Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:
إِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ نَخْلًا لِبَنِي النَّجَّارِ فَسَمِعَ صَوْتًا فَفَزِعَ فَقَالَ: "مَنْ أَصْحَابُ هَذِهِ الْقُبُورِ؟" قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ نَاسٌ مَاتُوا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ: "تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ" قَالُوا وَمِمَّ ذَاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: "إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ أَتَاهُ مَلَكٌ فَيَقُولُ لَهُ: مَا كُنْتَ تَعْبُدُ؟ فَإِنِ اللَّهُ هَدَاهُ قَالَ: كُنْتُ أَعْبُدُ اللَّهَ فَيُقَالُ لَهُ: مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ؟ فَيَقُولُ: هُوَ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ فَمَا يُسْأَلُ عَنْ شَيْءٍ غَيْرِهَا، فَيُنْطَلَقُ بِهِ إِلَى بَيْتٍ كَانَ لَهُ فِي النَّارِ فَيُقَالُ لَهُ: هَذَا بَيْتُكَ كَانَ لَكَ فِي النَّارِ وَلَكِنَّ اللَّهَ عَصَمَكَ وَرَحِمَكَ فَأَبْدَلَكَ بِهِ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: دَعُونِي حَتَّى أَذْهَبَ فَأُبَشِّرَ أَهْلِي فَيُقَالُ لَهُ: اسْكُنْ، وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ أَتَاهُ مَلَكٌ فَيَنْتَهِرُهُ فَيَقُولُ لَهُ: مَا كُنْتَ تَعْبُدُ؟ فَيَقُولُ: لَا أَدْرِي، فَيُقَالُ لَهُ: لَا دَرَيْتَ وَلَا تَلَيْتَ، فَيُقَالُ لَهُ: فَمَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ؟ فَيَقُولُ: كُنْتُ أَقُولُ مَا يَقُولُ النَّاسُ، فَيَضْرِبُهُ بِمِطْرَاقٍ مِنْ حَدِيدٍ بَيْنَ أُذُنَيْهِ فَيَصِيحُ صَيْحَةً يَسْمَعُهَا الْخَلْقُ غَيْرُ الثَّقَلَيْنِ
Sesungguhnya Nabi Allah ﷺ masuk ke sebuah kebun kurma milik Bani an-Najjar, lalu baginda mendengar satu suara dan baginda terkejut. Baginda bertanya: “Siapakah penghuni kubur-kubur ini?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, mereka ialah orang-orang yang mati pada zaman jahiliah.” Baginda bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada azab neraka dan daripada fitnah Dajjal.” Mereka bertanya: “Kenapa begitu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin diletakkan di dalam kuburnya, datang kepadanya satu malaikat lalu bertanya kepadanya: ‘Apakah yang dahulu kamu sembah?’ Jika Allah memberinya petunjuk, dia menjawab: ‘Dahulu aku menyembah Allah.’ Lalu ditanya kepadanya: ‘Apakah yang dahulu kamu katakan tentang lelaki ini?’ Dia menjawab: ‘Dia ialah hamba Allah dan Rasul-Nya.’ Maka dia tidak ditanya tentang perkara lain selain itu. Kemudian dia dibawa ke sebuah rumah yang dahulu disediakan untuknya di neraka, lalu dikatakan kepadanya: ‘Inilah rumahmu yang dahulu disediakan untukmu di neraka, tetapi Allah telah memeliharamu dan merahmatimu, lalu Dia menggantikannya untukmu dengan sebuah rumah di syurga.’ Dia berkata: ‘Biarkanlah aku pergi untuk memberi khabar gembira kepada keluargaku.’ Lalu dikatakan kepadanya: ‘Tinggallah (di sini).’ Dan sesungguhnya apabila orang kafir diletakkan di dalam kuburnya, datang kepadanya satu malaikat lalu menengkingnya dan bertanya kepadanya: ‘Apakah yang dahulu kamu sembah?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu.’ Lalu dikatakan kepadanya: ‘Kamu tidak mengetahui dan kamu tidak pula mengikuti (orang yang mengetahui).’ Kemudian ditanya kepadanya: ‘Apakah yang dahulu kamu katakan tentang lelaki ini?’ Dia menjawab: ‘Dahulu aku mengatakan apa yang dikatakan oleh orang ramai.’ Lalu malaikat itu memukulnya dengan sebuah pemukul besi di antara kedua-dua telinganya, lalu dia menjerit dengan satu jeritan yang didengari oleh semua makhluk selain jin dan manusia.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud (4/238, no. 4751) dan disahihkan oleh al-Albani (Sahih al-Jami’, 1930)
Huraian
Nabi ﷺ masuk ke kebun kurma Bani an-Najjar di Madinah, lalu baginda mendengar suara dan terkejut. Suara itu ialah suara penghuni kubur yang sedang diazab. Baginda bertanya tentang penghuni kubur itu, lalu diberitahu mereka mati pada zaman jahiliah.
