Soalan:
Saya bermusafir dari Perlis ke Pahang dengan kawan-kawan menaiki kereta. Sampai di RNR Tapah, kami berhenti untuk jamak ta’khir dan qasar solat Zohor dan ‘Asar. Setelah selesai menunaikan solat, salah seorang Kawan bertanya: "Hang solat zohor dulu atau asar dulu?" Saya menjawab: "Mana-mana lah, yang penting salah satunya zohor dan salah satunya asar," kerana sememangnya tidak terlintas langsung dalam fikiran saya menetapkan jenis solat ketika menunaikannya, kerana pada saya yang penting kita hendak solat fardhu. Namun kawan saya mengatakan solat sebegitu adalah tidak sah. Apakah benar ustaz, mesti menentukan jenis solat ketika kita hendak menunaikan solat?
Jawapan:
Menetapkan niat solat fardhu tertentu yang dinamakan sebagai ta’yin al-Niyyah merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Oleh itu, sekiranya seseorang yang solat fardhu dengan tidak memiliki niat menentukan solat tertentu, maka solatnya tidak sah. Di bawah ini saya sertakan beberapa perkataan para ulama yang berkaitan:
- Al-Syirazi berkata dalam al-Muhadhdhab:
فَإِنْ كَانَتْ فَرِيضَةً لَزِمَهُ تَعْيِينُ النِّيَّةِ فَيَنْوِي الظُّهْرَ أَوْ الْعَصْرَ لِتَتَمَيَّزَ عَنْ غَيْرِهَا
“Sekiranya solat itu merupakan solat fardu, maka dia wajib menentukan niatnya. Oleh itu, dia hendaklah berniat solat Zuhur atau Asar, supaya solat tersebut dapat dibezakan daripada solat yang lain.”
- Ibn Rushd berkata dalam Bidayah al-Mujtahid:
وَأَمَّا الصَّلَاةُ فَلَا بُدَّ فِيهَا مِنْ تَعْيِينِ شَخْصٍ الْعِبَادَةَ، فَلَا بُدَّ مِنْ تَعْيِينِ الصَّلَاةِ إِنْ عَصْرًا فَعَصْرًا، وَإِنْ ظُهْرًا فَظُهْرًا
“Adapun solat, maka tidak dapat tidak seseorang itu mesti menentukan secara khusus ibadah yang dilakukannya. Maka tidak dapat tidak hendaklah ditentukan solat tersebut; jika solat Asar, maka hendaklah ditentukan sebagai Asar, dan jika solat Zuhur, maka hendaklah ditentukan sebagai Zuhur.”
- Al-Zarkashi berkata dalam syarahnya terhadap al-Khiraqi:
ولا بد من تعيين الصلاة [فتعين] أنها ظهر، أو عصر، أو غير ذلك لتتميز عن غيرها، هذا منصوص أحمد
“Dan hendaklah menentukan solat; maka hendaklah ditentukan bahawa ia adalah solat Zuhur, atau Asar, atau selainnya, supaya ia dapat dibezakan daripada solat yang lain. Inilah pendapat yang dinyatakan secara jelas daripada Imam Ahmad.”
- Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra berkata:
ومعلوم في العادة أن من كبر في الصلاة لا بد أن يقصد الصلاة وإذا علم أنه يصلي الظهر نوى الظهر، فمتى علم ما يريد فعله نواه بالضرورة، ولكن إذا لم يعلم أو نسي شذت عنه النية، وهذا نادر.
"Dan telah diketahui secara kebiasaan bahawa apabila seseorang bertakbir dalam solat, sudah semestinya dia bermaksud untuk menunaikan solat. Jika dia mengetahui bahawa dia sedang menunaikan solat Zuhur, maka dia secara semula jadi telah berniat solat Zuhur. Maka, apabila seseorang mengetahui apa yang hendak dilakukannya, dia pasti berniat terhadapnya. Namun, apabila dia tidak mengetahui atau terlupa, maka niat itu boleh terlepas daripadanya. Keadaan seperti ini adalah jarang berlaku."
Perkataan Ibn Taymiyyah ini menunjukkan bahawa ta‘yīn (menentukan) solat dalam niat berlaku apabila seseorang mengetahui solat yang hendak dilakukannya. Seseorang yang mengetahui bahawa dia sedang menunaikan solat Zuhur, secara tabi‘i telah berniat solat Zuhur, manakala orang yang mengetahui bahawa dia sedang menunaikan solat Asar, secara tabi‘i telah berniat solat Asar. Sebaliknya, sekiranya seseorang tidak mengetahui solat yang hendak dilakukannya atau terlupa mengenainya, maka ta‘yīn tersebut tidak berlaku dan niat boleh terlepas daripadanya. Ibn Taymiyyah juga mengakui bahawa keadaan seperti ini boleh berlaku, walaupun beliau menyifatkannya sebagai suatu keadaan yang jarang berlaku.
