SDI 0004 (kemaskini): Trend Tadarus dan Khatam al-Quran Masakini: Betul atau Salah?

Soalan:

Permasalahan ini saya hadapi sejak tahun lepas. Kumpulan alumni kami mula menganjurkan satu amalan semasa Ramadan. Setiap ahli mengambil satu juzuk dan membacanya sendiri, kerana kami tinggal di lokasi berbeza di seluruh negara. Apabila semua selesai, ia dikira sebagai khatam al-Quran, dan mereka menganggap amalan tadarus telah disempurnakan.

Boleh ustaz beri pencerahan sama ada amalan sebegini masih boleh dianggap bertadarus? Jika tidak, adakah ia menyalahi sunnah, dan bagaimana pula pahala bacaannya?

Jawapan:

Makna tadarus

Kalimah tadarus (التَّدَارُس) adalah atas wazan tafa'ul (التَّفَاعُل), yang membawa makna al-musyarakah al-jama'iyyah (المشاركة الجماعية), iaitu penglibatan bersama sekumpulan orang. Maka tadarus al-Quran ialah sekumpulan orang yang terlibat bersama dalam membaca al-Quran, saling memperdengarkan bacaan, mentadabbur, serta mengambil pengajaran dan ilmu daripada ayat-ayatnya.

Asasnya ialah hadis Ibn 'Abbas RA yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:

كَانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ

Maksudnya: "Jibril AS menemui Nabi SAW pada setiap malam bulan Ramadan, lalu bertadarus al-Quran dengan baginda."

Dalam riwayat lain oleh al-Bukhari:

يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ، يَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ الْقُرْآنَ

Maksudnya: "Jibril menemui baginda pada setiap malam bulan Ramadan sehingga habis bulan itu. Rasulullah SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya."

Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani menjelaskan:

قَوْلُهُ: (فِي كُلِّ لَيْلَةٍ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ) أَيْ رَمَضَانُ، وَهَذَا ظَاهِرٌ فِي أَنَّهُ كَانَ يَلْقَاهُ كَذَلِكَ فِي كُلِّ رَمَضَانَ مُنْذُ أُنْزِلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ وَلَا يَخْتَصُّ ذَلِكَ بِرَمَضَانَاتِ الْهِجْرَةِ، وَإِنْ كَانَ صِيَامُ شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّمَا فُرِضَ بَعْدَ الْهِجْرَةِ لِأَنَّهُ كَانَ يُسَمَّى رَمَضَانَ قَبْلَ أَنْ يُفْرَضَ صِيَامُهُ.

Ungkapan: "Pada setiap malam dalam bulan Ramadan sehingga ia habis", iaitu sehingga Ramadan berakhir. Lafaz ini jelas menunjukkan bahawa Jibril menemui baginda sedemikian pada setiap Ramadan sejak al-Quran mula diturunkan kepada baginda. Ia tidak khusus bagi Ramadan-Ramadan selepas hijrah sahaja. Walaupun puasa Ramadan hanya difardukan selepas hijrah, bulan itu sudah pun dinamakan Ramadan sebelum puasanya difardukan. (Ibn Hajar al-'Asqalani, Fath al-Bari, 9/43)

Ibn Hajar juga menyatakan bahawa riwayat pertama menunjukkan Jibril yang memperdengarkan bacaan kepada Nabi SAW, manakala riwayat kedua menunjukkan Nabi SAW yang memperdengarkan bacaan kepada Jibril. Kedua-dua riwayat dihimpunkan dengan memahami bahawa:

فَيُحْمَلُ عَلَى أَنَّ كُلًّا مِنْهُمَا كَانَ يَعْرِضُ عَلَى الْآخَرِ

Setiap daripada mereka berdua memperdengarkan bacaan kepada yang lain.  

Bentuk tadarus yang diiktiraf

Berdasarkan penjelasan ini, ciri utama tadarus ialah adanya interaksi antara pembaca dan pendengar. Antara bentuknya:

  • Seorang membaca, yang lain mendengar. Ini disepakati keharusan dan kelebihannya.
  • Saling memperdengarkan dan mengulang bacaan, seperti yang dilakukan oleh Jibril dengan Nabi SAW.
  • Bacaan secara bergilir (al-idarah). Seorang membaca sebahagian, kemudian berhenti, lalu orang lain menyambung dari tempat bacaan pertama berakhir. Al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam at-Tibyan bahawa cara ini harus lagi baik, dan Imam Malik apabila ditanya tentangnya berkata: "Tidak mengapa."

Kelebihan berhimpun untuk membaca dan bertadarus disebut dalam sabda Nabi SAW riwayat Muslim:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: "Tidaklah suatu kaum berhimpun di salah sebuah rumah Allah, membaca Kitab Allah dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun kepada mereka ketenangan, mereka diliputi rahmat, dikelilingi para malaikat, dan Allah menyebut mereka di sisi makhluk yang berada di sisi-Nya."

Hukum amalan yang ditanyakan

Aktiviti membahagikan satu juzuk kepada setiap ahli, lalu masing-masing membaca bahagiannya sendiri tanpa saling mendengar, bukanlah tadarus al-Quran. Ia sebenarnya bacaan al-Quran secara individu.

Perbuatan ini juga tidak menjadikan setiap ahli telah mengkhatamkan al-Quran. Hal ini dinyatakan dalam Fatawa al-Lajnah ad-Da'imah (2/480):

تَوْزِيعُ أَجْزَاءٍ مِنَ الْقُرْآنِ عَلَى مَنْ حَضَرُوا الِاجْتِمَاعَ لِيَقْرَأَ كُلٌّ مِنْهُمْ لِنَفْسِهِ حِزْبًا أَوْ أَحْزَابًا مِنَ الْقُرْآنِ، لَا يُعْتَبَرُ ذَلِكَ خَتْمًا لِلْقُرْآنِ مِنْ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ بِالضَّرُورَةِ، وَقَصْدُهُمُ الْقِرَاءَةَ لِلتَّبَرُّكِ فَقَطْ فِيهِ قُصُورٌ

Maksudnya: "Membahagikan juzuk-juzuk al-Quran kepada mereka yang hadir dalam suatu perhimpunan, supaya setiap orang membaca satu hizb atau beberapa hizb untuk dirinya sendiri, tidaklah semestinya dikira bahawa setiap seorang daripada mereka telah mengkhatamkan al-Quran. Tujuan mereka membaca semata-mata untuk mengambil berkat adalah suatu kekurangan."

Fatwa itu seterusnya menjelaskan bahawa bacaan al-Quran sepatutnya bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, menghafaz, mentadabbur, memahami hukum-hakamnya, mengambil iktibar, memperoleh pahala dan melatih lidah membacanya.

Adakah ia menyalahi sunnah?

Membaca al-Quran secara individu adalah ibadah yang mulia, dan membahagikan juzuk sebagai galakan untuk membaca tidaklah salah pada asalnya. Yang tidak tepat ialah menamakannya tadarus, dan menganggap setiap ahli telah khatam atau telah menunaikan sunnah tadarus sebagaimana yang dilakukan Nabi SAW bersama Jibril.

Pahala bacaan

Setiap ahli kumpulan tetap mendapat pahala berdasarkan bacaan yang telah dilakukannya, kerana setiap huruf al-Quran yang dibaca diganjari dengan kebaikan.

 


Cetak  
Wallahu a'lam