SDI 2066: Hukum Menutup Bekas Air

Soalan:

Apakah hukum menutup bekas air dan bagaimana bentuk penutupan yang dianjurkan oleh syara’?

Jawapan:

Disunatkan menutup bekas air, sama ada pada waktu malam atau siang, supaya tidak terjatuh ke dalamnya sesuatu yang boleh merosakkan air dan memudaratkan orang yang akan menggunakannya.

Memadai dengan meletakkan sebatang kayu di atas bekas tersebut, berdasarkan hadis:

خَمِّرُوا الآنية ولو أن تعرضوا عليها عودًا

“Tutuplah bekas-bekas air kamu, sekalipun dengan meletakkan sebatang kayu di atasnya.”

Para ulama menyatakan bahawa perkara tersebut mempunyai tiga faedah:

Pertama: Berdasarkan hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

فإن الشيطان لا يحل سقاء ولا يكشف إناء

“Sesungguhnya syaitan tidak membuka ikatan bekas air dan tidak membuka penutup sesuatu bekas.”

Kedua: Berdasarkan riwayat dalam Sahih Muslim bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda:

في السنةِ ليلة ينزل فيها وباء لا يمر بإناء ليس عليه غطاء أو سقاء ليس عليه وكاء إلا نزل فيه من ذلك الوباء.

“Pada setiap tahun terdapat satu malam yang padanya wabak diturunkan. Wabak tersebut tidak melalui mana-mana bekas yang tidak ditutup dan tidak juga melalui bekas air yang tidak diikat melainkan sebahagian dari wabak tersebut akan turun ke dalamnya.”

Al-Layth bin Sa‘d, salah seorang perawi hadis tersebut dalam Sahih Muslim, berkata:

فالأعاجم يتوقون ذلك في كانون الأول

“Orang-orang bukan Arab (al-‘Ajam) beranggapan perkara tersebut berlaku pada bulan Disember.”

Ketiga: Untuk memelihara bekas tersebut daripada terkena najis dan perkara-perkara seumpamanya.

Sebahagian ulama mengamalkan sunnah menutup bekas dengan sebatang kayu. Berlaku kepada sebahagian mereka yang mendapati pada waktu pagi, terdapat ular yang berada di atas kayu tersebut, tetapi ular itu tidak masuk ke dalam bekas.

Rahsia perkara ini adalah dengan membaca Basmalah kerana rahsia yang menjadi sebab untuk menolak perkara tersebut ialah nama Allah تعالى yang disertai dengan niat yang benar. — Lihat Ghayah al-Bayan oleh al-Imam al-Ramli, hlm. 54–55.

Dalam Safwah al-Zubad dinyatakan:

ويستحب في الأواني التغطية ولو بعود حط فوق الآنية

“Disunatkan menutup bekas-bekas air, walaupun hanya dengan sebatang kayu yang diletakkan di atas bekas tersebut.”


Cetak  
Wallahu a'lam