Biografi al-Nu‘man bin Bashir r.a.
Nasabnya
al-Nu‘man bin Bashir bin Tha‘labah bin Sa‘d bin Khallas bin Zaid bin Malik al-Aghar bin Tha‘labah bin Ka‘b bin al-Khazraj bin al-Harith bin al-Khazraj al-Akbar al-Ansari al-Khazraji (النُّعْمَانُ بن بَشِير بن ثعلبة بن سعد بن خلاَّس بن زيد بن مالك الأَغر بن ثعلبة بن كعب بن الخزرج بن الحارث بن الخزرج الأَكبر الأَنصاري الخزرجي). (Usud al-Ghabah)
Disebut juga:
al-Nu‘man bin Bashir bin Sa‘d bin Tha‘labah bin Jullas bin Zaid al-Ansari al-Khazraji (النعمان بن بشير بن سَعْد بن ثعلبة بن جُلَاس بن زَيْد الأنْصاري الخزرجيّ). Perincian nasabnya telah dikemukakan dalam biografi bapanya pada huruf ba’, iaitu:
بَشير بن سعد بن ثعلبة بن جُلَاسَ ـــ بضم الجيم مخففًا. وضبطه الدارقطنيّ بفتح الخاء المعجمة وتثقيل اللّام ـــ ابن زيد بن مالك بن ثعلبة بن كعب بن الخزرج الأنصارِي البَدْريّ
Bashir bin Sa‘d bin Tha‘labah bin Jullas — dengan huruf jim berbaris dhammah dan diringankan. al-Daraqutni pula menyebutnya dengan huruf kha’ berbaris fathah dan lam yang ditasydid — bin Zaid bin Malik bin Tha‘labah bin Ka‘b bin al-Khazraj al-Ansari al-Badri. (al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah)
Beliau berasal daripada Bani Ka‘b bin al-Harith bin al-Khazraj (بني كعب بن الحارث بن الخزرج). (al-Isti‘ab fi Ma‘rifat al-Ashab)
Kuniyahnya
al-Nu‘man bin Bashir mempunyai seorang anak bernama ‘Abdullah, dan dengan nama anaknya itulah beliau berkunyah: Abu ‘Abdullah.
Ibn Sa‘d berkata:
وَلَدَ النُّعمانُ بن بَشِير: عبدَ الله، وبه كان يُكنى
“al-Nu‘man bin Bashir mempunyai seorang anak bernama ‘Abdullah, dan dengan nama tersebutlah beliau berkunyah.” (al-Tabaqat al-Kubra)
Kelahiran al-Nu‘man bin Bashir
Dalam al-Isti‘ab menyebut bahawa al-Nu‘man bin Bashir dilahirkan lapan tahun sebelum kewafatan Nabi ﷺ. Ada juga yang mengatakan enam tahun. Pendapat pertama lebih sahih, insya-Allah, kerana kebanyakan ulama menyatakan bahawa beliau dan ‘Abdullah bin al-Zubair dilahirkan pada tahun kedua Hijrah, pada bulan Rabi‘ al-Akhir, iaitu kira-kira empat belas bulan selepas Rasulullah ﷺ tiba di Madinah.
Dalam riwayat Muhammad bin Sa‘d daripada Muhammad bin Salih, daripada ‘Asim bin ‘Umar bin Qatadah (عاصم بن عُمر بن قَتَادة), daripada Yazid bin al-Nu‘man bin Bashir, daripada bapanya, al-Nu‘man berkata:
أنا أول من وُلِدَ من الأنصار بالمدينة بعد هجرة رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم، فأتت بي أُمِّي عَمْرةُ بن رَوَاحة أخت عبد الله بن رَوَاحة إلى رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم، فحَنَّكَنِي بتمرةٍ فَتَلَمَّظْتُ منها، فقال رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم: "الأنصارُ وحبّها التمر
“Aku adalah orang pertama dari kalangan Ansar yang dilahirkan di Madinah selepas hijrah Rasulullah ﷺ. Ibuku, ‘Amrah binti Rawahah, saudara perempuan kepada ‘Abdullah bin Rawahah, membawaku menemui Rasulullah ﷺ. Baginda mentahnikkan daku dengan sebiji kurma. Setelah kurma tersebut diletakkan di dalam mulutnya, al-Nu‘man mengunyah dan merasainya. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang-orang Ansar dan kecintaannya terhadap tamar.”
