SDI 2047: Hukum Jamak Solat Disebabkan Sakit Di Sisi Mazhab Syafi'e

Soalan:

Bolehkah Orang Sakit Jamak Solat Menurut Mazhab Syafi‘i?

Jawapan:

Pandangan muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah tidak boleh menghimpunkan (menjamakkan) solat kerana sakit. Namun, al-Imam al-Nawawi, al-Qadi Husain, Imam Ibn Suraij, al-Ruyani dan al-Mawardi memilih pandangan boleh menjamakkan solat kerana sakit, sama ada:

  • جمع التقديم — jamak taqdim, ataupun;
  • جمع التأخير — jamak takhir.

Mereka berpandangan bahawa jamak dilakukan berdasarkan mana yang lebih memudahkan bagi orang yang mempunyai keuzuran. Kata Ibn Ruslan dalam al-Zubad 120:

وَالْجمع بالتقديم وَالتَّأْخِير ... بِحَسب الأرفق للمعذور
فِي مرض قَول جلي وقوي ... اخْتَارَهُ حمدُ وَيحيى النَّوَوِيّ ...

Maksudnya: Jamak dengan cara taqdim ataupun takhir, hendaklah berdasarkan mana yang lebih memudahkan bagi orang yang beruzur. Dalam masalah sakit, terdapat satu pandangan yang jelas dan kuat, telah dipilih oleh Hamad dan Yahya al-Nawawi.

Ukuran sakit yang membolehkan jamak

Antara ukuran yang disebut dalam kitab-kitab mazhab Syafi‘e, antaranya dalam al-Tuhfah 2/404:

يَشُقَّ مَعَهُ فِعْلُ كُلِّ فَرْضٍ فِي وَقْتِهِ

Iaitu: “Sakit yang menyebabkan seseorang mengalami kesukaran untuk menunaikan setiap solat fardu dalam waktunya.”

Ada juga pandangan yang mengatakan tidak berpada dengan sakit yang mendatangkan kesukarang untuk menunaikan setiap solat fardhu dalam waktunya, bahkan perlu ada kesukaran yang Zahir (مشقة ظاهرة):

بِحَيْثُ تُبِيحُ الْجُلُوسَ فِي الْفَرْضِ

Iaitu: Sakit yang membolehkan seseorang menunaikan solat fardu dalam keadaan duduk.”

Kesimpulan: Dalam mazhab Syafi‘i, pandangan muktamad tidak membenarkan jamak kerana sakit. Namun, terdapat pandangan kuat dalam mazhab yang dipilih oleh beberapa imam besar, termasuk al-Imam al-Nawawi رحمه الله, yang membenarkan jamak bagi orang sakit apabila sakit tersebut menimbulkan kesukaran untuk menunaikan solat pada waktunya.

 


Cetak  
Wallahu a'lam