Soalan:
Saya pernah mendengar kisah Nabi ﷺ menyembahyangkan jenazah an-Najasyi di tanah lapang (musalla). Siapakah sebenarnya an-Najasyi, adakah beliau seorang sahabat Nabi, dan adakah lebih baik solat jenazah diadakan di padang atau dewan, mengikut perbuatan Nabi ﷺ itu, berbanding di dalam masjid?
Jawapan:
Siapakah an-Najasyi?
“An-Najasyi” bukan nama peribadi, tetapi gelaran bagi setiap raja Habsyah. Ia sama seperti gelaran Kisra (كسرى) bagi raja Parsi, Qaisar (قيصر) bagi raja Rom, Tubba’ (تُبَّع) bagi raja Yaman dan Fir’aun (فرعون) bagi raja Mesir. Al-Imam an-Nawawi berkata dalam Syarh Muslim (7/23):
وَالنَّجَاشِيُّ لَقَبٌ لِكُلِّ مَنْ مَلَكَ الْحَبَشَةَ، وَأَمَّا أَصْحَمَةُ فَهُوَ اسْمُ عَلَمٍ لِهَذَا الْمَلِكِ الصَّالِحِ الَّذِي كَانَ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ ﷺ
“An-Najasyi ialah gelaran bagi setiap orang yang memerintah Habsyah. Adapun Ashamah, ia nama khas bagi raja yang soleh pada zaman Nabi ﷺ ini.”
Oleh itu Najasyi yang memerintah Yaman di zaman Nabi SAW, nama beliau ialah, Ashamah. Perkara ini terdapat dalam hadis riwayat daripada Jabir RA:
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ صَلَّى عَلَى أَصْحَمَةَ النَّجَاشِيِّ، فَكَبَّرَ أَرْبَعًا
“Bahawa Nabi ﷺ menyembahyangkan Ashamah an-Najasyi, lalu bertakbir empat kali.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1334)
Beliau ialah raja yang melindungi para sahabat yang berhijrah ke Habsyah, dan wafat pada bulan Rejab tahun 9 Hijrah. Kata Ummu Salamah RA, sebagaimana dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tarikh al-Islam (2/65) daripada riwayat az-Zuhri:
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: نَزَلْنَا الْحَبَشَةَ، فَجَاوَرْنَا بِهَا خَيْرَ جَارٍ النَّجَاشِيَّ، أَمِنَّا عَلَى دِينِنَا، وَعَبَدْنَا اللَّهَ تَعَالَى، لَا نُؤْذَى، وَلَا نَسْمَعُ شَيْئًا نَكْرَهُهُ
“Daripada Ummu Salamah, beliau berkata: Kami singgah di Habsyah, lalu kami berjiran di sana dengan sebaik-baik jiran, iaitu an-Najasyi. Kami aman dalam beragama, kami menyembah Allah Ta’ala, kami tidak diganggu, dan kami tidak mendengar sesuatu yang kami benci.”
Ad-Diyar Bakri dalam Tarikh al-Khamis (2/31):
وَأَسْلَمَ عَلَى يَدِ جَعْفَرِ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَتُوُفِّيَ فِي رَجَبٍ سَنَةَ تِسْعٍ مِنَ الْهِجْرَةِ، وَنَعَاهُ النَّبِيُّ ﷺ يَوْمَ تُوُفِّيَ، وَصَلَّى عَلَيْهِ بِالْمَدِينَةِ
“Beliau memeluk Islam di tangan Ja’far bin Abi Talib, dan wafat pada bulan Rejab tahun sembilan Hijrah. Nabi ﷺ mengumumkan kematiannya pada hari beliau wafat, dan menyembahyangkannya di Madinah.”
Negeri Habsyah ketika itu lebih luas daripada Ethiopia hari ini. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari 7/190, menyebut bahawa semua puak Sudan memberi ketaatan kepada raja Habsyah, beliau berkata:
أَرْضُ الْحَبَشَةِ بِالْجَانِبِ الْغَرْبِيِّ مِنْ بِلَادِ الْيَمَنِ، وَمَسَافَتُهَا طَوِيلَةٌ جِدًّا، وَهُمْ أَجْنَاسٌ، وَجَمِيعُ فِرَقِ السُّودَانِ يُعْطُونَ الطَّاعَةَ لِمَلِكِ الْحَبَشَةِ، وَكَانَ فِي الْقَدِيمِ يُلَقَّبُ بِالنَّجَاشِيِّ، وَأَمَّا الْيَوْمَ فَيُقَالُ لَهُ: الْحَطِي
“Bumi Habsyah terletak di sebelah barat negeri Yaman, dan keluasannya sangat besar. Penduduknya terdiri daripada pelbagai bangsa, dan semua puak Sudan (bermaksud bangsa-bangsa berkulit hitam secara umum) memberi ketaatan kepada raja Habsyah. Pada zaman dahulu dia digelar an-Najasyi, manakala hari ini dia dipanggil al-Hathi.”
Adakah Beliau Seorang Sahabat?
Para ulama mentakrifkan sahabat sebagai orang yang bertemu Nabi ﷺ dalam keadaan beriman kepada baginda dan mati dalam keadaan itu. An-Najasyi beriman kepada Nabi ﷺ dan hidup sezaman dengan baginda, tetapi tidak pernah bertemu baginda. Oleh itu, menurut takrif ini, beliau tidak memenuhi syarat sebagai sahabat.
Namun, sebahagian ulama memasukkan namanya dalam kitab-kitab biodata sahabat. Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam an-Nubala’ (1/428) menyatakan:
مَعْدُودٌ فِي الصَّحَابَةِ، وَكَانَ مِمَّنْ حَسُنَ إِسْلَامُهُ وَلَمْ يُهَاجِرْ، وَلَا لَهُ رُؤْيَةٌ، فَهُوَ تَابِعِيٌّ مِنْ وَجْهٍ، صَاحِبٌ مِنْ وَجْهٍ
“Beliau disenaraikan dalam kalangan sahabat. Beliau termasuk orang yang baik keislamannya, tetapi tidak berhijrah dan tidak pernah melihat Nabi. Maka beliau seorang tabi’in dari satu sudut, dan seorang sahabat dari sudut yang lain.”
Kesimpulannya, mengikut takrif sahabat yang masyhur, beliau bukan sahabat. Beliau lebih tepat digelar seorang mukmin yang soleh yang sezaman dengan Nabi ﷺ. Nabi ﷺ sendiri memujinya: «مَاتَ الْيَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ» (“Telah wafat hari ini seorang lelaki yang soleh”) (Riwayat al-Bukhari, no. 3877).
Solat Jenazah: Masjid Atau Padang?
Kedua-duanya harus:
- Di musalla (tanah lapang): Nabi ﷺ keluar ke musalla untuk menyembahyangkan an-Najasyi:
نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، وَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ، وَكَبَّرَ عَلَيْهِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ
“Baginda mengumumkan kematian an-Najasyi pada hari dia wafat, lalu keluar bersama mereka ke musalla, menyusun saf mereka, dan bertakbir empat kali ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1333, dan Muslim, no. 951)
- Di dalam masjid: ‘A’isyah RA berkata ketika ada yang mengingkari jenazah Sa’d bin Abi Waqqas dibawa masuk ke masjid:
وَاللهِ لَقَدْ صَلَّى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَلَى ابْنَيْ بَيْضَاءَ فِي الْمَسْجِدِ: سُهَيْلٍ وَأَخِيهِ
“Demi Allah, Rasulullah ﷺ telah menyembahyangkan dua anak Baidha’ di dalam masjid, iaitu Suhail dan saudaranya.” (Riwayat Muslim, no. 973)
Dari sudut afdhaliah atau yang lebih utama, mazhab Syafi’i berpandangan ialah di dalam masjid. Al-Imam an-Nawawi berkata dalam Raudhah ath-Thalibin (2/131):
لَا تُكْرَهُ الصَّلَاةُ عَلَى الْمَيِّتِ فِي الْمَسْجِدِ. قَالَ أَصْحَابُنَا: بَلِ الصَّلَاةُ فِيهِ أَفْضَلُ، لِلْحَدِيثِ الصَّحِيحِ فِي قِصَّةِ سَهْلِ بْنِ بَيْضَاءَ
“Tidak makruh menyembahyangkan jenazah di dalam masjid. Ulama mazhab kami berkata: Bahkan solat di dalamnya lebih afdal, berdasarkan hadis sahih tentang kisah Sahl bin Baidha’.”
Nabi ﷺ keluar ke musalla dalam kisah an-Najasyi kerana jemaah yang ramai dan untuk mengumpulkan mereka. Jadi solat di luar masjid hanya lebih sesuai jika masjid tidak dapat menampung jemaah. Dalam kedua-dua keadaan, disunatkan solat jenazah secara berjemaah, kerana Nabi ﷺ “menyusun saf mereka” dan menjadi imam.
