SDI 0003: Hadis Berpegang Dengan Sunnah Dapat Pahala Seratus Orang Mati Syahid

Soalan:

Apa status hadis ini:

Dari Ibnu Abbas ra. bahwa Nabi yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerusakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi)

 Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbedaan, yaitu katanya: Baginya pahala orang yang mati syahid. (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44)

Jawapan:

Hadis pertama: Daif Jiddan (terlalu lemah)

مَنْ تَمَسَّكَ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي فَلَهُ أَجْرُ مِائَةِ شَهِيدٍ

"Sesiapa yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika umatku rosak, maka baginya pahala seratus orang syahid."

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Zuhd al-Kabir (no. 207), Ibn 'Adi dalam al-Kamil dan Ibn Bisyran dalam al-Amali. Semuanya melalui jalan al-Hasan bin Qutaibah, daripada 'Abd al-Khaliq bin al-Munzir, daripada Ibn Abi Najih, daripada Mujahid, daripada Ibn 'Abbas.

Kelemahannya berpunca daripada al-Hasan bin Qutaibah. Al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam menyebut:

 وَهَذَا أَخَافُ أن يَكُون مَوْضُوعًا، وَمَا فِيهِ مَجْرُوحٌ سِوَى الْحَسَنِ

Hadis ini aku bimbang ia palsu, dan tiada perawi yang dikritik dalamnya selain al-Hasan.

Demikian juga Al-Albani menilainya daif jiddan. (Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah, no. 326)

Hadis kedua: daif

الْمُتَمَسِّكُ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي لَهُ أَجْرُ شَهِيدٍ

"Orang yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika umatku rosak, baginya pahala seorang syahid."

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat (no. 5414), dan juga oleh Abu Nu'aim dalam al-Hilyah melalui jalan al-Tabarani, daripada Abu Hurairah. Al-Tabarani sendiri menyatakan bahawa hanya 'Abd al-'Aziz yang meriwayatkannya daripada 'Ata', dan hanya anaknya yang meriwayatkan daripadanya.

Al-Haithami dalam Majma' al-Zawa'id (1/172, no. 800) berkata:

رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي الْأَوْسَطِ، وَفِيهِ مُحَمَّدُ بْنُ صَالِحٍ الْعَدَوِيُّ، وَلَمْ أَرَ مَنْ تَرْجَمَهُ، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ.

"Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Awsat. Padanya terdapat Muhammad bin Salih al-'Adawi, dan aku tidak melihat sesiapa yang menulis biografinya. Perawi-perawi selebihnya thiqah."

Ini bermaksudnya, perawi ini tidak dikenali. Kerana ini Al-Albani menilai riwayat ini sebagai daif. Dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah (1/497–498, no. 327), al-Albani menulis:

٣٢٧ - "الْمُتَمَسِّكُ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي لَهُ أَجْرُ شَهِيدٍ". ضَعِيفٌ.

Selepas mentakhrijnya, beliau menjelaskan punca kelemahannya:

قُلْتُ: وَهُوَ مُخْتَلَفٌ فِيهِ، وَفِي "التَّقْرِيبِ": صَدُوقٌ يُخْطِئُ، وَمُحَمَّدُ بْنُ صَالِحٍ الْعَذَرِيُّ بِالذَّالِ الْمُعْجَمَةِ أَوِ الْمُهْمَلَةِ لَمْ أَعْرِفْهُ، وَقَالَ الْهَيْثَمِيُّ فِي "الْمَجْمَعِ" (١/ ١٧٢): رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي "الْأَوْسَطِ" وَفِيهِ مُحَمَّدُ بْنُ صَالِحٍ الْعَدَوِيُّ وَلَمْ أَرَ مَنْ تَرْجَمَهُ، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ. وَمِنْهُ تَعْلَمُ أَنَّ قَوْلَ الْمُنْذِرِيِّ (١/ ٤١): وَإِسْنَادُهُ لَا بَأْسَ بِهِ، لَيْسَ كَمَا يَنْبَغِي.

Ringkasnya, terdapat dua kelemahan:

  • 'Abd al-Majid bin 'Abd al-'Aziz diperselisihkan statusnya. Ibn Hajar menyifatkannya saduq yukhti' (saduq tetapi melakukan kesilapan).
  • Muhammad bin Salih al-'Adawi/al-'Azari tidak dikenali oleh al-Albani.

Al-Albani juga menolak kata-kata al-Munziri bahawa sanadnya "tidak mengapa". Beliau menyatakan hadis ini tidak diperlukan kerana sudah ada hadis sahih tentang ganjaran lima puluh orang bagi yang berpegang teguh pada zaman sabar. Dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah (1/498), di akhir perbincangan hadis no. 327:

وَيُغْنِي عَنْهُ حَدِيثُ: "إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامَ الصَّبْرِ، لِلْمُتَمَسِّكِ فِيهِنَّ يَوْمَئِذٍ بِمَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْكُمْ ..." الْحَدِيثَ، وَهُوَ مُخَرَّجٌ فِي "الصَّحِيحَةِ" (٤٩٤).

" Hadis ini tidak diperlukan lagi kerana sudah ada hadis: 'Sesungguhnya selepas kamu akan ada hari-hari kesabaran. Bagi orang yang berpegang teguh pada hari-hari itu dengan apa yang kamu (para sahabat) berada di atasnya, pahala lima puluh orang daripada kamu...” Hadis ini telah ditakhrij dalam al-Sahihah (no. 494)."

Kesimpulan: Riwayat "pahala seratus syahid" terlalu lemah dan tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW. Riwayat "pahala seorang syahid" daif. Kelebihan berpegang dengan sunnah ketika umat rosak sudah pun sabit melalui dalil-dalil lain yang sahih. Maka tidak perlu berpegang dengan lafaz ganjaran khusus dalam kedua-dua riwayat ini.

Hadis hari Arafah.

Adapun hadis:

يَوْمُ عَرَفَةَ تُرْفَعُ فِيهِ جَمِيعُ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا عَدَا الْمُتَخَاصِمِينَ

Lafaz ini tiada asal. Mausu'ah al-Durar al-Saniyyah menyatakan:

 لَيْسَ بِحَدِيثٍ، وَلَا وُجُودَ لَهُ فِي كُتُبِ السُّنَّةِ

"Ia bukan hadis, dan tidak terdapat dalam kitab-kitab sunnah (hadis)."

 

Markaz al-Fatwa Islamweb pula menyatakan:

فلا نعلم حديثا بهذا اللفظ ولا بمعناه

"Kami tidak mengetahui ada hadis dengan lafaz ini, dan tidak juga dengan maknanya."

Hadis yang sahih ialah hadis tentang hari Isnin dan Khamis:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ مُسْلِمٍ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

"Pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampunkan setiap hamba Muslim yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, kecuali seorang lelaki yang ada permusuhan antara dia dan saudaranya. Lalu dikatakan: Tangguhkan kedua-dua orang ini sehingga mereka berdamai." (Riwayat Malik dan Muslim)

Lafaz tentang amalan diangkat pada hari Arafah tidak ditemui dalam kitab-kitab hadis yang disemak. Makna pengecualian orang yang bermusuhan memang ada dalam hadis sahih tentang hari Isnin dan Khamis, tetapi tidak dengan menyebut hari Arafah.


Cetak  
Wallahu a'lam