Maksud Silatur Rahim صِلَةُ الرَّحِم
Al-Raḥim (الرَّحِم) dari sudut Bahasa, ialah: مَوضِعُ تَكوينِ الوَلَدِ “tempat pembentukan atau kejadian anak.” Secara majaz, al-raḥim bermaksud:
القَرابةُ تَجمَعُ بَنِي أبٍ، وبينهما رَحِمٌ أي: قَرابةٌ قَريبةٌ، فذَوُو الرَّحِمِ هم الأقارِبُ، ويقَعُ على كُلِّ مَن يجمَعُ بينَك وبينَه نَسَبٌ
Hubungan kekeluargaan atau pertalian kerabat yang menghubungkan anak-anak seorang bapa, dan antara kedua-duanya terdapat hubungan Rahim, iaitu hubungan kerabat yang dekat. Maka ذَوُو الرَّحِم bermaksud kaum kerabat, dan istilah ini merangkumi setiap orang yang mempunyai pertalian nasab dengan seseorang.” (Tahdhīb al-Lughah oleh al-Azhari, 5/34, Lisān al-‘Arab oleh Ibn Manzur, 12/233, al-Miṣbāḥ al-Munīr oleh al-Fayyumi, 1/223, Tāj al-‘Arūs oleh al-Zabidi, 32/229)
Al-Raḥim dari sudut istilah terbahagi kepada dua jenis:
1. رَحِمٌ مَحْرَمٌ — Rahim yang mahram
Iaitu hubungan kerabat yang menyebabkan seseorang itu haram dinikahi selama-lamanya. Maka Istilah rahim bahagian ini merujuk kepada hubungan kekerabatan, manakala mahram merujuk kepada orang yang haram dinikahi.
Kaedah penentuannya:
كُلُّ شَخصَينِ بينهما قَرابةٌ لو فُرِضَ أحَدُهما ذكَرًا والآخَرُ أنثى لم يَحِلَّ لهما أن يتناكَحا؛ كالآباءِ والأمَّهاتِ، والإخوةِ والأخواتِ، والأجدادِ والجَدَّات وإن عَلَوا، والأولادِ وأولادِهم وإن نَزَلوا، والأعمامِ والعَمَّاتِ، والأخوالِ والخالاتِ
Setiap dua orang yang mempunyai hubungan kerabat, yang sekiranya seorang daripada mereka dianggap lelaki dan seorang lagi perempuan, mereka tetap tidak halal untuk berkahwin antara satu sama lain. Contohnya: bapa dan ibu serta ke atas; saudara lelaki dan saudara perempuan; datuk dan nenek serta ke atas; anak-anak dan keturunan mereka serta ke bawah; bapa saudara dan ibu saudara sebelah bapa; bapa saudara dan ibu saudara sebelah ibu. (al-Fatāwā al-Hindiyyah, 2/8. al-Furūq oleh al-Qarāfī, 1/147)
2. رَحِمٌ غَيْرُ مَحْرَمٍ — Rahim yang bukan mahram
Iaitu kaum kerabat selain daripada rahim yang mahram, iaitu kerabat yang mempunyai hubungan nasab tetapi tidak menyebabkan haram berkahwin selama-lamanya.
Contohnya: anak perempuan kepada bapa saudara sebelah bapa; anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa; anak perempuan kepada bapa saudara sebelah ibu; anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu. (al-Fatāwā al-Hindiyyah, 2/8)
Ringkasnya: Semua mahram kerana hubungan nasab ialah rahim, tetapi tidak semua rahim merupakan mahram. Perbezaannya ialah rahim berkaitan dengan pertalian nasab, manakala mahram berkaitan dengan pengharaman perkahwinan secara kekal.
Silatur Rahim / صلة الرحم Atau Menyambung Silatur Rahim
Silaturahim (menyambung silatur Rahim atau hubungan silatur Rahim) dilakukan berdasarkan apa yang telah menjadi kebiasaan menurut uruf dan diakui oleh masyarakat. Apa yang menurut uruf dianggap sebagai suatu bentuk silaturahim, maka itulah silaturahim. Dan apa yang menurut kebiasaan masyarakat dianggap sebagai memutuskan silaturahim, maka itulah yang dikira sebagai memutuskan silaturahim. (Syarḥ Riyāḍ al-Ṣāliḥīn oleh Ibn ‘Uthaymin, 3/185)
Silaturahim berlaku melalui setiap perbuatan yang dilakukan seseorang terhadap kaum kerabatnya yang menurut kebiasaan dianggap sebagai orang yang menyambung hubungan kekeluargaan, bukan orang yang menjauhi dan memutuskan hubungan dengannya. Hal tersebut kadangkala dilakukan dengan harta, dan kadangkala dengan memenuhi keperluannya, berkhidmat kepadanya atau menziarahinya. Bagi kerabat yang tidak berada di tempat yang sama, ia juga boleh dilakukan dengan cara yang seumpama itu, seperti mengirim surat, menyampaikan salam kepadanya dan sebagainya. (Rawḍah al-Ṭālibīn oleh Imam al-Nawawi, 5/390)
Silaturahim juga dilakukan dengan perkataan yang baik, bertanya khabar, memaafkan kesalahan mereka dan membantu mereka. Maka, bentuk silaturahim adalah berbeza-beza mengikut tahap hubungan kekeluargaan dan keperluan seseorang kerabat. (Ḥāsyiyah al-‘Adawī ‘alā Kifāyah al-Ṭālib al-Rabbānī, 2/427)
