706 — Hadis Memuliakan Tetamu
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ كانَ يُؤمنُ بِاللَّه واليَومِ الآخِرِ فَلْيُكرِمْ ضَيفَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤمِنُ بِاللَّه واليَوم الآخِرِ فليصِلْ رَحِمَهُ، وَمَنْ كَانَ يؤمِنُ بِاللَّه وَاليوْمِ الآخِرِ فَلْيَقلْ خَيْرًا أَوْ ليَصْمُتْ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia menyambung silaturahimnya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Muttafaq ‘alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
707 — Daripada Abu Shurayh Khuwailid ibn Amr al-Khuza'I (أَبي شُرَيْح خُوَيلدِ بن عمرو الخُزَاعِيِّ) رضي الله عنه, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ كَانَ يؤمِنُ بِاللَّه واليوْمِ الآخِرِ فَلْيُكرمْ ضَيفَهُ جَائِزَتَهُ، قالوا: وَمَا جَائِزَتُهُ يَا رسول اللَّه؟ قَالَ: يَومُه وَلَيْلَتُهُ. والضِّيَافَةُ ثَلاثَةُ أَيَّامِ، فَمَا كَانَ وَرَاءَ ذلكَ فَهُوَ صَدَقَة عَلَيْهِ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dengan memberikan ja’izah (layanan khusus kepada tetamu).” Para sahabat bertanya: “Apakah ja’izah itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sehari dan semalam. Dan tempoh bertamu ialah tiga hari. Adapun selepas tempoh tersebut, maka ia merupakan sedekah yang diberikan kepadanya.” (Muttafaq ‘alaih)
Dalam riwayat Muslim disebut:
لاَ يحِلُّ لِمُسلمٍ أنْ يُقِيم عِنْدَ أخِيهِ حَتَّى يُؤْثِمَهُ، قالوا: يَا رسول اللَّه. وكَيْف يُؤْثِمُهُ؟ قَالَ: يُقِيمُ عِنْدَهُ وَلا شَيءَ لَهُ يَقْرِيهِ بِهِ
“Tidak halal bagi seorang Muslim untuk tinggal di rumah saudaranya sehingga menyebabkan saudaranya itu berdosa.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dia boleh menyebabkan saudaranya berdosa?” Baginda menjawab: “Dia tinggal di rumah saudaranya sedangkan saudaranya tidak mempunyai sesuatu untuk diberikan kepadanya sebagai jamuan.”
Huraian
Dalam kitab Riyadh al-Salihin, al-Imam al-Nawawi rahimahullah menghimpunkan satu bab khusus berjudul باب إكرام الضيف Bab Memuliakan Tetamu. Bab ini memuatkan hadis-hadis yang menggesa umat Islam memuliakan tetamu dan menjamu mereka. Antara hadis terpenting dalam bab ini ialah hadis Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."
Hadis ini merupakan gesaan dan dorongan untuk memuliakan tetamu. Maksudnya, memuliakan tetamu termasuk tanda keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat, serta termasuk kesempurnaan iman kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal ini kerana orang yang memuliakan tetamunya akan diberi ganjaran oleh Allah Ta'ala pada Hari Kiamat, dan adakalanya Allah memberinya ganjaran pada Hari Kiamat dan juga di dunia, sebagaimana firman Allah Ta'ala:
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ
Sesiapa yang menghendaki tanaman (hasil) akhirat, Kami tambahkan baginya pada tanamannya.” (Surah al-Syura: 20)
Maka Allah membalasnya di dunia dengan gantian dan di akhirat dengan pahala. Oleh sebab itulah Baginda bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."
Cara memuliakan tetamu berbeza mengikut keadaan tetamu tersebut. Ada di kalangan manusia yang terdiri daripada golongan bangsawan dan tokoh terkemuka dalam masyarakat, maka dia dimuliakan dengan layanan yang layak baginya. Ada pula yang terdiri daripada golongan bawahan dalam masyarakat, maka dia dimuliakan dengan layanan yang layak baginya. Ada juga yang lebih rendah daripada itu. Yang penting, Nabi ﷺ menyebut pemuliaan secara mutlak, maka ia merangkumi segala bentuk pemuliaan.
