SDI 2071: Jual-beli Secara Tangguh

Soalan:

Saya membuat persetujuan dengan penjual untuk membeli sesuatu barang pada harga tertentu sekiranya pembeli membayar harganya secara tunai. Namun, jika pembayaran ditangguhkan melebihi tiga bulan, harga tersebut meningkat sebanyak 10 atau 20 peratus.

Adakah jual beli seperti ini dibenarkan?

Jawapan:

Jika maksud perkataan anda ialah; anda memberikan pilihan kepada pembeli ketika akad untuk memilih salah satu daripada dua harga tersebut. Setelah itu sebelum anda dan pembeli berpisah, anda berdua telah bersetuju atas salah satu akad. Maka jual beli seperti ini tidak ada sebarang masalah. Ia termasuk dalam keumuman firman Allah تعالى:

وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” — Surah al-Baqarah, ayat 275.

Dr. Wahbah al-Zuhayli berkata dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:

يختلف البيع لأجل أو بالتقسيط عن الربا، وإن وجد تشابه بينهما في كون سعر الآجل أو التقسيط في مقابل الأجل، ووجه الفرق أن الله أحل البيع لحاجة، وحرم الربا بسبب كون الزيادة متمحضة للأجل، وقال: أما في البيع لأجل أو بالتقسيط فالمبيع سلعة قيمتها الآن ألف، وألف ومائة بعد أشهر مثلاً، وهذا ليس من الربا، بل هو نوع من التسامح في البيع، لأن المشتري أخذ سلعة لا دراهم، ولم يعط زيادة من جنس ما أعطى، ومن المعلوم أن الشيء الحال أفضل وأكثر قيمة من المؤجل الذي يدفع في المستقبل، والشرع لا يصادم طبائع الأشياء إذا لم يتحد المبيع والثمن في الجنس

“Jual beli secara bertangguh atau secara ansuran (التقسيط) berbeza dengan riba, walaupun terdapat persamaan antara kedua-duanya dari sudut harga secara bertangguh atau ansuran yang mengambil kira tempoh pembayaran. (Namun) Perbezaannya ialah Allah menghalalkan jual beli kerana adanya keperluan, manakala Allah mengharamkan riba kerana pertambahan tersebut semata-mata disebabkan oleh tempoh penangguhan. Dalam jual beli bertangguh atau secara ansuran, barang yang dijual mungkin bernilai seribu pada masa sekarang, tetapi menjadi seribu seratus selepas beberapa bulan, misalnya. Ini bukanlah riba, bahkan ia merupakan suatu bentuk kelonggaran dalam jual beli. Hal ini kerana pembeli menerima barang, bukan wang dirham, dan dia tidak memberikan pertambahan daripada jenis yang sama dengan apa yang diterimanya. Sudah diketahui bahawa sesuatu yang dibayar secara tunai lebih baik dan lebih bernilai berbanding sesuatu yang dibayar secara bertangguh pada masa akan datang. Syariat tidak bertentangan dengan sifat semula jadi sesuatu perkara selagi barang jualan dan harga tidak terdiri daripada jenis yang sama.” — Tamat petikan.

Namun, jika anda membiarkan pembeli memilih salah satu harga tersebut, kemudian anda berdua berpisah tanpa menentukan jual beli yang mana satu telah dimeterai, maka hal itu tidak dibenarkan. Ini termasuk dalam larangan dua jual beli dalam satu akad, sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis sahih.

Dalam Sunan Abi Dawud dan al-Tirmidhi, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ بَاعَ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ، فَلَهُ أَوْكَسُهُمَا أَوِ الرِّبَا.

“Barang siapa melakukan dua jual beli dalam satu jual beli, maka baginya harga yang lebih rendah antara kedua-duanya, atau dia terlibat dengan riba.”

Dalam hadis yang lain disebut:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ.

“Rasulullah ﷺ melarang dua jual beli dalam satu jual beli.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Ibn Mas‘ud رضي الله عنه pula berkata:

الصَّفْقَتَانِ فِي صَفْقَةٍ رِبًا.

“Dua transaksi dalam satu transaksi adalah riba.”


Cetak  
Wallahu a'lam