Soalan:
“Ustaz, saya ingin bertanya tentang solat qasar dan jamak ketika musafir. Apakah perbezaan antara qasar dan jamak, dan adakah qasar itu wajib atau hanya sunat ketika bermusafir? Saya juga pernah mendengar bahawa Nabi ﷺ membenarkan qasar walaupun dalam keadaan aman, sedangkan dalam al-Quran qasar dikaitkan dengan keadaan takut. Bagaimanakah penjelasan tentang perkara ini? Selain itu, jika perjalanan saya hanya sekitar 82 km, adakah saya sudah boleh melakukan qasar dan jamak, atau perlu mencapai jarak tertentu?”
Jawapan:
- Takrif Qasar dan Jamak
Qasar (القصر) bermaksud memendek, iaitu menunaikan solat fardhu yang empat rakaat iaitu Zohor, Asar dan Isyak sebanyak dua rakaat.
Jamak (الجمع) bermaksud menghimpun, iaitu menunaikan dua solat, sama ada Zohor bersama Asar, atau Maghrib bersama Isyak, dalam waktu salah satu daripadanya, sama ada secara taqdim (dilakukan dalam waktu pertama) atau ta'khir (dilakukan dalam waktu kedua).
- Hadis Ya’la bin Umayyah RA:
عن يعلى بن أمية قال قلتُ لعمرَ بنِ الخطَّابِ : ﴿فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا﴾، فقَد أمِنَ النَّاسُ فقالَ عمرُ رضيَ اللَّهُ عنهُ عَجبتُ مِمَّا عَجبتَ منهُ فسألتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ عَن ذلِك ؟ فقالَ : صَدقةٌ تَصدَّقَ اللَّهُ بِها علَيكُم فاقبَلوا صَدقتَهُ
Daripada Ya‘la bin Umayyah RA, beliau berkata: “Aku pernah berkata kepada Umar bin al-Khattab RA: ‘(Allah berfirman): Maka tidaklah berdosa kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sedangkan manusia kini telah berada dalam keadaan aman (tidak lagi takut). Umar RA menjawab: ‘Aku juga berasa hairan sebagaimana kamu berasa hairan.’ Lalu aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang perkara tersebut. Baginda menjawab: “Ia adalah sedekah yang Allah berikan kepada kamu, maka terimalah sedekah-Nya.” (Diriwayatkan oleh Muslim (no. 686), al-Tirmizi (no. 3034) dan al-Nasa’i (no. 1433), manakala lafaz hadis yang dikemukakan adalah menurut riwayat al-Nasa’i)
Faedah Usul daripada Hadis Ya'la bin Umayyah -يعلى بن أمية- (Kehujahan Mafhum Mukhalafah)
Dalam hadis di atas, Ya'la bin Umayyah merasa musykil tentang qasar solat dalam keadaan aman ketika membaca firman Allah:
﴿فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا﴾
“Maka tidaklah berdosa kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”
Beliau memahami daripada kaitan "إن خفتم yang bermaksud: “jika kamu takut". Justeru berdasarkan lafaz wahyu, huruf إن mengikat hukum dengan syarat yang dinyatakan. Apabila tiada syarat yang dikaitkan, maka tiadalah hukum. Perkara ini dibahas dalam bab berkaitan مفهوم الشرط. Inilah yang difahami oleh Ya’la bin Umayyah bahawa apabila tiada ketakutan, qasar tidak disyariatkan lagi.
Apabila beliau mengemukakan perkara itu kepada Umar RA, beliau dapati Umar juga telah berhujah dengan mafhum yang sama dan ‘Umar juga telah bertanya kepada Nabi ﷺ tentangnya. Nabi ﷺ memperakui asal kefahaman mereka berdua terhadap mafhum mukhalafah (مفهوم المخالفة الشرطي) dan tidak menyalahkan asal pendalilan mereka. Sebaliknya baginda menjelaskan bahawa qasar dalam keadaan aman ialah satu sedekah dan rukhsah pengecualian (رخصة استثنائية) daripada Allah.
Maka hadis ini menurut jumhur (berbeza dengan Hanafiah), menunjukkan kehujahan mafhum mukhalafah dan beramal dengannya.
- Hukum Taklifi Qasar Solat dalam Musafir
Mazhab jumhur (majoriti) ulama, Syafi'iyyah dan Ahmad (pendapat masyhur) menyatakan qasar adalah sunat dan digalakkan, bukan wajib. Dalil mereka:
Firman Allah:
﴿فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ﴾
“maka tidaklah berdosa ke atas kamu semua.”
Penafian dosa memberi makna mengangkat kesempitan dan keharusan, bukan kewajipan. Demikian juga sabda Nabi ﷺ:
صدقة تصدق الله بها عليكم فاقبلوا صدقته
"Ia adalah sedekah yang Allah sedekahkan kepada kamu, maka terimalah sedekah-Nya."
Lafaz ini menunjukkan qasar adalah satu pemberian kurnia berupa sedekah, ia tidak menunjukkan kewajipan.
Berbeza dengan Mazhab Hanafiah, satu riwayat daripada Ahmad, dan Ibnu Hazm yang menyatakan qasar adalah wajib jika jarak musafir tiga marhalah atau lebih (kira-kira 123 km). Dalil mereka:
Hadis Aisyah:
فرضت الصلاة ركعتين...
"Dahulunya Solat difardukan dua rakaat..."
Demikian juga hadis Ibnu Abbas:
فرض الله الصلاة في الحضر أربعاً وفي السفر ركعتين...
"Allah memfardukan solat ketika bermukim empat rakaat dan ketika musafir dua rakaat..."
Bentuk perintah dalam sabda baginda SAW:
فاقبلوا صدقته
"maka terimalah sedekah-Nya".
- Perincian Syafi'iyyah tentang Jarak Musafir dengan Meraikan Khilaf
Musafir sejauh tiga marhalah atau lebih (satu marhalah kira-kira 41 km), sunat dilakukan qasar, bagi keluar daripada khilaf Abu Hanifah yang mewajibkannya.
Jika musafir sejauh dua marhalah (kira-kira 82 km), harus melakukan qasar, tetapi solat penuh lebih afdal, bagi keluar daripada khilaf Abu Hanifah yang melarang qasar bagi jarak kurang daripada tiga marhalah.
