Huraian Hadis Riyadh al-Salihin: Bab Sunat Menyampaikan Berita Gembira dan Mengucapkan Tahniah atas Kebaikan

Bab 95 dari Riyadh al-Salihin karya al-Imam al-Nawawi

باب استحباب التبشير والتهنئة بالخير

قال الله تعالى: ﴿فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ﴾ وقال تعالى: ﴿يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ﴾ وقال تعالى: ﴿وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ﴾ وقال تعالى: ﴿فبشرناه بغلام حليم﴾ وقال تعالى: ﴿ولقد جاءت رسلنا إبراهيم بالبشرى﴾ وقال تعالى: ﴿وَامْرَأَتُهُ قَائِمَةٌ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَاهَا بِإِسْحَاقَ وَمِن وَرَاءِ إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ﴾ وقال تعالى: ﴿فَنَادَتْهُ الْمَلاَئِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى﴾ وقال تعالى: ﴿إِذْ قَالَتِ الْمَلاَئِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ﴾ والآيات في الباب كثيرة معلومة

Bab 95 dari Riyadh al-Salihin karya al-Imam al-Nawawi

Bab Sunat Menyampaikan Berita Gembira dan Mengucapkan Tahniah atas Kebaikan

Allah Ta'ala berfirman:

﴿فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ﴾

 "Maka sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hamba-Ku, iaitu mereka yang mendengar perkataan lalu mengikut yang terbaik daripadanya." (al-Zumar: 17–18)

Dan firman-Nya:

﴿يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ﴾

 "Tuhan mereka menyampaikan berita gembira kepada mereka dengan rahmat daripada-Nya, keredaan, dan syurga-syurga yang di dalamnya ada nikmat yang kekal." (al-Taubah: 21)

Dan firman-Nya:

﴿وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ﴾

 "Dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu." (Fussilat: 30)

Dan firman-Nya:

﴿فبشرناه بغلام حليم﴾

 "Maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan (kelahiran) seorang anak lelaki yang sangat penyabar." (al-Saffat: 101)

Dan firman-Nya:

ولقد جاءت رسلنا إبراهيم بالبشرى﴾

 "Dan sesungguhnya utusan-utusan Kami (para malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa berita gembira." (Hud: 69)

Dan firman-Nya:

﴿وَامْرَأَتُهُ قَائِمَةٌ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَاهَا بِإِسْحَاقَ وَمِن وَرَاءِ إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ﴾

"Dan isterinya berdiri (di situ), lalu dia tertawa, maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan (kelahiran) Ishaq, dan selepas Ishaq, (lahir pula) Ya'qub." (Hud: 71)

Dan firman-Nya:

﴿فَنَادَتْهُ الْمَلاَئِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى﴾

"Lalu para malaikat menyerunya ketika dia sedang berdiri solat di mihrab: Sesungguhnya Allah menyampaikan berita gembira kepadamu dengan (kelahiran) Yahya." (Ali 'Imran: 39)

Dan firman-Nya:

﴿إِذْ قَالَتِ الْمَلاَئِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ﴾

"(Ingatlah) ketika para malaikat berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah menyampaikan berita gembira kepadamu dengan satu kalimah daripada-Nya, namanya al-Masih." (Ali 'Imran: 45)

Ayat-ayat dalam bab ini banyak dan sudah dimaklumi.

Huraian

Pengarang (al-Nawawi) rahimahullah berkata: (Bab Sunat Menyampaikan Berita Gembira dan Mengucapkan Tahniah atas Kebaikan)

Al-bisyarah البشارة adalah berita gembira, kalimah ini digunakan bagi perkara yang menggembirakan. Ia dinamakan demikian kerana apabila seseorang diberi khabar tentang sesuatu yang menggembirakannya, kesannya terzahir pada wajah dan kulitnya (البشرة). Kadang-kadang al-bisyarah juga digunakan bagi perkara yang tidak menyenangkan, seperti firman Allah Ta'ala:

فبشرهم بعذاب أليم

"Maka khabarkanlah kepada mereka azab yang pedih."

Berita gembira tentang perkara yang menggembirakan itu ada yang berkaitan dengan akhirat dan ada yang berkaitan dengan dunia.

Berita gembira berkaitan akhirat sangat banyak, disebut oleh Allah dalam al-Quran di banyak tempat, seperti firman-Nya:

﴿وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأنْهَارُ﴾

"Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai."

Dan firman-Nya:

﴿لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآَخِرَةِ﴾

 "Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan dunia dan di akhirat."