Muhammad bin Salih berkata:
إنّ عَمْرَةَ أتت بهِ النبي صَلَّى الله عليه وسلم، يوم سَابِعِهِ وعليه شعر البطن، فَأَبَى رسولُ الله صَلَّى الله عليه وسلم، أن يُترك عليهِ وقال: "احلقوا عنه شَعرَ البطن" فحلق رأسهُ ثم بَرَّكَ عليهِ وقال: "عُقُّوا عنهُ بشاةٍ، قال: وذلك في شهر ربيع الآخر على رأس أربعة عشر شهرًا من الهجرة.
Bahawa ‘Amrah membawa al-Nu‘man kepada Nabi ﷺ pada hari ketujuh kelahirannya. Pada ketika itu masih terdapat rambut pada bahagian perutnya. Rasulullah ﷺ tidak membiarkannya begitu, lalu bersabda: “Cukurlah rambut pada perutnya.” Kemudian kepalanya dicukur, dan Rasulullah ﷺ mendoakan keberkatan untuknya. Baginda juga bersabda: “Laksanakanlah akikah untuknya dengan seekor kambing. Kata Muhammad bin Salih: Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Rabi‘ al-Akhir, kira-kira empat belas bulan selepas hijrah.” (al-Tabaqaat oleh Ibn Sa‘ad)
Riwayat tentang umur kelahirannya
‘Abdullah bin Abi Bakr bin Muhammad bin ‘Amr bin Hazm (عبد الله بن أبي بكر بن محمد بن عَمْرو بن حَزْمِ) berkata:
جلسنا عندَهُ فذكرنا أول مولودٍ من الأنصار بعد قدوم رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم، المدينة فقال: النعمان بن بشير وُلِدَ بعد أن قدم رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم، المدينة بسنةٍ أو أقل من سنةٍِ. قال: فذكروا عبدَ الله بن أَبِي طَلْحة فقال: لقد كانت أُمّ سُلَيم بهِ حَمْلٌ يوم حُنَين، فَوَلَدَتْ بعد أن قدمت المدينة.
Bahawa ketika mereka duduk bersamanya dan membincangkan siapakah anak pertama daripada kalangan Ansar yang lahir selepas kedatangan Rasulullah ﷺ ke Madinah, beliau berkata: “al-Nu‘man bin Bashir dilahirkan selepas Rasulullah ﷺ tiba di Madinah selama setahun atau kurang daripada setahun.” Kemudian mereka menyebut tentang ‘Abdullah bin Abi Talhah. Beliau menjelaskan bahawa ketika Perang Hunain, ibunya, Umm Sulaym, sedang mengandungnya dan kemudian melahirkannya setelah tiba di Madinah.”
Dalam riwayat lain daripada Muhammad bin Salih, daripada ‘Asim bin ‘Umar bin Qatadah, disebut bahawa:
جاءت عَمْرةُ بنت رَوَاحَة تحمل ابنها النُّعمانَ بن بَشِير في ليفه إلى رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم، فدعا بتمرةٍ فمضغها ثم حَنَّكَهُ بها. فقالت: يا رسول الله، ادع الله أن يكثر مالهُ وولده. فقال: "أَوَ ما ترضين أن يعيش كما عاش خَالهُ؟ عاشَ حميدًا، وقُتِلَ شهيدًا، ودخلَ الجنة
‘Amrah binti Rawahah membawa anaknya, al-Nu‘man bin Bashir, kepada Rasulullah ﷺ dalam keadaan dia masih berada dalam kain pembungkus kelahirannya. Rasulullah ﷺ meminta supaya dibawakan sebiji kurma. Baginda mengunyah kurma tersebut lalu mentahnik al-Nu‘man dengannya. ‘Amrah berkata: “Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar Dia memperbanyakkan hartanya dan anak-anaknya.” Baginda menjawab: “Tidakkah engkau reda sekiranya dia hidup sebagaimana kehidupan bapa saudaranya itu? Dia hidup dalam keadaan terpuji, terbunuh sebagai syahid dan masuk ke dalam syurga.”
