SDI 2087: Hukum Sebarkan Berita Kematian di Facebook dan Whatapp

Soalan:
Ayah saya baru meninggal dunia. Kami adik-beradik bercadang menghebahkan berita kematiannya di Facebook dan WhatsApp, dan abang sulung ingin menyiarkan iklan takziah berbayar di akhbar dengan kos yang agak tinggi, diambil daripada harta peninggalan ayah. Adik bongsu kami masih kecil. Apakah hukum menghebahkan kematian begini, bolehkah kos iklan itu diambil daripada harta pusaka, dan adakah lebih baik solat jenazah diadakan di masjid atau di dewan?

Jawapan:

Hukum Menghebahkan Berita Kematian

Harus mengumumkan kematian melalui media sosial, akhbar, televisyen dan seumpamanya. Asas perkara ini berdasarkan perbuatan Nabi ﷺ sendiri mengumumkan kematian an-Najasyi kepada para sahabat, lalu mengajak mereka menyembahyangkannya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، وَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ، وَكَبَّرَ عَلَيْهِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ

“Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ mengumumkan kematian an-Najasyi pada hari dia meninggal dunia, lalu keluar bersama mereka ke musalla, menyusun saf mereka, dan bertakbir empat kali ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1333, dan Muslim, no. 951)

Demikian juga berdasarkan hadis tentang kematian orang yang menyapu masjid, Nabi ﷺ menegur para sahabat kerana tidak memberitahu baginda tentang kematiannya:

أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ

“Mengapa kamu tidak memberitahuku tentangnya?” (Riwayat al-Bukhari, no. 458, dan Muslim, no. 956)

Antara faedah dari pengumuman kematian ialah supaya meramaikan jemaah yang menyembahyangkan jenazah. Dalam hadis Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا لَا يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللهُ فِيهِ

“Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu jenazahnya disembahyangkan oleh empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.” (Riwayat Muslim, no. 948)

Perkataan Ulama

An-Nawawi dalam Minhaj ath-Thalibin:

وَلَا بَأْسَ بِالْإِعْلَامِ بِمَوْتِهِ لِلصَّلَاةِ وَغَيْرِهَا، بِخِلَافِ نَعْيِ الْجَاهِلِيَّةِ

“Tidak mengapa memaklumkan kematiannya untuk tujuan solat dan selainnya, berbeza dengan na’yu (pengumuman kematian) cara jahiliah.”

An-Nawawi dalam al-Majmu’ (5/216), berkata:

وَالصَّحِيحُ الَّذِي تَقْتَضِيهِ الْأَحَادِيثُ الصَّحِيحَةُ ... أَنَّ الْإِعْلَامَ بِمَوْتِهِ لِمَنْ لَمْ يَعْلَمْ لَيْسَ بِمَكْرُوهٍ، بَلْ إِنْ قُصِدَ بِهِ الْإِخْبَارُ لِكَثْرَةِ الْمُصَلِّينَ فَهُوَ مُسْتَحَبٌّ، وَإِنَّمَا يُكْرَهُ ذِكْرُ الْمَآثِرِ وَالْمَفَاخِرِ وَالتَّطْوَافُ بَيْنَ النَّاسِ يَذْكُرُهُ بِهَذِهِ الْأَشْيَاءِ، وَهَذَا نَعْيُ الْجَاهِلِيَّةِ الْمَنْهِيُّ عَنْهُ

“Pendapat yang sahih yang ditunjukkan oleh hadis-hadis sahih... ialah memaklumkan kematiannya kepada orang yang belum tahu tidak makruh. Bahkan jika tujuannya memberitahu supaya ramai yang menyembahyangkannya, hukumnya sunat. Yang makruh hanyalah menyebut jasa-jasa dan kebanggaan si mati, serta berkeliling dalam kalangan orang ramai menyebutnya dengan perkara-perkara itu. Inilah na’yu jahiliah yang dilarang.”

An-Nawawi dalam al-Adzkar berkata:

وَالْمُخْتَارُ اسْتِحْبَابُهُ مُطْلَقًا إِذَا كَانَ مُجَرَّدَ إِعْلَامٍ

“Pendapat yang dipilih ialah ia sunat secara mutlak jika sekadar memaklumkan.”

