SDI 2073: Hukum Haiwan Dua Alam

Soalan:

Apa hukum makan haiwan atau binatang dua alam?

Jawapan:

Haiwan dua alam atau amfibia dalam bahasa Arab di sebut haiwan al-Barma’ie (الحيوانِ البَرْمائيِّ) yang diberikan maksud sebagai:

الحيوانُ البَرْمائيُّ، هو: حيوانٌ يعيشُ في البَرِّ والبحرِ، فهو قادرٌ على العيش في الماءِ وعلى اليابسةِ

Haiwan amfibia (dua alam) ialah haiwan yang hidup di darat dan di laut. Ia mampu hidup di dalam air dan juga di atas daratan. (Lihat: Al-Mu‘jam al-Wasit, 1/52; Mu‘jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu‘asirah, karya Ahmad Mukhtar ‘Umar, 1/196. Lihat juga: Bada’i‘ al-Sana’i‘, karya al-Kasani, 2/196; Nihayah al-Muhtaj, karya al-Ramli, 8/150)

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum memakan haiwan amfibia kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Haiwan Amfibia Haram Dimakan

Ini merupakan mazhab jumhur ulama, iaitu mazhab Hanafi[1], Syafi‘i[2] dan Hanbali[3], serta salah satu pendapat dalam mazhab Maliki[4]. Ia juga merupakan pendapat Abu Thawr[5].

Dalil dan alasan mereka adalah seperti berikut:

Pertama: Haiwan amfibia termasuk dalam kategori haiwan buruan darat dan binatang darat. Sekiranya orang yang sedang berihram membunuhnya, dia dikenakan dam[6].

Kedua: Oleh sebab haiwan ini hidup dan mencari makanan di darat, maka ia disamakan dengan haiwan darat, dengan mengutamakan aspek pengharaman sebagai langkah berhati-hati[7].

Ketiga: Nas-nas yang menghalalkan bangkai haiwan laut ditafsirkan sebagai merujuk kepada haiwan yang hanya hidup di laut, seperti ikan dan seumpamanya. Hal ini kerana haiwan tersebut tidak dapat disembelih dengan cara biasa. Ia hanya boleh disembelih setelah dikeluarkan dari air, sedangkan apabila dikeluarkan dari air, ia akan mati.[8]

Keempat:

Haiwan amfibia mempunyai darah yang mengalir dan hidup di darat. Oleh itu, ia disamakan dengan haiwan ternakan (بهيمةَ الأنعامِ)[9].

Pendapat Kedua: Haiwan Amfibia Halal Dimakan

Bangkai haiwan amfibia adalah halal dimakan.

Ini merupakan mazhab Maliki[10], salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i[11], dan satu riwayat dalam mazhab Hanbali[12]. Pendapat ini juga dipilih oleh al-Shinqiti[13].

Dalil-dalil mereka:

Pertama: Dalil daripada al-Quran

Firman Allah Taala:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

“Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan yang diperoleh dari laut.” — Surah al-Ma’idah, 5:96.

Bentuk pendalilan:

Haiwan amfibia termasuk dalam keumuman binatang buruan laut dan makanan laut[14]. Tambahan pula, haiwan tersebut tidak mempunyai makanan lain selain hasil buruannya, termasuk bangkainya[15].

Kedua: Dalil daripada al-Sunnah

Sabda Nabi ﷺ tentang air laut:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الْحِلُّ مَيْتَتُهُ

“Airnya menyucikan dan bangkainya halal.”[16]

Bentuk pendalilan:

Hadis ini secara jelas menyatakan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Ia merupakan nas yang menjelaskan hukum dalam perkara yang diperselisihkan ini (فصْلٌ في محلِّ النِّزاعِ). Dalam ilmu usul fiqh, telah ditetapkan bahawa kata nama tunggal yang disandarkan kepada kata nama makrifah merupakan salah satu bentuk lafaz umum. Oleh itu, sabda Nabi ﷺ: مَيْتَتُهُ “Bangkainya”, merangkumi setiap bangkai haiwan yang terdapat di laut[17].

Ketiga: Dalil daripada athar

Syuraih r.a., seorang sahabat Nabi ﷺ, berkata:

كُلُّ شَيْءٍ فِي الْبَحْرِ مَذْبُوحٌ

“Setiap sesuatu yang terdapat di laut adalah seperti haiwan yang telah disembelih.”[18]

Keempat:

Orang yang sedang berihram dibenarkan memburu haiwan amfibia. Keharusan memburu haiwan tersebut adalah kerana ia dianggap telah disucikan (halal dimakan) dan tidak memerlukan penyembelihan.

