Huraian Hadis Ya'la bin Umayyah RA Tentang Qasar Solat

Daripada Ya'la bin Umayyah (يعلى بنِ أميةَ), beliau berkata:

قلتُ لعمرَ بنِ الخطابِ أعجبُ من قصرِ الناسِ الصلاةَ وقد أَمِنُوا وقد قال اللهُ عزَّ وجلَّ أَنْ تَقْصُرُوْا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمْ الَّذِينَ كَفَرُوْا فقال عمرُ عجبتُ مما عجبتَ منهُ فذكرتُ ذلك لرسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فقال صدقةٌ تصدَّقَ اللهُ بها عليكم فاقبلوا صدقتَه

Aku berkata kepada Umar bin al-Khattab: "Aku hairan melihat orang ramai mengqasarkan solat sedangkan mereka telah berada dalam keadaan aman, padahal Allah 'Azza wa Jalla berfirman: “...kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.'" Lalu Umar berkata: "Aku juga hairan terhadap apa yang engkau hairankan itu, lalu aku menyebutkan hal tersebut kepada Rasulullah SAW, maka Baginda bersabda: 'Ia adalah sedekah yang Allah sedekahkan kepada kamu, maka terimalah sedekah-Nya." (Sumber: Musnad Umar, Perawi: Umar bin al-Khattab, Muhaddith: Ibn Jarir al-Tabari. Ringkasan hukum: Sanadnya sahih. Musnad Umar, no. hadis atau halaman: 1/207)

Dalam riwayat Muslim: Bottom of Form

 

عَنْ يَعْلَى بنِ أُمَيَّةَ، قالَ: قُلتُ لِعُمَرَ بنِ الخَطَّابِ: } لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا{ ]النساء [101 :فقَدْ أَمِنَ النَّاسُ! فَقالَ: عَجِبْتُ ممَّا عَجِبْتَ منه، فَسَأَلْتُ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ عن ذلكَ، فَقالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بهَا علَيْكُم، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ.

Daripada Ya'la bin Umayyah, beliau berkata: Aku berkata kepada Umar bin al-Khattab: "Maka tidaklah menjadi kesalahan bagi kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir" [al-Nisa': 101], sedangkan orang ramai telah pun aman! Lalu beliau berkata: "Aku juga hairan terhadap apa yang engkau hairankan itu, lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal tersebut, maka Baginda bersabda: 'Ia adalah sedekah yang Allah sedekahkan kepada kamu, maka terimalah sedekah-Nya." (Perawi: Umar bin al-Khattab / Muhaddith: Muslim /Sumber: Sahih Muslim, no. 686 / Ringkasan hukum muhaddith: [Sahih]


Huraian

Musafir itu sebahagian daripada azab, dan ia merupakan keadaan yang lazimnya membawa keletihan dan kesukaran. Oleh sebab itu, Allah SWT meringankan beban orang yang bermusafir dan memudahkan baginya hukum-hakam syarak, khususnya dalam solat dan puasa.

Dalam hadis ini, Ya'la bin Umayyah RA meriwayatkan bahawa beliau bertanya kepada Umar bin al-Khattab RA tentang firman Allah Ta'ala:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا

"Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah menjadi kesalahan bagi kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir" [al-Nisa': 101].

Maknanya: apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak ada dosa ke atas kamu untuk mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat (Zohor, Asar dan Isyak) daripada empat rakaat kepada dua rakaat, jika kamu takut ditimpa sesuatu yang tidak diingini daripada orang-orang kafir.

Sedangkan ketika itu, orang ramai telahpun aman dari gangguan golongan kafir, dan telah hilang ketakutan mereka yang menjadi sebab disyariatkan qasar solat. Maka mengapa mereka masih mengqasarkan solat? Atau apakah alasan qasar setelah hilang sebabnya?

Lalu Umar RA memberitahunya bahawa perkara yang sama pernah terlintas dalam hatinya sebagaimana yang terlintas dalam hati Ya'la bin Umayyah. Maka beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang qasar solat setelah hilang sebabnya yang dinyatakan dalam firman Allah SWT, iaitu ketakutan terhadap musuh, dan setelah wujudnya keamanan. Nabi SAW pun memberitahunya bahawa qasar solat ialah kurniaan yang Allah Ta'ala limpahkan kepada umat Islam dan suatu kemuliaan yang diberikan kepada mereka. Ia adalah sedekah yang Allah sedekahkan kepada mereka sebagai kelapangan dan rahmat.

Maka ‘Umar menyatakan sabda Nabi SAW:

فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

"Maka terimalah sedekah-Nya",

Iaitu sama ada wujud ketakutan ataupun tidak, hukum keharusan qasar masih berlaku. Dengan itu, sabitlah qasar dalam keadaan aman juga. Adapun firman Allah Ta'ala:

إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا

 "jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir",

Ia disebut berdasarkan keadaan yang lazim berlaku, kerana kebanyakan permusafiran Nabi SAW dan para sahabat Baginda tidak sunyi daripada ketakutan, disebabkan ramainya pihak musuh yang memerangi mereka pada waktu itu.

Hal ini menunjukkan bahawa qasar disyariatkan ketika musafir sebagai belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya dan keringanan bagi mereka, dan ia bukanlah suatu kemestian serta tidak diwajibkan ke atas orang yang bermusafir. Ini kerana umat telah berijmak bahawa orang yang diberi sedekah tidak wajib menerima sedekah tersebut.

Antara pengajaran hadis:

  • Qasar solat ketika musafir dibolehkan sama ada dalam keadaan takut ataupun tidak.
  • Penjelasan tentang rahmat Allah Ta'ala dan kesempurnaan kurniaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, apabila Dia mensyariatkan qasar solat bagi kaum Muslimin ketika musafir kerana kesukaran yang menimpa mereka.

Cetak  
Wallahu a'lam