Yang dimaksudkan dengan خالُهُ (bapa saudaranya sebelah ibu) ialah ‘Abdullah bin Rawahah, saudara kepada ibunya, ‘Amrah binti Rawahah.
Umurnya ketika kewafatan Nabi ﷺ
Dalam riwayat Muhammad bin Umar, daripada Muhammad bin Yahya bin Sahl bin Abi Hathmah (محمد بن يحيى بن سهل بن أَبِي حَثْمةَ), daripada bapanya, daripada datuknya, disebut:
كان أوّل مولودٍ من الأنصار النّعمان بن بَشِير بعد الهجرةِ بأربعة عشر شهرًا.
“Anak pertama dari kalangan Ansar yang dilahirkan selepas hijrah ialah al-Nu‘man bin Bashir, iaitu empat belas bulan selepas hijrah.”
Apabila Rasulullah ﷺ wafat, umur al-Nu‘man bin Bashir ialah lapan tahun atau sedikit lebih. Peperangan terakhir yang disertai oleh Rasulullah ﷺ ialah Perang Tabuk, pada tahun kesembilan Hijrah. Pada ketika itu, umur al-Nu‘man ialah tujuh tahun.
Perbandingan umurnya dengan Jabir bin ‘Abdillah
Dalam riwayat daripada Abu ‘Aun, beliau berkata bahawa beliau mendengar Jabir bin ‘Abdullah menyebut tentang al-Nu‘man bin Bashir yang berkata:
سمعت رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم، فقلت: يا أبا عبد الله، أيكما أَسَنّ؟ فقال: أنا أسَنّ منه بنحوٍ من عشرين سنة، لقد جَهدت أن أغزو بَدْرًا مع النبي صَلَّى الله عليه وسلم، فَأَبَى أَبِِي يومئذٍ حبسني على بناته، وما وُلِدَ النعمان إلاّ قبل بدر بثلاثة أشهر، أو أربعة أشهر
“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, Lalu aku bertanya kepada Jabir: wahai Abu Abdillah, “Siapakah antara kamu berdua yang lebih tua?” Jabir menjawab: “Aku lebih tua daripadanya kira-kira dua puluh tahun.” Jabir juga berkata: “Aku benar-benar berusaha untuk turut berperang dalam Perang Badar bersama Nabi ﷺ, tetapi bapaku pada ketika itu tidak mengizinkanku dan menahanku untuk menjaga anak-anak perempuannya.” Kemudian Jabir berkata: “Al-Nu‘man tidak dilahirkan melainkan tiga atau empat bulan sebelum Perang Badar.”
Terdapat pula riwayat daripada Abu al-Aswad bahawa ketika al-Nu‘man bin Bashir disebut di hadapan Ibn al-Zubair, dan Ibn al-Zubair berkata:
هو أسَنّ مني بستة أشهر
“Dia lebih tua daripadaku enam bulan.”
Abu al-Aswad menjelaskan bahawa Ibn al-Zubair dilahirkan selepas hijrah Rasulullah ﷺ selama dua puluh bulan, manakala al-Nu‘man bin Bashir dilahirkan pada bulan Rabi‘ al-Akhir, empat belas bulan selepas hijrah.
Berdasarkan riwayat ini, al-Nu‘man bin Bashir lebih tua daripada Ibn al-Zubair kira-kira enam bulan.
