Soalan:
Seorang ibu yang menjaga anaknya selepas kematian suami apakah dapat kelebihan menjaga anak yatim?
Jawapan:
Memelihara dan menanggung anak yatim (Kafalah) tidak terhad kepada orang yang tiada hubungan kekeluargaan dengan anak yatim tersebut. Bahkan sesiapa sahaja yang menanggung dan menguruskan keperluan anak yatim, sama ada ibunya sendiri atau orang lain, termasuk dalam keutamaan dan ganjaran Kafalah al-Yatim.
Al-Imam al-Nawawi رضي الله عنه berkata dalam Riyāḍ al-Ṣāliḥīn: Daripada Sahl bin Sa‘d رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
"أَنَا وكافلُ الْيتِيمِ في الجنَّةِ هَكَذَا" وأَشَار بِالسَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى، وفَرَّجَ بَيْنَهُمَا"
“Aku dan orang yang menanggung anak yatim berada di dalam syurga seperti ini.” Baginda ﷺ mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah, serta merenggangkan sedikit antara kedua-duanya. — Riwayat al-Bukhari.
Al-Nawawi menjelaskan:
“Kāfil al-Yatīm ” ialah: الْقَائِمُ بِأُمُورِهِ iaitu orang yang menguruskan dan menanggung segala urusan anak yatim.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
كَافِل الْيتيمِ لَهُ أَوْ لِغَيرِهِ. أَنَا وهُوَ كهَاتَيْنِ في الجَنَّةِ" وَأَشَارَ الرَّاوي وهُو مَالِكُ بْنُ أَنَسٍ بِالسَّبَّابةِ والْوُسْطى.
“Orang yang menanggung anak yatim, sama ada anak yatim itu miliknya ataupun milik orang lain, aku dan dia seperti kedua-dua jari ini di dalam syurga.” Perawi hadis, iaitu Malik bin Anas, mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah. — Riwayat Muslim.
Maksud sabda Baginda ﷺ:
"الْيَتِيمُ لَه أَوْ لِغَيرهِ"
“Anak yatim itu miliknya atau milik orang lain”
ialah:
قَرِيبهُ، أَوْ الأَجنَبِيُّ مِنْهُ فَالْقرِيبُ مِثلُ أَنْ تَكْفُلَه أُمُّه أَوْ جدُّهُ أَو أخُوهُ أَوْ غَيْرُهُمْ مِنْ قَرَابتِهِ
anak yatim tersebut sama ada kerabatnya sendiri ataupun orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya. Kerabat itu contohnya ialah: ibunya sendiri menanggungnya; datuknya menanggungnya; saudaranya menanggungnya; atau mana-mana ahli keluarganya yang lain menanggungnya.