Sesiapa yang mengatakan haiwan tersebut tidak boleh dimakan kecuali setelah disembelih, tetapi pada masa yang sama membenarkan orang yang berihram memburunya, maka dia telah bercanggah dalam pendiriannya[19].

Kelima:

Haiwan amfibia termasuk dalam kategori haiwan air. Oleh itu, bangkainya halal tanpa memerlukan penyembelihan, sebagaimana ikan dan ketam[20].



[1] Hal ini kerana ulama Hanafiyyah tidak beranggapan halal haiwan laut kecuali ikan. Oleh itu, selain ikan tidak dihalalkan menurut mereka, maka haiwan amfibia lebih-lebih lagi tidak dihalalkan (مِن بابِ أَوْلى). (Lihat Tabyin al-Haqa’iq karya al-Zayla‘i (5/296), al-Bahr al-Ra’iq karya Ibn Nujaym (8/196). Lihat juga: Bada’i‘ al-Sana’i‘ karya al-Kasani (1/79).

[2] Rawḍah al-Ṭālibīn karya al-Nawawi (3/275), Minhāj al-Ṭālibīn karya al-Nawawi (hlm. 322), Tuḥfah al-Muḥtāj karya Ibn Hajar al-Haytami (9/378), Nihāyah al-Muḥtāj karya al-Ramli (8/152), dan Ḥāshiyatā Qalyubi wa ‘Umairah (4/258).

[3] Al-Inṣāf karya al-Mardawi (10/288), dan Kashshāf al-Qinā’ karya al-Buhuti (6/204).

[4] Mawāhib al-Jalīl karya al-Hattab (1/124). Lihat juga: Al-Bayān wa al-Taḥṣīl karya Ibn Rushd al-Jadd (3/299), dan Manāhij al-Taḥṣīl karya al-Rajraji (3/203).

[5] Ibn ‘Abd al-Barr berkata:

وقال أبو ثَورٍ: السَّرَطانُ والسُّلَحْفاةُ وما كان مِثْلَها لا يكونُ بحِلٍّ إلَّا بالذَّكاةِ؛ لأنَّهما يعيشان في البَرِّ حينًا

“Abu Thawr berpendapat: Ketam, kura-kura dan haiwan seumpamanya tidak halal dimakan kecuali setelah disembelih secara syarak, kerana kedua-duanya hidup di darat pada suatu ketika.” (Al-Istidhkār (5/285)

[6] Al-Muḥallā karya Ibn Hazm (6/65).

[7] Manāhij al-Taḥṣīl karya al-Rajraji (3/203), Kashshāf al-Qinā‘ karya al-Buhuti (6/204), dan Tafsīr al-Fātiḥah wa al-Baqarah karya Ibn ‘Uthaymin (2/253).

[8] Al-Sharḥ al-Kabīr karya Shams al-Din Ibn Qudamah (11/44).

[9] Sharḥ al-Zarkashi ‘alā Mukhtaṣar al-Khiraqi (6/697).

[10] Mawāhib al-Jalīl karya al-Hattab (1/124). Lihat juga: Al-Bayān wa al-Taḥṣīl karya Ibn Rushd al-Jadd (3/299–300), dan Al-Jāmi‘ li-Masā’il al-Mudawwanah karya Ibn Yunus al-Siqilli (5/765).

[11] Al-Majmū’ karya al-Nawawi (9/33).

[12] Al-Mubdi‘ karya Burhan al-Din Ibn Muflih (9/187), dan Al-Inṣāf karya al-Mardawi (10/289).