Keturunan al-Nu‘man bin Basyir Sebelah Ibunya
Ibunya ialah ‘Amrah binti Rawahah, saudara perempuan kepada ‘Abdullah bin Rawahah bin Tha‘labah bin Imri’ al-Qays bin ‘Amru bin Imri’ al-Qays bin Malik al-Aghar bin Tha‘labah bin Ka‘b bin al-Khazraj bin al-Harith bin al-Khazraj (عَمْرةُ بنت رَوَاحَةَ أخت عبد الله بن رَوَاحة بن ثَعْلبة بن امْرِئ القيس بن عَمرو بن امرئ القيْس بن مالك الأَغَرّ بن ثعلبة بن كعب بن الخزرج بن الحارث بن الخزرج).
Al-Nu‘man bin Basyir mempunyai beberapa orang anak, iaitu:
- ‘Abdullah, dan dengan nama beliau al-Nu‘man diberi kunyah; beliau telah meninggal ketika masih kecil.
- Muhammad.
- Amah Allah (أَمَةَ الله).
- Habibah.
Ibu mereka ialah Ummu ‘Abdillah binti ‘Amru bin Jarwah (أم عبد الله بنتُ عمرو بنت جرْوَةَ), dari Bani al-Harith bin al-Khazraj (بني الحارث بن الخزرج).
Beliau juga mempunyai anak:
- Yazid.
- Aban (أبان).
- Ummu Aban (أُمَّ أبان), yang telah dikahwini dengan al-Hajjaj bin Yusuf.
Ibu mereka ialah Na’ilah binti Basyir bin ‘Umarah bin Hassan bin Jabbar bin Qurt (نائِلة بنتُ بَشِير بن عمارة بن حسان بن جَبّار بن قرط), dari kabilah Kalb (كلبٍ), kemudian dari Bani Mawiyah (بني مَاوِيةَ), salah satu cabang daripada Bani Jabbar.
Beliau juga mempunyai:
- al-Walid.
- Yahya.
- Basyir.
Ibu mereka ialah seorang ummu walad.
Beliau juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ummu Muhammad, iaitu Humaydah (حُمَيْدة). Beliau dikahwini oleh Rawh bin Zinba’ al-Judhami (رَوْحُ بن زِنْباع الجُذَامِيّ). Ibunya ialah Layla binti Hani’ bin al-Aswad (ليلى بنت هانئ بن الأسود), daripada Kindah (كندة), kemudian daripada Bani al-Harith.
Beliau juga mempunyai anak bernama ‘Amrah (عَمرةَ), yang dikahwini oleh al-Mukhtar bin Abi ‘Ubayd al-Thaqafi (المختار بن أَبِي عُبيد الثَّقَفِي). Dialah wanita yang dibunuh oleh Mus‘ab bin al-Zubayr. Ibunya ialah Layla binti Hani’ al-Kindi (ليلى بنت هانئ الكِنْدِي).”
Muhammad bin ‘Umar berkata:
ونزل النعمانُ بن بَشِير وولدُهُ الشامَ والعراقَ زمن معاوية، ثم صار عامّتهم بعد ذلك إلى المدينة وبغداد، ولهم بَقِيَّةٌ وعَقِبٌ
“Al-Nu‘man bin Basyir dan anak-anaknya menetap di Syam dan Iraq pada zaman Mu‘awiyah. Kemudian, kebanyakan keturunan mereka berpindah ke Madinah dan Baghdad. Mereka masih mempunyai keturunan dan zuriat yang berterusan.”