Sebahagian orang, apabila datang bertamu, tidak berpada melayannya dengan menghidangkan makanan dua ekor ayam sebagai contoh. Dia memerlukan hidangan makanan yang disertai sembelihan, dan termasuk dalam pemuliaan terhadapnya juga ialah menjemput jiran-jiranmu dan seumpamanya. Ada pula orang yang kedudukannya lebih rendah daripada itu. Yang penting, Nabi ﷺ tidak mengikat pemuliaan dengan sesuatu yang tertentu, bahkan menyebutnya secara mutlak. Maka ia dikembalikan kepada apa yang dianggap oleh manusia sebagai pemuliaan.
Baginda bersabda lagi:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia menyambung silaturahimnya."
Dalam hadis yang lain disebut: فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ, "maka hendaklah dia memuliakan jirannya.", فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ “maka hendaklah dia menyambung silaturahimnya.
al-rahim ialah kaum kerabat. Semakin dekat seseorang kerabat itu dengan seseorang, semakin besar haknya. Maka seseorang wajib menyambung hubungan dengan kaum kerabatnya. Nabi ﷺ tidak menjelaskan dengan apa hubungan itu disambung, maka ia juga dikembalikan kepada uruf. Ada kerabat yang disambung hubungan dengannya melalui ziarah dan layanan secara fizikal. Ada kerabat yang disambung hubungan dengannya melalui pemberian harta kerana dia memerlukannya. Ada pula kerabat yang dimuliakan dengan makanan dan pakaian. Setiap orang mengikut keadaannya. Yang penting, muliakanlah kaum kerabat dengan apa yang dianggap sebagai pemuliaan.
Sebagai contoh, jika kerabat seorang yang kaya dan pemurah, tidak mungkin dihantar kepadanya sepinggan makanan. Sebaliknya, memuliakannya dengan ziarah, tutur kata yang lembut dan seumpamanya.
Adapun jika kerabat seorang yang miskin, sepinggan makanan lebih disukainya daripada yang lain, maka dihantarkan kepadanya sepinggan makanan. Jika seseorang kerabat memerlukan wang, maka yang lebih afdal ialah menghantar wang kepadanya, dan demikianlah seterusnya. Setiap orang dimuliakan dengan apa yang sesuai dengan keadaannya.
Baginda bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."
Alangkah baiknya jika kita menjalani kehidupan kita di atas prinsip ini: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."
Adakalanya perkataan itu sendiri merupakan kebaikan, dan adakalanya kebaikan itu terletak pada tujuan di sebaliknya. Contohnya, menyuruh kepada makruf, mencegah kemungkaran dan mengajarkan satu masalah daripada masalah-masalah ilmu dan agama; perkataan di sini baik pada zatnya. Ada pula perkataan lain yang pada zatnya bukanlah kebaikan, tetapi ia diucapkan untuk mendatangkan rasa mesra kepada teman dan melapangkan dadanya. Ini juga merupakan kebaikan. Walaupun perkataan itu sendiri bukan sesuatu yang dijadikan amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, ia bukanlah dosa, dan ia bertujuan melapangkan dada teman serta mendatangkan rasa mesra dan gembira. Maka ini juga termasuk kebaikan.
Daripada hadis ini diketahui bahawa sesiapa yang tidak berkata perkara yang baik, imannya kepada Allah dan Hari Akhirat adalah kurang. Maka bagaimana pula dengan orang yang berkata perkara yang buruk? Bagaimana dengan orang yang sudah terbiasa memakan daging manusia, wal'iyazubillah, berjalan dalam kalangan orang ramai membawa fitnah adu domba, berdusta dan menipu? Bahkan bagaimana dengan orang yang sudah terbiasa menghasut orang ramai terhadap ahli ilmu, mencela dan mengeji ahli ilmu kerana sesuatu perkara, sedangkan pendirian mereka dalam perkara itu lebih hampir kepada kebenaran daripada apa yang disangkanya?
Sesungguhnya perbuatan ini lebih besar dan lebih besar lagi kesalahannya, kerana bercakap tentang ahli ilmu tidak sama dengan bercakap tentang orang awam. Bercakap tentang orang awam barangkali hanya mencederakan peribadi orang itu sendiri, tetapi bercakap tentang ahli ilmu merupakan celaan terhadap para ulama dan terhadap syariat yang mereka bawa, kerana manusia tidak akan mempercayai mereka apabila banyak perkataan dan perbualan tentang mereka.
