SDI 2058: Haram Bagi Pemerintah Atau Wakilnya Melantik Orang Fasiq Menjadi Imam Solat

Soalan:

Ustaz apa hukum penjawat awam di Jabatan Agama melantik imam masjid dari kalangan orang yang dikenali sebagai seorang yang buruk akhlaknya?

Jawapan:

Haram wakil pemerintah seperti penjawat awam melantik seorang dikenali dari kalangan orang yang buruk akhlak atau seorang fasik. Al-Imam Al-Mawardi berkata:

وَيَحْرُمُ عَلَى الْإِمَامِ نَصْبُ الْفَاسِقِ إمَامًا لِلصَّلَوَاتِ؛ لِأَنَّهُ مَأْمُورٌ بِمُرَاعَاةِ الْمَصَالِحِ وَلَيْسَ مِنْهَا أَنْ يُوقِعَ النَّاسَ فِي صَلَاةٍ مَكْرُوهَةٍ. اهـ. وَيُؤْخَذُ مِنْهُ حُرْمَةُ نَصْبِ كُلِّ مَنْ كُرِهَ الِاقْتِدَاءُ بِهِ وَنَاظِرُ الْمَسْجِدِ وَنَائِبُ الْإِمَامِ كَهُوَ فِي تَحْرِيمِ ذَلِكَ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ.

“Haram bagi imam (pemimpin atau wakilnya) melantik seorang fasik sebagai imam solat, kerana seorang pemimpin diperintahkan supaya mengambil kira kemaslahatan, sedangkan bukan termasuk dalam kemaslahatan jika dia menyebabkan orang ramai menunaikan solat yang makruh (berimamkan seorang fasiq).” - tamat petikan - Daripada perkataan al-Māwardī ini juga dapat difahami bahawa haram melantik sesiapa sahaja yang makruh bagi seseorang untuk mengikutinya. Begitu juga, nazir atau pengurus masjid (ناظر المسجد) dan wakil imam (نائب الإمام) turut mempunyai hukum yang sama seperti imam dalam perkara pengharaman tersebut, sebagaimana yang jelas." (Tuhfah al-Muhtaj 2/295)

Kata al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam 2/523:

قال شيخ الإِسلام: اتَّفق الأئمة على كراهة الصلاة خلف الفاسق. وقال الماوردي: يحرم على الإِمام تنصيب الفاسق إمامًا في الصلوات؛ لأنَّه مأمور بمراعاة المصالح.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: "Para imam (ulama) telah bersepakat tentang kemakruhan solat di belakang orang fasik.” Al-Mawardi berkata: “Haram bagi imam (pemimpin) melantik orang fasik sebagai imam dalam solat, kerana dia diperintahkan supaya mengambil kira kemaslahatan. [Sedangkan melantik orang fasik sebagai imam] bukanlah suatu kemaslahatan.”


Cetak  
Wallahu a'lam