Ramalan Ka‘b tentang al-Nu‘man bin Basyir
Muhammad bin Sa‘d berkata:
وأُخْبِرْتُ عن أَبِي اليَمَان الحِمْصِي، عن إسماعيل بن عَيّاش، عن صَفْوان بن عَمْرو، عن أبي الصلتِ المقرائي، وأبي المثنى، وشريح بن عُبيد، أن كعبًا كان يقول: ليؤمّرنّ على جند حمص أميرٌ أشهل العينين، طويل الأرنَبةِ، كثّ اللحيةِ، حلو اللسان، مُرّ القلب، فَلَيُصِيبُنَّهُ بقارعة، فذكروا النعمان بن بشير
“Aku telah diberitahu daripada Abu al-Yaman al-Himsi, daripada Isma‘il bin ‘Ayyasy, daripada Safwan bin ‘Amru, daripada Abu al-Salt al-Maqra’i, Abu al-Muthanna dan Syurayh bin ‘Ubayd, bahawa Ka‘b pernah berkata: ‘Akan dilantik sebagai pemimpin tentera di Hims seorang amir yang kedua-dua matanya agak kelabu, hidungnya panjang, janggutnya lebat, tutur katanya manis tetapi hatinya keras. Kemudian suatu bencana besar akan menimpanya.’ Lalu mereka menyatakan bahawa yang dimaksudkan ialah al-Nu‘man bin Basyir.” — al-Tabaqat al-Kubra
Al-Nu‘man bin Basyir dalam pembelaan terhadap ‘Uthman
Muhammad bin Sa‘d berkata:
كان النعمان بن بَشِير ممِّن نصر عثمان بن عفان وهو خرج إلى الشام بقتلِهِ
“Al-Nu‘man bin Basyir termasuk dalam kalangan orang yang membela ‘Uthman bin ‘Affan ketika beliau keluar menuju ke Syam kerana terbunuhnya ‘Uthman.
Muhammad bin ‘Umar berkata:
حدّثني أبو بكر بن عبد الله بن أَبِي سَبْرة، عن عبد المجيد بن سُهَيل بن عبد الرحمن بن عوف قال: لما قُتِل عثمان كَتَبَت نائِلة بنت الفُرَافِصَةَ إلى معاوية وأهل الشام بما كان من قتله، وَوَصَفَت لهم أَمْرَهُ، وَبَعَثَت إليهم بقَمِيصِه الذي قتل وهو عليه ودمهُ فيه، وبَعَثَت بذلك مع النعمان بن بَشِير. فَقَدِم النعمانُ الشامَ فدفع ذلك إلى معاوية
“Telah menceritakan kepadaku Abu Bakr bin ‘Abdullah bin Abi Sabrah, daripada ‘Abd al-Majid bin Suhayl bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf, bahawa apabila ‘Uthman dibunuh, Na’ilah binti al-Furafisah menulis surat kepada Mu‘awiyah dan penduduk Syam mengenai pembunuhan yang berlaku terhadap ‘Uthman. Dia menerangkan kepada mereka keadaan yang berlaku dan menghantar kepada mereka baju ‘Uthman yang dipakainya ketika beliau dibunuh, yang masih terdapat darahnya. Semua itu dihantar melalui al-Nu‘man bin Basyir. Al-Nu‘man tiba di Syam lalu menyerahkan perkara tersebut kepada Mu‘awiyah.” — al-Tabaqat al-Kubra
Jawatan al-Nu‘man sebagai pemerintah
Abu Mishar (أَبُو مسْهرٍ) berkata, daripada Syu‘bah bin ‘Abd al-‘Aziz:
كان قاضي دمشق بعد فضالة بن عبيد، وقال سماك بن حرب: استعمله معاوية على الكوفة، وكان مِنْ أخطب مَنْ سمعت. وقال الهيثم: نقله معاوية من إمرة الكوفة إلى إمرة حمص، وضَمّ الكوفة إلى عبيد الله بن زياد، وكان بالشَّام لما مات يزيد بن معاوية
“Beliau menjadi hakim di Damsyik selepas Fudalah bin ‘Ubayd.” Simak bin Harb berkata: “Mu‘awiyah melantik beliau sebagai gabenor di Kufah, dan beliau merupakan antara orang yang paling hebat berpidato yang pernah aku dengar.” Al-Haytham berkata: “Mu‘awiyah memindahkan beliau daripada jawatan sebagai gabenor Kufah kepada jawatan sebagai gabenor Hims, manakala Kufah diserahkan kepada ‘Ubaydullah bin Ziyad. Beliau berada di Syam ketika Yazid bin Mu‘awiyah meninggal dunia.” — al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah
Apabila Yazid bin Mu‘awiyah meninggal dunia, al-Nu‘man memberikan bai‘ah dan sokongan kepada Ibn al-Zubayr, sedangkan ketika itu beliau merupakan gabenor di Hims.