Dan firman-Nya:

﴿يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا إِنَّ اللهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ﴾

"Tuhan mereka menyampaikan berita gembira kepada mereka dengan rahmat daripada-Nya, keredaan, dan syurga-syurga yang di dalamnya ada nikmat yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar."

Dan Allah Ta'ala berfirman:

﴿وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِّن اللهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ﴾

 "Dan (ada lagi) nikmat lain yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman."

Semua ini berkaitan dengan urusan akhirat. Antara perkara yang menjadi berita gembira tentang kebaikan dalam urusan akhirat ialah mimpi yang baik yang dilihat oleh seseorang atau dilihat oleh orang lain tentang dirinya. Contohnya, seseorang bermimpi lalu dikatakan kepadanya dalam mimpi itu: "Khabarkanlah kepada si fulan bahawa dia termasuk ahli syurga," lalu dia pun mengkhabarkannya. Ini satu berita gembira.

Begitu juga, apabila seseorang melihat pada dirinya bahawa dia mudah tunduk kepada kebaikan dan amal soleh, menyukai dan mencintainya, serta membenci keburukan, maka ini juga satu berita gembira. Ini kerana Allah Ta'ala berfirman:

﴿فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى﴾

"Adapun orang yang memberi (hartanya) dan bertakwa, serta membenarkan (balasan) yang terbaik, maka Kami akan memudahkannya ke jalan kemudahan."

Berita gembira berkaitan urusan dunia pula seperti firman Allah Ta'ala tentang Ibrahim al-Khalil:

﴿إنا نبشرك بغلام عليم﴾

"Sesungguhnya kami menyampaikan berita gembira kepadamu dengan (kelahiran) seorang anak lelaki yang alim."

Dan dalam ayat lain:

﴿فبشرناه بغلام حليم﴾

"Maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan (kelahiran) seorang anak lelaki yang sangat penyabar."

Anak yang dikhabarkan dalam ayat pertama bukanlah anak yang dikhabarkan dalam ayat kedua. Ayat: إنا نبشرك بغلام عليم "Sesungguhnya kami menyampaikan berita gembira kepadamu dengan seorang anak lelaki yang alim" itu ialah Ishaq. Manakala ayat: فبشرناه بغلام حليم "Maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan seorang anak lelaki yang sangat penyabar" itu ialah Ismail, 'alaihimassalam.

Ishaq ialah bapa Bani Israil, kerana anaknya ialah Ya'qub, dan Ya'qub itulah Israil. Daripada keturunannya lahir Musa dan Isa 'alaihimussalam, dan kebanyakan nabi yang disebut dalam al-Quran semuanya daripada keturunan Israil.

Nabi Ismail AS pula adalah bapa kepada bangsa Arab. Dalam keturunannya tidak ada rasul kecuali seorang rasul sahaja. Namun rasul itulah yang menjadi penutup seluruh risalah, dan diutus kepada seluruh manusia sejak baginda diutus hingga hari kiamat, sedangkan nabi-nabi lain diutus khusus kepada kaum masing-masing. Rasul daripada keturunan Ismail itu ialah Muhammad, selawat dan salam Allah ke atas baginda.

Begitu juga firman Allah Ta'ala tentang isteri Ibrahim:

﴿وَامْرَأَتُهُ قَائِمَةٌ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَاهَا بِإِسْحَاقَ وَمِن وَرَاءِ إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ﴾

"Dan isterinya berdiri (di situ), lalu dia tertawa, maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan (kelahiran) Ishaq, dan selepas Ishaq, (lahir pula) Ya'qub."

Ini juga berita gembira kepada seorang wanita.

Kesimpulannya, berita gembira itu ada dalam urusan akhirat dan dalam urusan dunia. Seseorang sepatutnya bersikap optimis dan sentiasa mengharapkan kebaikan, dan tidak melihat dunia di hadapannya suram dan gelap sehingga dia menjadi lemah semangat dan berputus asa.

Seseorang juga sepatutnya, apabila saudaranya memperoleh sesuatu kebaikan, mengucapkan tahniah kepadanya, dan jika kebaikan itu akan datang, dia menyampaikan berita gembira kepadanya. Ucapkan tahniah atas kebaikan yang telah berlaku, dan sampaikan berita gembira tentang kebaikan yang akan datang. Gembirakanlah saudaramu dan masukkanlah rasa gembira ke dalam hatinya.

Bahkan, jika seseorang melihat seseorang lain dalam kesedihan, dunia terasa sempit baginya dan pelbagai urusan menghimpitnya, maka katakanlah kepadanya: أبشر بالفرج "Bergembiralah dengan jalan keluar (yang akan datang)." Ini kerana Nabi ﷺ bersabda:

واعلم أن النصر مع الصبر وأن الفرج مع الكرب وأن مع العسر يسر

 "Ketahuilah bahawa pertolongan itu bersama kesabaran, jalan keluar itu bersama kesusahan, dan bersama kesukaran itu ada kemudahan."