Al-Bujairimi dalam Tuhfah al-Habib (2/271) menjelaskan maksud ma’atsir dan mafakhir:

الْمَآثِرُ مَا تَتَعَلَّقُ بِصِفَاتِ نَفْسِ الْمَيِّتِ، وَالْمَفَاخِرُ مَا تَتَعَلَّقُ بِنَسَبِهِ، وَالنَّعْيُ مَكْرُوهٌ

“Al-ma’atsir ialah perkara berkaitan sifat diri si mati, dan al-mafakhir ialah perkara berkaitan keturunannya. Na’yu (seperti ini) adalah makruh.”

Hadis Larangan Na’yu Dan Cara Menyelaraskannya

Hadis Hudzaifah RA:

إِذَا مِتُّ فَلَا تُؤْذِنُوا بِي أَحَدًا، إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَكُونَ نَعْيًا، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَنْهَى عَنِ النَّعْيِ

“Apabila aku mati, janganlah kamu memberitahu sesiapa pun tentang kematianku. Aku takut ia menjadi na’yu, kerana aku mendengar Rasulullah ﷺ melarang na’yu.” (Riwayat at-Tirmidzi, no. 986, dan Ibn Majah, no. 1476. At-Tirmidzi menilainya hasan)

Na’yu yang dilarang ialah na’yu jahiliah. Di mana kebiasaan mereka, apabila seorang yang terkemuka meninggal dunia, mereka akan mengutus penunggang ke kabilah-kabilah untuk mengumumkannya, disertai jeritan dan tangisan. An-Nawawi menjelaskan dalam al-Adzkar dengan katanya:

قَالَ الْعُلَمَاءُ الْمُحَقِّقُونَ وَالْأَكْثَرُونَ مِنْ أَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمْ: يُسْتَحَبُّ إِعْلَامُ أَهْلِ الْمَيِّتِ وَقَرَابَتِهِ وَأَصْدِقَائِهِ لِهَذَيْنِ الْحَدِيثَيْنِ. قَالُوا: النَّعْيُ الْمَنْهِيُّ عَنْهُ إِنَّمَا هُوَ نَعْيُ الْجَاهِلِيَّةِ، وَكَانَ مِنْ عَادَتِهِمْ إِذَا مَاتَ مِنْهُمْ شَرِيفٌ بَعَثُوا رَاكِبًا إِلَى الْقَبَائِلِ يَقُولُ: نَعَايَا فُلَانٍ، أَوْ يَا نَعَايَا الْعَرَبِ، أَيْ هَلَكَتِ الْعَرَبُ بِمَهْلِكِ فُلَانٍ، وَيَكُونُ مَعَ النَّعْيِ ضَجِيجٌ وَبُكَاءٌ.

“Para ulama muhaqqiq dan kebanyakan ulama mazhab kami serta selain mereka berkata: Disunatkan memaklumkan kematian kepada keluarga si mati, kerabatnya dan sahabat-sahabatnya, berdasarkan dua hadis ini (hadis an-Najasyi dan hadis «أفلا كنتم آذنتموني به»). Mereka berkata: Na’yu yang dilarang hanyalah na’yu jahiliah. Kebiasaan mereka, apabila seorang yang terkemuka dalam kalangan mereka meninggal dunia, mereka mengutus seorang penunggang ke kabilah-kabilah sambil menyeru: ‘Na’aya fulan!’ (Kematian si fulan!), atau ‘Ya na’aya al-‘Arab!’, iaitu binasalah bangsa Arab dengan kematian si fulan. Na’yu itu disertai dengan jeritan dan tangisan.”

Perbezaan Hukum Hebahan Kematian

Berdasarkan huraian ini, maka hukum menghebahkan berita kematian boleh berbeza mengikut niat dan kandungan sesuatu berita kematian dilakukan, secara ringkas adalah seperti berikut;

- Jika sekadar memberitahu kematian, hukumnya harus.

- Jika bertujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai supaya hadir menyembahyangkan jenazah dan mendoakan rahmat kepada jenazah, hukumnya sunat. Inilah niat yang terbaik, kerana ramainya orang yang menyembahyangkan jenazah memberi manfaat kepada si mati.

- Bertujuan menyebut jasa, pencapaian dan kebanggaan si mati, hukumnya makruh.

- Jika disertai ratapan, meraung atau tangisan yang melampau, hukumnya haram. Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ، وَشَقَّ الْجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

“Bukan daripada golongan kami orang yang menampar pipi, mengoyakkan baju, dan menyeru dengan seruan jahiliah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1294, dan Muslim, no. 103)

An-Nawawi dalam Minhaj ath-Thalibin:

وَيَحْرُمُ النَّدْبُ بِتَعْدِيدِ شَمَائِلِهِ، وَالنَّوْحُ، وَالْجَزَعُ بِضَرْبِ صَدْرِهِ وَنَحْوِهِ

“Haram meratap dengan menyebut satu per satu sifat-sifat si mati, meraung, dan menunjukkan kegelisahan dengan memukul dada dan seumpamanya.”

Oleh itu, hebahan kematian di Facebook dan WhatsApp yang bertujuan mengajak orang menyembahyangkan dan mendoakan arwah adalah amalan yang baik. Elakkan bertujuan menyenaraikan pujian atau ratapan.

Kos Iklan Akhbar Daripada Harta Pusaka

Oleh kerana adik bongsu masih kecil, dia termasuk waris yang di bawah kategori hajr (tidak boleh mengurus hartanya sendiri). Dalam keadaan ini, haram mengambil kos iklan daripada harta pusaka. Asal larangan ini adalah dalil umum larangan menggunakan harta anak yatim

﴿إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka hanya menelan api ke dalam perut mereka, dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala.” (an-Nisa’: 10)

Dalam al-An‘am, Allah SWT berfirman:

﴿وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ﴾

“Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang lebih baik.” (al-An’am: 152)

Demikian juga berdasarkan dalilnya secara qias aula, di mana Syarak tidak membenarkan kain kafan si mati ditambah melebihi tiga helai jika ada waris yang di bawah hajr, demi menjaga hak waris tersebut dalam harta pusaka. Jika tambahan kain kafan pun tidak dibenarkan, maka mengambil wang pusaka untuk iklan di akhbar dan televisyen lebih utama lagi diharamkan.

Al-Jamal dalam Hasyiah al-Jamal (2/161), menukil asy-Syams ar-Ramli dalam Syarh al-Minhaj, tentang tambahan kain kafan melebihi tiga helai:

مَحَلُّ ذَلِكَ إِذَا كَانَ الْوَرَثَةُ أَهْلًا لِلتَّبَرُّعِ وَرَضُوا بِهِ، فَإِنْ كَانَ فِيهِمْ صَغِيرٌ أَوْ مَجْنُونٌ أَوْ مَحْجُورٌ عَلَيْهِ بِسَفَهٍ أَوْ غَائِبٌ فَلَا

“Keharusan itu hanya jika para waris layak untuk bersedekah (berkuasa penuh atas harta) dan mereka redha. Jika dalam kalangan mereka ada kanak-kanak, orang gila, orang yang di bawah hajr kerana bodoh, atau waris yang tiada di tempat, maka tidak harus.”

Al-Bujairimi dalam Hasyiah ‘ala Syarh al-Manhaj (1/465):

أَوْ كَانَ فِيهِمْ مَحْجُورٌ عَلَيْهِ كُفِّنَ بِثَلَاثَةٍ

“Atau jika dalam kalangan mereka ada yang di bawah hajr, dia dikafankan dengan tiga helai.”

Jika tambahan kain kafan yang berkaitan langsung dengan jenazah pun tidak dibenarkan jika ada waris di bawah hajr. Maka iklan berbayar di akhbar, yang bukan sebahagian daripada pengurusan jenazah, lebih utama lagi tidak boleh diambil daripada harta pusaka jika terdapat dalam kalangan ahli waris dalam kategori hajr.


Cetak  
Wallahu a'lam