Oleh itu, apabila banyak perbualan dan orang ramai hanyut membicarakan sesuatu perkara, wajiblah seseorang bersungguh-sungguh menahan lidahnya dan tidak bercakap kecuali pada perkara yang jelas maslahatnya. Bahkan sekiranya dia ditanya, hendaklah dia berkata:
نَسْأَلُ اللهَ الْهِدَايَةَ، نَسْأَلُ اللهَ أَنْ يَهْدِيَ الْجَمِيعَ
"Kita memohon hidayah daripada Allah, kita memohon agar Allah memberi hidayah kepada semua."
Adapun jika seseorang bercakap dalam perkara-perkara yang langsung tiada asasnya, maka ini termasuk tanda tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Seseorang tidak menjadi kafir kerana perbuatan ini, tetapi imannya menjadi kurang, kerana Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."
Sebagaimana dikatakan:
إِذَا كَانَ الْكَلَامُ مِنْ فِضَّةٍ فَالسُّكُوتُ مِنْ ذَهَبٍ
"Jika berkata-kata itu daripada perak, maka diam itu daripada emas."
Dikatakan juga dalam kata-kata hikmah:
الصَّمْتُ حِكْمَةٌ وَقَلِيلٌ فَاعِلُهُ
"Diam itu hikmah, namun sedikit orang yang melakukannya."
Dikatakan juga:
مَنْ صَمَتَ نَجَا ومن تكلم فإنه على خطر
"Sesiapa yang diam, dia selamat dan sesiapa yang berkata-kata, dia berada dalam bahaya.
Oleh itu, tetaplah berdiam diri kecuali pada perkara yang engkau lihat sebagai kebaikan. Ketika itu, berkatalah, kerana kebaikan itu dituntut.
Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ جَائِزَتَهُ، قَالُوا: وَمَا جَائِزَتُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: يَوْمُهُ وَلَيْلَتُهُ، وَالضِّيَافَةُ ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ، فَمَا كَانَ وَرَاءَ ذَلِكَ فَهُوَ صَدَقَةٌ عَلَيْهِ
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dengan jaizahnya." Para sahabat bertanya: "Apakah jaizahnya, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Sehari semalamnya. Dan tempoh menjamu tetamu ialah tiga hari. Apa yang melebihi itu adalah sedekah kepadanya." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat Muslim:
لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُقِيمَ عِنْدَ أَخِيهِ حَتَّى يُؤْثِمَهُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَكَيْفَ يُؤْثِمُهُ؟ قَالَ: يُقِيمُ عِنْدَهُ وَلَا شَيْءَ لَهُ يَقْرِيهِ بِهِ
"Tidak halal bagi seorang Muslim tinggal di rumah saudaranya sehingga menyebabkannya berdosa." Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana dia menyebabkannya berdosa?" Baginda menjawab: "Dia terus tinggal di rumahnya sedangkan tuan rumah tiada apa-apa lagi untuk menjamunya."
Makna al-jaizah dan tempoh tiga hari
Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menukilkan penjelasan para ulama:
قَالَ الْعُلَمَاءُ مَعْنَاهُ الِاهْتِمَامُ بِهِ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ وَإِتْحَافُهُ بِمَا يُمْكِنُ مِنْ بِرٍّ وَإلْطَافٍ، وَأَمَّا فِي الْيَوْمِ الثَّانِي وَالثَّالِثِ فَيُطْعِمُهُ مَا تَيَسَّرَ وَلَا يَزِيدُ عَلَى عَادَتِهِ، وَأَمَّا مَا كَانَ بَعْدَ الثَّلَاثَةِ فَهُوَ صَدَقَةٌ وَمَعْرُوفٌ إِنْ شَاءَ فَعَلَ وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ
"Para ulama berkata: maknanya ialah memberi perhatian khusus kepadanya pada siang dan malam (pertama), serta menghidangkan kepadanya apa yang mampu berupa kebaikan dan layanan istimewa. Adapun pada hari kedua dan ketiga, dia menjamunya dengan apa yang mudah didapati tanpa melebihi kebiasaannya. Adapun selepas tiga hari, maka ia adalah sedekah dan kebajikan; jika dia mahu, dia lakukan, dan jika dia mahu, dia tinggalkan."
Ibn 'Allan pula menyebut perselisihan ulama sama ada jaizah itu termasuk dalam tiga hari atau tambahan di luar tiga hari. Isyarat perselisihan ini dinukil daripada al-Badr al-Damamini dalam al-Masabih. Namun Ibn 'Allan menguatkan bahawa jaizah termasuk dalam tiga hari:
لكن قوله (وما كان وراء ذلك) أي زيادة عليه (فهو صدقة) يؤيد أنها منها
"Akan tetapi sabda Baginda “apa yang melebihi itu adalah sedekah” menguatkan bahawa jaizah itu termasuk dalam tiga hari tersebut."