Ini sabda Rasul 'alaihissolatu wassalam, yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsu. Maka apabila seseorang melihat saudaranya dalam kesusahan, katakanlah kepada saudaranya itu: أبشر بالفرج قريب "Bergembiralah, jalan keluar sudah dekat." Dan apabila melihat melihat sesoorang muslim dalam kesukaran, katakanlah kepadanya: اليسر القريب "Kemudahan sudah dekat."

Sebagaimana kata Ibn 'Abbas radhiallahu 'anhuma:

لن يغلب عسر يسرين

"Satu kesukaran tidak akan dapat mengalahkan dua kemudahan."

Ini berdasarkan surah ألم نشرح لك صدرك:

﴿فإن مع العسر يسرا إن مع العسر يسرا﴾

"Maka sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan."

Pada zahirnya, al-'usr (kesukaran) disebut dua kali dan yusr (kemudahan) juga disebut dua kali. Tetapi hakikatnya, kesukaran hanya disebut sekali, sedangkan kemudahan disebut dua kali. Mengapa? Para ulama berkata:

إذا تكررت الكلمة معرفة بأل فهي واحدة وإذا تكررت غير معرفة بأل فهي اثنان

apabila sesuatu perkataan diulang dalam bentuk ma'rifah dengan "ال", maka ia merujuk kepada perkara yang satu. Apabila ia diulang dalam bentuk nakirah tanpa "ال", maka ia merujuk kepada dua perkara yang berbeza.

Al-'usr diulang dua kali dengan "ال", maka kesukaran yang kedua ialah kesukaran yang pertama juga. Yusr diulang dua kali tanpa "ال", maka kemudahan yang kedua bukan kemudahan yang pertama.

Kerana itulah Ibn 'Abbas radhiallahu 'anhuma berkata:

لن يغلب عسر يسرين

"Satu kesukaran tidak akan dapat mengalahkan dua kemudahan."

Diceritakan bahawa al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi, seorang tokoh yang terkenal (kita memohon agar Allah mengampuninya), seorang yang zalim yang membunuh manusia tanpa hak, pernah berbual dengan seseorang di majlisnya. Orang itu menyebut satu perkataan yang ditolak oleh al-Hajjaj. Al-Hajjaj memang mahir dalam bahasa Arab; dialah yang meletakkan baris (tanda syakal) pada al-Quran, dan ini antara kebaikannya walaupun dia mempunyai banyak keburukan.

Al-Hajjaj berkata kepadanya:

ليس هذا في اللغة العربية فُعْلَة ما تأتي في اللغة العربية

"Ini bukan bahasa Arab. Wazan fa'lah (فُعْلَة) tidak wujud dalam bahasa Arab (untuk perkataan ini)."

Orang itu menjawab: "Begitulah yang aku dengar daripada orang-orang Arab Badwi." Pada masa itu, orang ramai mengambil bahasa daripada Arab Badwi, kerana mereka tinggal di pedalaman, bukan di bandar. Bandar-bandar telah dimasuki oleh orang Parsi dan Rom yang memeluk Islam, lalu bahasa (Arab) di situ telah berubah.

Maka al-Hajjaj berkata:

اذهب عند الأعراب وائتني بشاهد من كلام العرب ما يدل على أن فعلة موجودة في اللغة العربية ولك كذا وكذا يوم فإن لم تأتني فأنا أضرب عنقك

"Pergilah kepada orang-orang Badwi dan bawakan kepadaku bukti daripada percakapan orang Arab yang menunjukkan wazan fa'lah ini wujud dalam bahasa Arab. Engkau diberi tempoh sekian-sekian hari. Jika engkau tidak membawanya, aku akan memenggal lehermu."

Orang itu pun pergi dalam keadaan susah hati, kerana al-Hajjaj memang melaksanakan apa yang dikatakannya. Dia pergi mencari dalam kalangan orang Badwi, lalu dia mendengar seorang Badwi bersyair:

ربما تكره النفوس من الأمر ... له فُرجة كحل العقال

Kadang-kadang jiwa membenci sesuatu perkara,
padahal padanya ada jalan keluar (
فُرْجَة), seperti terlepasnya ikatan tali unta.