[13] Al-Shinqiti berkata:

 (وقال ابنُ القاسم: وأنا أتَّقيهِ، ولو أَكَله رَجُلٌ لم أَرَه حرامًا. هذا هو حاصلُ مذهبِ مالكٍ في المسألةِ، وحُجَّته في إباحةِ مَيْتةِ الحَيوانِ البَحْريِّ، كان يعيشُ في البَرِّ أو لا: قولُه تعالى: أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ [المائدة: 96] ، ولا طعامَ له غيرُ صَيدِه إلَّا مَيتَتُه، كما قالَه جمهورُ العلماءِ، وهو الحقُّ. ويُؤيِّدُه قولُه صلَّى اللهُ عليه وسلَّم في البحرِ: ((هو الطَّهورُ ماؤُه، الحِلُّ مَيْتتُه)). وقد قدَّمْنا ثُبوتَ هذا الحديثِ، وفيه التَّصريحُ مِنَ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بأنَّ مَيْتةَ البحرِ حلالٌ، وهو فصْلٌ في محلِّ النِّزاعِ. وقد تَقرَّر في الأصولِ أنَّ المُفرَدَ إذا أُضيف إلى معرفةٍ؛ كان مِن صِيَغِ العُمومِ... وبه نَعلَمُ أنَّ قولَه صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ((مَيْتتُه)) يَعُمُّ بظاهِرِه كلَّ مَيْتةٍ ممَّا في البحرِ). ((أضواء البيان)) (1/51).

“Menurut Ibn al-Qasim: ‘Aku sendiri menjauhinya. Namun, sekiranya seseorang memakannya, aku tidak menganggapnya haram.’ Inilah kesimpulan mazhab Malik dalam masalah ini. Dalil beliau yang mengharuskan bangkai haiwan laut, sama ada haiwan itu hidup di darat atau tidak, ialah firman Allah Taala: ‘Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanannya.’ [Surah al-Ma’idah: 96] Tiada makanan bagi laut selain hasil buruannya, melainkan bangkainya, sebagaimana yang dinyatakan oleh jumhur ulama. Dan pendapat inilah yang benar. Hal ini turut disokong oleh sabda Nabi ﷺ mengenai laut: ‘Airnya suci lagi menyucikan dan bangkainya halal.’ Kami telah mengemukakan sebelum ini bahawa hadis tersebut sahih. Di dalamnya terdapat penegasan daripada Nabi ﷺ bahawa bangkai laut adalah halal. Ini merupakan dalil yang memutuskan pertikaian dalam masalah ini. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kata nama tunggal apabila disandarkan kepada kata nama yang ma‘rifah, maka ia termasuk antara bentuk lafaz yang menunjukkan makna umum. Dengan itu, kita mengetahui bahawa sabda Nabi ﷺ: ‘Bangkainya’ secara zahirnya merangkumi setiap bangkai daripada haiwan yang terdapat di laut.” (Adwa’ al-Bayan (1/51)

[14] Fatāwā al-Lajnah al-Dā’imah (22/319).

[15] Adwā’ al-Bayān karya al-Shinqiti (1/50).

[16] Diriwayatkan oleh Abu Dawud (83), al-Tirmizi (69), al-Nasa’i (59), Ibn Majah (386) dan Ahmad (8735). Al-Bukhari mensahihkannya, sebagaimana dinyatakan dalam al-Istidhkar karya Ibn ‘Abd al-Barr (1/197). Al-Tirmizi berkata: “Hasan sahih.” Hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahih-nya (1243). Ibn ‘Abd al-Barr mensahihkannya dalam al-Tamhid (16/217), dan beliau berkata: “Hal ini kerana para ulama telah menerimanya.” Demikian juga al-Nawawi mensahihkannya dalam al-Majmu’ (1/82).

[17] Adwā’ al-Bayān karya al-Shinqiti (1/51).

[18] Diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu‘allaq dengan lafaz yang menunjukkan kepastian (بصيغةِ الجَزْم), sebelum hadis (5493). Beliau turut meriwayatkannya secara bersambung dalam al-Tarikh al-Kabir (4/228). Al-Daraqutni juga meriwayatkannya dalam al-Mu’talif wa al-Mukhtalif (3/1274). Al-Busiri berkata dalam Ithaf al-Khirah al-Maharah (5/288): إسنادُه مقطوعٌ، رجالُه ثِقاتٌ “Sanadnya terputus, namun para perawinya thiqah.” Ibn Hajar menyebut dalam Fath al-Bari (9/531): أنَّه رُويَ مرفوعًا وموقوفًا وهو الأصحُّ “Bahawa riwayat tersebut dinukilkan secara marfu‘ dan mawquf, dan riwayat mawquf adalah yang lebih sahih.”

[19] Al-Bayān wa al-Taḥṣīl karya Ibn Rushd al-Jadd (3/300).

[20] Al-Sharḥ al-Kabīr karya Shams al-Din Ibn Qudamah (11/44).


Cetak  
Wallahu a'lam