Ilmu Qiyāfah (القيافة)

Al-Qāfah (القافة) ialah:

هم الذين يَقْفُون أثر الأقدام والحوافر والأخفاف، ويتبعونه فيستدلون به على صاحبه ويعرفون من هو.

Golongan yang menjejaki kesan tapak kaki, kuku kaki haiwan dan telapak kaki haiwan, kemudian mengikuti kesan tersebut sehingga mereka dapat menjadikannya sebagai petunjuk untuk mengenal pasti pemiliknya dan mengetahui siapakah orang tersebut.

Ilmu qiyāfah (القيافة) terbahagi kepada dua jenis:

1. Qiyāfah al-Athar (قيافة الأثر). Iaitu ilmu menjejaki kesan tapak kaki.

Ia pernah diamalkan oleh sebahagian kaum Arab yang tinggal di kawasan berpasir. Apabila seseorang melarikan diri daripada mereka atau seorang pencuri memasuki kawasan mereka, mereka akan mengikuti kesan tapak kakinya sehingga berjaya menangkapnya.

2. Qiyāfah al-Basyar (قيافة البشر).  Iaitu melihat bukti² berdasarkan ciri-ciri anggota badan seseorang untuk mengenal pasti hubungan atau identiti seseorang, lalu seseorang itu dinasabkan kepada orang yang mempunyai keserupaan dengannya. Ilmu ini secara khusus terkenal dalam kalangan Bani Mudlij (بني مدلج).

Kisah dalam Sirah tentang Menjejaki Kesan Nabi ﷺ

Dalam al-Sirah al-Halabiyyah disebutkan bahawa orang-orang musyrik telah mengupah seorang lelaki bernama ‘Alqamah bin Kuraz (علقمة بن كُرز) رضي الله عنه untuk menjejaki kesan Rasulullah ﷺ. Beliau kemudiannya memeluk Islam pada tahun pembukaan Makkah.

Beliau mengikuti kesan Rasulullah ﷺ sehingga sampai ke gua Thur. Kemudian beliau berkata:

 

هاهنا انقطع الأثر، ولا أدري أخَذ يميناً، أم شمالاً، أم صعد الجبل!.

“Di sinilah kesan tersebut terputus. Aku tidak tahu sama ada Muhammad mengambil arah ke kanan atau ke kiri, ataupun mendaki gunung!”

Dalam satu riwayat disebut bahawa orang yang menjejaki kesan (dinamakan sebagai:القاصّ) tersebut berkata kepada mereka:

هذا القدم قدم أبي بكر بن أبي قحافة، وهذا القدم الآخر لا أعرفه، إلا أنه يُشبِه القدَم الذي في المقام، يعني مقام إبراهيم، فقالت قريش: ما وراء هذا شيء.

“Tapak kaki ini ialah tapak kaki Abu Bakr bin Abi Quhafah, manakala tapak kaki yang satu lagi aku tidak mengenalinya. Namun, ia menyerupai tapak kaki yang terdapat di al-Maqam—iaitu Maqam Ibrahim.” Lalu Quraisy berkata: Tidak ada apa-apa lagi selepas ini.”

— Nafā’is al-Durar min Akhbār Sayyid al-Basyar ﷺ -


Cetak