Dia sangat gembira dengan syair itu, lalu membawanya kepada al-Hajjaj. Ketika dia masih dalam perjalanan, dikatakan kepadanya: "Al-Hajjaj telah mati." Dia pun berkata:

والله ما أدري هل أنا أشد فرحا بهذه الكلمة التي وجدتها عند الأعرابي أو بموت هذا الرجل

"Demi Allah, aku tidak tahu, adakah aku lebih gembira dengan kalimah yang aku temui pada orang Badwi itu, ataupun dengan kematian lelaki ini."

Ini berdasarkan satu kisah. Ada juga kisah lain yang menyebut perkara yang berlaku terhadao Abu 'Amr bin al-'Ala' (أبو عمرو بن العلاء), salah seorang daripada Qurra' Tujuh dan salah seorang ahli nahu yang terkenal, termasuk dalam kalangan qari yang dipilih oleh al-Hajjaj di Iraq ketika dia meletakkan titik pada mushaf, membariskannya, serta membahagikannya kepada hizb dan 'usyr (bahagian sepersepuluh).

Abu 'Amr pernah membaca di hadapan al-Hajjaj, lalu dia membaca dalam surah al-Baqarah firman Allah Ta'ala:

﴿إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ﴾

"Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka sesiapa yang meminum airnya, dia bukan daripada golonganku, dan sesiapa yang tidak merasainya, maka dia daripada golonganku, kecuali orang yang menceduk seceduk (غُرْفَة) dengan tangannya." (al-Baqarah: 249)

Al-Hajjaj pula membaca mengikut qiraat penduduk Hijaz, iaitu "إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غَرْفَةً بِيَدِهِ". Maka al-Hajjaj menolak bacaan Abu 'Amr. Abu 'Amr menjawab: "Beginilah yang aku dengar," dan menjelaskan bahawa riwayatnya memang begitu.

Al-Hajjaj berkata:

لتأتين بشاهد من العربية على أن (فعلة) تأتي بمعنى المرة خلال شهر أو لأجعلنك نكالًا

"Engkau mesti membawakan bukti daripada bahasa Arab bahawa wazan (فُعْلَة) digunakan dengan makna 'sekali perbuatan' dalam tempoh sebulan, atau aku akan menjadikan engkau sebagai hukuman yang menjadi pengajaran (kepada orang lain)."

Maka Abu 'Amr keluar ke padang pasir dalam kalangan Arab Badwi untuk mencari bukti tersebut. Sehinggalah tempoh sebulan itu hanya berbaki sehari, dia keluar dalam keadaan runsing dan berdukacita. Tiba-tiba ada seorang penunggang sedang berlagu dan mendendangkan beberapa bait syair. Abu 'Amr mendengarnya, dan ternyata di dalamnya ada bukti yang dicari. Penunggang itu bersyair:

قَدْ يَمُوتُ الْجَبَانُ فِي آخِرِ الصَّــفِّ - وَيَنْجُو مُقَارِعُ الْأَبْطَالِ

رُبَّمَا تَكْرَهُ النُّفُوسُ مِنَ الْأَمْــرِ - لَهُ فُرْجَةٌ كَحَلِّ الْعِقَالِ

Kadang-kadang si penakut mati di barisan belakang,
sedangkan orang yang bertempur dengan para pahlawan terselamat. Kadang-kadang jiwa membenci sesuatu perkara,
padahal padanya ada jalan keluar, seperti terlepasnya ikatan tali unta.

Bukti itu terdapat pada bait: "Kadang-kadang jiwa membenci sesuatu perkara, padahal padanya ada jalan keluar (فرجة), seperti terlepasnya ikatan tali unta." Maka al-furjah dan al-farjah sama maknanya, dan kedua-duanya menunjukkan "sekali", sama seperti al-ghurfah dan al-gharfah.

Abu 'Amr sangat gembira dengan hal itu. Dalam perjalanan pulang, Abu ‘Amr bertemu dengan seorang penunggang kuda dari arah ‘Iraq. Lalu Abu 'Amr bertanya: "Apa khabar yang engkau bawa?"

Penunggang kuda itu menjawab: "Al-Hajjaj telah mati." Maka itu satu lagi kegembiraan.

Abu 'Amr berkata:

ما أدري بأيهما أفرح أبموت الحجاج أم بوجود الشاهد

"Aku tidak tahu yang mana satu patut aku lebih bergembira: dengan kematian al-Hajjaj, atau dengan ditemuinya bukti ini!" Maka jalan keluar itu sangat dekat.

Kesimpulannya, seseorang sepatutnya memasukkan rasa gembira dan berita gembira kepada saudara-saudaranya, supaya mereka bergembira, bersemangat, menaruh harapan dan menanti jalan keluar. Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita dan kaum Muslimin termasuk orang yang mendapat berita gembira dalam kehidupan dunia dan akhirat.

 


Cetak  
Wallahu a'lam