Hadis Larangan Membunuh Katak

Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Uthman al-Taymi (عبدالرحمن بن عثمان التيمي) رضي الله عنه:

أن طبيبًا ذكر ضُفدعًا في دواءٍ، عند رسولِ اللهِ، فنهى رسولُ اللهِ عن قتلِهِ.

“Seorang tabib menyebut tentang seekor katak berkaitan perubatan di sisi Rasulullah . Lalu Rasulullah melarang dari membunuh katak.” (Hadis dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Nasa’i, no. 4366. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasa’i (4355) dengan lafaz tersebut, Abu Dawud (3871) dan al-Tayalisi (1279), dengan sedikit perbezaan lafaz)

Lafaz yang lain daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Uthman al-Taymi (عبدالرحمن بن عثمان التيمي) juga رضي الله عنه:

أنَّ طبيبًا سأل النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ، عن ضُفدعٍ يجعلها في دواءٍ، فنهاه النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عن قتلِها.

“Sesungguhnya seorang tabib bertanya kepada Nabi tentang seekor katak yang hendak dijadikannya sebagai bahan dalam ubat. Maka Nabi melarangnya daripada membunuh katak tersebut.” (Hadis dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Dawud, no. 5269. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud (5269) dengan lafaz tersebut, al-Nasa’i (4355) dan al-Tayalisi (1279), dengan sedikit perbezaan lafaz)

Huraian

Dalam hadis ini, ‘Abd al-Rahman bin ‘Uthman رضي الله عنه meriwayatkan tentang seorang tabib (doktor) yang bertanya kepada Nabi mengenai seekor katak yang hendak dimasukkannya ke dalam ubat, iaitu dengan mengambil atau mengekstrak sesuatu dari katak untuk dijadikan ubat bagi orang yang sakit.

Lalu Nabi melarangnya daripada membunuh katak tersebut. Hal ini kerana untuk memanfaatkan katak bagi tujuan perubatan memerlukan  katak itu dibunuh terlebih dahulu.

Larangan membunuh katak ini dikatakan oleh sebahagian ulama adalah kerana katak itu haram dimakan, atau kerana ia dianggap jijik. Ada juga yang berpendapat bahawa Nabi mengetahui bahawa pada katak terdapat kemudaratan yang lebih besar daripada manfaat yang dilihat oleh tabib tersebut, lalu Baginda melarang penggunaannya.

Atau mungkin juga larangan tersebut mempunyai hikmah tertentu yang hanya diketahui oleh Allah تعالى. Oleh itu, sikap yang sepatutnya bagi seorang Muslim ialah tunduk dan patuh kepada perintah syarak.

 


Cetak  
Wallahu a'lam