SDI 2060: Adakah Dibenarkan Memelihara Ular?

Soalan:

Adakah seorang Muslim dibenarkan memelihara Ular?

Jawapan

Ular termasuk dalam kalangan haiwan yang memudaratkan dan menyakiti, dan Nabi ﷺ telah memerintahkan supaya ular dibunuh apabila ditemui.

Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ: الْحَيَّةُ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ، وَالْفَأْرَةُ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ، وَالْحُدَيَّا

“Lima jenis haiwan fāsiq yang boleh dibunuh di Tanah Haram dan di luar Tanah Haram: ular, burung gagak belang, tikus, anjing yang menyerang, dan burung helang.” Riwayat Muslim (1198).

Daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهما, beliau mendengar Nabi ﷺ berkhutbah di atas mimbar dan bersabda:

اقْتُلُوا الْحَيَّاتِ

“Bunuhlah ular-ular.”

‘Abdullah bin ‘Umar berkata:

فَلَبِثْتُ لَا أَتْرُكُ حَيَّةً أَرَاهَا إِلَّا قَتَلْتُهَا

“Selepas itu aku tidak pernah membiarkan seekor ular pun yang aku lihat melainkan aku membunuhnya.” Riwayat al-Bukhari (3299) dan Muslim (3233).

Bahkan Nabi ﷺ memerintahkan seorang Muslim membunuh ular ketika sedang solat. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata:

أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِ الْأَسْوَدَيْنِ فِي الصَّلَاةِ: الْحَيَّةُ، وَالْعَقْرَبُ

“Rasulullah ﷺ memerintahkan supaya dua yang hitam (al-aswadan) dibunuh ketika solat: ular dan kala jengking.” Riwayat al-Tirmizi (390), dan dinilai sahih oleh al-Albani.

Jika syariat telah memerintahkan supaya ular dibunuh, bagaimanakah pula seorang Muslim dibenarkan memeliharanya? Al-Zarkasyi berkata:

وَيَحْرُمُ حَبْسُ شَيْءٍ مِنْ الْفَوَاسِقِ الْخَمْسِ عَلَى وَجْهِ الِاقْتِنَاءِ

“Diharamkan menahan sesuatu daripada lima haiwan fāsiq tersebut dengan tujuan memeliharanya.”

Dinukilkan daripada beliau dalam Tuhfah al-Muhtaj (9/337). Lihat juga al-Manthur fi al-Qawa‘id (3/80). Al-Suyuti pula berkata:

مَا حُرِّمَ اسْتِعْمَالُهُ حُرِّمَ اتِّخَاذُهُ، وَمِنْ ثَمَّ حُرِّمَ اتِّخَاذُ آلَاتِ الْمَلَاهِي، وَأَوَانِي النَّقْدَيْنِ، وَالْكَلْبُ لِمَنْ لَا يَصِيدُ، وَالْخِنْزِيرُ، وَالْفَوَاسِق

“Sesuatu yang diharamkan penggunaannya, maka diharamkan juga mengambilnya sebagai milik. Oleh sebab itu, diharamkan memiliki alat-alat muzik, bekas yang diperbuat daripada emas dan perak, anjing bagi orang yang tidak menggunakannya untuk berburu, babi dan haiwan-haiwan fāsiq.” Al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 280.

Ibn Qudamah berkata:

وما وجب قتله حرم اقتناؤه

“Apa sahaja yang wajib dibunuh, maka haram memilikinya.” Al-Mughni (11/2).

Para ulama juga telah menyatakan haram menjual dan membeli ular.

Imam al-Nawawi berkata:

ما لا ينتفع به [من الحيوانات] لا يصح بيعه، كالخنافس، والعقارب، والحيات، والفأر، والنمل، ونحوها

“Apa yang tidak boleh dimanfaatkan [daripada kalangan haiwan], maka tidak sah menjualnya, seperti kumbang, kala jengking, ular, tikus, semut dan seumpamanya.” Rawdah al-Talibin (3/351).

Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah (17/280) dinyatakan:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى عَدَمِ جَوَازِ بَيْعِ الْحَشَرَاتِ الَّتِي لاَ نَفْعَ فِيهَا، إِذْ يُشْتَرَطُ فِي الْمَبِيعِ أَنْ يَكُونَ مُنْتَفَعًا بِهِ، فَلاَ يَجُوزُ بَيْعُ الْفِئْرَانِ، وَالْحَيَّاتِ وَالْعَقَارِبِ، وَالْخَنَافِسِ، وَالنَّمْل وَنَحْوِهَا، إِذْ لاَ نَفْعَ فِيهَا يُقَابَل بِالْمَال

“Para fuqaha bersepakat tentang tidak boleh menjual serangga yang tidak mempunyai manfaat, kerana disyaratkan pada barang yang dijual hendaklah sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Oleh itu, tidak boleh menjual tikus, ular, kala jengking, kumbang, semut dan seumpamanya, kerana tidak terdapat manfaat padanya yang mempunyai nilai sehingga boleh ditukarkan dengan harta.”

Tidak ada perbezaan dalam hukum pengharaman memelihara ular sama ada ular tersebut berbisa ataupun tidak berbisa, berdasarkan keumuman nas-nas syarak yang memerintahkan supaya ular dibunuh.

Selain itu, memelihara ular merupakan suatu bentuk perbuatan sia-sia yang sepatutnya dijauhi oleh seorang Muslim, kerana ia tidak mempunyai manfaat. Bahkan pemeliharaan haiwan jenis ini juga tidak terlepas daripada risiko dan bahaya tertentu, sebagaimana yang diketahui.


Cetak  
Wallahu a'lam