Kematian al-Nu‘man bin Basyir
Muhammad bin Sa‘d berkata:
أُخِبْرتُ عن أَبِي اليَمَان الحِمْصِيّ، عن إسماعيل بن عَيّاش، عن يزيد بن سعيد، عن عبد الملك بن عُمَير أَنّ بَشِير بن سعد جاء بالنعمان بن بشير إلى النبي صَلَّى الله عليه وسلم، فقال: يا رسول الله، ادع لابني هذا، فقال له رسول الله صَلَّى الله عليه وسلم: "أما ترضى أن يبلغ ما بلغت؟ ثم يأتي الشام فيقتلُهُ منافقٌ من أهل الشام
“Aku telah diberitahu daripada Abu al-Yaman al-Himsi, daripada Isma‘il bin ‘Ayyasy, daripada Yazid bin Sa‘id, daripada ‘Abd al-Malik bin ‘Umayr, bahawa Basyir bin Sa‘d membawa al-Nu‘man bin Basyir menghadap Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, doakanlah anakku ini.’ Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya: ‘Tidakkah engkau reda jika dia mencapai usia sebagaimana yang engkau telah capai, kemudian dia pergi ke Syam lalu seorang munafik daripada penduduk Syam membunuhnya?” — al-Tabaqat al-Kubra
Al-Haytham berkata:
نقله معاوية من إمرة الكوفة إلى إمرة حمص، وضَمّ الكوفة إلى عبيد الله بن زياد، وكان بالشَّام لما مات يزيد بن معاوية. ولما استخلف معاوية بن يزيد، ومات عن قُرْب دعا النعمانُ إلى ابن الزَّبير ثم دعا إلى نفسه، فواقعه مروان بن الحكم بعد أن واقع الضَّحاك بن قيس، فقتل النّعمان بن بشير؛ وذلك في سنة خمس وستين
“Mu‘awiyah memindahkan al-Nu‘man dari jawatan gabenor Kufah kepada jawatan gabenor Hims dan menyerahkan Kufah kepada ‘Ubaydullah bin Ziyad. Al-Nu‘man berada di Syam ketika Yazid meninggal dunia. Apabila Mu‘awiyah bin Yazid menjadi khalifah, kemudian meninggal dunia tidak lama selepas itu, al-Nu‘man menyeru supaya Ibn al-Zubayr menjadi khalifah, kemudian beliau pula menyeru orang ramai supaya memberikan sokongan kepadanya sendiri. Lalu Marwan bin al-Hakam memeranginya selepas sebelumnya memerangi al-Dahhak bin Qays. Maka al-Nu‘man bin Basyir terbunuh pada tahun 65 Hijrah.” — al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah
Riwayat lain tentang pembunuhannya
Al-Mada’ini meriwayatkan daripada Ya‘qub bin Dawud al-Thaqafi (ذكر المدائني عن يعقوب بن داود الثّقفي), Maslamah bin Muharib (ومسلمة بن محارب) dan selain mereka. Mereka berkata:
لما قتل الضَّحاك بن قيس بمرْج راهط، وذلك للنّصف من ذي الحجة سنة أربع وستين في أيام مروان ـ أراد النّعمان بن بشير أن يهرب من حمص، وكان عاملًا عليها، فخاف ودعا لابْن الزّبير فطلبه أهْلُ حمص فقتلوه، واحتزُّوا رأسه، فقالت امرأته الكلبية: أَلقوا رأسه في حجري، فأنا أحقُّ به، وكانت قبله عند معاوية بن أبي سفيان، فقال لامرأته ميسون أم يزيد: اذهبي فانظري إليها؛ فأَتَتْهَا، فنظرت، ثم رجعت فقالت: ما رأيْتُ مثلها. ثم قالت: لقد رأيتها ورأيت خالًا تحَتَ سرتها، ليوضعنّ رأس زوجها في حجرها، فتزوَّجها حبيب بن سلمة ثم طلّقها، فتزوَّجها النّعمان بن بشير، فلما قُتل وضعوا رأسه في حجرها.