Peristiwa yang serupa diriwayatkan oleh Muslim daripada Zaid bin Thabit:
بَيْنَمَا النَّبِيُّ ﷺ فِي حَائِطٍ لِبَنِي النَّجَّارِ عَلَى بَغْلَةٍ لَهُ، وَنَحْنُ مَعَهُ إِذْ حَادَتْ بِهِ فَكَادَتْ تُلْقِيهِ، وَإِذَا أَقْبُرٌ سِتَّةٌ أَوْ خَمْسَةٌ أَوْ أَرْبَعَةٌ. قَالَ: كَذَا كَانَ يَقُولُ الْجُرَيْرِيُّ. فَقَالَ: مَنْ يَعْرِفُ أَصْحَابَ هَذِهِ الْأَقْبُرِ؟ فَقَالَ رَجُلٌ: أَنَا. قَالَ: فَمَتَى مَاتَ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: مَاتُوا فِي الْإِشْرَاكِ. فَقَالَ: إِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ تُبْتَلَى فِي قُبُورِهَا، فَلَوْلَا أَنْ لَا تَدَافَنُوا لَدَعَوْتُ اللهَ أَنْ يُسْمِعَكُمْ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ الَّذِي أَسْمَعُ مِنْهُ. ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ فَقَالَ: تَعَوَّذُوا بِاللهِ مِنْ عَذَابِ النَّارِ. قَالُوا: نَعُوذُ بِاللهِ مِنْ عَذَابِ النَّارِ. فَقَالَ: تَعَوَّذُوا بِاللهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ. قَالُوا: نَعُوذُ بِاللهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ. قَالَ: تَعَوَّذُوا بِاللهِ مِنَ الْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ. قَالُوا: نَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ. قَالَ: تَعَوَّذُوا بِاللهِ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ. قَالُوا: نَعُوذُ بِاللهِ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ
Ketika Nabi ﷺ berada di sebuah kebun milik Bani an-Najjar, menunggang baghal baginda, dan kami bersama baginda, tiba-tiba baghal itu bergegas melencong sehingga hampir menjatuhkan baginda. Rupa-rupanya di situ terdapat enam, lima atau empat kubur. (Perawi berkata: Begitulah al-Jurairi menyebutnya.) Baginda bertanya: “Siapa yang mengenali penghuni kubur-kubur ini?” Seorang lelaki menjawab: “Saya.” Baginda bertanya: “Bilakah mereka ini mati?” Lelaki itu menjawab: “Mereka mati dalam keadaan syirik.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan diuji di dalam kubur mereka. Kalaulah tidak kerana (dikhuatiri) kamu tidak akan mengebumikan (mayat), nescaya aku berdoa kepada Allah supaya Dia memperdengarkan kepada kamu azab kubur yang aku dengar.” Kemudian baginda menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada azab neraka.” Mereka berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada azab neraka.” “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada azab kubur.” Mereka berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada azab kubur.” “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada fitnah-fitnah, yang zahir dan yang batin.” Mereka berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada fitnah-fitnah, yang zahir dan yang batin.” “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada fitnah Dajjal.” Mereka berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada fitnah Dajjal.” (Riwayat Muslim, no. 2867)
3. Huraian Lafaz
Ungkapan «أَتَاهُ مَلَكٌ» “datang kepadanya satu malaikat.” Dalam sebahagian riwayat lain disebut dua malaikat. As-Sindi dalam Fath al-Wadud menyelaraskannya dengan dua kemungkinan:
- Ia berbeza mengikut individu. Orang yang banyak dosa didatangi dua malaikat supaya soalan lebih menggerunkan, manakala orang yang beramal soleh didatangi seorang sahaja supaya lebih ringan.
- Yang disebut satu malaikat di sini ialah malaikat yang bertanya. Ini tidak menafikan kehadiran malaikat kedua.
Ungkapan: «فَإِنِ اللَّهُ هَدَاهُ» “jika Allah memberinya petunjuk.” Ini menunjukkan jawapan yang betul di dalam kubur bukan hasil kepandaian, tetapi taufik daripada Allah. Ini selari dengan firman-Nya:
﴿يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ﴾
Allah meneguhkan orang-orang beriman dengan ucapan yang teguh) (Ibrahim: 27).
Ungkapan: «مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ» “apa yang kamu katakan tentang lelaki ini.” Lelaki yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad ﷺ. Jadi dua soalan dalam riwayat ini menyentuh dua asas agama: tauhid (siapa yang disembah) dan kerasulan (pendirian terhadap Nabi ﷺ)
Ungkapan: «فَمَا يُسْأَلُ عَنْ شَيْءٍ غَيْرِهَا» “dia tidak ditanya tentang perkara lain.” As-Sindi menyatakan bahawa yang zahir sepatutnya غَيْرِهِمَا (selain kedua-duanya), tetapi naskhahnya menyebut: غيرها, boleh difahami maksudnya “selain persoalan tersebut”.
