Soalan:
Hukum suami kata kepada isteri: "aku ceraikan engkau apabila anak-anak kita dah besar atau bila umur salah seorang dariapda kita 70 tahun.”
Jawapan:
Menurut mazhab Syāfiʿī dan jumhur, lafaz ini ialah talak taklik. Talak tersebut belum jatuh sekarang, tetapi akan jatuh satu talak apabila salah satu daripada dua syarat itu berlaku dahulu.
Hukum asalnya
Al-Nawawī menyebut dalam Rawḍat al-Ṭālibīn (8/115):
وَإِنْ عَلَّقَهُ لَمْ يَجُزْ لَهُ الرُّجُوعُ فِيهِ، وَسَوَاءٌ عَلَّقَهُ بِشَرْطٍ مَعْلُومِ الْحُصُولِ أَوْ مُحْتَمِلِهِ، لَا يَقَعُ الطَّلَاقُ إِلَّا بِوُجُودِ الشَّرْطِ فِي النَّوْعَيْنِ. وَلَا يَحْرُمُ الْوَطْءُ قَبْلَ وُجُودِ الشَّرْطِ وَوُقُوعِ الطَّلَاقِ
“Jika seseorang suami mentaklikkan talak itu, tidak boleh baginya menarik balik. Sama ada dia mentaklikkannya dengan syarat yang pasti berlaku atau yang mungkin berlaku, talak tidak jatuh melainkan dengan wujudnya syarat itu pada kedua-dua jenis. Dan tidak haram persetubuhan sebelum wujudnya syarat dan jatuhnya talak.”
Tiga perkara terhasil daripada nas ini:
- Talak tidak jatuh sekarang, walaupun syaratnya pasti akan tiba (seperti umur).
- Suami tidak boleh membatalkan taklik itu (berbeza dengan fatwa Perlis).
- Mereka kekal suami isteri yang sah sehingga syarat berlaku.
Asalnya ialah nas Imam al-Shāfiʿī dalam Mukhtaṣar al-Muzanī:
وَأَيُّ أَجَلٍ طَلَّقَ إِلَيْهِ لَمْ يَلْزَمْهُ قَبْلَ وَقْتِهِ
“Apa jua tempoh yang dia jadikan had bagi talaknya, talak itu tidak mengikatnya sebelum tiba waktunya.”
Dua syarat dengan “atau”
Al-Nawawī menyebut dalam Rawḍat al-Ṭālibīn (8/176):
إِنْ دَخَلْتِ الدَّارَ أَوْ كَلَّمْتِ زَيْدًا فَأَنْتِ طَالِقٌ ... طُلِّقَتْ بِأَيِّهِمَا وُجِدَ، وَتَنْحَلُّ الْيَمِينُ، فَلَا يَقَعُ بِالصِّفَةِ الْأُخْرَى شَيْءٌ
“‘Jika engkau masuk rumah atau bercakap dengan Zaid maka engkau tertalak’ ... siisteri tertalak dengan mana-mana satu yang berlaku, dan terungkailah taklik itu (berlaku), maka tidak jatuh apa-apa dengan sifat yang satu lagi (setelah berlaku yang awal).”
Maka dalam kes ini, jatuh satu talak sahaja apabila mana-mana syarat berlaku dahulu. Syarat kedua tidak menjatuhkan talak lagi selepas itu.
Perkara yang perlu ditentukan
Hukum di atas bergantung pada tiga perkara;
- Lafaz “aku ceraikan”: Jika suami bermaksud menjatuhkan talak yang digantung pada syarat, ia taklik seperti di atas dan cerai berlaku apabila berlaku perkara yang dinyatakan. Jika dia hanya bermaksud janji; “aku akan ceraikan nanti”, ia sekadar waʿd atau janji dan talak tidak jatuh sehingga dia melafazkannya apabila sampai waktu yang dinyatakan dalam taklik. Ini perlu ditanya kepada suami apa maksudnya.
- “Anak-anak dah besar”: Lafaz ini samar. Ia dirujuk kepada niat suami; jika tiada niat tertentu, ia kembali kepada uruf. Kemungkinan ia bermaksud apabila semua anak baligh, atau apabila semua anak telah dapat hidup sendiri. Isu sebegini perlu dirujuk ke mahkamah syar‘iyyah negeri.
- “Umur 70 tahun”: Ia jatuh apabila yang lebih tua antara mereka mencapai 70 tahun. Kiraan hijri atau masihi juga dirujuk kepada niat dan uruf. Isu sebegini juga elok dirujuk ke mahkamah syar‘iyyah negeri.
Jika salah seorang meninggal dunia sebelum mana-mana syarat berlaku, perkahwinan tamat dengan kematian dan taklik itu gugur.