Beliau menyimpulkan:
وقد قال العلماء: المطلوب من المضيف أن يبالغ في إكرام الضيف اليوم الأول وليلته، وفي باقي اليومين يأتي له بما يتيسر من الإكرام غير مبالغ فيهما كاليوم الأول
"Para ulama berkata: yang dituntut daripada tuan rumah ialah bersungguh-sungguh memuliakan tetamu pada hari pertama dan malamnya. Pada dua hari selebihnya, dia menjamunya dengan apa yang mudah tanpa bersungguh-sungguh seperti hari pertama."
Hukum menjamu tetamu
Imam al-Nawawi menyebut:
هَذِهِ الْأَحَادِيثُ مُتَظَاهِرَةٌ عَلَى الْأَمْرِ بِالضِّيَافَةِ وَالِاهْتِمَامِ بِهَا وَعَظِيمِ مَوْقِعِهَا، وَقَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى الضِّيَافَةِ وَأَنَّهَا مِنْ مُتَأَكِّدَاتِ الْإِسْلَامِ
"Hadis-hadis ini saling menguatkan dalam perintah menjamu tetamu, memberi perhatian kepadanya dan besarnya kedudukannya. Kaum Muslimin telah bersepakat tentang (pensyariatan) menjamu tetamu dan bahawa ia termasuk perkara yang sangat dituntut dalam Islam."
Kemudian beliau menghuraikan perbezaan pendapat tentang hukumnya:
ثُمَّ قَالَ الشَّافِعِيُّ وَمَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ رَحِمَهُمُ اللَّهُ تَعَالَى وَالْجُمْهُورُ: هِيَ سُنَّةٌ لَيْسَتْ بِوَاجِبَةٍ، وَقَالَ اللَّيْثُ وَأَحْمَدُ: هِيَ وَاجِبَةٌ يَوْمًا وَلَيْلَةً. قَالَ أَحْمَدُ: هِيَ وَاجِبَةٌ يَوْمًا وَلَيْلَةً عَلَى أَهْلِ الْبَادِيَةِ وَأَهْلِ الْقُرَى دُونَ أَهْلِ الْمُدُنِ
"Al-Syafi'i, Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama berpendapat ia adalah sunat, bukan wajib. Al-Laith dan Ahmad pula berpendapat ia wajib selama sehari semalam. Ahmad berkata: ia wajib sehari semalam ke atas penduduk desa pedalaman dan kampung, tidak ke atas penduduk bandar."
Tentang cara jumhur memahami hadis ini, al-Nawawi menjelaskan:
وَتَأَوَّلَ الْجُمْهُورُ هَذِهِ الْأَحَادِيثَ وَأَشْبَاهَهَا عَلَى الِاسْتِحْبَابِ وَمَكَارِمِ الْأَخْلَاقِ وَتَأَكُّدِ حَقِّ الضَّيْفِ، كَحَدِيثِ: غُسْلُ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ، أَيْ مُتَأَكِّدُ الِاسْتِحْبَابِ، وَتَأَوَّلَهَا الْخَطَّابِيُّ وَغَيْرُهُ عَلَى الْمُضْطَرِّ
"Jumhur mentakwilkan hadis-hadis ini dan yang seumpamanya sebagai galakan, akhlak mulia dan penegasan hak tetamu, sama seperti hadis 'Mandi Jumaat wajib ke atas setiap orang yang telah baligh', iaitu sangat digalakkan. Al-Khattabi dan selainnya pula mentakwilkannya kepada tetamu yang dalam keadaan terdesak."
