SDI 2048: Maksud: "Dia Pula Berhujah Dengan Kami Tentang Kaum Lut"

Soalan:

Ustaz apa maksud nabi Ibrahim berhujah dengan kami dalam firman Allah: “Maka apabila rasa takut telah hilang daripada Ibrahim dan berita gembira telah datang kepadanya, dia pun mula berhujah dengan Kami tentang kaum Lut.” (Hud: 74)

Jawapan:

Ayat yang dimaksudkan ialah firman Allah SWT:

﴿فَلَمَّا ذَهَبَ عَنْ إِبْرَاهِيمَ الرَّوْعُ وَجَاءَتْهُ الْبُشْرَى يُجَادِلُنَا فِي قَوْمِ لُوطٍ﴾

“Maka apabila rasa takut telah hilang daripada Ibrahim dan berita gembira telah datang kepadanya, dia pun mula berhujah dengan Kami tentang kaum Lut.” (Hud: 74)

Huraian

Ayat yang bermaksud:

“Maka apabila rasa takut telah hilang daripada Ibrahim.”

Di mana kalimah الرَّوْعُ ialah rasa takut atau kebimbangan terhadap kemungkinan tetamu baginda yang tidak dikenali melakukan sesuatu yang tidak baik setelah mereka tidak menjamah makanan yang dihidangkan. Namun apabila Nabi Ibrahim mengetahui siapa sebenarnya mereka, hilanglah rasa takut tersebut.

Manakala:

“Dan berita gembira telah datang kepadanya.”

Iaitu berita gembira yang datang menggantikan rasa takut yang sebelumnya dirasainya.

“Dia pun mula berhujah dengan Kami tentang kaum Lut.”

Maksudnya, Ibrahim berhujah mengenai kebinasaan yang akan dikenakan kepada kaum Nabi Lut, sebagai usaha untuk memohon agar azab dan kebinasaan itu dijauhkan daripada mereka.

Diriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim AS berkata:

أتهلك البارّ مع الأثيم، أتهلكها وفيهم خمسون بارّا؟ حاشا لك! قيل له: إن وجد فيهم خمسون بارّا فنصفح عن الجميع لأجلهم! قال: أو أربعون؟ فقيل: أو أربعون!

“Adakah Engkau akan membinasakan orang yang baik bersama-sama orang yang berdosa? Adakah Engkau akan membinasakan mereka sedangkan dalam kalangan mereka terdapat lima puluh orang yang baik? Maha Suci Engkau daripada melakukan demikian!” Lalu para malaikat menjawab: “Jika terdapat lima puluh orang yang baik dalam kalangan mereka, Kami akan mengampunkan mereka semua kerana mereka.” Kemudian Ibrahim berkata: “Bagaimana pula jika hanya empat puluh orang?” Dikatakan kepada baginda: “Walaupun empat puluh orang.”

Demikianlah Ibrahim terus mengurangkan bilangannya sehingga beliau berkata:

أو عشرة، فقيل له. لا نهلكها من أجل العشرة، إلا أنه ليس فيها عشرة أبرار، بل جميعهم منهمك في الفاحشة. فقال: إنه فيها لوطا! فقيل: نحن أعلم بمن فيها لننجينّه.

“Bagaimana pula jika hanya sepuluh orang?” Lalu dikatakan kepadanya: “Kami tidak akan membinasakan mereka kerana sepuluh orang tersebut. Namun, ternyata tidak terdapat sepuluh orang yang soleh dalam kalangan mereka. Bahkan kesemua mereka terlibat dalam perbuatan keji tersebut. Kemudian Ibrahim berkata: “Sesungguhnya Lut berada dalam kalangan mereka!” Lalu dikatakan kepadanya: “Kami lebih mengetahui siapakah yang berada di dalamnya. Sesungguhnya Kami benar-benar akan menyelamatkan Lut.”

Adapun firman Allah:

يُجَادِلُنَا— “dia berhujah dengan Kami” — merupakan jawapan kepada لَمَّا. Lafaz يُجَادِلُنَا digunakan dalam bentuk kata kerja mudari‘ (sedang/akan) sedangkan peristiwa itu telah berlaku, sebagai gambaran seolah-olah keadaan tersebut sedang berlangsung ketika diceritakan.

Atau, لَمَّا di sini berfungsi seperti لَوْ yang bermaksud “atau” yang mengubah kata kerja mudari’ membawa makna masa lampau (ماضيا). Sebagaimana إِنْ boleh menjadikan kata kerja lampau membawa makna masa akan datang.

Ada juga pendapat bahawa jawapan kepada لَمَّا sebenarnya digugurkan, manakala lafaz yang disebut selepasnya menjadi petunjuk kepada jawapan tersebut atau mempunyai kaitan dengannya.

Mengapa Nabi Ibrahim AS berhujah dengan para malaikat tentang azab yang akan diturunkan kepada kaum Nabi Lut? Jawapan persoalan ini ada pada ayat berikutnya, iaitulah firman Allah SWT:

﴿إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَحَلِيمٌ أَوَّاهٌ مُنِيبٌ﴾

“Sesungguhnya Ibrahim benar-benar seorang yang sangat penyabar, sangat berlembut hati dan sentiasa kembali kepada Allah.” (Hud: 75)

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Ibrahim benar-benar seorang yang sangat penyabar (حَلِيمٌ).”

Maksud حَلِيمٌ ialah seorang yang tidak tergesa-gesa untuk membalas atau menghukum orang yang melakukan kesalahan terhadapnya. Beliau tidak segera bertindak untuk membalas kejahatan dengan kejahatan.

Manakala أَوَّاهٌ iailah yang sangat berlembut hati. Maksud أَوَّاهٌ ialah seorang yang banyak dan sangat tersentuh hatinya, khususnya apabila melihat keburukan dan penderitaan yang menimpa orang lain. kalimah مُنِيبٌ yang diterjemahkan sebagai: “Yang sentiasa kembali kepada Allah.” Iaitu sentiasa kembali kepada Allah dalam segala perkara yang dicintai dan diredai-Nya, dengan mentaati-Nya dan menyerahkan urusannya kepada-Nya.

Penyebutan sifat-sifat mulia Ibrahim yang tersebut dalam ayat ini bertujuan untuk menjelaskan sebab yang mendorong beliau berhujah tentang kaum Lut, iaitu kerana kelembutan hatinya dan sifat belas kasihnya yang sangat mendalam terhadap manusia. (Lihat Mahasin al-Ta’wil oleh al-Qasimi (1332H))

Seterusnya pada ayat 76, para malaikat menjawab dengan firman Allah SWT:

﴿يَا إِبْرَاهِيمُ أَعْرِضْ عَنْ هَذَا إِنَّهُ قَدْ جَاءَ أَمْرُ رَبِّكَ وَإِنَّهُمْ آتِيهِمْ عَذَابٌ غَيْرُ مَرْدُودٍ﴾

“Wahai Ibrahim! Berpalinglah daripada perkara ini. Sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan sesungguhnya azab yang tidak dapat ditolak akan menimpa mereka.” (Hud: 76)

Maksudnya jangan lagi meneruskan perbincangan dan permohonan tentang kaum Lut, kerana ketetapan Allah untuk membinasakan mereka telah diputuskan dan tiba waktunya untuk dilaksanakan. Azab Allah pasti akan sampai kepada mereka dan tidak ada sesiapa yang mampu menolaknya atau menghalangnya daripada berlaku.

 


Cetak  
Wallahu a'lam