SDI 2063: Bacaan Ketika Iktidal Bagi Makmum

Soalan:

Apakah bacaan sebenar bagi seorang makmum ketika iktidal? Sami‘allahu liman hamidah atau rabbana wa lakalhamd?

Jawapan:

Termasuk dalam mufradaat mazhab Syafi‘I (mazhab Syafia bersendirian) ialah bagi seorang makmum bacaan ketika iktidal ialah  «سمع الله لمن حمده», sama seperti imam dan orang yang solat bersendirian. Al-Imam al-Rafi‘i رحمه الله berkata dalam Fath al-‘Aziz:

ويقول عند رفعه: سمع الله لمن حمده، ربنا لك الحمد، ويستوي فيها الإمام والمأموم والمنفرد

“Ketika mengangkat kepalanya daripada rukuk, dia membaca: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ (Sami‘allahu liman hamidah), dan رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ (Rabbana lakal-hamd). Kedua-duanya sama bagi imam, makmum dan orang yang solat bersendirian.”

Al-Imam al-Nawawi رحمه الله berkata dalam al-Majmu':

فرع في مذاهب العلماء فيما يقال في الاعتدال: قد ذكرنا أن مذهبنا أنه يقول في حال ارتفاعه سمع الله لمن حمده فإذا استوى قائما قال ربنا لك الحمد إلي آخره. وأنه يستحب الجمع بين هذين الذكرين للإمام والمأموم والمنفرد. وبهذا قال عطاء وأبو بردة ومحمد بن سيرين واسحق وداود. وقال أبو حنيفة: يقول الإمام والمنفرد سمع الله لمن حمده فقط، المأموم ربنا لك الحمد فقط. حكاه ابن المنذر عن ابن مسعود وأبى هريرة والشعبى ومالك وأحمد قال وبه أقول.

“Cabang perbahasan tentang mazhab para ulama mengenai bacaan ketika iktidal: Telah kami nyatakan bahawa mazhab kami ialah seseorang membaca ketika sedang mengangkat tubuhnya daripada rukuk: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Apabila dia telah berdiri tegak, dia membaca: رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ dan seterusnya. Disunatkan menghimpunkan kedua-dua zikir ini bagi imam, makmum dan orang yang solat bersendirian. Pendapat ini juga dikemukakan oleh ‘Ata’, Abu Burdah, Muhammad bin Sirin, Ishaq dan Dawud. Abu Hanifah pula berkata: Imam dan orang yang solat bersendirian hanya membaca سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ, manakala makmum hanya membaca رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ. Ibn al-Mundhir menukilkan pendapat ini daripada Ibn Mas‘ud, Abu Hurairah, al-Sya‘bi, Malik dan Ahmad. Beliau berkata: ‘Inilah pendapat yang aku pegang.’”

Al-Imam al-Suyuti رحمه الله berkata dalam al-Fatawi:

مذهب الشافعي رضي الله عنه أن المصلي إذا رفع رأسه من الركوع يقول في حال ارتفاعه: سمع الله لمن حمده، فإذا استوى قائما يقول: ربنا لك الحمد، وأنه يستحب الجمع بين هذين للإمام والمأموم والمنفرد، وبهذا قال عطاء، وأبو بردة، ومحمد بن سيرين، وإسحاق، وداود

“Mazhab al-Syafi‘i رضي الله عنه ialah apabila seseorang yang sedang solat mengangkat kepalanya daripada rukuk, dia membaca ketika sedang mengangkat kepalanya: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Apabila dia telah berdiri tegak, dia membaca: رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ. Disunatkan menghimpunkan kedua-dua bacaan ini bagi imam, makmum dan orang yang solat bersendirian. Pendapat ini juga dikemukakan oleh ‘Ata’, Abu Burdah, Muhammad bin Sirin, Ishaq dan Dawud.”

Al-Imam Syamsuddin al-Ramli رحمه الله berkata dalam Nihayah al-Muhtaj:

ويسن رفع يديه كما مر في تكبيرة الإحرام مع ابتداء رفع رأسه من ركوعه مبتدئًا رفعهما مع ابتداء رفعه، ويستمر إلى انتهائه للاتباع رواه الشيخان (قائلا) في رفعه إلى الاعتدال   (سمع الله لمن حمده) أي تقبل الله منه حمده، ويحصل أصل السنة بقوله من حمد الله سمع له، ولا فرق في ذلك بين الإمام والمأموم والمنفرد وخبر "إذا قال الإمام سمع الله لمن حمده فقولوا ربنا لك الحمد أو ربنا ولك الحمد" أي مع ما علمتموه من سمع الله لمن حمده، وإنما اقتصر على ربنا لك الحمد لأنه كان يجهر بسمع الله لمن حمده فتتبعه الناس، وكان يسر بربنا لك الحمد فلا يسمعونه غالبًا فنبههم عليه. وقول ابن المنذر إن الشافعي خرق الإجماع في جمع المأموم بين سمع الله لمن حمده وربنا لك الحمد مردود، إذ قال بقوله عطاء وابن سيرين وإسحاق وأبو بردة وداود وغيرهم

“Disunatkan mengangkat kedua-dua tangan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam takbiratul ihram, iaitu bersamaan dengan permulaan mengangkat kepala daripada rukuk. Dia memulakan pengangkatan kedua-dua tangannya serentak dengan permulaan mengangkat kepala dan meneruskannya sehingga selesai, berdasarkan ittiba‘ kepada Nabi ﷺ sebagaimana diriwayatkan oleh al-Syaikhan. Ketika mengangkat tubuh untuk berdiri dalam iktidal, dia membaca: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ maksudnya: “Allah menerima pujian orang yang memuji-Nya.” Asal sunat sudah terhasil dengan seseorang membaca سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Dalam hal ini tidak ada perbezaan antara imam, makmum dan orang yang solat bersendirian. Adapun hadis: “Apabila imam membaca سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ, maka hendaklah kamu membaca رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ atau رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ.” Maksudnya ialah membaca Rabbana lakal-hamd bersama dengan bacaan سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ yang telah kamu ketahui. Nabi ﷺ hanya menyebut Rabbana lakal-hamd dalam hadis tersebut kerana Baginda membaca dengan suara yang kuat bacaan Sami‘allahu liman hamidah, lalu para sahabat mengikutinya. Adapun Baginda memperlahankan suara ketika membaca Rabbana lakal-hamd, sehingga kebiasaannya mereka tidak mendengarnya. Maka Baginda ﷺ mengingatkan mereka tentang bacaan tersebut. Adapun dakwaan Ibn al-Mundhir bahawa al-Syafi‘i telah menyalahi ijmak kerana membolehkan makmum menghimpunkan antara Sami‘allahu liman hamidah dan Rabbana lakal-hamd, maka dakwaan tersebut tertolak. Hal ini kerana ‘Ata’, Ibn Sirin, Ishaq, Abu Burdah, Dawud dan selain mereka turut berpendapat demikian.”


Cetak  
Wallahu a'lam