Ungkapan: «بَيْتٍ كَانَ لَهُ فِي النَّارِ» “rumah yang dahulu disediakan untuknya di neraka.” Di mana setiap manusia mempunyai tempat di syurga dan tempat di neraka. Orang mukmin ditunjukkan tempatnya di neraka yang telah diganti, supaya dia lebih merasai nikmat Allah yang memeliharanya.
Ungkapan: «دَعُونِي حَتَّى أَذْهَبَ فَأُبَشِّرَ أَهْلِي» “biarkan aku pergi memberi khabar gembira kepada keluargaku.” Ini menggambarkan betapa gembiranya dia, sehingga ingin berkongsi dengan keluarganya. Jawapan “tinggallah” menunjukkan bahawa alam barzakh terpisah daripada alam dunia, dan tiada jalan kembali.
Ungkapan: «فَيَنْتَهِرُهُ» “malaikat itu menengkingnya.” As-Sindi menjelaskan, maksudnya malaikat itu mengingkari perbuatan dan kata-katanya dengan keras ketika bertanya.
Ungkapan: «لَا دَرَيْتَ وَلَا تَلَيْتَ», terdapat tiga tafsiran:
- Tidak tahu dan tidak membaca: تَلَيْتَ asalnya تَلَوْتَ (membaca). Lalu huruf waw ditukar kepada ya’ supaya serasi bunyinya dengan دَرَيْتَ. Ini disebut oleh Abu Hayyan dan as-Sindi.
- Tidak tahu dan tidak mengikuti orang yang tahu: Maksudnya, dia bukan orang yang memahami kebenaran sendiri, dan bukan juga orang yang mengikut ahli kebenaran. Ini disebut oleh as-Sindi dan al-‘Azizi.
- Ibn al-Athir dalam an-Nihayah menyatakan bahawa ahli hadis meriwayatkannya begini, tetapi menurutnya lafaz yang betul ialah وَلَا ائْتَلَيْتَ, iaitu “dan kamu tidak mampu (mengetahui)”.
Ungkapan: «كُنْتُ أَقُولُ مَا يَقُولُ النَّاسُ» “aku mengatakan apa yang dikatakan oleh orang ramai.” Ini gambaran orang yang tidak pernah meyakini kebenaran dengan hatinya. Dia sekadar mengikut kata-kata orang lain tanpa ilmu dan keyakinan. Dalam riwayat al-Bukhari disebut “orang kafir atau munafik”. Ini menunjukkan orang munafik yang zahirnya Islam juga akan gagal menjawab.
Ungkapan: «بِمِطْرَاقٍ مِنْ حَدِيدٍ» “dengan pemukul besi.” Al-‘Azizi menjelaskan ia ialah tukul besar yang diperbuat daripada besi.
Ungkapan: «يَسْمَعُهَا الْخَلْقُ غَيْرُ الثَّقَلَيْنِ» “didengari semua makhluk selain jin dan manusia.” Ath-thaqalan ialah jin dan manusia. Al-‘Azizi menyatakan hikmahnya: jika jin dan manusia mendengarnya, mereka akan berpaling daripada urusan kehidupan dan daripada mengebumikan jenazah.
4. Pengajaran dan Faedah
- Mengisbatkan soalan dan azab kubur. Ini akidah Ahli Sunnah. Menurut jumhur ulama salaf dan khalaf, azab kubur berlaku ke atas roh dan jasad, sebagaimana dinukil oleh pentahqiq Sunan Abi Daud (edisi al-Arna’ut) daripada Fath al-Bari.
- Asas yang ditanya ialah tauhid dan kerasulan. Yang menyelamatkan di dalam kubur ialah keyakinan yang benar terhadap Allah dan Rasul-Nya, yang dihayati sepanjang hidup.
- Bahaya taklid buta dalam akidah. Jawapan: “aku mengatakan apa yang dikatakan orang”, menjadi punca kebinasaan. Seorang Muslim perlu mempelajari agamanya dengan ilmu dan keyakinan, bukan sekadar ikut-ikutan.
- Petunjuk adalah kurniaan Allah. Lafaz: “jika Allah memberinya petunjuk”, mengajar kita sentiasa memohon keteguhan iman, kerana jawapan yang betul di dalam kubur adalah taufik daripada-Nya.
- Sunat memohon perlindungan daripada azab kubur, azab neraka dan fitnah Dajjal. Nabi ﷺ terus menyuruh sahabat berlindung kepada Allah sebaik sahaja mendengar azab itu. Ini juga diamalkan dalam doa selepas tasyahhud akhir sebelum salam.
- Rahmat Allah dalam menyembunyikan perkara ghaib. Azab kubur disembunyikan daripada pendengaran jin dan manusia supaya urusan kehidupan dan pengebumian tidak terganggu.
- Kegembiraan orang mukmin dan kasihnya kepada keluarga. Nikmat pertama di alam barzakh membuatkan dia ingin berkongsi khabar gembira dengan keluarganya. Ini menunjukkan ikatan kasih sayang keluarga yang beriman.