Larangan tetamu membebankan tuan rumah
Tentang tambahan riwayat Muslim, al-Nawawi menjelaskan:
مَعْنَاهُ لَا يَحِلُّ لِلضَّيْفِ أَنْ يُقِيمَ عِنْدَهُ بَعْدَ الثَّلَاثِ حَتَّى يُوقِعَهُ فِي الْإِثْمِ، لِأَنَّهُ قَدْ يَغْتَابُهُ لِطُولِ مَقَامِهِ، أَوْ يُعَرِّضُ لَهُ بِمَا يُؤْذِيهِ، أَوْ يَظُنُّ بِهِ مَا لَا يَجُوزُ، وَقَدْ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
"Maknanya, tidak halal bagi tetamu tinggal di rumah tuan rumah selepas tiga hari sehingga menjerumuskannya ke dalam dosa. Ini kerana tuan rumah mungkin mengumpatnya disebabkan lamanya dia tinggal, atau menyindirnya dengan kata-kata yang menyakitkan, atau bersangka buruk terhadapnya dengan sangkaan yang tidak harus. Allah Ta'ala berfirman: 'Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa.'"
Ibn 'Allan menambah satu lagi bentuk dosa yang mungkin timbul:
فيؤدي ذلك إلى الوقيعة فيه واغتيابه وإلى الاستدانة المفضية إلى الكذب وخلف الوعد
"Maka hal itu membawa kepada mencela dan mengumpatnya, serta membawa tuan rumah berhutang yang boleh menyebabkannya berdusta dan memungkiri janji."
Beliau berdalilkan hadis ketika Nabi ﷺ ditanya mengapa Baginda banyak berlindung daripada hutang, lalu Baginda menjawab:
إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ وَعَدَ فَأَخْلَفَ، وَحَدَّثَ فَكَذَبَ
"Sesungguhnya seseorang apabila berhutang, dia berjanji lalu memungkiri, dan dia berbicara lalu berdusta."
Ibn 'Allan juga menyebut hikmah pemilihan perkataan "saudaranya" dalam hadis:
لا يخفى ما في التعبير بأخيه من الحث على النظر إلى حاله والتخفيف عنه، فإن ذلك شأن الأخوّة
"Tidak tersembunyi bahawa penggunaan perkataan 'saudaranya' mengandungi gesaan supaya tetamu memerhatikan keadaan tuan rumah dan meringankan bebannya, kerana itulah sifat persaudaraan."
Bila tetamu boleh tinggal lebih lama
Al-Nawawi menjelaskan bahawa larangan ini ada batasnya:
وَهَذَا كُلُّهُ مَحْمُولٌ عَلَى مَا إِذَا أَقَامَ بَعْدَ الثَّلَاثِ مِنْ غَيْرِ اسْتِدْعَاءٍ مِنَ الْمُضِيفِ، أَمَّا إِذَا اسْتَدْعَاهُ وَطَلَبَ زِيَادَةَ إِقَامَتِهِ، أَوْ عَلِمَ أَوْ ظَنَّ أَنَّهُ لَا يَكْرَهُ إِقَامَتَهُ، فَلَا بَأْسَ بِالزِّيَادَةِ... فَلَوْ شَكَّ فِي حَالِ الْمُضِيفِ هَلْ تُكْرَهُ الزِّيَادَةُ وَيَلْحَقُهُ بِهَا حَرَجٌ أَمْ لَا، لَمْ تَحِلَّ الزِّيَادَةُ إِلَّا بِإِذْنِهِ لِظَاهِرِ الْحَدِيثِ
"Semua ini difahami apabila tetamu tinggal selepas tiga hari tanpa diminta oleh tuan rumah. Adapun jika tuan rumah memintanya tinggal lebih lama, atau tetamu mengetahui atau menyangka bahawa tuan rumah tidak keberatan, maka tidak mengapa dia tinggal lebih lama... Namun jika dia ragu-ragu tentang keadaan tuan rumah, sama ada dia keberatan dan merasa susah atau tidak, maka tidak halal dia tinggal lebih lama kecuali dengan izinnya, berdasarkan zahir hadis."
Pengajaran
- Menjamu tetamu termasuk tuntutan iman dan perkara yang sangat dituntut dalam Islam dengan ijmak ulama.
- Hari pertama dan malamnya ialah waktu layanan paling istimewa. Hari kedua dan ketiga dijamu dengan apa yang mudah.
- Selepas tiga hari, layanan tuan rumah dikira sedekah; dia bebas memilih untuk meneruskan atau tidak.
- Hukumnya sunat muakkad menurut jumhur (Syafi'i, Malik, Abu Hanifah), dan wajib sehari semalam menurut al-Laith dan Ahmad; Ahmad mengkhususkannya kepada penduduk desa dan kampung.
- Tetamu wajib menjaga perasaan tuan rumah, tidak tinggal terlalu lama tanpa izin sehingga menyebabkan tuan rumah terjerumus ke dalam dosa.
