SDI 2069: Lokasi Makam Ali bin Abi Talib رضي الله عنه Menurut Riwayat Sejarah

Soalan:

Ustaz, benarkah dakwaan makam sayyidina Ali bin Abi Talib tidak diketahui dimana kedudukannya? Bukankah makam beliau berada di Najaf?

Jawapan:

Para ulama dan ahli sejarah berbeza pendapat tentang lokasi makam Ali bin Abi Talib رضي الله عنه . Antara pendapat yang paling masyhur ialah:

1. Beliau dikebumikan di Istana Pemerintahan (قصر الإمارة) di Kufah.

Ini merupakan pendapat Muhammad bin Sa‘d sebagaimana yang disebut oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (1/136), dan juga pendapat Ibn Khallikan (ابْنُ خَلِّكَانَ) dalam kitabnya Wafayat al-A‘yan - وفيات الأعيان - (4/55). Syaikh al-Islam Ibn Taymiyyah menisbahkan pendapat ini kepada majoriti ahli yang mempunyai pengetahuan dalam perkara tersebut, dalam Majmu’ al-Fatawa (27/446).

2. Beliau dikebumikan di Kufah, tetapi tempatnya tidak diketahui.

Ini merupakan pendapat ‘Abdullah al-‘Ajli (عبد الله العجلي), sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (1/136).

3. Beliau pada asalnya dikebumikan di Kufah, kemudian anaknya, al-Hasan, memindahkan jasadnya ke Madinah.

Ini merupakan pendapat al-Hafiz Abu Nu‘aym (أبو نعيم), sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (1/137).

4. Tidak diketahui secara pasti di manakah makam beliau yang sebenarnya.

Ini merupakan pendapat Ibrahim al-Harbi (إبراهيم الحربي), sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Abi Ya‘la dalam Tabaqat al-Hanabilah (1/92). Ia juga merupakan pendapat Kamaluddin Muhammad bin Musa bin ‘Isa al-Damiri (كمال الدين محمد بن موسى بن عيسى الدميري), sebagaimana yang disebut dalam kitabnya Hayah al-Hayawan al-Kubra (2/308).

Pendapat yang paling hampir kepada kebenaran ialah bahawa Ali رضي الله عنه dikebumikan di Istana Pemerintahan di Kufah, namun lokasi sebenar tempat beliau dikebumikan di dalam istana tersebut tidak diketahui. Lokasi makam beliau sengaja dirahsiakan supaya golongan Khawarij tidak menggali kuburnya dan melakukan penghinaan terhadap jasadnya.

Syaikh al-Islam Ibn Taymiyyah رحمه الله berkata:

ومثل مَن يظن مِن الجهال أن قبر علي بباطن النجف ، وأهل العلم بالكوفة وغيرها يعلمون بطلان هذا ، ويعلمون أن عليّاً ومعاوية وعمرو بن العاص كلٌّ منهم دفن في قصر الإمارة ببلده خوفاً عليه من الخوارج أن ينبشوه

“Demikian juga orang-orang jahil menyangka bahawa makam Ali berada di kawasan pedalaman Najaf. Sedangkan para ahli ilmu di Kufah dan tempat-tempat lain mengetahui bahawa dakwaan tersebut adalah batil. Mereka mengetahui bahawa Ali, Mu‘awiyah dan ‘Amr bin al-‘As, masing-masing dikebumikan di Istana Pemerintahan di negeri masing-masing kerana bimbang golongan Khawarij menggali kubur mereka.” — Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah (7/43).

Ibn Taghri Bardi - ابن تغري بردي - رحمه الله pula berkata:

وقال جعفر بن محمد عن أبيه قال : صلَّى الحسن على عليٍّ رضي الله عنه ، ودُفن بالكوفة عند قصر الإمارة ، وعمِّي قبره لئلا تنبشه الخوارج" انتهى

“Ja‘far bin Muhammad meriwayatkan daripada ayahnya, beliau berkata: Al-Hasan mensolatkan jenazah Ali رضي الله عنه, kemudian beliau dikebumikan di Kufah berhampiran Istana Pemerintahan. Makamnya dirahsiakan supaya golongan Khawarij tidak menggali kuburnya.” — Al-Nujum al-Zahirah fi Muluk Misr wa al-Qahirah - النجوم الزاهرة في ملوك مصر والقاهرة - (1/120).

Dakwaan Makam Ali رضي الله عنه Berada Di Najaf

Adapun makam yang terdapat di Najaf, yang didakwa oleh golongan Rafidah sebagai makam Ali bin Abi Talib رضي الله عنه, maka dakwaan tersebut dianggap sebagai sesuatu yang tidak benar.

Orang pertama yang mendakwa bahawa makam Ali bin Abi Talib berada di Najaf ialah ‘Adud al-Dawlah al-Buwayhi, Abu Shuja‘ Fannakhusraw bin al-Sultan al-Hasan (عضد الدولة البويهي أبو شجاع فنَّاخُسرو ابن السلطان الحسن) yang digelar Rukn al-Dawlah al-Buwayhi al-Daylami (ركن الدولة البويهي الديلمي). Beliau meninggal dunia pada tahun 372 Hijrah.

Al-Dhahabi رحمه الله berkata dalam biografinya:

وكان شيعيَّا جلداً ، أظهر بالنجف قبراً زعم أنه قبر الإمام علي ، وبنى عليه المشهد ، وأقام شعار الرفض ، ومأتم عاشوراء ، والاعتزال

“Beliau merupakan seorang Syiah yang fanatik. Beliau menzahirkan sebuah makam di Najaf dan mendakwa bahawa ia adalah makam Imam Ali. Beliau membina sebuah tempat pemujaan di atasnya, menzahirkan syiar Rafidah, mengadakan majlis berkabung pada hari ‘Asyura dan berpegang dengan fahaman Mu‘tazilah.” — Siyar A‘lam al-Nubala’ (16/250).

Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa makam yang ditonjolkan oleh pemerintah Rafidah tersebut sebenarnya ialah makam seorang sahabat yang mulia, al-Mughirah bin Syu‘bah رضي الله عنه.

Al-Dhahabi رحمه الله berkata:

وقال مطيَّن : لو علمت الرافضة قبر من هذا الذي يزار بظاهر الكوفة لرجمته ، هذا قبر المغيرة بن شعبة

“Muttayyan berkata: Kalaulah golongan Rafidah mengetahui makam siapakah yang diziarahi di kawasan luar Kufah itu, nescaya mereka akan merejamnya. Itu ialah makam al-Mughirah bin Syu‘bah.” — Tarikh al-Islam (3/651).

Syaikh al-Islam Ibn Taymiyyah رحمه الله berkata:

وأما المشهد الذي بـ " النجف " : فأهل المعرفة متفقون على أنه ليس بقبر علي ، بل قيل : إنه قبر المغيرة بن شعبة ، ولم يكن أحدٌ يذكر أن هذا قبر علي ولا يقصده أحد أكثر من ثلاثمائة سنة مع كثرة المسلمين من أهل البيت والشيعة وغيرهم وحكمهم بالكوفة ، وإنما اتخذوا ذلك مشهداً في ملك بني بويه الأعاجم بعد موت علي بأكثر من ثلاثمائة سنة ، ورووا حكاية فيها أن الرشيد كان يأتي إلى تلك ، وأشياء لا تقوم بها حجة

“Adapun tempat pemujaan yang berada di Najaf, maka para ahli yang mengetahui perkara ini sepakat bahawa ia bukan makam Ali. Bahkan ada yang mengatakan bahawa ia ialah makam al-Mughirah bin Syu‘bah. Tidak ada sesiapa yang menyebut bahawa itu ialah makam Ali atau mengunjunginya selama lebih daripada tiga ratus tahun, sedangkan jumlah kaum Muslimin daripada kalangan Ahlul Bait, Syiah dan selain mereka sangat ramai dan mereka menguasai Kufah. Tempat tersebut hanya dijadikan sebagai tempat pemujaan pada zaman pemerintahan Bani Buwayh, yang terdiri daripada orang-orang bukan Arab, iaitu lebih daripada tiga ratus tahun selepas kewafatan Ali. Mereka juga meriwayatkan sebuah kisah bahawa al-Rasyid pernah datang ke tempat tersebut dan beberapa kisah lain yang tidak dapat dijadikan hujah.” — Majmu’ al-Fatawa (4/502).

Beliau رحمه الله juga berkata:

وأما مشهد علي : فعامة العلماء على أنه ليس قبره ، بل قد قيل : إنه قبر المغيرة بن شعبة ؛ وذلك أنه إنما أظهر بعد نحو ثلاثمائة سنة من موت علي ، في إمارة بني بويه ... وجمهور أهل المعرفة يقولون : إن عليّاً إنما دُفن فى قصر الإمارة بالكوفة أو قريبا منه ، وهكذا هو السنَّة ، فإن حمل ميت من الكوفة إلى مكان بعيد ليس فيه فضيلة : أمر غير مشروع ، فلا يظن بآل علي رضى الله عنه أنهم فعلوا به ذلك ، ولا يظن أيضا أن ذلك خفي على أهل بيته وعلى المسلمين ثلاثمائة سنة حتى أظهره قوم من الأعاجم الجهال ذوي الأهواء"

“Adapun tempat pemujaan Ali, maka kebanyakan ulama berpendapat bahawa ia bukan makam beliau. Bahkan ada yang mengatakan bahawa ia ialah makam al-Mughirah bin Syu‘bah. Hal ini kerana tempat tersebut hanya mula ditonjolkan kira-kira tiga ratus tahun selepas kewafatan Ali, pada zaman pemerintahan Bani Buwayh...Majoriti ahli yang mengetahui perkara ini berpendapat bahawa Ali sebenarnya dikebumikan di Istana Pemerintahan di Kufah atau berhampiran dengannya. Demikianlah yang selaras dengan Sunnah. Membawa jenazah dari Kufah ke suatu tempat yang jauh, sedangkan tempat tersebut tidak mempunyai kelebihan tertentu, merupakan perkara yang tidak disyariatkan. Oleh itu, tidak patut disangka bahawa keluarga Ali رضي الله عنهم melakukan perkara tersebut. Demikian juga tidak patut disangka bahawa perkara itu tersembunyi daripada ahli keluarganya dan kaum Muslimin selama tiga ratus tahun, kemudian baru diketahui oleh sekumpulan orang asing yang jahil dan mempunyai hawa nafsu.” — Majmu‘ al-Fatawa (27/446–447).

Ada juga dakwaan kononnya makam Ali berada di Afghanistan, iaitu di Mazar-i-Sharif (مزار الشريف), maka dakwaan ini tidak boleh diterima. Ia hanyalah dibuat oleh golongan yang menjadikan kubur sebagai tempat pemujaan dan mempromosikan amalan syirik dalam kalangan umat. Banyak dakwaan dan cerita seperti ini tersebar dalam kalangan mereka, sedangkan ia dapat diketahui sebagai dakwaan yang tidak benar, seperti dakwaan tentang lokasi makam Adam, Hud, Qabil dan ramai lagi orang soleh.


Cetak  
Wallahu a'lam