Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia. Dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi hamba-Nya, Dia menahan (balasan) daripadanya disebabkan dosanya, sehingga dia datang membawa dosa itu pada hari kiamat." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (4/601, no. 2396) dan beliau berkata: "Hasan gharib". Juga oleh al-Hakim (4/651, no. 8799), dan al-Zahabi mendiamkannya, serta al-Baihaqi dalam al-Asma' wa al-Sifat (hlm. 154). Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi (no. 2396) dan Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (no. 1220. Ia mempunyai syahid (penguat) daripada hadis Abdullah bin Mughaffal RA, diriwayatkan oleh Ibn Hibban (no. 2455), Abu Nu'aim dalam Akhbar Asbahan (2/274) dan al-Baihaqi (hlm. 153–154). Ia juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA oleh Ibn 'Adi (5/188, biografi no. 1346: Ali bin Zabyan).
Al-'Allamah al-Mubarakfuri berkata dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi (7/65) menyatakan:
Ungkapan: عَجَّلَ dengan tasydid, iaitu mempercepatkan. Ungkapan: لَهُ الْعُقُوبَةَ iaitu ujian dengan perkara-perkara yang tidak disukai. Ungkapan: فِي الدُّنْيَا agar orang tersebut keluar dari dunia dalam keadaan tiada dosa lagi atasnya. Sesiapa yang diperlakukan sedemikian, maka sesungguhnya Allah telah menamkankan kelembutan dan kurniaan-Nya kepadanya. Ungkapan: أَمْسَكَ iaitu menangguhkan. Ungkapan: عَنْهُ iaitu apa-apa hukuman yang sepatutnya dia terima. Ungkapan: بِذَنْبِهِ iaitu disebabkan dosanya. Ungkapan: حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ iaitu sehingga hamba itu datang membawa dosanya pada hari kiamat. Al-Tibi berkata:
يَعْنِي لَا يُجَازِيهِ بِذَنْبِهِ حَتَّى يَجِيءَ فِي الْآخِرَةِ مُتَوَفِّرَ الذُّنُوبِ وَافِيهَا, فَيَسْتَوْفِيَ حَقَّهُ مِنْ الْعِقَابِ
Allah tidak membalasnya atas dosanya (di dunia) sehinggalah dia datang di akhirat dengan dosa yang penuh lagi sempurna, lalu dia menerima sepenuhnya bahagian hukumannya.
Huraian
- "Hukuman" di sini bermaksud ujian dan musibah. Sakit, kesempitan, kehilangan dan segala yang tidak disukai menjadi penghapus dosa bagi orang beriman, sehingga dia bertemu Allah dalam keadaan bersih.
- Hukuman yang disegerakan ialah tanda kasih, bukan tanda murka. Al-Mubarakfuri menyebutnya sebagai kelembutan dan kurniaan yang besar. Mulla Ali al-Qari menjelaskan sebabnya dalam Mirqah al-Mafatih: azab akhirat lebih dahsyat dan lebih kekal.
- Kesenangan yang berterusan dalam maksiat bukan bukti keredaan Allah. Boleh jadi ia penangguhan (istidraj), dan dosa-dosa itu dikumpulkan untuk dibalas sepenuhnya di akhirat. Al-Qari menambah satu kaitan penting: itu pun "jika Allah tidak mengampunkannya".
- Orang yang ditimpa musibah hendaklah bersangka baik kepada Allah. Ibn Qasim menyebut dalam Hasyiah Kitab al-Tauhid bahawa bala bagi mukmin ialah antara tanda kebaikan. Orang yang sentiasa sihat dan senang pula wajar bimbang serta bermuhasabah.
- Musibah berkait dengan dosa. Firman Allah:
﴿وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ﴾
"Dan apa jua musibah yang menimpa kamu, maka ia disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dosa kamu)" (al-Syura: 30).
Maka musibah ialah peringatan untuk bertaubat dan beristighfar.
- Hadis ini bukan galakan meminta bala. Dalam Sahih Muslim, Nabi SAW menegur seorang sahabat yang berdoa supaya hukuman akhiratnya disegerakan di dunia, kerana manusia tidak mampu menanggungnya. Daripada Anas RA:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ عَادَ رَجُلًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ قَدْ خَفَتَ فَصَارَ مِثْلَ الْفَرْخِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ ﷺ: «هَلْ كُنْتَ تَدْعُو بِشَيْءٍ أَوْ تَسْأَلُهُ إِيَّاهُ؟» قَالَ: نَعَمْ، كُنْتُ أَقُولُ: اللهُمَّ مَا كُنْتَ مُعَاقِبِي بِهِ فِي الْآخِرَةِ فَعَجِّلْهُ لِي فِي الدُّنْيَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: «سُبْحَانَ اللهِ! لَا تُطِيقُهُ - أَوْ لَا تَسْتَطِيعُهُ - أَفَلَا قُلْتَ: اللهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ». قَالَ: فَدَعَا اللهَ لَهُ فَشَفَاهُ.
"Bahawa Rasulullah SAW menziarahi seorang lelaki Muslim yang telah menjadi sangat lemah sehingga seperti anak burung. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: 'Adakah engkau pernah berdoa dengan sesuatu atau memohon sesuatu kepada-Nya?' Dia menjawab: 'Ya, aku pernah berdoa: Ya Allah, apa jua hukuman yang Engkau akan kenakan ke atasku di akhirat, maka segerakanlah ia untukku di dunia.' Maka Rasulullah SAW bersabda: 'Subhanallah! Engkau tidak akan mampu menanggungnya. Mengapa tidak engkau berdoa: Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab neraka.' Anas berkata: Lalu Baginda berdoa kepada Allah untuknya, maka Allah menyembuhkannya." (Riwayat Muslim, no. 2688, Kitab al-Zikr wa al-Du'a', bab makruh berdoa supaya disegerakan hukuman di dunia)
Maka yang dituntut ialah memohon keampunan dan 'afiyah, serta sabar dan reda apabila diuji.