“Apabila al-Dahhak bin Qays terbunuh dalam Perang MarjuRahit, pada pertengahan bulan Zulhijjah tahun 64 Hijrah, pada zaman Marwan, al-Nu‘man bin Basyir berhasrat untuk melarikan diri dari Hims, sedangkan beliau merupakan gabenor di situ. Beliau berasa takut lalu memberikan sokongan kepada Ibn al-Zubayr. Penduduk Hims mengejarnya lalu membunuhnya dan memenggal kepalanya. Isterinya yang berbangsa Kalb berkata: ‘Letakkan kepalanya di pangkuanku, kerana akulah yang lebih berhak terhadapnya.’ Sebelum itu, wanita tersebut pernah menjadi isteri Mu‘awiyah bin Abi Sufyan. Mu‘awiyah pernah berkata kepada isterinya, Maysun, ibu kepada Yazid: ‘Pergilah dan lihatlah wanita itu.’ Maysun pergi menemuinya dan melihatnya, kemudian kembali lalu berkata: ‘Aku tidak pernah melihat wanita sepertinya.’ Kemudian Maysun berkata: ‘Sesungguhnya aku telah melihatnya dan aku melihat satu tanda lahir di bawah pusatnya. Kepalanya suaminya kelak akan diletakkan di atas pangkuannya.’ Wanita tersebut kemudian berkahwin dengan Habib bin Maslamah, tetapi Habib menceraikannya. Selepas itu dia berkahwin dengan al-Nu‘man bin Basyir. Apabila al-Nu‘man dibunuh, mereka meletakkan kepalanya di atas pangkuan wanita tersebut.”
Al-Mas‘udi berkata:
كان النّعمان بن بشير واليًا على حمص قد خطب لابن الزّبير مُمَالئًا للضّحاك بن قيس، فما بلغه وقعة راهط وهزيمة الزّبيرَية، وقَتْل الضّحَاك ــ خرج عن حمص هاربًا، فسار ليلة متحيِّرًا لا يَدْرِي أين يأخذ، فاتبعه خالد بن عدي الكلابيّ فيمن خفَّ معه من أهل حمص، فلحقه وقتله، وبعث برأسه إلى مروان.
“Al-Nu‘man bin Basyir merupakan gabenor Hims. Beliau telah berkhutbah menyokong Ibn al-Zubayr, bersama-sama dengan al-Dahhak bin Qays. Apabila berita tentang Perang Marj Rahit, kekalahan penyokong al-Zubayr dan terbunuhnya al-Dahhak sampai kepadanya, beliau keluar dari Hims dalam keadaan melarikan diri. Beliau berjalan sepanjang malam dalam keadaan kebingungan, tidak mengetahui ke mana hendak pergi. Khalid bin ‘Adi al-Kilabi bersama beberapa orang penduduk Hims yang masih bersamanya mengejarnya. Mereka berjaya mengejarnya lalu membunuhnya dan menghantar kepalanya kepada Marwan.
Al-Hasan bin ‘Uthman berkata:
وفي سنة أربع وستين قتلت خَيْلُ مروان النّعمانَ بن بشير الأنصاريّ، وهو هارِبٌ من حمص.
‘Pada tahun 64 Hijrah, pasukan berkuda Marwan membunuh al-Nu‘man bin Basyir al-Ansari ketika beliau melarikan diri dari Hims.’
‘Ali bin al-Madini berkata:
قُتل النَّعمان بن بشير بحمص غيلة، قتله أهْل حمص وهو والٍ لابْنِ الزَّبير.
‘Al-Nu‘man bin Basyir dibunuh di Hims secara pembunuhan mengejut. Penduduk Hims membunuhnya ketika beliau menjadi gabenor bagi pihak Ibn al-Zubayr.’
Abu Bakr bin ‘Isa berkata:
قُتل النّعمان بقرية من قرى حمص يقال لها بيران
‘Al-Nu‘man dibunuh di sebuah kampung daripada perkampungan Hims yang dikenali sebagai Biran.’” — al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab
