pula tidak mendapati lelaki untuk memenuhi keperluan seksual mereka, lalu mereka saling memenuhi keperluan tersebut sesama wanita. Disebut dalam Tafsir al-Alusi رحمه الله:
وبدأ أيضاً السحاق في قوم لوط عليه السلام فكانت المرأة تأتي المرأة، فعن حذيفة رضي الله تعالى عنه إنما حق القول على قوم لوط عليه السلام حين استغنى النساء بالنساء والرجال بالرجال. وعن أبي حمزة رضي الله تعالى عنه: قلت لمحمد بن علي عذب الله تعالى نساء قوم لوط بعمل رجالهم فقال: الله تعالى أعدل من ذلك استغنى الرجال بالرجال والنساء بالنساء
“Perbuatan sihaq (lesbian) juga mula berlaku dalam kalangan kaum Lut عليه السلام. Maka seorang wanita melakukan hubungan seksual dengan wanita yang lain. Diriwayatkan daripada Hudhayfah رضي الله تعالى عنه bahawa sesungguhnya ketetapan azab terhadap kaum Lut عليه السلام berlaku apabila kaum wanita tidak lagi memerlukan lelaki dengan wanita sesama wanita, dan kaum lelaki tidak lagi memerlukan wanita dengan lelaki sesama lelaki.” Dan daripada Abu Hamzah رضي الله عنه, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Muhammad ibn Ali: ‘Adakah Allah Taala mengazab wanita daripada kaum Lut kerana perbuatan kaum lelaki mereka?’ Beliau menjawab: ‘Allah Taala lebih adil daripada melakukan demikian. Kaum lelaki tidak lagi memerlukan wanita kerana mereka saling memenuhi keperluan sesama lelaki, dan kaum wanita pula tidak lagi memerlukan lelaki kerana mereka saling memenuhi keperluan sesama wanita.’”
Hukum memuliakan tetamu
Kesimpulannya, apabila seseorang didatangi tetamu, maka menyediakan layanan kepada tetamu merupakan hak tetamu. Dalam huraian ini dinyatakan bahawa seseorang wajib melayani tetamunya selama sehari semalam.
Namun, seseorang tidak sepatutnya bersikap melampau dalam memuliakan tetamu sehingga membebankan dirinya, berlebih-lebihan menyediakan jamuan, kemudian makanan yang banyak itu akhirnya dibuang dan dibazirkan.
